Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pembukaan semula Parlimen Malaysia bukan penawar segala masalah

Keputusan kerajaan Malaysia untuk menyambung semula persidangan Parlimen dialu-alukan ramai pihak. Namun langkah ini semata-mata tidak akan menghuraikan pelbagai masalah yang dihadapi negara itu yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pembukaan semula Parlimen Malaysia bukan penawar segala masalah

Pemandang dewan Parlimen Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Maklumat. (Gambar: KHIRUL NIZAM ZANIL/AFP)

BERITAmediacorp: Keputusan kerajaan Malaysia untuk menyambung semula persidangan Parlimen dialu-alukan ramai pihak. Namun langkah ini semata-mata tidak akan menghuraikan pelbagai masalah yang dihadapi negara itu yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

(Gambar: BERNAMA)

(Gambar: BERNAMA)

Menyusuli tekanan awam yang begitu hebat, Parlimen Malaysia akan kembali bersidang pada 26 Julai, enam bulan selepas Parlimen digantung sepanjang perintah darurat berkuat kuasa.

Persidangan Dewan Rayat akan berlangsung hanya selama lima hari sementara Dewan Negara akan bersidang selama tiga hari.

Kerajaan menyatakan pihaknya akan membentangkan pelan pemulihannya untuk memimpin Malaysia dalam mengatasi pandemik COVID-19. Meskipun pihak pembangkang rata-rata mengalu-alukan keputusan kerajaan itu, sesetengah anggota mengadu tentang tempoh persidangan yang terlalu singkat bagi membahaskan dasar-dasar dengan bermakna.

Pada Januari, Yang di-Pertuan Agong meluluskan saranan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat yang berkuat kuasa sehingga Ogos. Kerajaan berpendirian bahawa perintah darurat perlu dilaksanakan untuk menangani pandemik secara berkesan. Rakyat Malaysia menyuarakan perasaan tidak puas hati setelah perintah darurat gagal menurunkan purata kes harian COVID-19 kepada bawah paras 6,000.

(Gambar: Bernama)

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa berucap di Parlimen. (Gambar: Bernama)

Bahkan sepanjang minggu lalu, bilangan kes di Malaysia terus mencatat paras rekod melebihi 11,000 kes dalam sehari, jauh melepasi nilai ambang 4,000 kes yang ditetapkan kerajaan sebelum negara itu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pada 1 Jun, kerajaan sekali lagi melaksanakan sekatan penuh meskipun ia pernah menyatakan negara itu tidak mampu berbuat demikian. Sekatan pergerakan mendatangkan kerugian kepada ekonomi dan menjejas teruk rakyat biasa.

Ibu tunggal Tilda Kalaivani menggunakan kemeja T sebagai 'bendera putih' untuk meminta bantuan pada 6 Jul 2021. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Ibu tunggal Tilda Kalaivani menggunakan kemeja T sebagai 'bendera putih' untuk meminta bantuan pada 6 Jul 2021. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Kadar pengangguran kian meningkat sedang kes-kes kebuluran dan bunuh diri serta cabaran kesihatan mental kian menggenting dalam kalangan rakyat. Rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati di media sosial, termasuk menerusi kempen ‘bendera putih’ bagi mereka yang terdesak namun tidak mendapat bantuan.

Bagi pihak pembangkang, Parlimen sepatutnya bersidang untuk meneliti usaha kerajaan menurunkan bilangan kes harian COVID-19. Parlimen juga dapat memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengagihan vaksin, memperuntukkan belanjawan secara adil dan mempercepat pengagihan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Semak dan imbang perlu dilaksanakan untuk menghalang kerajaan persekutuan daripada memihak kepada negeri-negeri yang dikuasainya sambil meminggir negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

KEPINCANGAN POLITIK

Namun terdapat sebab-sebab mencukupi yang mencetuskan keraguan sama ada pembukaan semula Parlimen benar-benar akan memperbaiki keadaan. Majoriti tipis yang dipegang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekal sebagai punca ketidakstabilan politik Malaysia.

Pada 7 Julai, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, mengumumkan partinya menarik balik sokongan terhadap PM Muhyiddin. Ahmad Zahid menggesa supaya PM Muhyiddin meletak jawatan. Setakat ini, UMNO mempunyai 38 Anggota Parlimen (AP) sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterajui PM Muhyiddin memegang 30 kerusi.

Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan Hishammuddin Hussein. (Gambar fail: Bernama)

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan Menteri Kanan Hishammuddin Hussein. (Gambar fail: Bernama)

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas PM Muhyiddin menaikkan pangkat dua menteri UMNO: Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammudin Hussein sebagai Menteri Kanan. Kenaikan pangkat Ismail Sabri tidak boleh dipandang enteng. Sekiranya PM Muhyiddin melepaskan jawatan Perdana Menteri, Ismail Sabri menjadi calon terutama untuk menggantikannya. Selain itu, pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan kepada PM Muhyiddin meletakkannya dalam kedudukan lebih kanan daripada Azmin Ali, seorang menteri kanan daripada Bersatu yang sebelum ini dianggap sebagai yang terdahulu dalam kalangan empat menteri kanan.

Menyusuli pengumuman terbaru Ahmad Zahid, kerajaan PM Muhyiddin mungkin tidak dapat bertahan sehingga persidangan Parlimen 26 Julai meskipun kata-kata yang diucapkan presiden UMNO tersebut tidak seharusnya diterima bulat-bulat. Sesetengah pemimpin dan AP UMNO menafikan bahawa pengumuman itu benar-benar mewakili keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Kerajaan Perikatan Nasional masih mampu bertahan sekiranya AP-AP pembangkang yang bukan dari Pakatan Harapan (PH) dapat mengisi kekurangan anggota yang berpaling dari UMNO, atau PH mencapai persetujuan dengan PM Muhyiddin untuk membenarkan kerajaannya mentadbir sehingga keadaan bertambah stabil.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Bernama) 

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Bernama) 

Sekalipun Muhyiddin mengekalkan jawatan Perdana Menteri, majoriti yang diraihnya mungkin akan menjadi isu perbahasan di Parlimen dan mengalihkan perhatian daripada tujuan asal untuk mempercepat pembukaan semula Parlimen, iaitu untuk membahaskan dasar-dasar berkaitan dengan pandemik COVID-19.

Memandangkan pilihan raya umum mustahil diadakan dengan segera di tengah-tengah keadaan pandemik yang meruncing, usul undi percaya di Parlimen mungkin dibangkitkan lagi untuk menentukan Perdana Menteri seterusnya. Persidangan parlimen yang begitu singkat mungkin menghalang undian daripada dijalankan; pada masa lalu, usul undi percaya untuk menentukan majoriti yang diraih PM Muhyiddin tidak disambut oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

JALAN KELUAR ALTERNATIF

Terdapat satu lagi jalan keluar. Mantan perdana menteri Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk menangani pandemik COVID-19 dan isu-isu lain yang membelenggu Malaysia. Sebarang pertukaran kerajaan tidak akan menjejas langkah-langkah yang diambil untuk menangani krisis. Ahli-ahli politik dan karyawan akan menganggotai badan itu. Saranan itu mungkin dapat diterima Yang di-Pertuan Agong.

(Gambar: Bernama)

Mantan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Parti Pejuang, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: BERNAMA)

Namun pihak-pihak yang menentang saranan Dr Mahathir berpendapat tindakan demikian melanggar demokrasi kerana majlis itu tidak sah dari sudut politik kerana tidak dipilih rakyat. Sungguhpun demikian terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan kerajaan mungkin cenderung kepada saranan itu.

Dr Mahathir mengesahkan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara sudahpun menghubunginya untuk membincangkan jawatankuasa PPN. Langkah itu mungkin bertujuan memuaskan hati tokoh politik veteran itu yang memimpin Parti Pejuang yang didaftarkan selepas berbulan-bulan tergendala.

KETERTIBAN DALAM DEWAN

Yang paling penting sekali, sama ada pembukaan semula parlimen benar-benar akan meningkatkan usaha kerajaan melawan pandemik bergantung kepada tingkah laku para AP. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, anggota-anggota parlimen kedua-dua pihak – kerajaan mahupun pembangkang – tidak menunjukkan kelakonan yang baik semasa berbahas di dalam dewan.

Tindakan keluar dewan sebagai tanda membantah sudah menjadi suatu kebiasaan. Begitu juga dengan perbuatan seperti menghambur kata-kata hinaan dan mengganggu lawan politik ketika mereka sedang berucap.

(Gambar: BERNAMA)

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun. (Gambar: Bernama)

Para AP tidak mengira parti perlu meningkatkan mutu perbahasan lebih-lebih lagi dalam krisis sekarang.

Barulah dasar-dasar yang kukuh boleh diusulkan, diikuti oleh strategi-strategi pelaksanaan yang cekap. Mereka perlu sentiasa mengusahakan matlamat yang unggul: dalam berdepan dengan koronavirus, dasar-dasar yang kukuh boleh mendatangkan perubahan besar kepada rakyat yang bergoyah di ambang kebinasaan.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Reopening Malaysia’s Parliament: Not a Panacea”.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan