Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pengajaran penting ditimba S'pura dari krisis COVID-19; keyakinan rakyat terhadap pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pengajaran penting ditimba S'pura dari krisis COVID-19; keyakinan rakyat terhadap pemerintah

PM Lee di Majlis Pelantikan dan Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pentadbiran pada 12 Apr 2022. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 13 Apr 2022 02:02AM Dikemas Kini : 13 Apr 2022 02:08AM

BERITAmediacorp: Menyifatkan COVID-19 sebagai "krisis generasi kita", Perdana Menteri Lee Hsien Loong memuji kakitangan Perkhidmatan Awam kerana bertindak pantas terhadap krisis itu dan saling bekerjasama dengan tampuk kepimpinan politik untuk terus mengawal keadaan.

PM Lee juga menyentuh tentang perkara-perkara penting yang dipelajari daripada pandemik itu dan berkata kepercayaan rakyat terhadap Pemerintah menjadi kunci dalam menangani krisis tersebut.

Berikut ucapan penuh PM Lee yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu:

Disebabkan oleh COVID-19, PSD tidak dapat menganjurkan acara fizikal seperti ini sejak dua tahun lalu. Saya gembira kerana sedang kita bangkit daripada pandemik ini, kita sekali lagi dapat menghimpunkan semua orang di sini hari ini.

Ia adalah satu acara yang sesuai untuk kita meraikan dua Setiausaha Tetap yang sudah bersara, Cik Yong Ying-I dan Encik Chee Wee Kiong. Ying-I bersara selepas 36 tahun bekhidmat dengan cemerlang. Beliau sentiasa berusaha untuk mengubah cara kita melakukan sesuatu. Sebagai pegawai PS (Perkhidmatan Awam)(Kesihatan), sewaktu para petugas jagaan kesihatan kita masih menggunakan salinan fizikal rekod pesakit, beliau bertekad untuk memperkenalkan sebuah sistem rekod kesihatan elektronik nasional - "One Patient, One Health Record" (Satu Pesakit, Satu Rekod Kesihatan). Ini merupakan satu langkah besar yang mengupayakan kita untuk memanfaatkan data perubatan dengan lebih cekap untuk mempertingkat khidmat jagaan pesakit.

Di PSD, beliau mengusulkan Transformasi Sektor Awam. Dan baru-baru ini sebagai Setiausaha Tetap di MCI, pasukannya mengorak langkah baru dalam usaha kita mewujudkan sebuah negara digital. Menjangkaui perkara tersebut, Ying-I sentiasa meluangkan masa untuk para pegawainya, mendengar maklum balas dan perspektif mereka, memantau kemajuan dan perkembangan peribadi mereka, memastikan mereka menerima sokongan yang diperlukan untuk menjalankan tugas masing-masing. Saya gembira Ying-I akan terus berkongsi kepakarannya sebagai Pengerusi Lembaga CPF dan Penasihat Kanan kepada MCI.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Chee Wee Kiong. Wee Kiong mengabdikan dirinya dengan Perkhidmatan Awam selama 40 tahun. Beliau memulakan kerjayanya bersama Angkatan Bersenjata Singapua (SAF) dan menyandang banyak jawatan penting, termasuk sebagai Komander Divisyen Sistem Pertahanan Udara dan Pengarah Operasi dan Perancangan Bersama. Beliau kemudian berkhidmat sebagai Pengarah SID - menyediakan maklumat risikan strategik dan tepat pada waktunya untuk menyokong strategi keselamatan negara serta dasar luar negara.

Selepas itu, sebagai PS (Ehwal Luar), beliau menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan hubungan serantau dan dua hala serta memajukan kepentingan negara dan kedudukan Singapura di persada antarabangsa. Beliau juga menyelia beberapa acara diplomatik yang penting, termasuk semasa Singapura mempengerusikan ASEAN pada tahun 2018, Sidang Puncak Xi-Ma dan Sidang Trump-Kim.

Encik Wee Kiong menggalas tanggungjawabnya dengan penuh kebijaksanaan bagi merangsang motivasi dan pemikiran orang lain, di samping kepakarannya dalam berpandangan jauh, merancang dan menetapkan hala tuju untuk pertubuhannya agar sentiasa berada di hadapan. Ying-I dan Wee Kiong, terima kasih atas khidmat penuh berdedikasi dan sumbangan anda.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada 20 pegawai Perkhidmatan Pentadbiran yang baru dilantik dan 80 yang dinaikkan pangkat. Sebagai pemimpin dalam Perkhidmatan Awam, anda memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan Singapura. Saya yakin anda akan berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada Singapura dan rakyatnya.

PERKHIDMATAN AWAM DAN COVID-19

Kita sudah berjuang melawan COVID-19 selama lebih dua tahun. Ia menjadi krisis generasi kita. Perjalanan kita rumit dan banyak likunya. Namun di setiap peringkat, kakitangan Perkhidmatan Awam memberikan respons yang pantas, cekap dan berdaya bingkas, bekerjasama dengan kepimpinan politik, melakukan yang terbaik untuk mengawal keadaan.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Perkhidmatan Awam dan semua pegawai Perkhidmatan Awam. Ramai daripada anda yang tampil, melakukan lebih daripada tugas anda. Sebahagiannya bertugas di barisan hadapan - bertugas dengan institusi jagaan kesihatan, mengendalikan kemudahan kuarantin, menjalankan pengesanan kontak, melakukan ujian dan operasi vaksinasi, melindungi sempadan kita, melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat.

Yang lain bertungkus lumus bekerja di balik tabir - merancang operasi, menyokong kumpulan-kumpulan kerja dan pasukan-pasukan bertindak, menyampaikan mesej-mesej penting kepada orang ramai, membangunkan peranti digital, mengeluarkan sokongan kewangan dan sosial bagi perniagaan dan rakyat Singapura, melakar peraturan kecemasan atau mendapatkan bekalan-bekalan peralatan. Ramai lagi yang menyumbang dalam pelbagai cara tidak rasmi - menggantikan rakan sekerja yang dikerahkan ke operasi COVID-19, menyampaikan khidmat-khidmat penting kepada rakyat Singapura dan terus bersemarak dan tidak pernah patah semangat di tengah-tengah tempoh yang sangat mencabar ini.

Sebagai sebuah Perkhidmatan Awam, anda merangsang semua agensi dan sumber kita, dan menyediakan respons bersama terhadap COVID-19. Kerja keras dan pengorbanan anda membantu menjaga keselamatan rakyat dan daya bingkas ekonomi kita. Usaha-usaha anda menunjukkan perbezaan sesebuah Pemerintah yang baik. Sebuah Pemerintah yang cekap dan diyakini, yang dapat menjalankan tanggungjawabnya dalam keadaan tertekan, membuat keputusan penting ketika berdepan keadaan yang serba tidak menentu dan membingungkan, berwibawa dan bertekad untuk terus melakukan yang betul untuk Singapura dan rakyatnya, yang secara jelas dan jujur berkomunikasi dengan masyarakat awam tentang sejauh mana sukarnya keadaan dan menggerakkan mereka untuk menghuraikan masalah-masalah.

Krisis ini sangat-sangat menguji Pemerintah kita dari pelbagai sudut. Berikut perkara-perkara penting yang kita pelajari.

PENGAJARAN 1: SIAP SEDIA BUAT KEPUTUSAN SUKAR

Satu, kita mesti sentiasa bersiap sedia untuk membuat keputusan sukar, lebih-lebih lagi di tengah-tengah keadaan tidak menentu dan tidak jelas. Kami terpaksa membuat banyak pilihan yang sukar dan keputusan yang membawa kesan besar sepanjang dua tahun lalu. Kadangkala, berdasarkan naluri untuk membimbing kita semula dan kita tidak mampu untuk "tunggu dan lihat". Kami perlu menilai apa yang terbaik pada ketika itu dengan maklumat yang tidak lengkap dan terpaksa bertindak dalam keadaan yang samar-samar. Padahnya mungkin lebih buruk dan teruk jika kita tidak bertindak dengan pantas.

Tidak semua keputusan kami tepat. Kami berdepan cabaran dan hambatan sepanjang dua tahun kebelakangan ini. Namun kuncinya adalah untuk terus belajar dan memperbaiki diri; dan sedang kami mendapat lebih banyak maklumat, untuk kami mengemas kini, menyemak atau menarik balik keputusan-keputusan kami.

Misalnya, semasa permulaan pandemik, ketika tidak banyak yang diketahui tentang virus itu, kami terpaksa membuat keputusan: Sama ada untuk membiarkan penularan berlaku dalam kalangan penduduk dan berharap ia mencapai imuniti kelompok dengan selamat atau memperketatkan langkah-langkah dan memastikan jumlah kes kita kekal serendah mungkin, sehingga kita mengetahui bagaimana untuk memastikan penduduk kita selamat.

Membiarkan penularan berlaku dalam masyarakat membawa risiko tinggi virus itu akan menular tanpa terkawal dan menyebabkan banyak kematian, seperti mana yang berlaku di beberapa negara. Namun menyasarkan strategi "Sifar COVID-19" dalam sebuah negara kecil tanpa kawasan pendalaman, tidak dapat menutup sempadan kita sepenuhnya, adalah sukar untuk dilakukan dan menjejas teruk dari segi ekonomi dan sosial.

Kami menentukan dari awal lagi bahawa kami tidak mahu mengambil risiko tinggi kehilangan nyawa manusia. Kami menutup sempadan, melaksanakan langkah-langkah ketat dan buat satu tempoh melaksanakan tempoh pemutus rantaian jangkitan. Kami lakukan semua yang boleh untuk mencegah rakyat Singapura daripada dijangkiti virus tersebut, dan memastikan kita semua selamat sehingga kita dapat melindungi semua orang menerusi vaksinasi dan terapi yang pada waktu itu belum lagi dihasilkan. Mujur, sehingga kini, kita berupaya memenuhi matlamat penting kita: iaitu melindungi nyawa yang berharga dan mencegah sebanyak mungkin kematian.

Kolong blok yang kosong di tengah 'circuit breaker' (Gambar fail: TODAY)

Setahun kemudian, apabila jujukan Delta yang lebih mudah berjangkit muncul dan menular (di negara ini), kita perlu menilai bila dan bagaimana untuk beralih daripada strategi tersebut. Tahap jangkitan Delta menjadi strategi "Sifar COVID-19" semakin lama semakin tidak dapat bertahan" Kami tahu kita perlu segera mengubah strategi. Namun bagaimana? Meskipun program vaksinasi nasional kita berjalan dengan baik, sebahagian besar penduduk, terutama sekali warga tua, masih belum terlindung daripada virus itu. Jika kita terlalu cepat membuka semula (negara), mereka berdepan risiko tinggi.

Lantaran itu, kami memutuskan untuk bertahan selama beberapa bulan lagi sehingga hampir semua orang sudah divaksin. Sementara itu, kami terus memberanikan diri dan berusaha keras untuk mendampingi baki individu yang belum divaksin dan mempersiapkan sistem-sistem kita untuk menangani jumlah kes yang tinggi namun diharapkan tidak serius.

Kami juga perlu mengubah pemikiran orang awam. Mereka sudah terbiasa dengan jumlah rendah kes harian dan kami perlu meredakan keresahan mereka apabila jumlah kes harian kembali melonjak selepas kami melonggarkan sekatan. Para pesakit COVID-19 juga sudah terbiasa pulih di hospital dan kami perlu menasihatkan mereka supaya menjalani pemulihan di rumah.

Mujur, kami berhasil melaksanakan peralihan itu pada masa yang tepat dan menanganinya dengan baik dengan kemunculan varian Delta, dan disusuli oleh gelombang Omicron. Sistem jagaan kesihatan dan pekerja kita semakin terbeban, namun yang membanggakan adalah mereka terus bertahan dan ini membolehkan kita beralih ke fasa hidup bersama COVID-19. Ini adalah pengajaran pertama.

(Gambar: Mediacorp)

PENGAJARAN 2: MESTI BERPANDANGAN JAUH

Yang kedua adalah kita mesti berpandangan jauh menjangkaui masalah-masalah di depan mata, tanpa mengira betapa mendesak masalah itu, untuk bertindak dan merancang lebih awal. Sepanjang COVID-19 kami sentiasa perlu memikirkan jauh ke hadapan dan bersiap sedia menghadapi semua kemungkinan.

Sewaktu kita mencatatkan beberapa puluh kes sehari dan melakukan ratusan ujian PCR sehari, kami mula memikirkan tentang apa yang akan berlaku sekiranya kita menerima ratusan kes dan perlu melakukan ribuan ujian PCR sehari. Kami segera menempah kit-kit ujian, menyimpan bekalan peralatan perubatan dan menambah kapasiti jagaan kesihatan. Kemudian, apabila hospital-hospital kita menerima ratusan kes Delta sehari, kami bertanya kepada diri sendiri: Bagaimana kita akan menanganinya jika kita melaporkan ribuan kes sehari?

Maka itu, kami mempermudahkan protokol jagaan kesihatan dan membangunkan sistem-sistem, proses-proses dan kapasiti untuk menangani lebih banyak penularan. Perancangan dan tindakan bagi segala kemungkinan ini perlu dilakukan lebih awal. Jika kita menunggu sehingga jumlah kes melonjak sebelum bertindak, ia mungkin terlalu lambat.

Secara realistik, kami tidak boleh bersiap sedia bagi segala kemungkinan, namun kami perlu melakukan yang terbaik. Ini sangat sukar kerana sumber-sumber kita sudahpun terbeban. Namun langkah bersiap sedia dan membuat pelaburan awal membuahkan hasil yang sangat berbaloi, lebih-lebih lagi semasa krisis.

Kadangkala, kami terpaksa memberanikan diri untuk membuat keputusan-keputusan yang sukar, walaupun pada harga yang tinggi. Seperti vaksin, kami tahu bahawa vaksin yang akan menjadi penukar keadaan dan akan berlaku perebutan untuk mendapatkannya apabila ia sudah siap.

Lebih awal dari itu, kami mengambil langkah untuk menjamin komitmen bagi mendapatkan bekalan vaksin. Kami mengambil risiko yang terhitung bagi calon-calon vaksin yang berpotensi, dalam pelbagai teknologi. Ini menelan belanja yang agak besar dan kami menerima hakikat bahawa tidak semua usaha akan membuahkan hasil yang diinginkan. Namun kami menilai ini sebagai kos yang perlu ditanggung demi melindungi rakyat Singapura dan mempercepatkan langkah kita untuk mendakapi norma baru. Menerusi terapi juga, kami perlu membuat penilaian serupa. Saya gembira keputusan-keputusan ini secara keseluruhannya membawa hasil yang baik untuk kita semua.

Sebagai pasukan yang bertanggungjawab, kami perlu membuat penilaian: bila kami perlu mengira setiap dolar dan sen untuk memastikan kami mendapat nilai terbaik bagi wang kita, dan juga bila ia berbaloi untuk membayar lebih tinggi demi perlindungan yang lebih baik, untuk menempatkan kita di kedudukan yang lebih kukuh jika krisis memburuk.

PENGAJARAN 3: PELAKSANAAN DASAR

Pengajaran ketiga yang saya perolehi adalah pelaksanaan dasar. Sebagai Pegawai Pentdbiran, tugas anda bukan setakat untuk mencetuskan dan menyumbang idea dan konsep atau membentangkan saranan-saranan anda dan memastikan ia diluluskan. Anda juga harus melaksanakan dengan baik: mengenal pasti keutamaan anda dan menumpukan kepada isu yang paling mendesak, bahagikannya kepada tugasan-tugasan khusus, mengaturkan sumber-sumber, menyusun respons dan menggembleng agensi-agensi supaya mereka saling bekerjasama, untuk mengelak kesilapan dalam pelaksanaannya. Pada masa yang sama, anda mesti berkomunikasi, mendampingi pihak-pihak berkepentingan dan menyampaikan mesej tersebut kepada masyarakat awam.

Program vaksinasi nasional kita adalah operasi seumpama itu. Ia bukan sekadar menetapkan sasaran vaksinasi, kami perlu keluar mendampingi masyarakat awam menerusi semua saluran komunikasi yang ada: memberikan nasihat perubatan yang betul dan diyakini, menyampaikan maklumat dan fakta secara telus untuk menyangkal kepalsuan, meyakinkan masyarakat awam bahawa vaksin selamat, menyeru masyarakat supaya mendapatkan suntikan vaksin.

 

(Gambar: MCI)

Kita juga perlu memikirkan logistik langkah akhir untuk memastikan vaksin disuntik pada lengan (penerimanya), mengenal pasti tapak-tapak operasi vaksinasi, memperoleh tenaga manusia dan melatih mereka, membangunkan SOP dan sistem-sistem IT, dan meneliti aliran prosesnya serta prosedur-prosedur bagi vaksin Pfizer dan Moderna.

Ia adalah operasi yang sangat besar. Di kemuncaknya, 2,000 kakitangan mengendalikan 40 pusat vaksinasi serata negara, menyuntik lebih dua juta vaksin dalam sebulan. Ramai orang akan mengingati pengalaman yang lancar dan mereka mungkin tidak menyedari betapa besar skala dan betapa rumitnya operasi ini. Namun terima kasih atas usaha-usaha ini, kita sudah memvaksin 92.0 peratus daripada seluruh penduduk kita dan mencapai salah satu daripada kadar vaksinasi tertinggi di dunia.

Semasa pandemik ini, kami perlu melaksanakan banyak lagi operasi intensif lain, misalnya menangani penularan di dormitori, mendapatkan bekalan-bekalan asas, memperhebatkan pengesanan kontak, menguruskan ujian dan kuarantin/SHN, melaksanakan program pemulihan di rumah dan banyak lagi.

Para pekerja asing di Changi Lodge 2 pada 22 Apr 2020. Dormitori itu diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan untuk membendung penularan COVID-19. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Setiap satu adalah usaha yang besar. Secara keseluruhannya, ia menggunakan sepenuhnya sumber-sumber kita. Kadangkala kita terpaksa meminta bantuan SAF. Namun setiap operasi mencerminkan betapa pentingnya pelaksanaan yang baik.

Kakitangan SAF membungkuskan pelitup muka, di Institut Ketenteraan SAFTI, untuk pengagihan kepada orang awam. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Sebagai pemimpin dalam Perkhidmatan Pentadbiran, anda bukan sahaja 'orang kuat' dalam Perkhidmatan Awam. Bersama-sama dengan para pemimpin Perkhidmatan Awam yang lain, anda perlu memikul tanggungjawab yang berat, menangani isu-isu dengan pendekatan Seluruh Pemerintah, mengatur sumber-sumber dalam sektor awam dan swasta, melaksanakan dan mempertingkatkan huraian-huraian, menyingsing lengan untuk memastikan keseluruhan sistem berjalan lancar dan memastikan kerja-kerja dijalankan.

Kita sudah menunjukkan kemajuan besar dalam usaha kita melawan COVID-19. Kita semakin hampir ke garis penamatnya, tetapi kita tidak boleh bersikap sambil lewa. Virus itu sudah beberapa kali mengejutkan kita dan pasti akan menggemparkan kita sekali lagi. Namun secara keseluruhannya, kita berada di kedudukan yang lebih baik. Kita boleh berasa yakin bahawa kita dapat menangani apa sahaja yang mungkin timbul dan terus menunjukkan kemajuan ke arah norma baru.

KEKALKAN KEPERCAYAAN

Kunci kepada usaha kita menangani krisis ini juga adalah kepercayaan dan keyakinan anda terhadap Pemerintah - kepercayaan bahawa Pemerintah mementingkan Singapura dan mengutamakan rakyat Singapura dan kepercayaan bahawa Pemerintah cekap dan akan membuat keputusan yang betul bagi pihak rakyat Singapura.

Rakyat Singapura menunjukkan kepercayaan apabila mereka menerima nasihat dan keputusan pemerintah, dan mereka secara sukarela mematuhi langkah-langkah ketat pengurusan selamat, dan apabila mereka tampil mendapatkan suntikan vaksin.

Kepercayaan ini berharga. Untuk terus membangunkan dan memupuknya, kita mesti mempunyia Perkhidmatan Awam yang cemerlang, dengan pegawai yang berkeupayaan dan komited. Menjunjung etos dan nilai-nilai yang betul, berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura secara bertanggungjawab dan jujur, sedaya upaya mereka.

Kita memerlukan minda kelas pertama, berupaya memahami dan menangani masalah-masalah rumit, saling terhubung, dan mendatangkan dengan idea-idea kreatif dan huraian-huraian yang boleh dilaksanakan. Namun kita juga memerlukan pasukan kelas pertama, bersatu padu dan tertumpu kepada misi, memberi tumpuan kepada usaha memastikan tugas dijalankan. Namun terdapat satu lagi bahan untuk mencapai kejayaan.

Untuk kakitangan Perkhidmatan Awam berupaya melakukan tugas mereka, ia perlu bekerjasama dengan kepimpinan politik. Para menteri mesti memastikan politik dikendalikan dengan betul, memahami isu-isu utama dan mengenal pasti keutamaan kita, melaksanakan mandat politik mereka, menetapkan hala tuju dan melakar strategi negara. Mereka juga perlu terlibat secara langsung demi memastikan dasar-dasar direka dan dilaksanakan dengan baik.

Mereka kemudian boleh membuat keputusan bagi masyarakat awam, memberi jaminan kepada penduduk dan menerajui Singapura sepanjang perjalanan ini, Juga penting, tampuk kepimpinan politik perlu memberikan sokongan yang diperlukan kepada kakitangan perkhidmatan awam, supaya mereka boleh menumpukan perhatian kepada tugas mereka dan menjalankan tanggungjawab secara profesional dan tidak diganggu atau berasa takut dengan wayang politik.

Dari pihak anda, sebagai pemimpin Perkhidmatan Awam, anda mesti menghargai konteks politik, menjelaskan strategy menyeluruh kepada dasar-dasar yang boleh dilaksanakan dan melaksanakan perancangan-perancangan. Kepimpinan politik dan Perkhidmatan Awam mesti saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain, dan saling mempercayai untuk memainkan peranan masing-masing, dan kerjasama ini penting.

Sedang kedua-dua kepimpinan politik dan perkhidmatan awam memperbaharui diri masing-masing, kita juga mesti memperbaharui kepercayaan yang ada antara generasi para menteri sedia ada dengan para pegawai kanan perkhidmatan awam dan meneruskannya ke generasi seterusnya.

COVID-19 adalah detik ketika ini berlaku - keseluruhan pasukan 4G sedikit sebanyak terlibat, bekerjasama dengan Setiausaha Tetap serta pasukan pengurusan mereka. Semasa krisis, mereka memperkukuh hubungan, dan memperdalam pemahaman dan kepercayaan yang dikongsi bersama.

Ini menetapkan asas bagi generasi pemimpin seterusnya - kedua-dua menteri dan Perkhidmatan Awam. Ini kerana, apabila tiba masa mereka menggalas tanggungjawab memimpin negara, kedua-duanya perlu terus bekerjasama dan menyampaikan hasil yang sama yang diharapkan oleh rakyat Singapura, yang mana mereka sudah terbiasa.

KESIMPULAN

COVID-19 menjadi ujian berat bagi Pemerintah. Hari ini saya berupcap tentang pengajaran utama yang diraih daripada pengalaman menangani COVID-19: bersiap sedia untuk membuat keputusan sukar, untuk menjangkakan dan merancang terlebih dahulu, untuk menyedari bahawa dasar adalah pelaksanaan dan bahawa kepercayaan adalah kunci.

Setelah mengharungi banyak ujian dan cabaran semasa pandemik, kita mesti menggarap pengajaran-pengajaran ini, memperbaiki cara pemerintah menyusun dirinya dan beroperasi, dan melakukan yang lebih baik di masa akan datang, bukan hanya untuk menangani pandemik seterusnya, yang lambat laun akan melanda kita, tetapi juga memberikan respons secara berkesan bagi banyak lagi cabaran yang mendatang.

Pada masa yang sama, kita mesti memanfaatkan perubahan-perubahan yang dibawa oleh pandemik untuk memperbaiki cara kita melakukan sesuatu pada masa akan datang. Jika kita tanpa berfikir panjang dan berbalik kepada status quo selepas krisis ini berlalu, kita akan melepaskan pengajaran-pengajaran berharga yang sudah kita perolehi setelah mengharungi pandemik.

Pasca COVID-19, kita berda di kedudukan yang kukuh untuk menunjukkan kemajuan dalam dunia yang dibelenggu masalah dan ketidaktentuan. Kita mesti terus membangunkan kepercayaan dalam masyarakat. Cari peluang-peluang baru baru, wujudkan pekerjaan baru, pertingkat kehidupan semua orang dan perkukuh kompak sosial kita.

Perkhidmatan awam mesti melakukannya sedaya upaya dan sebaik mungkin. Kemudian anda boleh berehat pada waktu malam dengan hati yang tenang kerana mengetahui bahawa anda sedang memainkan peranan untuk mewujudkan Singapura dengan masa depan yang lebih cerah.

Terima kasih.

 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan