Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Pastikan kontrak adil dan perjuangkan hak pekerja bergaji rendah

Kontrak-kontrak yang mengandungi syarat-syarat kerja yang tidak adil atau berat sebelah bukan setakat merugikan para penyedia khidmat seperti syarikat-syarikat pembersihan dan keselamatan, ia juga akan membebankan para pekerja bergaji rendah.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Pastikan kontrak adil dan perjuangkan hak pekerja bergaji rendah

Seorang pekerja pembersihan mengelap bekas pameran di sebuah pusat beli-belah di Singapura. (Gambar: AFP)

BERITAmediacorp: Kontrak-kontrak yang mengandungi syarat-syarat kerja yang tidak adil atau berat sebelah bukan setakat merugikan para penyedia khidmat seperti syarikat-syarikat pembersihan dan keselamatan, ia juga akan membebankan para pekerja bergaji rendah dengan pendapatan dan faedah pekerjaan yang tidak setimpal.

Gambar fail seorang pengawal keselamatan.

Baru-baru ini, Persatuan Keselamatan Singapura (SAS) menyelar ejen pengurusan sebuah kondominium tempatan kerana menetapkan terma-terma dan syarat-syarat tender yang boleh dianggap sebagai diskriminasi terhadap kaum dan usia.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat penyedia khidmat seperti pembersihan, pengawal keselamatan dan landskap kerap berdepan dengan syarat-syarat yang tidak adil seperti itu ketika membuat bidaan bagi mendapatkan kontrak-kontrak sedemikian.

Bahkan kes yang dikemukakan oleh SAS hanyalah salah satu contoh di mana syarat-syarat tidak adil seperti itu dikenakan terhadap syarikat-syarikat penyedia khidmat. Tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pertubuhan dan syarikat turut menyumbang kepada masalah gaji tertekan atau gaji 'mendak' yang dihadapi oleh ramai pekerja bergaji rendah.

Pemerolehan khidmat yang murah juga boleh menjejas margin untung para penyedia khidmat dan ini melemahkan kemampuan mereka untuk menyediakan faedah pekerjaan yang lebih baik di luar jangkauan Akta Pekerjaan.

IBARAT TUAN DENGAN ORANG GAJI

Salah satu lagi amalan yang menyulitkan para penyedia khidmat untuk menepati kewajipan kontrak adalah penyertaan syarat-syarat berat sebelah. Ini mewujudkan hubungan ibarat tuan dengan orang gaji antara pembeli khidmat dengan penyedia khidmat.

Akhirnya, kontrak-kontrak sedemikian akan menjejas para pekerja kerana sesetengah penyedia khidmat mungkin akan mencari jalan mudah seperti tidak memberikan bonus bulan ke-13 kepada kakitangannya, membayar gaji asas lebih rendah supaya bayaran kerja lembur dapat dikurangkan dan tidak menyediakan faedah perubatan selain yang diwajibkan di bawah Akta Pekerjaan.

Gambar fail. 

Selain itu, mungkin juga sukar untuk para penyedia khidmat cuba meningkatkan daya penghasilannya memandangkan margin operasi mereka sangat rendah. Jika kita dapat bersama-sama mengubah amalan sedemikian, kita akan dapat mewujudkan persekitaran yang memanfaatkan semua pihak, termasuk para pekerja yang dapat menikmati terma dan syarat pekerjaan yang lebih baik.

Izinkan saya berkongsi tentang contoh-contoh kontrak kerja tidak adil yang disampaikan kepada saya oleh syarikat-syarikat pembersihan yang berkesatuan.

Bagi sesetengah kes, amalan berat sebelah mula berlaku bahkan sebelum kontrak-kontrak berkenaan diberikan. Ada juga sebilangan pembeli khidmat yang sengaja menetapkan tempoh kesahan kontrak yang tidak munasabah semata-mata untuk menyulitkan tugas para penyedia khidmat yang berminat untuk membuat bidaan bagi mendapatkan tender yang ditawarkan.

Di bawah tempoh sah kontrak itu, para pembida diwajibkan untuk mengekalkan tawaran mereka sepanjang tempoh enam bulan selepas tarikh tender ditutup. Sepanjang tempoh kesahan kontrak, para pembida tidak dibenarkan menarik balik harga yang ditawarkan. Lantaran itu, sekiranya berlaku sebarang perubahan pada dasar pemerintah atau perkembangan lain yang mungkin boleh menaikkan kos operasi, para pembida malangnya tidak lagi dapat mengambil kira faktor-faktor sedemikian.

Syarat yang adil bagi tempoh sah kontrak seharusnya membolehkan harga dipersetujui dan pada masa yang sama turut mengambil kira naik turun harga sekiranya ada perubahan yang tidak dijangka pada dasar pemerintah sepanjang tempoh tersebut.

Malangnya, sekalipun setelah vendor atau kontraktor berhasil mendapatkan kontrak yang ditawarkan, kegembiraan mereka atas kejayaan itu tidak mungkin dapat bertahan lama kerana pembeli khidmat itu, secara umumnya bagi kebanyakan kontrak khidmat, akan menetapkan syarat yang membolehkan pihak pembeli khidmat untuk membatalkan atau memansuhkan kontrak yang ditawarkan itu.

Bagi sebahagian besar kes, hanya pembeli khidmat yang berhak untuk menamatkan khidmat kontraktor pada bila-bila masa dengan memberi notis satu bulan secara bertulis.

Jelas sekali, ini boleh membawa kesan kepada para pekerja yang terlibat dalam kontrak berkenaan dan menjejas jaminan pekerjaan mereka. Lantaran itu, ramai penyedia khidmat akhirnya tunduk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pembeli khidmat sepanjang tempoh kontrak.

Bagi kontrak yang adil pula, syarat-syarat bagi menamatkan kontrak akan membolehkan kedua-kedua pihak untuk berunding terlebih dahulu bagi menangani sebarang masalah dan jika masalah itu tidak dapat dihuraikan, maka syarat-syarat bagi menamatkan kontrak itu sepatutnya membolehkan kedua-dua pihak untuk memberi notis tamat kontrak lebih awal berdasarkan syarat-syarat yang telah dipersetujui.

TIADA BAYARAN TAMBAHAN

Satu lagi amalan yang dianggap pelik adalah apabila pembeli khidmat dengan sewenang-wenangnya menetapkan tiada bayaran akan diberikan jika bangunan atau kemudahan perlu dibersihkan bagi acara-cara VIP, sekalipun jika ia diadakan pada hari Ahad, cuti umum atau di luar waktu pejabat.

Gambar fail pekerja pembersihan warga asing di S'pura (Gambar: TODAY)

Memandangkan jadual bagi acara-cara sedemikian tidak disampaikan kepada pihak penyedia khidmat, maka mustahil untuk mereka mengambil kira kos-kos tambahan seperti itu ketika membuat bidaan untuk mendapatkan kontrak. Ini bermakna sesetengah penyedia khidmat tidak akan membayar para pekerja mereka bagi sebarang tugas tambahan selagi amalan sedemikian tidak terbongkar.

Untuk menangani masalah tersebut, mengapa tidak para penyedia khidmat menganggarkan jumlah dan kos bagi lawatan-lawatan VIP dalam setahun atau menyertakan sebut harga awal bagi sebarang kos tambahan sekiranya ia diperlukan? Bukankah ini lebih adil bagi semua pihak yang terlibat?

Anehnya, sesetengah kontrak pembersihan bahkan menyatakan bahawa para penyedia khidmat mesti menangani semua kes kecemasan dan menggerakkan pekerja pembersihan dan peralatan yang mencukupi dan segera memulakan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan dalam tempoh sejam selepas dimaklumkan tentang sebarang kecemasan seperti banjir atau jangkitan COVID-19 yang memerlukan kerja-kerja pembasmian kuman yang menyeluruh.

Sesetengah pembeli malah menjangkakan para penyedia khidmat sepatutnya mengambil kira kos-kos sedemikian dalam sebutan harga tender dan lantaran itu, tuntutan tambahan tidak dibenarkan sama sekali. Sekali lagi, ini adalah syarat-syarat yang berat sebelah dan tidak adil kerana mustahil untuk pembida menganggarkan berapa kali kecemasan akan berlaku dalam tempoh setahun. Malah, ada yang mahu penyedia khidmat pembersihan menanggung kos tersebut.

Sebenarnya perlindungan insurans yang diperolehi oleh para pembeli khidmat boleh menawarkan perlindungan daripada kecemasan sedemikian namun mereka sebaliknya mahu para penyedia khidmat yang menanggung sendiri kos-kos sedemikian.

DENDA BERAT

Terdapat juga dokumen-dokumen sebut harga yang mengarahkan para penyedia khidmat membayar sendiri sebarang denda atau saman yang dikenakan sekiranya berlaku pembiakan nyamuk atau tikus yang ditemui di premis bangunan, bumbung dan sebagainya.

Ini tidak adil kerana perkara-perkara sedemikian sepatutnya ditangani oleh syarikat-syarikat kawalan serangga kerana ia bukan dalam skop kerja para penyedia khidmat. Selain itu, jika keprihatinan dan saranan para penyedia khidmat untuk mendapatkan khidmat syarikat kawalan serangga ditolak, maka sebarang denda atau saman yang dikenakan terhadap pertubuhan berkenaan (pembeli khidmat) tidak sepatutnya ditanggung oleh pihak penyedia khidmat.

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Apakah yang dilakukan oleh pembeli khidmat untuk memastikan pihak penyedia khidmat terus tunduk kepada segala permintaan mereka? Ini kadangkala dilakukan menerusi sistem denda dan ganti rugi tertentu jika pihak penyedia khidmat gagal menjalankan tugas seperti yang ditetapkan dalam kontrak tanpa sebarang ruang untuk pihak penyedia khidmat mendapatkan huraian atau mencari jalan keluar.

Jika para penyedia khidmat tidak sabar untuk menamatkan tempoh kontrak yang berat sebelah, mereka mungkin berasa kecewa dan hampa jika pihak pembeli khidmat memutuskan untuk menggunakan haknya melalui budi bicara mutlak untuk melanjutkan sepenuhnya atau sebahagian daripada kontrak tersebut setiap tahun (maksimum dua tahun) mengikut harga yang sama dan tertakluk kepada syarat-syarat dan terma-terma yang sama.

Lantaran itu, sekiranya ada berlaku perubahan luar jangka seperti kenaikan levi pekerja hijrahan, kenaikan kadar sumbangan CPF atau Model Gaji Progresif yang diwajibkan, para penyedia khidmat akan menghadapi kesulitan untuk membiayai kos-kos sedemikian jika pembeli khidmat memilih untuk melanjutkan kontrak.

PERUBAHAN SIKAP & IKHTIAR PEMERINTAH

Dengan kelemahan-kelemahan seperti ini menyebelahi pihak majikan, apakah yang boleh kita lakukan? Tentu sekali, ada sesuatu yang dapat dilakukan.

Bagi saya, langkah pertama adalah untuk mengubah minda.

Bagi memenuhi tanggungjawab di bawah mana-mana kontrak antara pembeli khidmat dengan penyedia khidmat, pihak yang menjalankan tugas sebenarnya adalah para pekerja - merekalah yang bertungkus lumus untuk menepati syarat-syarat kontrak. Para pembeli khidmat yang menetapkan syarat-syarat kontrak tidak adil sepatutnya meletakkan diri mereka dalam kedudukan pihak penyedia khidmat dan selepas itu, para pekerja pula.

Para pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang menjadi mangsa dan menanggung padah sebarang kesan buruk akibat kontrak-kontrak yang tidak adil dan berat sebelah. Para pembeli khidmat perlu bersikap terhadap para pekerja ini. Di negara-negara Barat misalnya, para pembeli khidmat yang bersikap tidak bertanggungjawab akan diberikan “Anugerah Vakum Emas” kerana mengambil kesempatan dan menindas para pekerja.

Kedua, pemerintah harus mendahului perubahan yang diperlukan ini dengan memastikan ia juga menawarkan kontrak-kontrak yang munasabah dan adil. Sebagai permulaan, Kementerian Kewangan (MOF) boleh meneliti syarat-syarat yang terkandung dalam dokumen-dokumen tender atau sebut harga untuk memastikan kontrak-kontrak yang ditawarkan tidak bersifat berat sebelah.

Pemerintah juga boleh menimbangkan audit berkala dari semasa ke semasa untuk memeriksa dokumen-dokumen sebut harga atau tender dan mengeluarkan hasil penilaian mereka tentang syarat-syarat tidak adil atau munasabah yang dikemukakan. Dengan pemerintah mengorak langkah sedemikian bagi menggalak kontrak-kontrak yang munasabah dan adil, ia akan memainkan peranan yang penting dalam membentuk tingkah laku dan amalan penyumberan luar.

Ketiga, sudah tiba masanya untuk menyemak piawai syarat-syarat kontrak yang adil dan munasabah. Mungkin juga sudah tiba masanya untuk menyediakan latihan bagi jabatan-jabatan pemerolehan untuk melakar dan menjalankan kontrak-kontrak yang adil, terutama sekali, amalan-amalan yang beretika. Sebagai contoh, syarat-syarat kontrak sepatutnya menetapkan tanda aras yang boleh dinyatakan kuantitinya - bagi meningkatkan mutu khidmat dan juga memperhalusi penilaian ganti rugi.

Jadi apakah yang dianggap sebagai syarat-syarat yang munasabah dan adil?

Mengikut kebiasaan, sebarang khidmat yang diperlukan perlu diperincikan untuk membolehkan para pembida menganggarkan kos untuk diambil kira pada harga yang ditawarkan. Prinsip seterusnya adalah sifat timbal balik. Sebagai contoh, jika pembeli khidmat mahu menamatkan kontrak setelah memberikan tempoh notis, maka hak yang sama juga perlu diberikan kepada pihak penyedia khidmat.

Keempat, ganti rugi jumlah tertentu. Syarat ini tidak sepatutnya disalahgunakan oleh pembeli khidmat untuk memaksa penyedia khidmat supaya tunduk kepada segala permintaan,atau yang lebih buruk lagi, sebagai kaedah untuk mengembalikan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi sesebuah kontrak. Sebaliknya, ia sepatutnya dijadikan sebagai wadah untuk mendapatkan pampasan yang sewajarnya daripada para pembeli khidmat yang gagal mematuhi mutu khidmat yang dipersetujui.

Garis panduan perlu diterapkan untuk memberi peluang bagi menjelaskan sebarang kesulitan yang menyebabkan kelemahan pada mutu khidmat dan tindakan selanjutnya yang patut diambil untuk menepati mutu khidmat yang diperlukan.

Akhir sekali, alangkah baiknya jika ada sebuah badan bebas seakan-akan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) untuk menjadi pengantara atau 'orang tengah' bagi sebarang pertikaian kontrak. Malah saya berpendapat Rangka Kerja Pengantaraan Tiga Pihak mungkin satu idea yang baik.

Tetapi sudah tentu jalan keluar paling mudah adalah untuk mengatakan bahawa kontrak telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dan jika penyedia khidmat tidak berupaya memenuhi syarat-syarat dan terma-terma kontrak, maka mereka tidak sepatutnya membuat bidaan untuk mendapatkan kontrak. Malangnya, sering kali para penyedia khidmat benar-benar membuntukan kontrak dan lantaran itu mereka sangat bergantung kepada tawaran para pembeli khidmat dan tandatangan pada kontrak yang ditawarkan semata-mata untuk memuktamadkan urus niaga itu saja.

Saya kecewa dengan syarat-syarat tidak adil atau berat sebelah yang masih berlaku dan berleluasa dalam kalangan kontrak penyumberan luar, termasuk kontrak-kontrak yang melibatkan syarikat privet, majlis bandaran, pemerintah, lembaga berkanun dan banyak lagi.

Marilah kita mencegah situasi di mana para vendor tidak mempunyai pilihan selain untuk mempersetujui syarat dan terma sedemikian kerana bagi mereka, "lebih baik ada permintaan daripada tiada permintaan langsung".

Kita bangga menjadi sebuah masyarakat yang prihatin dan peduli sedang kita membina sebuah masyarakat yang boleh menjadi peran contoh kepada generasi seterusnya. Tentu sekali kita boleh melakukan lebih lagi untuk mencapai gagasan ini. Saya yakin kita mampu berbuat demikian.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan