Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Penerbitan Buku Melayu Singapura 2001–2010

Anggaran Waktu Membaca:

BERITA Mediacorp: Dalam artikel yang ditulis untuk BiblioAsia, sebuah jurnal terbitan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), edisi April 2011, pustakawan Mazelan bin Anuar membuat pemerhatian terhadap industri penerbitan buku Melayu di Singapura berdasarkan data dari 2001 hingga 2010 dan menyarankan cara-cara untuk menghidupkan semula industri tersebut.

Komentar ini menggambarkan trend industri pada masa lalu, yang sudah berubah kini, kerana terdapat lebih banyak buku berbahasa Melayu terbitan tempatan yang dihasilkan oleh para penulis tempatan, khususnya buku kanak-kanak.

Para pembaca Melayu, termasuk ibu bapa dan kanak-kanak, boleh memanfaatkan saranan bacaan 100 buku bahasa Melayu tempatan yang disediakan oleh NLB dan meningkatkan penghayatan mereka terhadap kesusasteraan Melayu tempatan melalui program bahasa Melayu NLB, termasuk yang dianjurkan bersempena dengan Bulan Bahasa Melayu.

Selepas satu dekad ke dalam abad 21, bagaimanakah perkembangan penerbitan buku Melayu di Singapura?

Singapura pernah menjadi pusat penerbitan buku Melayu di rantau ini tetapi rentetan sejarah menunjukkan peranan itu sudah diambil alih oleh Malaysia (dan juga Indonesia tetapi lebih kepada Bahasa Indonesia), lebih-lebih lagi selepas Singapura berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965.

Artikel ini merupakan peninjauan awal ke atas penerbitan buku Melayu di Singapura dari tahun 2001 hingga ke 2010 dengan melihat jumlah dan jenis karya yang telah dihasilkan serta juga mengenal pasti beberapa penerbit buku-buku tersebut.

Adalah amat sukar mendapatkan perangkaan nilai pasaran atau penjualan buku di Singapura. Badan-badan seperti Persatuan Penerbit Buku Singapura dan Majlis Pembangunan Buku Nasional Singapura sejauh ini tidak mengeluarkan sebarang perangkaan seumpama itu.

(Gambar: Pexel)
Pangkalan data Euromonitor Global Market Information Database (GMID), menganggarkan sejumlah S$896.8 juta telah dibelanjakan pada tahun 2010 oleh pengguna di Singapura, untuk akhbar, majalah, buku dan alat tulis.

Namun tiada perincian lanjut yang diberikan bagi setiap kategori yang disebutkan itu. Tidak disebutkan juga jumlah yang dibelanjakan untuk akhbar, majalah dan buku dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan sebagainya.

Global Publishing Information telah menerbitkan laporan berjudul “Profil Pasaran Penerbitan Singapura” (Singapore Publishing Market Profile) pada tahun 2002, namun tiada laporan baharu dikeluarkan selepas itu. Menurut laporan tersebut, nilai pasaran buku Singapura bagi tahun 2001 dianggarkan berjumlah S$201.5 juta dan nilai penjualan buku Cina dan Melayu dianggarkan berjumlah S$35 juta.

Namun jumlah S$35 juta ini tidak dikupas dengan lebih lanjut mengikut kategori sama ada buku Cina atau Melayu.

Mengkaji ulasan mengenai penerbitan buku Melayu di Malaysia dan Singapura, kita dapat mengesan tema yang konsisten sejak tahun 1980-an. Masalah dan cabaran penerbitan buku Melayu serta saranan untuk mengatasinya sering kali dibincangkan melalui makalah-makalah yang diterbitkan di dalam majalah-majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat.

Antara isu yang sering ditimbulkan ialah kurangnya pembacaan dan pembelian buku-buku Melayu. Cadangan-cadangan yang dikemukakan termasuk mendisplinkan industri penerbitan dan menjadikannya lebih profesional agar penerbitan yang bermutu dapat menarik minat pembaca. Akhir-akhir ini, kaedah pemasaran buku juga disentuh dan para penerbit disarankan agar mengamalkan konsep pemasaran moden yang menekankan aspek produk, harga, pengedaran dan promosi (Hamedi Mohd Adnan, 2002).
(Gambar: Pexel)
Di Singapura, isu-isu penerbitan buku Melayu juga dibincangkan melalui akhbar-akhbar, terutamanya Berita Harian dan BERITA Mediacorp. Baru-baru ini terdapat satu rencana dalam Berita Harian (4 November 2010) yang berjudul “Jika hendak sastera Melayu mekar” oleh Mohd Raman Daud yang meluahkan rasa sesal dengan suasana anak Melayu yang lebih selesa berbahasa Inggeris sehingga terdorong Angkatan Sasterawan ’50 atau Asas50 (badan sastera dan persuratan Melayu) untuk menghasilkan wartanya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya sedangkan matlamat asal Asas50 ialah memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu.

Isu ini dapat dikaitkan dengan isu anak Melayu yang tidak berminat membaca buku Melayu yang diketengahkan oleh Anuar Othman dalam rencana yang berjudul “Usah abai buku Melayu setempat” yang disiarkan di dalam Berita Harian pada 7 Mac 2009. Anuar Othman juga mengusulkan agar Kementerian Pendidikan (MOE) menukar kesemua buku teks bagi pengajaran sastera di peringkat GCE “O” kepada karya-karya penulis tempatan dalam masa lima tahun.

Apakah trend penerbitan buku Melayu di Singapura sejak sedekad lalu?

Bersandarkan maklumat yang disediakan di dalam penerbitan Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB) yang berjudul Singapore National Bibliography, kita dapat melihat jumlah dan jenis buku Melayu yang telah diterbitkan.

Bagaimanapun, maklumat dalam terbitan terbaru Singapore National Bibliography ialah sehingga Jun 2009. Bagi tahun 2009 dan 2010, kita terpaksa menggunakan anggaran bagi jumlah penerbitan bagi tahun-tahun tersebut melalui maklumat yang disediakan oleh Jabatan Bahan Penyerahan (Legal Deposit) Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB).

Biasanya, para penerbit akan mendaftarkan buku-buku yang akan mereka terbitkan dengan jabatan ini. Bagi setiap buku yang diterbitkan, penerbit wajib menyerahkan dua salinan kepada Lembaga Perpustakaan Negara Singapura bersesuaian dengan Bab 157 Akta Lembaga Perpustakaan Negara.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, adakalanya penerbit tidak dapat menerbitkan buku yang telah didaftarkan. Bagi buku Melayu di Singapura, peratusan buku yang telah didaftarkan oleh penerbit tetapi tidak diterbitkan kemudiannya untuk sesuatu tahun boleh menjangkau antara 15 sehingga lebih 50 peratus.
Perpustakaan di Orchard. (Gambar: Marcus Mark Ramos)
Dengan menggunakan Singapore National Bibliography, kita juga dapat mengesan jenis-jenis buku yang diterbitkan di Singapura. Antara 2001 dan 2008, buku untuk kegunaan pelajar di sekolah merupakan yang kedua paling banyak dihasilkan (147 judul).

Buku-buku ini diterbitkan oleh atau untuk Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura (MOE), menjadikan ia penerbit utama buku Melayu di Singapura.

Agensi-agensi pemerintah yang lain termasuk badan-badan berkanun seperti Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB) juga menerbitkan buku-buku dalam bahasa Melayu.

Selalunya buku-buku sedemikian bertujuan sebagai penerangan kepada orang ramai terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, isu kesihatan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) atau panduan bagi ibu bapa oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).
(Gambar: MCI)
Badan-badan Melayu seperti MENDAKI, Majlis Pusat dan Majlis Bahasa juga menghasilkan buku-buku Melayu yang selalunya berbentuk bukan cereka.

Bagi buku bukan cereka, subjek berkenaan Islam merupakan yang paling banyak diterbitkan. Selain daripada badan-badan Islam seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) dan masjid-masjid, para penerbit komersil seperti Pustaka Nasional dan Andalus banyak mengeluarkan buku-buku yang menyentuh hal agama Islam.

Secara keseluruhannya, 239 judul buku sedemikian diterbitkan antara 2001 sehingga 2008, menjadikan buku-buku tentang Islam yang paling banyak diterbitkan di Singapura.

Selepas buku tentang Islam dan teks sekolah, buku cereka atau novel merupakan yang ketiga paling banyak diterbitkan.

Terdapat 120 judul novel yang telah diterbitkan antara 2001 dan 2008. Pustaka Nasional merupakan penerbit yang paling prolifik bagi novel Melayu, menerbitkan 48 judul secara keseluruhannya. Angkatan Sasterawan 50 dan Anuar Othman & Associates Media Enterprise juga memainkan peranan menghidupkan sastera Melayu di Singapura dengan masing-masing menerbitkan 22 dan 23 judul buku antara 2001 sehingga 2008.

Walaupun Times merupakan penerbit ketiga terbanyak, ia tidak lagi mengeluarkan buku Melayu di Singapura sejak 2005. Sementara itu, Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura, Pustaka Nasional dan Andalus terus konsisten menerbitkan buku setiap tahun sejak 2001. Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura menumpukan penerbitannya kepada buku teks sekolah.

Pustaka Nasional menerbitkan buku-buku tentang Islam dan juga sastera (novel, cerpen dan puisi/sajak) sementara Andalus pula menumpukan penerbitannya kepada buku-buku tentang Islam terutamanya untuk kanak-kanak dan remaja.

Rumusan

Sebagai rumusan, artikel ini merupakan tinjauan awal, namun trend penerbitan buku Melayu di Singapura perlu dikaji dengan lebih lanjut dan teliti lagi.

Badan-badan seperti Persatuan Penerbit Buku Singapura dan Majlis Pembangunan Buku Nasional Singapura perlu mengumpulkan data dan menyusun maklumat tentang nilai pasaran bagi buku-buku yang diterbitkan di Singapura agar analisa yang tepat dapat dijalankan.

Ini penting bagi para penerbit tuntuk melakar strategi peniagaan mereka. Kita juga harus merangkumkan maklumat bagi tahun 2009 dan 2010 sebaik sahaja ia dapat diperolehi menerusi Singapore National Bibliography.

Perbandingan juga boleh dibuat antara dekad ini dengan dekad-dekad sebelumnya untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas bagi industri ini.

Akhir sekali, Majlis Bahasa Melayu Singapura sebagai institusi yang memelihara status bahasa Melayu dan mendukung pengembangannya mungkin perlu mengambil langkah untuk membangunkan semula penerbitan buku Melayu di Singapura melalui kerjasama dengan para penerbit, agensi pemerintah dan juga penulis setempat.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan di biblioasia pada April 2011.
MENGENAI PENULIS:
Mazelan Anuar ialah pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan