Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Padah korbankan tidur untuk dapat masa luang sebelah malam

Sudah banyak dinyatakan tentang manfaat tidur yang lena. Terdapat juga cukup bukti bahawa prestasi kita terjejas apabila tidak dapat cukup rehat.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Padah korbankan tidur untuk dapat masa luang sebelah malam

Gambar: Cottonbro/Pexels

Diterbitkan : 16 Jun 2021 11:19PM Dikemas Kini : 17 Jun 2021 12:06AM

SINGAPURA: Sudah banyak dinyatakan tentang manfaat tidur yang lena.

Terdapat juga cukup bukti bahawa prestasi kita terjejas apabila tidak dapat cukup rehat.

Namun, masih ramai daripada kita yang masuk tidur lebih lambat dari waktu yang dirancang meskipun tahu kita mempunyai jadual kerja yang sibuk pada keesokan harinya.

Fenomena ini dipanggil "bedtime procrastination"atau menunda waktu tidur, yang pertama kali dijelaskan oleh pakar psikologi Belanda, Dr Floor Kroese. Beliau merujuk kepada kecenderungan seseorang memilih untuk tidur lebih lambat daripada yang dirancangkan meskipun sedar akan akibat negatifnya.

Tingkah laku ini dikesan pada 53 peratus orang dalam kajian asal di Belanda pada tahun 2014.

Dalam kajian yang dijalankan dalam kalangan remaja Singapura, pelajar universiti, dan orang dewasa yang bekerja, 28 peratus daripada 321 responden yang ditinjau selama dua tahun lalu berkata mereka kadang-kala tidur lebih lewat dari yang diinginkan, sementara 55 peratus melaporkan sering bergelut dengan masalah tersebut.

Mereka sering mendapati sukar berhenti daripada melakukan kegiatan mereka untuk masuk tidur.

Contohnya, hari sudah lewat malam, namun anda memilih untuk menonton rancangan kegemaran di TV, kerana mungkin merasakan tidak begitu penting untuk rasa segar pada keesokan hari.

HANYA SATU LAGI EPISOD

Dalam era media digital, internet menyediakan pelbagai program hiburan, pendidikan, dan banyak lagi tanpa henti.

Kajian menunjukkan bahawa mereka yang menggunakan alat elektronik hampir dengan waktu tidur dapat mengganggu tidur dan mendorong anda melambatkan masa tidur.

Sering kali, kita terlalu asyik dengan media sosial dan tidak dapat mengawal keinginan untuk menonton satu lagi klip di YouTube.

Data daripada kajian oleh akademik di Universiti Nasional Singapura (NUS) menunjukkan bahawa mereka yang menggunakan telefon sebelum tidur, secara rata tidur 40 minit lebih lambat, berbanding dengan mereka yang kurang menggunakan telefon.

TEKANAN KERJA/SEKOLAH

Gambar: Unsplash

Faktor lain yang boleh mempengaruhi tabiat tidur kita adalah tekanan kerja atau sekolah.

Satu kajian Duke-NUS mendapati bahawa pelajar sekolah menengah di Singapura secara rata meluangkan masa 2.9 jam sehari untuk kerja rumah pada hari-hari biasa kerja dan 4.5 jam pada hujung minggu. Masa yang dihabiskan untuk kerja rumah itu secara langsung menyebabkan masa lebih pendek untuk tidur. Pada hari-hari biasa, syarat sebelum tidur, ialah memastikan kerja rumah selesai.

Dalam data kajian NUS itu, melungsuri media digital disebut sebagai sebab utama, ramai menunda masa tidur mereka dengan menyiapkan tugasan sekolah atau kerja rumah sebab kedua.

Dengan tekanan tinggi dan jadual kerja serta sekolah yang padat ini, ramai terdorong untuk mengorbankan masa tidur bagi mendapatkan masa lapang untuk diri sendiri.

Fenomena tersebut pula, baru-baru ini dikenal pasti sebagai “revenge bedtime procrastination” atau mengorbankan tidur untuk mendapatkan masa lapang.

Ia menjadi popular di media sosial China, yang mana banyak orang menggambarkannya sebagai keinginan kuat untuk menuntut kembali masa untuk diri mereka sendiri, membebaskan diri dari tuntutan bekerja secara terus-terusan.

Responden dalam kajian NUS itu menjelaskan bahawa setelah sehari suntuk bekerja, menjalankan tanggungjawab keluarga dan tugas di rumah, mereka memerlukan masa untuk berehat.

"Menonton video, membaca kandungan online, itu yang membuat saya gembira,”kata seorang responden.

APA YANG BOLEH KITA BUAT?

Gambar: Getty Images

Meskipun mudah untuk mengenalpasti masalah ini, lebih sukar ialah untuk mencegahnya. Kajian menunjukkan bahawa memberi pengetahuan tentang pentingnya tidur, tidak semestinya menyebabkan seseorang itu mengamalkan tabiat tidur yang lebih baik.

Ini dikenali sebagai jurang niat-tingkah laku. Untuk mengatasi jurang antara pengetahuan dan niat baik, kita sering memerlukan strategi yang dapat dilaksanakan untuk mencapai tujuan tersebut.

Berikut adalah beberapa perkara yang dapat kita lakukan untuk mengatasi keinginan untuk menunda masa tidur kita.

Pertama, rancang waktu tidur anda. Remaja yang ibu bapanya menetapkan waktu masuk tidur, didapati tidur jauh lebih lama daripada mereka yang tidak diberi waktu tidur yang tetap.

Justeru penting untuk menetapkan rancangan bagaimana untuk melakukannya. Pukul berapa anda harus siap untuk tidur? Bilakah anda harus mengetepikan telefon anda? Apakah halangan untuk mencapai rancangan tersebut?

Bersungguh-sungguh untuk mengehadkan masa menonton sebelum tidur. Rancang bersama teman-teman anda supaya jangan menghantar mesej selepas jam 10 malam, kecuali dalam keadaan darurat.

Kedua, rancang untuk melakukan senaman fizikal. Hanya 35 peratus warga Singapura bersenam secara kerap.

Dengan aturan bekerja dari rumah sekarang, kegiatan itu semakin berkurangan.

Gambar Hiasan

Gambar: Freepik

Ketiga, perlu ada perubahan dalam bagaimana kita saling mempengaruhi satu sama lain tentang bekerja selepas waktu kerja. Kedua-dua pekerja dan pengurus harus bekerjasama untuk menyiapkan tugas yang dirancang tepat pada waktunya.

Bagi pelajar, kerja rumah boleh dikurangkan jika pembelajaran berjalan dengan cara yang sesuai dengan tahap pembelajaran yang berbeza-beza.

Pertimbangan juga harus diberikan bagi masa dan tenaga menjaga anak di rumah serta pembelajaran di rumah.

Terakhir sekali, kita harus sedar bahawa, dalam masa ekonomi sekarang masa kita menjadi satu komoditi.

Ketua Pegawai Eksekutif Netflix Reed Hastings pernah berkata bahawa pesaing terbesar syarikat itu adalah tidur.

Syarikat bersaing untuk menarik perhatian anda dan akan berusaha untuk melakukannya.

Sama ada anda memikirkan untuk membuat pembelian secara online, permainan elektronik, menonton menerusi penstriman video atau rancangan sukan, semua kegiatan itu yang boleh diperolehi melalui satu peranti adalah sesuatu yang cukup menarik.

Namun, barang diingat - dengan mengurangkan tidur,anda mungkin mengorbankan kesihatan fisikal dan mental anda.

MENGENAI PENULIS:

Stijn Massar adalah Zamil Penyelidik Kanan di Makmal Tidur dan Kognitif, Pusat Tidur dan Kognitif, Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura.

Profesor Michael Chee adalah penyelidik utama Makmal Tidur dan Kognitif, serta pengarah Pusat Tidur dan Kognitif, Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura.  

Sumber : CNA/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan