KOMENTAR: Pendidikan sebagai penyamarata sosial & mengapa sistem pendidikan S'pura perlu terus dipertingkat
BERITAmediacorp: Sistem pendidikan kita di Singapura perlu terus dipertingkatkan untuk menjadikannya lebih holistik dan inklusif.
Dalam usaha kita untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih holistik dan inklusif, ia mungkin bermakna pendekatan kita terhadap pengajaran, pembelajaran dan tafsiran pencapaian dan kejayaan mungkin perlu disemak dan dinilai semula.
Adakah ini sesuatu yang kita sudah bersedia dan sanggup menerimanya?
Adakah para ibu bapa dapat menerima penunjuk (indicator) yang kurang jelas dan bukan kayu ukur yang tepat berdasarkan pencapaian akademik semata-mata?
Adakah para majikan sudah bersedia untuk menerima penilaian pencapaian yang lebih luas dan bukan tahap pencapaian yang dibeza-bezakan yang lazimnya dilakukan semasa menilai seseorang pemohon kerja?
PENDIDIKAN SEBAGAI PENYAMA RATA SOSIAL
Sekolah-sekolah kita adalah mikrokosme masyarakat kita.
Maka itu, apa saja yang diperkenalkan dan dilaksanakan di sekolah-sekolah kita akan membawa dan meninggalkan kesan yang luas dan berkekalan kepada masyarakat kita.
Lantaran itu, sedang kita berusaha untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih mendakapi dan bersedia menerima kepelbagaian, apakah yang kita cuba menerapkan dan apakah pula yang kita sanggup menggugurkan daripada sistem pendidikan kita?
Sebagai contoh, dalam usaha kita untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi anak-anak kurang upaya, adakah kita bersedia untuk mengamalkan sikap berbesar hati, tidak mementingkan diri dan lebih bersabar?
Adakah kita sudah bersedia untuk menerima kemajuan kolektif dan semangat insani serta tidak lagi menumpukan perhatian kepada pencapaian individu dan betapa pantas sesuatu kejayaan itu dicapai?
MERUNGKAI PERUBAHAN, ISU & CABARAN SOSIAL
Melalui buku bertajuk "Social Context, Policies and Changes in Singapore: Beyond the First 50 Years" yang diterbitkan oleh Institut Teknologi Singapura (SIT) pada Mac 2022, pelbagai aspek perubahan, isu dan cabaran sosial di Singapura disentuh dan dibincangkan dan bagaimana ia membawa kesan besar kepada kehidupan rakyat Singapura.
Maka itu, isu-isu seperti pendidikan, daya kerja dan pekerjaan, pembangunan sosial dan keluarga, demografi dan perbelanjaan sosial, jagaan kesihatan dan pembiayaan jagaan kesihatan perlu diberikan lebih banyak perhatian.
Ini termasuk perancangan bandar dan alam sekitar serta pendigitalan dan visi Negara Bijak.
Maka itu, penting untuk pemerintah dan masyarakat menentukan pendekatan yang perlu diambil untuk mencapai dan menepati gagasan tersebut.
Masyarakat perlu membincangkan isu-isu yang cuba ditangani termasuk cara-cara untuk menghuraikannya serta perubahan-perubahan dan cabaran-cabaran yang masyarakat perlu bersedia untuk menghadapi.
Di samping menggalak perbincangan dan perbahasan, buku yang diterbitkan ini juga bermatlamat untuk memperluaskan pemahaman tentang isu-isu sosial yang dihadapi Singapura serta imbangan yang perlu dilakukan untuk menangani isu-isu tersebut.
Maka itu, proses libat urus, perbincangan dan pemahaman yang mendalam tentang isu-isu dan cabaran-cabaran yang unik kepada masyarakat Singapura adalah penting dalam usaha kita untuk memperkukuhkan dasar-dasar sosial, memperkasa kontrak sosial dan seterusnya membentuk konteks sosial kita.
PEMBANGUNAN SEMULA BANDAR
Selain isu-isu di atas, isu-isu seperti perumahan, pembandaran dan gentrifikasi iaitu proses penukaran penghunian sesuatu kawasan perumahan dalam bandar apabila masyarakat kelas menengah memasuki kawasan yang dahulunya didiami oleh masyarakat kelas bawahan disebabkan oleh pembangunan semula kawasan tersebut juga perlu diberikan perhatian.
Sedang Singapura terus maju, tentu sekali akan berlaku kehilangan warisan seni bina dan tempat-tempat bersejarah.
Sebahagian daripada tanah perkuburan Bukit Brown, misalnya, digali semula untuk memberi laluan kepada pembinaan Lebuh Raya Lornie.
Meskipun ramai rakyat Singapura tidak bimbang tentang kehilangan kubur-kubur lama di Bukit Brown, para sejarawan dan ilmuwan meratapi kehilangan sebahagian daripada warisan kita kepada pembangunan moden.
Pembangunan bandar bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan tetapi proses mendampingi pelbagai pihak berkepentingan adalah penting dalam usaha mewujudkan pemahaman lebih mendalam tentang sejarah dan nilai sesuatu tempat dan ruang.
Ini di samping meneliti perkara-perkara yang perlu atau boleh dipelihara dan dipulihara serta memastikan pembangunan bandar dan gentrifikasi dapat dijalankan tanpa kehilangan warisan yang kaya serta kisah-kisah dan kenangan bersama.
Sehubungan itu, sedang kita melaksanakan rancangan-rancangan pembangunan semula bandar, kita perlu meneruskan usaha libat urus dan pendampingan ini di peringkat akar umbi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang mungkin mempunyai perspektif, pertimbangan dan huraian yang berbeza-beza tentang cara kita menjalankan proses pembangunan bandar.
Lantaran itu, inisiatif Penilaian Kesan Sekitaran dan Penilaian Kesan Warisan yang diumumkan baru-baru ini oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) adalah langkah yang sangat dialu-alukan.
Adalah diharapkan agar melalui inisiatif tersebut, tempat-tempat dan ruang-ruang bersejarah seperti Kampung Lorong Buangkok, yang merupakan kampung terakhir di tanah besar Singapura, tidak akan hilang akibat gentrifikasi, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk URA.
Soalan-soalan yang sukar dan situasi-situasi yang mencabar itu, seperti yang tertera di atas, penting untuk difahami dan dihayati oleh para pelajar dan belia kita.
Pemahaman dan penghayatan akan menyediakan mereka dengan pengetahuan tentang sesuatu latar belakang dan konteks yang diperlukan untuk membentuk pandangan mereka dan juga perspektif yang betul semasa membuat keputusan yang berhemah dan tindakan-tindakan yang sewajarnya sebagai karyawan dan pengamal industri apabila mereka menceburi dunia pekerjaan atau mengejar cita-cita dan memburu kerjaya atau kepentingan peribadi masing-masing.
Saya benar-benar berharap agar perspektif dan idea yang diusulkan dalam buku ini dapat dijadikan sebagai panduan untuk generasi-generasi akan datang.
MENGENAI PENULIS:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.