Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Penganiayaan seksual kanak-kanak perlu ditangani bersama

Masyarakat perlu ambil berat tentang perlindungan kepada kanak-kanak kerana mereka adalah insan yang terdedah kepada banyak risiko dan tidak akan dapat mempertahankan diri mereka bersendirian.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Penganiayaan seksual kanak-kanak perlu ditangani bersama

(Gambar hiasan: Mediacorp)

BERITAmediacorp: Masyarakat perlu ambil berat tentang perlindungan kepada kanak-kanak kerana mereka adalah insan yang terdedah kepada banyak risiko dan tidak akan dapat mempertahankan diri mereka bersendirian.

Tahukah anda bahawa kebanyakan kes penganiayaan seksual kanak-kanak dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa?

Pada tahun 2018 misalnya, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah menyiasat 248 kes penganiayaan seksual dan hampir kesemuanya melibatkan ahli keluarga atau saudara kepada si mangsa.

Kebelakangan ini juga, kita dikejutkan dengan kes seorang bapa yang dihukum penjara selama 33 tahun kerana memperkosa ketiga-tiga anaknya sepanjang 14 tahun.

Tahun lalu, seorang lelaki dijatuhkan hukuman kerana telah mencabul kehormatan anak tirinya yang bermula sejak usia beliau 7 tahun dan berpanjangan selama 20 tahun.

Dari contoh kes dan kajian data kita dapati pesalah laku seks yang menganiaya kanak-kanak sering kali adalah ahli keluarga terdekat atau mungkin seorang kenalan keluarga yang dipercayai oleh ibu bapa mangsa.

Penganiayaan seksual yang mereka lakukan hampir tidak dapat dikesan dengan segera dan boleh juga berlarutan hingga bertahun-tahun lamanya.

MUDAH MENJADI MANGSA

Kanak-kanak mudah terdedah kepada risiko dianiaya kerana pergantungan mereka kepada orang dewasa.

Kemungkinan, mereka menganggap apa yang dilakukan terhadap diri mereka itu adalah suatu mainan, atau gurauan, atau cara meluahkan kasih sayang kepada mereka. Mereka terlalu kecil untuk memahaminya.

(Gambar hiasan: JW/Unsplash)

Ada juga kemungkinan mangsa tidak tahu bagaimana untuk menceritakan kepada ahli keluarga kerana mereka tidak mempunyai kemahiran untuk menyampaikannya dengan kata-kata.

Jika perkataan-perkataan mereka terhad, bagaimanakah boleh mereka memberitahu hal sebenar?

Kerana usia kecil mereka, sering juga orang yang lebih dewasa tidak mudah percaya dengan apa yang diceritakan oleh si anak.

Ada kalanya, si anak yang dipersalahkan kerana membenarkan perkara ini berlaku pada diri mereka atau kerana merahsiakan penganiayaan ini.

Dan kerana rasa malu atau takut akan akibat kepada keluarga, misalnya kerana si pelaku adalah penyara hidup mereka, perkara ini ditutup tanpa memberi kesan kepada si pelaku.

Ada juga mereka yang terlalu sayangkan si pelaku sehingga sanggup menutup mata dan menidakkan kelakuan tersebut.

BERLAKU BERTAHAP-TAHAP

Sebagai ibu bapa, kita sering mengajarkan anak-anak kita agar berwaspada jika berdepan dengan orang yang tidak mereka kenali. Mereka digalakkan untuk memberitahu ibu bapa jika ada seseorang yang cuba mendekati mereka, apatah lagi jika mereka disentuh.

Oleh itu, apabila perkara ini dilakukan oleh ahli keluarga itu sendiri atau mereka yang dikenali mangsa, si anak akan rasa keliru jika mereka perlu mendedahkannya.

Ada kalanya penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak berlaku bertahap-tahap. Ia bermula dengan menawan hati si anak dengan hadiah dan menyemai rasa percaya.

Gambar lakonan penderaan anak (Gambar: Mediacorp)

Kemudian, membiasakan mereka dengan perilaku keseksualan seperti mendedahkan mereka kepada bahan lucah (pornografi), menayangkan alat sulit masing-masing, menyentuh bahagian-bahagian peribadi si mangsa, atau menggalakkan mangsa menyentuh alat sulit si pelaku.

Lama kelamaan, si pelaku akan semakin berani untuk melakukan yang lebih buruk. Mangsa pula diajar untuk merahsiakan apa yang berlaku dengan pujukan; atau mereka diancam sehingga menjadi takut untuk bersuara.

Bagi anak kecil, ancaman yang kita anggap sebagai tidak munasabah, misalnya, mereka akan ditangkap polis adalah suatu yang amat nyata dan menakutkan bagi diri mereka.

PENDIDIKAN SEKS

Memandangkan risiko penganiayaan seks ini boleh berlaku pada kanak-kanak, timbul soalan jika mereka perlu diajarkan tentang keseksualan di pusat-pusat jagaan kanak-kanak dan pendidikan prasekolah?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah pendidik utama dalam membina asas pemahaman keseksualan yang sihat.

Sudah tentu, ia harus mengambil kira tahap kefahaman, kematangan pemikiran anak dan pembangunan seksual mereka.

Walaupun begitu, memandangkan risiko penganiayaan ini juga merangkumi mereka yang terdekat dalam lingkungan keluarga dan teman rapat mereka, si anak perlu dilengkapi dengan ilmu keseksualan tertentu.

Ini bukan bermakna mengajarkan mereka tentang keilmuan seks yang terbatas kepada tingkah laku.

PENJAGAAN DIRI

Ia mengenai keselamatan dan penjagaan diri dari dianiaya, misalnya:

• memberi kesedaran tentang alat kelamin yang perlu dianggap peribadi dan bukan untuk tontonan orang lain

• menjelaskan apakah bahagian-bahagian badan peribadi yang tidak harus disentuh oleh orang lain, walaupun oleh orang yang rapat dengan mereka

• membezakan apakah sentuhan baik dan sentuhan yang tidak baik

• membenarkan mereka untuk menolak sentuhan yang mereka rasa kurang selesa dan tidak diingini, walaupun oleh orang yang mereka kenali

• mengajar mereka untuk memberitahu orang dewasa yang dipercayai jika mereka rasa tidak selesa dengan sentuhan yang tidak diingini dan mengulangi pemberitahuan ini sehingga sesuatu dilakukan

Jika ibu bapa tidak melihat ini sebagai suatu yang penting, sekurang-kurangnya ada pihak lain yang berwibawa akan dapat membantu melindungi mereka dan memantau kemaslahatan mereka.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Kita perlu ambil berat tentang perlindungan kanak-kanak kerana mereka adalah insan yang terdedah kepada banyak risiko dan tidak akan dapat mempertahankan diri mereka bersendirian.

(Gambar hiasan: tung256/Pixabay)

Sungguh malang sekali, jika orang terdekat yang diharapkan, menjadi punca rosaknya masa depan mereka kelak – ibarat harapkan pagar, pagar makan padi; ibarat haruan makan anak.

Sebagai masyarakat yang peduli, kita perlu mengambil berat untuk mengelakkan perkara sedemikian daripada berlaku.

Marilah kita berpandukan peribahasa dari Afrika ini – membesarkan seorang anak perlukan usaha sekampung.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan