Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Peluang Presiden Tharman Menjadi Pencetus Wacana Rakyat

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA Mediacorp: Singapura kini mempunyai seorang presiden baharu.

Setelah menang besar dalam Pilihan Raya Presiden, Encik Tharman Shanmugaratnam mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden ke-9 Singapura.

Sebagaimana yang kita sudah maklum, kemenangan Presiden Tharman adalah kemenangan yang mencatatkan beberapa rekod baharu. Semenjak pilihan raya langsung buat jawatan presiden diperkenalkan, belum pernah ada seorang presiden yang mencapai kemenangan sebesar beliau sebanyak 70 peratus undi.

Bukan itu sahaja, beliau adalah presiden daripada kaum minoriti pertama yang mendapat mandat langsung rakyat.

Presiden Ong Teng Cheong dan Presiden Dr Tony Tan adalah antara presiden yang menang jawatan tersebut lewat pilihan raya, tetapi kemenangan mereka tidak melebihi dua pertiga peratusan undian, ukuran bagi mandat kukuh.

Presiden SR Nathan dan Presiden Halimah Yaacob pula menang tanpa sebarang pertandingan. Keempat-empat presiden sebelum mereka yang disebutkan di atas - Yusof Ishak, Benjamin Sheares, Devan Nair dan Wee Kim Wee - semuanya dilantik.

MANDAT KUKUH PRESIDEN THARMAN SIGNIFIKAN TERHADAP POLITIK SG

Mandat kukuh yang Encik Tharman terima langsung daripada pengundi memberikan makna dan kesan yang signifikan terhadap politik Singapura.

Institusi presiden di bawah wewenang beliau bukan hanya berada dalam keadaan kukuh, kini beliau boleh bertindak dengan lebih berkeyakinan.

Hakikatnya, pencapaian undian setinggi ini mungkin sukar diulang ahli-ahli politik lain di negara-negara liberal demokrasi di dunia, dalam persekitaran masyarakat yang sedang bergelumang dengan polarisasi.
 
(Gambar: CNA/Jeremy Long)
Ucapan beliau semasa upacara angkat sumpah menggariskan beberapa isu yang dianggap penting buat negara.

Teras utama ucapan tersebut adalah peranan utama Presiden Singapura berdasarkan apa yang ditetapkan dalam Perlembagaan: sebagai penjaga rizab negara dan juga sektor awam.

Encik Tharman sekali lagi menekankan bahawa beliau akan bekerjasama rapat dengan Pemerintah sedia ada. Ini wajar beliau garis bawahi kerana Pemerintah juga dipilih dengan mandat rakyat lewat pilihan raya umum.

Namun, beliau juga memberi jaminan bahawa beliau akan bersikap telus dan bebas daripada sebarang tekanan luar semasa melakukan tugas beliau.

TERAS UTAMA UCAPAN PRESIDEN THARMAN

Ucapan Presiden Tharman juga memberikan beberapa “pratonton” pendekatan yang beliau akan perkenalkan sepanjang memegang jawatan presiden.

Beliau menegaskan akan menyatukan semua rakyat Singapura dan memperkukuh sistem berbilang kaum di Singapura.

Asas bagi gagasan-gagasan beliau itu tertakluk kepada satu kata kunci, iaitu kepercayaan dan akomodasi antara kaum.
Calon presiden Tharman Shanmugaratnam di Pasar dan Pusat Penjaja Tiong Bahru pada 26 Ogos 2023. (Gambar: Syamil Sapari/CNA)
Beliau juga menggariskan sifat prihatin beliau untuk mendekati golongan yang sering kurang diberikan perhatian: seperti belia yang kurang bernasib baik, golongan yang menghadapi masalah kesihatan mental dan juga golongan mapan yang mengalami masalah bersendirian.

Saya yakin pendekatan yang sama telah beliau pantulkan sepanjang menjadi Anggota Parlimen GRC Jurong yang menyebabkan pasukan beliau selalu menang besar dalam pilihan raya.

PENDEKATAN DAN TUMPUAN PRESIDEN THARMAN

Golongan seni dan budaya juga mendapat perhatian beliau dalam ucapannya, selain menyenaraikan beberapa cabaran peringkat antarabangsa yang harus diharungi Singapura, termasuk ketidaktentuan geopolitik dan bagaimana hal ini menjejas ekonomi, perdagangan dan keselamatan sejagat.

Kini Encik Tharman adalah Ketua Negara Singapura. Saya berpandangan beliau tidak akan mengalami sebarang kesukaran dalam menjalankan tugas-tugas beliau ini, berdasarkan rekod prestasi beliau sebagai mantan Anggota Parlimen, Menteri dan juga Menteri Kanan.

Tidak akan ada sebarang kejutan.

Profil beliau yang sangat dihormati di peringkat antarabangsa juga aset penting buat Singapura.

KEMENANGAN THARMAN, KEMENANGAN RAKYAT SG

Sebenarnya, kemenangan Encik Tharman adalah kemenangan pengundi Singapura juga kerana bersifat rasional dan bersedia memilih seorang tokoh bukan berdasarkan kaum.

Keputusan pilihan raya ini sendiri menjadi pencetus wacana baharu dalam masyarakat, di mana Singapura berpotensi menjadi model negara pasca kaum, tetapi berlandaskan kebolehan dan ini belum terlihat di kebanyakan negara, baik negara maju atau negara dunia ketiga.

Walaupun masih banyak lagi usaha yang diperlukan untuk mencapai idealisme pasca kaum ini, kerana masih wujud golongan yang menganggap aspek kaum atau budaya cerminan penting identiti individu, keperibadian Encik Tharman boleh menjadi permulaan wacana baharu atau “conversation starter”.
Gambar: CNA/Jeremy Long
Malah presiden yang popular boleh juga memulakan dialog tentang aspek-aspek tabu yang mungkin dipinggirkan dalam masyarakat. Kerana kuasa Presiden Singapura yang bersifat simbolik inilah di mana kecenderungan pemegang jawatan tersebut boleh mengisyaratkan Pemerintah dan masyarakat sivil berikan tumpuan khusus buat satu masalah dengan lebih mendalam.

Hal-hal ini termasuk memperjuangkan nasib wanita, golongan susah dan golongan seni.

HARAPAN RAKYAT TERHADAP PRESIDEN THARMAN

Justeru, presiden bukan sahaja menjalankan tugas-tugasnya seperti mana yang digariskan dalam Perlembagaan. Beliau satu manifestasi nilai atau prinsip yang diutamakan negara, yang boleh menentukan hala tuju masyarakat dan memandu usaha-usaha yang mungkin tidak harus diletakkan di atas pundak Pemerintah sahaja.

Tentu sekali ramai rakyat Singapura yang mempunyai harapan besar terhadap Encik Tharman. Kemenangan beliau ini menunjukkan bahawa rakyat Singapura boleh bersatu. Penyokong-penyokong dan penyetuju-penyetuju Encik Tharman semasa berkempen, tokoh-tokoh masyarakat yang dekat dengan beliau atau rakyat biasa yang telah mengundi beliau, tentu ada “wish list” (senarai keinginan) masing-masing buat Encik Tharman.

Walau bagaimanapun, kita perlu mengimbangi harapan kita terhadap beliau kerana cabaran-cabaran masyarakat perlukan kerjasama banyak pihak dan bukan terletak pada seorang pemimpin sahaja.

Beliau sebaiknya diberikan ruang untuk melakukan kerja-kerja beliau dan tidak semua janji beliau boleh dicapai dalam masa setahun atau dua tahun.

Encik Tharman sudahpun berjanji untuk bertindak secara bebas dan hanya dengan tindakan inilah beliau akan membalas kepercayaan rakyat.

Sebaliknya, rakyat juga harus berlaku adil dan tidak hanya mengharapkan beliau sentiasa menyanggah Pemerintah atau bertelagah kerana ini bukanlah ukuran bebas.

Saya fikir Encik Tharman berpotensi dikenang sebagai seorang presiden yang terbaik dalam sejarah Singapura jika beliau menjalankan tugas-tugasnya sepertimana yang telah diamanahkan.
 
MENGENAI PENULIS:
Dr Norshahril Saat ialah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau pakar politik Singapura, Malaysia dan Indonesia. Beliau juga penulis buku Yusof Ishak: Singapore's First President.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan