KOMENTAR: Pendidikan Islam di Nusantara dan peranan asatizah dalam mencorak masyarakat progresif, inovatif & inklusif

(Gambar: MUIS)
BERITAmediacorp: Tujuan pendidikan Islam mengasuh dan mendidik manusia menjadi insan berilmu, berhikmah, berihsan dan berislah.
Tugas yang penting bagi manusia adalah mengabdikan diri kepada Allah dan memerlukan ilmu-ilmu dalam menjunjung perintah-perintahNya dan tegahan-tegahanNya serta memahami cara dalam menyempurnakan pengabdian kepada Allah. Ibadat mempunyai makna yang luas ia merangkumi peranan manusia sebagai ‘khalifah Allah’ untuk memakmurkan bumi. Oleh itu, manusia sangat perlu mendidik diri mereka dengan ilmu-ilmu yang diperlukan.
Pada dasarnya, tujuan pendidikan Islam adalah amat luas sebagaimana pengertian agama itu sendiri. Ia merangkumi satu usaha memindahkan nilai-nilai agama yang murni, dengan memberikan latihan dan pengajaran ilmu-ilmu untuk mempersiapkan penganutnya dengan kemahiran dan kepakaran agar dapat meneguhkan penghidupan dan menjalankan kewajiban kemanusiaan.
Dengan erti kata lain, pendidikan sedemikian tidak terpisah antara ilmu agama dengan ilmu lain.
Pendidikan Islam di nusantara telah muncul dan tumbuh berkembang dalam pelbagai lembaga atau institusi seperti pondok, pesantren, madrasah, surau dan masjid. Meskipun menghadapi arus sekular yang pada umumnya menekankan keutamaan kepentingan-kepentingan keduniaan dan kesejahteraan kebendaan. Dalam perkembangannya, pendidikan Islam itu ditandai dengan kemunculan lembaga pendidikan secara bertahap-tahap.

Bermula daripada yang sederhana hingga ke tahap yang lebih maju lagi canggih dengan mengikuti perkembangan teknologi pendigitilan.
Oleh demikian, lembaga pendidikan juga telah memainkan peranan yang cukup besar dalam memenuhi tuntutan sesuatu zaman dan masyarakat serta mencorak perubahan.
Dalam kertas kerja ini, saya cuba memaparkan sepintas lalu apakah yang harus dilakukan untuk mencorakkan pendidikan Islam agar tetap relevan dan dapat menjalankan tugas sebagai ‘khalifah’ untuk mengimarah bumi berteraskan ilmu yang bersepadu demi keselamatan dan kesejahteraan hidup serta mengukir peradaban yang beradab.
Pendidikan Islam Tradisional Dan Moderen
Dalam sejarah mencatatkan di Malaysia, lembaga pendidikan Islam telah berkembang dari sekolah al-Quran secara tidak formal. Selepas itu, lembaga tersebut telah berkembang menjadi sebuah sekolah agama tradisional yang dikenali sebagai ‘pondok’. Mempunyai peranan besar dalam mengasuh dan mendidik masyarakat pada awal kurun keempat belas Masehi sebelum dan semasa penjajahan.
Pondok-pondok ini diurus dan ditadbir secara perseorangan atau masyarakat. Dasar pengajaran dan pembelajaran adalah berdasarkan aliran mazhab Asy-Syafi’i dari segi pegangan fikah, adapun dari segi akidah bermazhab Al-Asy’ari.
Sukatan pelajaran atau kurikulumnya tidak seragam dan tempoh pengajiannya tidak terbatas. Lazimnya, beberapa mata pelajaran agama diajarkan seperti al-Quran, al-Hadis, tauhid, fikah, sejarah Islam, tasawuf dan akhlak. Ada sesetengah pondok mengajarkan ilmu bahasa Arab, nahu saraf, asas aritmetik dan logika (mantiq). Methodologi pengajaran lebih bersifat hafalan.

Sebagai langkah alternatif dalam menandingi cabaran itu, maka ditubuhkan beberapa madrasah. Pada tahun 1916, ditubuhkan Madrasah Al-Mashur Al-Islamiyyah di Pulau Pinang. Kurikulumnya agak komprehensif merangkumi bahasa Arab, matematik dan geografi. Para pelajar juga digalakkan mengikuti kegiatan seperti debat dan pidato.
Ada satu lagi sistem madrasah di Kelantan yang dikenali dengan Pondok Tok Kenali, nama sebenarnya Muhammad Yusof. Beliau adalah pengikut Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani yang terpengaruh dengan pemikiran Al-Afghani dalam usaha memerdekakan umat Islam daripada penjajahan Barat.

Kebanyakan kurikulum pondok atau madrasah mengikut kurikulum Al-Azhar dan institusi pengajian agama yang lain di Timur Tengah.
Ada semacam persamaan pendidikan Islam di Indonesia berawal daripada sekolah al-Quran dan sekolah berasrama yang dikenali sebagai ‘pesantren’.
Ciri pendidikan Islam tradisional yang menonjol adalah perhatiannya lebih tertumpu kepada ilmu-ilmu keagamaan.
Pesantren tempat santri atau pelajar menimba ilmu. Perkembangan lembaga-lembaga pendidikan pada masa awal ini ingin memadukan konteks keIndonesian dengan keIslaman.

Beberapa ciri pendidikan Islam tradisional di antaranya. Pertama, landasan pendidikan adalah mengemban misi suci dalam menyebarkan risalah Islam untuk menyempurnakan tugas sebagai ‘khalifah’. Dalam pendidikan seorang murabbi memasukkan nilai-nilai Islam dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kedua, melestarikan ajaran Islam. Melalui pendidikan dapat mengekalkan Islam melalui proses pewarisan ajaran, budaya, adat istiadat masyarakat beragama. Pendidikan juga menjadi wadah dan sarana dalam rangka proses pemindahan nilai-nilai agama.
Oleh itu, pelestarian ajaran Islam tidak dilihat hanya dari aspek keilmuan tetapi juga pembentukan aspek akhlak dan kesopanan.
Ketiga, tumpuan utama kepada pendidikan keilmuan Islam. Belum menambahkan dan memasukkan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan.
Subjek-subjek yang diajarkan seputar al-Quran, tafsir, tarikh, fikah, ibadah, tauhid dan sebagainya.
Keempat, sistem pembelajaran. Dalam istilah pesantren berbentuk ‘sorogan’ berorientasikan pada pendekatan individu dan ‘bandongan’ berorientasikan pada bimbingan kelompok.
Pendidikan Islam moderen mengikuti keperluan dan kepentingan negara dan masyarakat. Ciri khas pendidikan moderen mengarah kepada dua kebahagiaan iaitu di dunia dan akhirat.

Proses pembelajaran tertumpu kepada murid termasuk lingkungan. Dalam merekonstruksi pendidikan Islam pada era mutakhir ini dengan menuntaskan persoalan dikotomi iaitu berusaha mengintegrasikan kedua-dua ilmu tersebut sama ada dari segi falsafah, kurikulum, metodologi dan sebagainya.
Pada tahun 1990-an, sistem madrasah telah mengintegrasikan subjek agama gaya pesantren dengan subjek ilmu-ilmu umum. Natijah daripada kualiti pengajaran dan pembelajaran yang baik maka sekolah Islam semakin terkenal dan laris.
Hasilnya melahirkan dua bentuk madrasah. Pertama, Madrasah Umum. Sama dengan sekolah-sekolah awam yang menggunakan kurikulum nasional dan mengekalkan nilai-nilai sekolah Islam.
Kedua, Madrasah Diniyyah yang menyepadukan sistem madrasah dan pembelajaran secara pesantren untuk melengkapi kurikulum nasional dan pengajian agama.
Integrasi ini dimuatkan untuk membentuk dan melahirkan pemimpin berjati diri kebangsaan dan Islam.
Pendidikan Islam Di Singapura
Madrasah Al-Sibyan adalah madrasah pertama di Singapura. Ia ditubuhkan pada tahun 1905 di Bussorah Street, Kampong Glam oleh seorang guru agama berasal dari Indonesia.
Pembelajaran di Al-Sibyan lebih tertumpu kepada penghafalan al-Quran. Sempat berhenti operasinya pada 1923. Beliau mengadaptasi model pendidikan semacam ‘pondok’ atau ‘pesantren’ fokus kepada pelajaran Al-Quran dan kitab skrip Jawi.
Pada tahun 1908, seorang reformis Islam, Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, seorang yang terkenal telah menubuhkan Madrasah Al-Iqbal. Beliau sangat terpengaruh dengan pemikiran pembaharuan yang dibawa oleh Muhammad Abduh dan Rashid Redha.
Beliau berusaha merombak dengan memajukan kurikulum dengan memasukkan pembelajaran sains moden. Madrasah ini tutup selepas dua tahun, di mana mendapat banyak sanggahan dan kritikan daripada golongan tradisionalis kerana usaha ‘pembaratan’ dalam pembelajaran Islam daripada model tradisional pondok.
Beliau menerima idea pembaharuan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Pendidikan Islam di madrasah terus berkembang dengan menerapkan kurikulum bersepadu. Ia amat sesuai untuk mempersiapkan anak-anak didik dengan ilmu-ilmu terkini duniawi dan ukhrawi. Lowongan kerjaya menurut potensi dan bakat masing-masing serta dapat mencorak masyarakat dan negara.

Yang agak menarik, dalam kalangan masyarakat golongan pertengahan ke atas begitu ghairah menghantar anak-anak mereka ke madrasah.
Ini memberikan gambaran betapa mereka begitu yakin dan percaya dengan sistem pendidikan Islam di madrasah-madrasah bukan saja mengisi ilmu atau maklumat, tetapi dapat membentuk karakter dan jati diri Muslim serta warga yang baik lagi bermanfaat sebagai pemain utama arus perdana.
Para lepasan madrasah juga dengan semangat ‘iqra’ terus melanjutkan pendidikan mereka ke peringkat lebih tinggi sama ada peringkat sarjana (master) atau doktor falsafah (phD).
Dari segi kerjaya peluang pekerjaan di pasaran terbuka luas. Kerjaya mereka pelbagai sebagai profesional dalam sektor awam mahupun swasta, antara mereka memegang jawatan tinggi di Mahkamah Syariah, Pendaftar Pernikahan Orang-Orang Islam (ROMM), pengusaha, kaunselor, konsultan dan sebagainya.
Peranan asatizah amat penting dalam mencorak masyarakat yang progresif, inovatif dan inklusif.
Penglibatan mereka diperlukan bukan saja dalam kalangan masyarakat Islam sendiri, bahkan juga di peringkat nasional dalam membawa negara yang lebih makmur untuk semua tidak kira bangsa, agama dan budaya.

Laluan Ke Depan
(1) Masyarakat Islam sama-sama bertanggungjawab bagi memastikan pendidikan Islam di madrasah terus hidup dalam mencorak masyarakat berilmu, berhikmah, berihsan dan berislah. Hal ini boleh dilakukan dengan memberikan sokongan padu dari segi moral dan material.
(2) Meningkatkan kurikulum tambahan untuk mendedahkan anak didik dengan pengajian kitab-kitab turots dan para ulama kontemporari yang dapat membuka luas pandangan dan kematangan berfikir.
Pendedahan sedemikian rupa menjadi teras dalam memberikan jawapan kepada isu-isu mutakhir pada sesuatu zaman. Inisiatif ini adalah untuk membentuk dan melahirkan ulama-cendekiawan dan cendekiawan-ulama.
(3) Mengembangkan khazanah ilmu para ulama silam serta menyepadukannya dengan ilmu-ilmu sains untuk memajukan penghidupan yang lebih bermakna, membawa keselamatan dan kesejahteraan hidup untuk kemanusiaan.
(4) Mengukuhkan modal insan terutama para pendidik atau asatizah dengan ilmu yang sepadan dengan kerjaya mereka agar tetap relevan dan memberikan natijah yang baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
(5) Pengajian ilmu-ilmu sains moden diperteguh dengan dasar pengabdian kepada Allah. Ini untuk memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah dalam mengimarahkan bumi sebagai satu amanah berlandaskan takwa dan ilmu.
(6) Menggiatkan budaya membaca melalui kegiatan-kegiatan ilmiah seperti seminar, muzakarah, dialog dalam kalangan pelajar Islam atau silang pelajar bukan Islam. Memupuk minat dalam penulisan sebagai wadah dakwah.
Ia suatu legasi untuk generasi penerus memperjuangkannya dalam mengembalikan kecemerlangan tamadun Islam untuk manusia.
*Rencana ini dipetik daripada ceramah Siri Cendekiawan Lestari bertajuk "Pendidikan Islam di Nusantara: Tradisional, Moderan dan Masa Depan" anjuran Yayasan Warisan Melayu.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.