Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengalaman Muslim S'pura hidup dalam negara sekular

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sekularisme pada dasarnya adalah fahaman yang menafsirkan kehidupan berlandaskan prinsip yang diperoleh semata-mata dari dunia material. Sebagai sistem politik, ia ditakrifkan sebagai pemisahan agama daripada negara. Ini boleh dikatakan sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Islam, yang mengekalkan bahawa agama mentadbir segala aspek kehidupan seseorang.

Namun, secara praktikal, sekularisme tidak semestinya bermakna pengecualian agama sepenuhnya daripada kehidupan dalam sesebuah masyarakat. Sebaliknya, ia lebih produktif untuk membincangkan sekularisme sebagaimana ia difahami dan dialami oleh sesebuah masyarakat dengan pengalaman yang berbeza-beza, masing-masing dalam konteksnya yang tersendiri.

Tidak dinafikan bahawa masyarakat Islam minoriti pasti akan mengalami cabaran berkaitan hubungan mereka dengan negara sekular. Dalam hal ini, dari mana dan bagaimana mereka harus mendapat bimbingan agama? 

Apakah versi sistem sekular yang sedia ada di Singapura? 

Sesetengah negara menghadkan peranan agama dalam hal ehwalnya atas sebab sejarah. Di negara lain pula, agama diiktiraf dan dihargai dalam negara sekular yang bersifat terbuka.

(Gambar: MUIS)

Versi Sistem Sekular Singapura

Dalam hal ini, bagaimanakah Singapura memenuhi jangkaan sebagai sebuah negara sekular?

Singapura adalah sebuah negara sekular di mana agama tetap memainkan peranan yang penting. Namun, Singapura tidak menyebelahi mana-mana agama dan semua orang bertanggungjawab memastikan negara ini bersikap terbuka dan selamat buat semua.

Ia juga memberi rakyatnya hak untuk menganuti mana-mana agama atau sebaliknya. Ini kerana kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan agama termaktub dalam perlembagaan negara.

Pemerintah juga berurusan dengan semua rakyat sebagai warganegara dengan sama rata tanpa mengira latar belakang agama mereka. Justeru, pemerintah akur akan kepentingan agama bagi rakyatnya, sambil menegaskan tanggungjawabnya untuk mengekalkan sifat yang neutral dalam hal ehwal agama. 

Ideologi Islamisme

Umumnya, masyarakat Muslim minoriti di negara sekular mungkin menganggap sekularisme satu cabaran kerana nilai-nilainya tampak menghalang mereka daripada mengamalkan Islam sebagai cara hidup. 

Adakalanya mereka mungkin berasa sukar untuk menjadi warganegara yang baik di negara sekular dan pada masa yang sama menjadi seorang Muslim yang taat dengan perintah agama.

Sejak beberapa dekad yang lalu, tersebarnya pemikiran yang dibawa oleh sesetengah golongan yang berusaha untuk ‘menghidupkan’ semula identiti Islam. Alasannya ialah kononnya masyarakat Islam secara umumnya tidak mengamalkan agama Islam dengan secara holistik.

Sememangnya tujuan untuk menjadi seorang Muslim lebih baik adalah perkara yang amat digalakkan. Namun, terdapat cabaran untuk mengamalkan kehidupan yang seratus peratus Islamik khususnya mereka yang duduk di negara sekular atau majoriti rakyatnya bukan beragama Islam.

Terdapat pelbagai respons terhadap dilema ini. Ada yang memilih untuk mengasingkan diri daripada bergaul dengan masyarakat yang bukan Islam, manakala ada yang memilih untuk meninggalkan identiti mereka dan menjadi lebih liberal dengan tidak mengamalkan ajaran Islam. 

Ada juga yang memilih untuk mengambil jalan tengah dengan bersikap bertolak ansur. 

Namun ada segelintir yang mendakwa bahawa Islam hanya boleh berkembang dan diamalkan sepenuhnya sekiranya sebuah sistem politik ditubuhkan untuk menyokong dan mengukuhkan aspirasi tersebut.

Golongan ini lebih dikenali sebagai pendukung fahaman Islamisme atau Politik Islam. Ia adalah fahaman yang berkeyakinan bahawa Islam harus menjadi pegangan bagi segala aspek kehidupan manusia termasuk politik, sosial, ekonomi, budaya dan kehidupan peribadi. 

Islamisme adalah satu istilah kontroversial kerana tidak semua pendukung fahaman ini bersikap keras dan ia hanya sekadar suatu bentuk identiti politik yang berlandaskan nilai-nilai Islam. 

Namun, terdapat juga daripada mereka yang berkeyakinan bahawa apa yang mereka memperjuangkan adalah pemahaman Islam yang sebenar. 

Tambahan pula, mereka menyingkirkan secara selektif pengaruh bukan Islam dalam soal sosial, politik dan ekonomi sebuah masyarakat yang dianggap bercanggah dengan Islam.

Pendekatan sebegini tersasar dari landasan yang diambil oleh ulama Islam tradisional. 

Dengan cara dan pendekatan yang mudah, mereka cenderung untuk menafsirkan teks-teks agama mengikut apa yang difikirkan sesuai, menolak tradisi yang bertentangan dengan objektif mereka dan menggunakan rasionalisasi mereka sendiri.

Oleh kerana itu, Islamisme adalah satu entiti yang mempunyai naratif yang tersendiri. Contohnya pendukung fahaman Islamisme mencurigakan konsep demokrasi yang mana kononnya ia terdiri daripada nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam. Pendapat ini adalah salah kerana Islam memiliki nilai etika yang berlandaskan demokrasi seperti konsep al-’adalah (keadilan), al-musawah (persamaan) dan asy-syura (mushawarah).

Jemaah yang tiba di Masjid Yusof Ishak untuk solat sunat Aidilfitri di tengah-tengah langkah selamat COVID-19 pada 13 Mei 2021 (Gambar fail: MUIS)

Masyarakat Muslim Singapura

Bagaimanakah masyarakat minoriti Islam di Singapura menghadapi cabaran hidup dalam sistem politik bersifat sekular?

Salah satu caranya ialah inisiatif Identiti Muslim Singapura, yang membimbing umat Islam untuk berpandangan jauh, menyesuaikan diri dalam konteks negara yang bersifat sekular dan pelbagai agama. 

Inisiatif sebegini mengukuhkan prinsip asas bahawa sebagai rakyat yang aktif dalam negara sekular, mereka harus menerima kemodenan dan juga yakin dapat mengamalkan Islam dengan baik.

Titik paling penting untuk membimbing masyarakat Islam Singapura ialah kepimpinan agamanya. 

Golongan agamawan menyediakan pelbagai wadah untuk membimbing masyarakat dalam mengharungi dunia moden, sambil berpegang teguh kepada nilai dan prinsip Islam. 

Sejak dari awal 1920-an, tokoh-tokoh agamawan telah memberi bimbingan kepada masyarakat.

Dengan bimbingan yang positif, terbinanya sekolah-sekolah agama sepenuh masa yang wujud hingga ke hari ini. 

Malah, Singapura pernah pada satu ketika menjadi pusat serantau pendidikan Islam moden yang melahirkan ramai cendekiawan dan agamawan yang tersohor. 

Pertubuhan Islam seperti Jamiyah diasaskan pada tahun 1932 oleh Ulama tersohor, Maulana Abdul Aleem Siddique. 

Ia merupakan satu organisasi khidmat kebajikan yang membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka.

Gambar: Facebook/ Wisma Geylang Serai

Kepimpinan Agama Progresif

Mutakhir ini, dunia telah menyaksikan kemuncak gelombang Omicron yang sudah mula reda. Kebanyakan negara sudah mula membuka sempadan bagi membolehkan lebih banyak kegiatan beransur pulih seperti sedia kala. 

Pada tahun 2020, ketika bermulanya penularan wabak COVID-19, Jawatankuasa Fatwa Singapura mengambil langkah berani untuk menjadi antara yang pertama di dunia membenarkan penutupan sementara masjid dan menangguhkan solat berjemaah solat Jumaat di Singapura.

Keputusan ini tidak melanggar dasar syariat Islam. Berpaksikan kaedah fikah, Dar’ Al-Mafasid Muqaddam `Ala Jalb Al-Masalih (menghindari kerosakan didahulukan dari meraih manfaat). 

Kaedah ini diterapkan pada keadaan di mana kemungkinan menimbulkan bahaya yang boleh membawa kepada kesulitan dan kesempitan pada diri seseorang dan masyarakat umum.  

Pejabat Mufti juga telah mengambil panduan dengan golongan yang pakar dalam masalah ini termasuk Kementerian Kesihatan (MOH).

Ini mencerminkan semangat progresif kepimpinan masyarakat Islam di Singapura, bersikap proaktif, berani dan terbuka untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membuat keputusan yang tepat pada masanya, namun tidak berkompromi dalam prinsip agama.

Fatwa sebegini memberikan gambaran bagaimana ajaran Islam mengambil kira maslahat umum dan boleh disesuaikan mengikut perubahan dengan cara yang tepat pada masanya, namun selaras dengan agama. 

Ini memerlukan kebijaksanaan, keberanian dan fleksibiliti daripada pihak berkuasa agama. Dengan mengamalkan nilai-nilai agama ini, Islam yang tulen lagi progresif dapat memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi umat Islam hari ini.

Kesimpulan

Pengalaman Singapura telah menunjukkan bahawa sesebuah negara sekular boleh menjadi penganjur kepada cara kehidupan beragama dan pada masa yang sama, mengekalkan sikap neutral terhadap agama secara umum. 

Begitu juga dari perspektif masyarakat Islam, Islam boleh berkembang maju dalam negara sekular tanpa menggadaikan nilai dan prinsipnya. 

Dalam erti kata lain, kedua-duanya boleh saling wujud bersama untuk mencapai hasil yang terbaik.

Sebagai masyarakat minoriti, Muslim Singapura hidup dalam konteks dan persekitaran yang unik. 

Mereka perlu kekal aktif dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. 

Dalam memastikan ini, para agamawan berperanan memberi kefahaman Islam yang dinamik dalam usaha mereka membimbing masyarakat Islam melayari kehidupan beragama dalam dunia yang serba moden.

Terdapat, dan akan terus ada, banyak isu dan cabaran yang sukar dan rumit. 

Walau bagaimanapun, mereka mesti memupuk keberanian untuk mencari penyelesaian inovatif yang berdasarkan prinsip, nilai dan tradisi agama.

Pengalaman Muslim Singapura hidup di negara sekular adalah contoh unik di mana Muslim boleh wujud bersama dan berkembang dalam mana-mana persekitaran. 

Malah, mereka tidak wujud di pinggir masyarakat, seperti yang ingin dipercayai oleh sesetengah pihak, sebaliknya sebagai peserta penuh dan aktif dalam menghidupkan agama dan pembangunan negara.

MENGENAI PENULIS: 

Dr Mohamed Bin Ali. (Gambar: Dr Mohamed Bin Ali)
Ahmad Saiful Rijal Bin Hassan. (Gambar: Ahmad Saiful Rijal Bin Hassan)

Dr Mohamed Bin Ali adalah Penolong Profesor dan Ahmad Saiful Rijal Bin Hassan adalah Zamil Penyelidik Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Kedua-duanya adalah graduan kuliah Syariah dari Universiti Al-Azhar dan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan