Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pembelajaran dari rumah ada cabarannya; tapi boleh dijadikan pengalaman positif

Ibu bapa perlu bijaksana dan bersikap realistik dalam membantu anak-anak manfaatkan pembelajaran dari rumah semasa langkah ‘pemutus litar’.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ibu bapa perlu bijaksana dan bersikap realistik dalam membantu anak-anak manfaatkan pembelajaran dari rumah semasa langkah ‘pemutus litar’.

(Gambar: Unsplash/Dan Dimmock)

Langkah pemutus rantaian jangkitan atau ‘pemutus litar’ (circuit breaker) yang berkuat kuasa pada Selasa, 7 April lalu untuk menangani penularan COVID-19 di Singapura juga telah menjejas persekolahan anak-anak.

Ibu bapa kini perlu mengendalikan pembelajaran di rumah (home-based learning) bagi anak-anak yang bersekolah.

Bagaimanakah pengalaman anda sejauh ini? Tidak mudah menggantikan tugas guru, bukan?

Adakah anda dapati sukar mengawal perasaan semasa mengajar anak-anak anda sendiri?

Soalan yang anda anggap mudah mereka tidak tahu jawapannya? Anda pula tidak dapat menjawab soalan yang anak anda tanyakan?

Sudah ingin menyerah kalah?

Bagi sesetengah ibu bapa, cabaran ini adalah tambahan bagi mereka yang juga perlu bekerja dari rumah. Mereka harus memastikan tugasan mereka diselesaikan.

Pada masa yang sama, mereka juga perlu pastikan anak-anak terkawal untuk menghadiri kelas kendalian guru mereka di alam siber; dan menghabiskan latihan-latihan yang guru berikan.

CABARAN PEMBELAJARAN

Bagi anak-anak yang di peringkat menengah, pos-menengah dan universiti, mereka mungkin sudah terbiasa dengan kaedah pembelajaran sebegini.

Mereka hanya perlukan pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan mereka tidak menghadapi kesukaran dan mendapatkan bantuan sepatutnya dari guru-guru mereka.

Cabaran utama ibu bapa adalah mengendalikan pembelajaran di rumah bagi kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.

Sememangnya ia berbeza dari belajar di kelas bersama guru dan rakan-rakan sekolah.

Di sekolah, tumpuan diberikan oleh guru yang terlatih. Kerja sekolah dipantau, rakan-rakan sebaya menjadi teman rujukan. Waktu rehat, masa untuk bermain.

Di rumah, ibu atau bapa harap dapat memainkan peranan yang sama. Tetapi, keadaan di rumah amat berbeza dari sekolah yang lebih berstruktur dan terkawal.

Kanak-kanak tidak akan dapat duduk diam pada jangka masa yang panjang. Tumpuan mereka akan melayang jika tidak dipantau, lebih-lebih lagi jika keadaan di rumah tidak memberangsangkan.

Misalnya, mereka mungkin perlu berkongsi meja dengan adik- beradik lain yang perlu belajar sama. Jika seseorang dari mereka mula hilang tumpuan, yang lain akan terkesan sama.

PENJADUALAN BERBEZA

Mengasingkan mereka di sudut-sudut rumah yang berbeza pula bermakna anda tidak akan dapat memantau mereka sekali gus.

Ini dirumitkan lagi jika anda juga mempunyai seorang anak kecil yang belum bersekolah dan memerlukan tumpuan sama. Anak ini juga boleh mengganggu tumpuan abang dan kakaknya.

Penjadualan masa belajar yang berbeza-beza mungkin akan dapat membantu anda.

Jika pasangan anda juga berada di rumah, membahagikan peranan memantau anak-anak tertentu boleh dilakukan.

Kadangkala, si abang atau kakak yang lebih dewasa boleh memainkan peranan sebagai pemantau pada masa-masa tertentu.

Satu lagi cabaran adalah penggunaan komputer dan akses bagi internet yang diperlukan untuk pembelajaran. Tidak semua keluarga mempunyai komputer bagi setiap ahlinya.

Untuk mengelakkan ia menjadi bahan rebutan, ibu bapa mungkin perlu memastikan penggunaan komputer mengikut jadual dan dikawal dengan ketat agar anak-anak mengendalikan tugasan mereka dalam masa yang diberikan.

Jika komputer ini juga menjadi keperluan ibu bapa, masa bekerja mungkin perlu dialihkan kepada masa-masa lengang seperti waktu malam.

DAPATKAN BANTUAN

Malangnya, tidak semua ibu bapa yang celik IT. Mereka akan rasa pincang untuk membantu anak-anak mereka mengendalikan pembelajaran di rumah.

Walaupun begitu, ini tidak harus menghambat mereka dari mengambil langkah menangani masalah.

Pelajar Nur Tuhfah Izzah Md Roslan melalui pembelajaran dari rumah bersama keluarga. (Gambar-gambar: Nur Hasanah/BERITAmediacorp)

Besar kemungkinan, anak-anak yang lebih dewasa mungkin mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk membantu adik-adik mereka mengakses bahan-bahan pembelajaran di laman sesawang sekolah mereka.

Ibu bapa juga boleh menjangkau ke luar untuk mendapatkan bantuan. Misalnya, bolehkah mereka meminta bantuan jiran, ahli keluarga atau rakan yang lain yang boleh menjadi tempat rujukan dan memberikan arahan menerusi persidangan video?

BERSIKAP REALISTIK

Yang penting, ibu bapa juga perlu bersikap realistik dalam membantu anak-anak melayari kaedah pembelajaran baharu ini.

Berikut adalah beberapa tips yang dapat dilakukan:

1. Letakkan matlamat yang ketara bagi anak-anak anda capai. Misalnya, pastikan jumlah latihan yang perlu diselesaikan setiap hari; atau pada setiap hujung minggu.

2. Sediakan jadual yang mudah diikuti, diselitkan dengan masa-masa rehat yang cukup.

Pastikan anak-anak mengikut jadual waktu yang diberikan agar setiap mereka mendapat masa yang cukup untuk belajar dan berehat.

3. Pastikan anda berkomunikasi dengan guru anak-anak secara konsisten. Dapatkan penerangan tentang tugasan yang perlu dihabiskan.

KURANGKAN GANGGUAN

Minta penjelasan jika anda rasa keliru atau kurang faham tentang apa yang perlu dilakukan.

4. Kurangkan gangguan yang melekakan. Pastikan anak tidak menggunakan masa belajar untuk melakukan aktiviti dalam talian yang tidak berkaitan dengan pembelajaran mereka.

Jika masa belajar, matikan televisyen, kumpulkan telefon bijak mereka daripada dicapai dan berikan tumpuan anda kepada mereka juga.

5. Pada masa rehat, elakkan mereka melakukan aktiviti yang menggunakan alat elektronik agar mata mereka dapat direhatkan juga.

Galakkan mereka untuk bermain permainan yang menggunakan pergerakan otot atau yang bercorak kreatif. Gunakan masa ini juga untuk berkomunikasi dengan mereka.

Relawan daripada SG Bono memnghantar peralatan seperti komputer riba dan tablet kepada keluarga memerlukan bagi pembelajaran di rumah. (Gambar: SG Bono) 

6. Pembelajaran tidak perlu tertumpu kepada masa bersama guru mereka di talian sahaja.

Anda boleh menggalakkan mereka menggunakan ilmu yang mereka pelajari melalui aktiviti harian seperti menggunakan ilmu matematik semasa membantu anda memasak, menghargai alam sekitar semasa menyiram tanaman dan tingkatkan pengetahuan ehwal semasa dalam perbincangan tentang apa yang sedang kita lalui sekarang.

7. Syukuri nikmat dan masa anda bersama anak-anak anda. Gunakan masa yang ada untuk membina hubungan yang lebih baik dengan belaian dan kasih sayang.

PENGALAMAN POSITIF

Anak-anak anda akan mengingati masa 'pemutus litar' ini dengan lebih positif jika anda menjadikannya pengalaman yang positif juga.

Pembelajaran di rumah secara menyeluruh akan berterusan hingga 4 Mei.

Mungkin juga ia dilanjutkan jika usaha-usaha untuk mengawal penularan COVID-19 tidak menunjukkan kesan yang diharapkan apabila sampai waktu.

Tentu sekali anak-anak akan merindui rakan-rakan sekolah mereka jika ini berpanjangan.

Jadikan peluang bersama anak-anak kita untuk mengeratkan lagi hubungan agar mereka juga akan merindui masa bersama kita bila mereka melangkah semula ke sekolah nanti. 

MENGENAI PENULIS:

Encik Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019.   

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan