Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pendidikan aliran Melayu di S’pura – mengapa ia perlu berubah mengikut keadaan

Sistem pendidikan aliran Melayu mungkin tidak lagi wujud di S’pura tetapi dasar bahasa ibunda dalam sistem pendidikan negara membolehkan Bahasa Melayu kekal hidup dan dituturkan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pendidikan aliran Melayu di S’pura – mengapa ia perlu berubah mengikut keadaan

Lukisan memperingati dua sekolah Melayu terakhir Singapura (Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

BERITAmediacorp: Sistem pendidikan aliran Melayu mungkin tidak lagi wujud di S’pura tetapi dasar bahasa ibunda dalam sistem pendidikan negara membolehkan Bahasa Melayu kekal hidup dan dituturkan.

DALAM tahun-tahun 1980-an apabila saudara mara saya dari Singapura pulang ke kampung kami di Simpang Ampat, Melaka; kami akan menyimpan pelbagai rasa.

Mungkin rasa pertama adalah kekaguman kerana mereka datang membawa pelbagai kelainan dan perbezaan. Rasa-rasa lain sukar diungkapkan.

Kami bermain dan berleka antara satu sama lain. Pun terdapat satu rasa yang jelas antara kami. Meskipun sebangsa Melayu, malah saudara mara; ada semacam jurang yang sukar diungkapkan.

Adakah ia jurang? Sedangkan kami bersaudara?

Saya tidak pernah memahami rasa jurang yang sukar diungkapkan itu sehinggalah saya kemudian memahami keadaan sebenar melibatkan pendidikan yang kami terima. Itulah puncanya perbezaan, atau rasa lain itu - pendidikan.
Untuk memahami hal ini, saya menghimbau kembali pendidikan sekolah Melayu di Singapura.

MERAIKAN BAHASA MELAYU

Pada tahun 1959, PAP memenangi pilihan raya dengan salah satu isi manifestonya; memperbaiki pelajaran tinggi orang-orang Melayu. Demi memenuhi manifesto, Partai Tindakan Rakyat pimpinan Lee Kuan Yew dengan segera mengusahakan pembukaan sekolah Menengah Melayu.

Bendera dengan logo PAP. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Bendera dengan logo PAP. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Saya pernah membaca sebuah makalah tulisan Kamsiah Abdullah bertajuk ‘Sekolah Menengah Melayu di Singapura’. Makalah yang baik ini menyorot bagaimana kekencangan angin nasionalisme untuk menuntut kemerdekaan dari British telah mendorong Malaysia dan Singapura bereksperimen dengan pendidikan.

Kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia menyebabkan Singapura perlu ikut meraikan bahasa Melayu. Demikian, Singapura mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, yakni bahasa kebangsaan Singapura tanpa menidakkan Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Pada tahun 1959 itu, terdapat 26 buah Sekolah Rendah Melayu, sehingga darjah VII. Kandungan pengajian di sini hanyalah sekadar membolehkan murid membaca, mengira dan jangan sampai terperuk ke belakang. Bahasa Inggeris tidak diajarkan. Dalam masa yang sama, sekolah Cina dan Inggeris telah jauh ke hadapan, malah terdapat di peringkat yang lebih tinggi iaitu sekolah menengah.

Tambahan pula sekolah Melayu dapat dikatakan dalam keadaan daif memandangkan peruntukan pentadbir kolonial untuk Sekolah Melayu hanyalah $17 untuk seorang murid setahun berbanding di sekolah Inggeris yang peruntukannya adalah $30 untuk satu kepala murid setahun.

PENDIDIKAN MENYELURUH

Antara tahun-tahun 1959-1963, kerajaan Singapura berusaha mengimbangi gagasan orientasi Malaysia yang menekankan keMelayuan sebagai terasnya. Pendirian menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu merupakan satu isyarat signifikan.

Guru Bahasa Melayu di prasekolah, Norhaizahwati Mohd, sewaktu mengajar di kelas pada 2017. (Gambar fail: TODAY)

Gambar hiasan pendidikan bahasa Melayu di sebuah kelas prasekolah pada 2017 (Gambar fail: TODAY)

Jawatankuasa Semua Parti (1956) mengambil langkah untuk mencadangkan dasar pendidikan menyeluruh agar dapat memenuhi kehendak dan keperluan semua kaum.

Matlamat sukar dasar pendidikan itu ialah satu warisan dan satu bentuk kesetiaan; saya petik dari makalah tersebut: ‘the Singapore government’s plan is to establish a unified system of education in the state, with special emphasis on the need for boosting Malayan culture and a Malayan outlook is like pearls on a string in which a uniformed syllabus is to be designed for English, Chinese, Malay and Tamil schools so that the best of their cultures can be threaded together.’

LAYARAN SETARA

Strategi Singapura tatkala itu adalah penyatuan melalui kedwibahasaan dan kepelbagaian bahasa, dan melalui bahasa kebangsaan di dalam sistem pendidikan.

Makanya Dasar Pelajaran 1959 Singapura pun menetapkan layanan setara untuk empat aliran persekolahan iaitu dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil.

(Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura)

Tema Bulan Bahasa 2019 (Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura)

Keduanya, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan dan orang bukan Melayu dimestikan belajar bahasa Melayu.

Ini menjelaskan kepada kita mengapa generasi lebih senior di Singapura, walaupun bukan berbangsa Melayu akan boleh bertutur dalam bahasa tersebut. Harapannya adalah pelajaran Melayu akan segar dan lestari.

Ketiga, kurikulum memberi penekanan kepada subjek ilmu hisab dan sains bagi mengisi keperluan negara yang sedang berkembang.

MENYERTAI MALAYSIA

Apabila Singapura menyertai Malaysia, negara ini diberi peluang melakar sendiri iklim dan bentuk sistem pendidikan. Makanya bahasa Melayu dengan segera dilihat sebagai penting untuk tujuan keamanan dan pertahanan warganegara.

Serta-merta nilai ekonomi bahasa Melayu bersemarak di mana bahasa Melayu menjadi kemestian untuk memegang jawatan dalam perkhidmatan awam. Di Singapura, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa di peringkat pra-universiti dengan harapan satu universiti dengan bahasa pengantar Melayu akan menjadi kenyataan.

Sekolah Menegah Yusof Ishak. (Gambar: Lianne Chia)

Sekolah Menegah Yusof Ishak yang kini terletak di Bukit Batok. (Gambar: Lianne Chia)

Sekolah Menengah Sang Nila Utama dan kemudian Sekolah Menengah Melayu Tun Seri Lanang, dan Sekolah Menengah Yusuf Ishak pun dibuka dengan pelajar aliran Melayu meningkat dari 2002 orang pada tahun 1961 kepada 3586 dalam tahun 1963.

KELUAR MALAYSIA

Apabila Singapura terkeluar dari Malaysia pada tahun 1965, bahasa Melayu mengalami cabaran yang penuh hempas gelombang. Nilai bahasa Melayu merosot dari segi ekonomi. Manakala bangsa Melayu yang asalnya majoriti apabila Singapura berada di dalam Malaysia, kembali kepada asal iaitu ketika itu hanya 14 peratus.

Singapura terpaksa membuat pilihan segera sebagai sebuah republik. Bahasa Inggeris dipilih menjadi medium utama dalam pendidikan. Sejak itu, pendidikan di Singapura berteraskan multi-bahasa dan meritokrasi.

Laporan Goh pada 1969 merombak sistem pendidikan Singapura. Dasar kedwibahasaan ini menyebabkan bahasa Melayu mengalami peranan yang kecil kerana perlu bersaing dengan bahasa Inggeris. Perlahan-lahan malah ibu-bapa menarik anak mereka dari sekolah Melayu dan memilih untuk bersekolah dengan medium Inggeris.

KEMEROSOTAN NILAI

Akibatnya Sekolah Menengah aliran Melayu mengalami kemerosotan meruncing. Pada tahun 1966 murid sekolah rendah aliran Melayu ialah 5,249 merosot menjadi 553 orang pada tahun 1972.

Peluang pekerjaan untuk graduan sekolah Melayu juga menguncup yang mana kadar pengangguran orang Melayu melesat menjadi 70 peratus dari 57 peratus. Serta-merta juga motivasi guru, dan murid aliran Melayu menjadi rendah.

Dilema ini mendorong Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) memainkan satu peranan yang menggemparkan. Usaha untuk menyelamatkan bahasa Melayu perlu difikirkan.

Ini kerana anak-anak dari aliran Melayu berasa rendah diri sementara bahasa Melayu itu sendiri memainkan peranan penting dalam faktor geo-politik oleh sebab Singapura tersepit di antara Indonesia dan Malaysia.

ALIRAN NASIONAL

Pertubuhan ini menganjurkan satu aliran nasional yang mana bahasa Inggeris dijadikan pengantar manakala bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu diajarkan kepada semua bangsa. Sebagai tambahan, murid beragama Islam akan mengambil mata pelajaran agama Islam.

Cadangan KGMS ini dibincangkan dalam satu persidangan yang disertai 150 kumpulan untuk menghasratkan satu identiti keSingapuraan tanpa mengkesampingkan bahasa Melayu.

Logo KGMS (Gambar: Facebook/KGMS)

(Gambar: Facebook/KGMS)

Akan tetapi, hasrat menyelamatkan bahasa Melayu itu terlihat mengabaikan bahasa lain. Kumpulan pendidikan Cina membidas usul ini yang akan menyebabkan sekolah beraliran Cina ditutup atau menjatuhkan bahasa Mandarin di bawah bahasa Inggeris, dan Melayu ke tempat ketiga.

Meletakkan bahasa Melayu bersaing dengan bahasa Inggeris juga tidak mempunyai sebab-musabab ekonomi yang nyata.

Perlahan-lahan sekolah beraliran Melayu dihentikan dengan Sekolah Menengah Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang pun ditutup. Kumpulan terakhir pelajar aliran Melayu bertempat di Sekolah Menengah Bartley yang berakhir pada tahun 1986.

Sejak itu orang Melayu (kecuali yang mengambil aliran madrasah) bersekolah dalam aliran nasional Singapura dengan menggunakan medium Inggeris.

Inilah perbezaan tajam antara anak-anak Melayu di Malaysia dan Singapura.

PERBEZAAN PENDIDIKAN

Makanya apabila saya mengenang semula pergaulan saya dengan sanak-saudara sebaya dari republik Singapura, itulah perbezaan yang saya rasai. Perbezaan pendidikan. Kami makan lontong dan bermain kriket bersama-sama tetapi masih canggung.

Saya hari ini percaya kecanggungan itu bukan lagi signifikan. Ia hanyalah rasa anak-anak ekoran perbezaan sistem pendidikan.

Satu hal yang masih menghubungkan rumpun Melayu Singapura dan Malaysia tentulah faktor sejarah, dan kebudayaan; selain satu agama. Hal ini mengikat bangsa Melayu dengan lebih utuh meskipun bahasa Melayu sudah tiada nilai ekonomi.

Pun, dasar pengukuhan bahasa ibunda dalam sistem pendidikan Singapura membolehkan bahasa Melayu kekal hidup dan dituturkan. Mungkin bahasa Melayu tidak dikenal generasi bukan Melayu hari ini walaupun bahasa kebangsaan tetapi ia tidak sampai mati.

Juga, meskipun bahasa Melayu mungkin tidak dikuasai dengan fasih tetapi dalam aspek persuratan yakni penulisan, bahasa Melayu masih berdenyut normal.

Demikianlah serba sedikit sejarah untuk renungan bersama.

MENGENAI PENULIS

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan