Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengalaman Buruk Kanak-Kanak dan Kesannya Terhadap Kehidupan Mereka

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pengalaman Buruk Kanak-Kanak dan Kesannya Terhadap Kehidupan Mereka

Gambar hiasan: iStock

SINGAPURA: Pengalaman buruk kanak-kanak atau 'Adverse Childhood Experiences' (ACE) adalah peristiwa atau keadaan yang membawa kepada kesan negatif terhadap perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun.

Pengalaman ini termasuk penderaan fizikal, seksual, emosi atau situasi yang mencetuskan tekanan dan kebimbangan yang berterusan.

Ia juga boleh menyebabkan trauma yang berpanjangan hingga ke peringkat dewasa.
Gambar hiasan: iStock
Kanak-kanak yang mengalami trauma sebegini berkemungkinan menghadapi cabaran dalam hubungan sosial, pekerjaan dan kesejahteraan keseluruhan mereka apabila dewasa kelak. Justeru itu, amatlah penting untuk kita memberi perhatian kepada usaha pemulihan dan sokongan kepada individu yang mengalami ACE.

Menurut satu kajian kesihatan mental Singapura yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) pada tahun 2016, lima peristiwa ACE yang biasa dihadapi adalah:

(1) Pengabaian emosi
(2) Perpisahan ibu bapa
(3) Perceraian atau kematian ibu bapa
(4) Penderaan emosi dan fizikal
(5) Tinggal bersama ahli keluarga yang menghadapi kesihatan mental atau membunuh diri

Kajian ini juga menunjukkan bahawa dua daripada setiap tiga orang di Singapura telah melalui sekurang-kurangnya satu peristiwa ACE dalam tempoh 18 tahun pertama kehidupan mereka.

Ini jelas menunjukkan betapa ramai warga Singapura mengalami ACE dalam kehidupan mereka.

Apabila seseorang mengalami ACE, ia boleh mendatangkan kesan yang negatif. Kadangkala ia boleh membawa kepada trauma yang berlarutan sehingga dewasa.

Antara kesan ACE adalah:

(1) Masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan rasa cemas (anxiety).

(2) Masalah kesihatan fizikal seperti kerap jatuh sakit, sakit jantung, masalah berat badan dan gangguan lain akibat tekanan tinggi.

(3) Gangguan dari segi perkembangan (Developmental Disorders) seperti gangguan pembelajaran, perasaan tidak selamat, serta ketidakstabilan emosi. Ini boleh mengganggu perkembangan sosial, emosi, dan mental mereka.

(4) Kesukaran mengadakan hubungan yang positif serta sukar menyesuaikan diri dan mempercayai orang lain.

(5) Cenderung ke arah tingkah laku berisiko seperti menyalahguna dadah, merokok dan kegiatan seks bebas.

(6) Sikap negatif dalam diri sendiri dan orang lain, kurang yakin diri serta membenci diri sendiri.

Apabila kesemua kesan ini dialami serentak, ia boleh muncul sebagai trauma dalam kehidupan kanak-kanak atau individu tersebut.
Gambar hiasan: iStock
Namun begitu, kita harus akur bahawa kesan ACE ini tidak muktamad. Kajian telah membuktikan bahawa kesan-kesan negatif ini boleh diatasi, malah berpotensi membangunkan kehidupan yang lebih positif.

Mengatasi Trauma & ACE

Pendekatan terbaik adalah dengan memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada ACE sama sekali. Namun, jika mereka telah mengalaminya, ini tidak bermakna mereka tidak mampu mengatasi trauma tersebut.

Kesan-kesan negatif boleh diatasi dengan adanya hubungan stabil antara kanak-kanak dengan seorang pengasuh atau dewasa yang dipercayai.

Satu kajian yang dikendalikan oleh Persatuan Kanak-Kanak Singapura (Singapore Children’s Society) pada tahun 2019, mendapati bahawa hubungan rapat antara pengasuh dengan kanak-kanak merupakan faktor penting bagi perkembangan emosi dan sosial yang sihat.

Apatah lagi, jika kanak-kanak ini telah mengalami ACE. Mereka memerlukan sekurang-kurangnya seorang dewasa yang selamat dan konsisten dalam kehidupan mereka untuk bangkit semula.
Gambar hiasan: iStock
Menjadi Orang Dewasa Yang Selamat & Boleh Dipercayai Kanak-Kanak

Untuk menjadi seorang dewasa yang selamat dan boleh dipercayai oleh kanak-kanak yang melalui trauma, langkah-langkah berikut boleh diambil:

(1) Jadi pendengar yang aktif.
Beri perhatian sepenuhnya apabila kanak-kanak berkongsi masalah. Tunjukkan empati dan perhatikan tanda-tanda tekanan atau trauma.

(2) Berikan sokongan konsisten.
Pastikan mereka berasa selamat, didengari, dan diterima tanpa syarat. Elakkan tindakan yang menyalahkan mereka atas apa yang berlaku.

(3) Bina hubungan yang sihat.
Berikan perhatian dan kasih sayang yang mencukupi.

(4) Wujudkan persekitaran yang selamat.
Pastikan persekitaran kanak-kanak selamat dan stabil. Elakkan konflik dan situasi yang boleh memburukkan lagi trauma mereka.

(5) Bersedia untuk dapatkan sokongan.
Jika kanak-kanak memerlukan bantuan lanjut, cari bantuan daripada pakar kesihatan mental, kaunselor, atau pekerja sosial yang boleh membantu dalam proses pemulihan.

Dengan mengamalkan pendekatan yang penuh kasih sayang dan empati, kita boleh menjadi sumber sokongan yang baik untuk kanak-kanak yang mengalami pengalaman buruk dan membantu mereka menghadapi cabaran-cabaran akan datang dengan lebih berkesan.
Gambar hiasan: iStock
Mengenal Pasti Kesan ACE Dalam Kehidupan Dewasa

Usaha-usaha di atas mungkin mencabar untuk diamalkan bagi seorang dewasa yang telah mengalami trauma semasa kecil.

Kesan negatif ACE yang tidak ditangani dengan baik boleh menyulitkan proses pemulihan apabila dewasa.

Namun, ini tidak bermakna bahawa kesan-kesan tersebut tidak boleh diatasi. Jika seseorang dewasa mengenal pasti kesan negatif ACE dalam diri mereka, mereka digalakkan untuk mendapatkan sokongan atau bantuan supaya mereka dapat pulih.

Sokongan Untuk Kanak-Kanak Pulih Daripada Trauma

Yang pasti, walaupun kita tidak boleh merubah sejarah silam atau memadamkan peristiwa pahit, kita masih boleh membantu individu-individu ini dengan menyokong proses pemulihan mereka.

Dalam pada itu, kita harus akur bahawa proses ini memerlukan masa, kesabaran, serta sikap tidak berputus asa. Kanak-kanak yang melalui pengalaman buruk dan trauma ini mungkin sukar membina hubungan positif dan memerlukan masa untuk mempercayai seseorang.

Sebagai orang dewasa atau penjaga, kita perlu bersedia memberi mereka ruang dan masa yang diperlukan. Sokongan dan kehadiran yang konsisten boleh mewujudkan keyakinan untuk membina hubungan yang sihat dan stabil.
Gambar hiasan: iStock
Sekiranya mereka tidak menunjukkan perubahan segera, kita tidak harus berputus asa. Teruskan usaha menyokong dan menggalakkan mereka untuk terus berusaha memulihkan diri. Raikan segala usaha mereka, walau bagaimana sedikit pun. Sikap tidak berputus asa dan kepedulian kita akan membantu mereka merasa dihargai, didengari dan diterima.

Dengan kesabaran, kehadiran dan sokongan yang berterusan, kita dapat membantu kanak-kanak yang mengalami trauma ini meluahkan segala kebimbangan mereka dan memulakan proses pemulihan yang sihat dan berkesan.

Apabila individu-individu ini telah pulih daripada trauma, mereka akan lebih berdaya tahan dalam mengharungi cabaran hidup. Selain itu, mereka juga mampu bangkit semula daripada situasi-situasi yang sukar dengan kekuatan dan kesabaran, serta lebih bersemangat menempuh hari-hari mendatang.

Untuk Bantuan Lanjut
Jika anda memerlukan bantuan lanjut atau mengenali individu-individu yang memerlukan bantuan, sila hubungi pusat khidmat keluarga PPIS.

MENGENAI PENULIS
Suhaili Saad ialah Penolong Pekerja Sosial Kanan dari Pusat Khidmat Keluarga PPIS (Timur).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan