Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Nilai manusiawi Tajussalatin lakar garis panduan kepemimpinan adil dan tadbir urus berwibawa

Tajussalatin yang bermaksud Mahkota Raja-Raja adalah antara teks tertua terkarang di Alam Melayu dengan tebaran teksnya sangat meluas. Teks yang terkarang pada 1603M di Aceh dalam bahasa Melayu ini ditulis oleh Bukhari al-Jauhari. Tidak banyak yang diketahui tentang tokoh ini, melainkan beberapa spekulasi akan asal muasalnya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tajussalatin yang bermaksud Mahkota Raja-Raja adalah antara teks tertua terkarang di Alam Melayu dengan tebaran teksnya sangat meluas. Teks yang terkarang pada 1603M di Aceh dalam bahasa Melayu ini ditulis oleh Bukhari al-Jauhari. Tidak banyak yang diketahui tentang tokoh ini, melainkan beberapa spekulasi akan asal muasalnya.

Namun daripada teks yang beliau tulis ini, dengan gaya sebuah kitab panduan atau cerminan raja-raja, dapat kita jejaki cakerawala intelektual, keagamaan dan politik yang berlegar pada abad ke-16 hingga 17 di Aceh dan sekitarnya.

Tajussalatin menghidangkan hujah yang tersulam dengan cerita-cerita teladan untuk mengajar penguasa mahupun orang biasa bagaimana menjalani kehidupan beretika dan beragama, di samping aturan-aturan yang perlu dilaksanakan dalam menjalankan tugas pemerintahan.

tajussalatin book
Gambar: Taman Pusatak/Facebook


Tradisi penulisan cerminan raja-raja dalam bahasa Melayu, kecil jumlahnya khasnya apabila dibandingkan dengan silsilah dan riwayat kerajaan, seperti Hikayat Raja Pasai, Sulalatus Salatin, Hikayat Merongwangsa, Silsilah Kuta, Misa Melayu dan banyak lagi.

Selain Tajussalatin, karya ketatanegaraan Melayu lain adalah seperti Bustanus Salatin oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri, Hikayat Mareskalek oleh Muhammad Abdullah al-Misri dan Thamarat al Muhimmah oleh Raja Ali Haji.

Yang menarik dari Tajussalatin adalah ia menggabung sisi etika Islam dengan bingkai cerita teladan di samping berfungsi sebagai kitab ketatanegaraan. Dalam tradisi Islam, karya ketatanegaraan adalah suatu genre yang kukuh – termasuk di antaranya, Nizam al-Muluk oleh Imam al-Ghazali, Siyasah Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah; al–Ahkam al Sultaniyyah oleh Al Mawardi, Mau’izah-i Jahangir oleh Muhammad Baqir Najm-i Sani.

MARTABAT MANUSIA

Tajussalatin terangkum dalam tradisi adab yang menjadi salah satu teras utama dalam khazanah keagamaan dan keintelektualan Islam.

Dari isi dan gagasan yang terkandung, jelas teks ini mengusulkan pemikiran dan nilai kemanusiaan Melayu yang bersandarkan kepada nilai-nilai sejagat Islam. Teks 24 bab ini, bermula dengan seruan: “Barang siapa mengenal dirinya, maka sesungguhnya ia mengenal Tuhannya”. Bahawasanya martabat manusia yang tinggi di sisi Tuhan sebagai khalifah di bumi ini. Kewujudan manusia itu sebagai anugerah dan amanah, makanya tidak boleh diperlekehkan atau dihinakan oleh sesiapa.

Diingatkan manusia itu boleh mencapai kemuliaan, ia juga boleh terjerumus ke dalam kehinaan, sehingga suatu yang “tiada terhina daripada kehinaan.” Tentang kemuliaan manusia, ia bernada positif.

“Dengarkan olehmu makna yang indah-indah ini bahawa daripada sekalian kemuliaan yang ada dalam alam ini, suatu pun tiada termulia daripada kemuliaanmu…”

Tetapi manusialah sendiri yang menentukan betapa ia mahu menjadikan dirinya hina atau mulia:

“Barang siapa yang dijadikan dirinya hina, ia hina jua adanya dan barang siapa yang dijadikannya, dirinya itu mulia ia mulia jua adanya.”

Manusia sebagai makhluk ciptaan Tuhan tidak boleh sama sekali diperkecil dan diperlekeh. Dengan tegas sekali diungkap Bukhari:

“Tiada dapat dibezakan pada antara sultan dan rakyat dan pada antara tuan dan hamba dan pada antara miskin dan kaya semuanya samalah dengan tanah… iaitu manusia semuanya sama, dijadikan dari tanah dan pulang pun ia kepada tanah.”

Ungkapan sebegini pastinya sangat “radikal” pada zamannya di saat ideologi feudal kuat menekankan perbedaan hierarki sosial, pangkat dan derajat, selain pemitosan akan keinderaan asal usul raja yang memerintah.

AKAL PENYULUH KESEMPURNAAN

Ini semua bergantung kepada kekuatan akal yang ada pada seseorang. Akal yang dianugerahkan kepada manusia akan menentukan sama ada kesempurnaan kehidupan boleh berlangsung.

tajussalatin
Gambar: NUS

Dalam Tajussalan, budi disebut sebagai padanan kepada kekata akal. Akal itu pedoman dan penyuluh hidup sehingga manusia boleh menguasai ilmu, membuat pertimbangan moral etika dengan wajar, serta menyusun hidup dengan baik. Manusia yang berakal itu disebut sebagai “Orang Budiman.”

“Budi itulah yang dikatakan nikmat rafik itu kerana jikalau sakit kamu ialah yang mengubat kamu dan jikalau jatuh kamu ialah yang membangkitkan kamu dan jikalau hina kamu ialah yang memuliakan kamu dan tiadalah taulan dan teman yang terbaik daripada budi itu kerana tanda kebajikan dunia dan akhirat budi itu ada akan seseorang manusia.”

Pada peribadi para penguasa, diingatkan penting terwujudnya budi sehinggakan kerja memerintah dapat berjalan lurus. Yang berbudi itu, antara lain mempunyai sifat-sifat: (a) memaafkan, bahkan terhadap siapa saja yang telah berbuat jahat; (b) rendah hati apabila berhubungan dengan orang lain kendati mereka lebih rendah daripada kita mahupun sebaliknya; (c) bekerja keras dalam setiap langkahnya; (d) membenci segala hal yang buruk atau jahat; dan (e) senantiasa membicarakan kebenaran di waktu dan tempat yang tepat.

KEADILAN SEBAGAI TUNTUTAN

Selain akal atau budi, keadilan dihurai panjang lebar dalam Tajussalatin. Tugas pemerintahan dipandang serius sebagai tanggungan dan amanah dari Tuhan.

Diingatkan Bukhari bahawa raja yang adil itu adalah manusia yang termulia di sisi Allah di akhirat nanti. Sebaliknya juga diperingatkan sekerasnya bahawa kezaliman raja akan dibalas azab seksa di akhirat.

Raja diingatkan supaya mendapatkan nasihat para ulama, orang budiman, bijaksana dan tahu akan perihal kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan, diingatkan adanya keterbatasan dalam mereka menjalankan perintah raja kerana: “ingat bahawa raja itu juga, adalah hamba Allah.” Antara sifat-sifat luhur yang harus dimiliki raja atau penguasa ialah: (a) menghampiri orang yang berilmu, (b) bersopan dan beradab dalam pergaulan, (c) kesabaran menjalankan tugas, (d) beramanah, (e) tidak memecahkan rahsia, (f) bermesyuarat, (g) tidak menerima rasuah dan banyak lagi.

tajussalatin text
Gambar: NUS

Menarik apabila disebut antara kebaikan dan keistimewaan kalam dan pedang. Kalam sebagai lambang ilmu dan akal, melebihi manfaatnya dari pedang yang mewakili kekuasaan penguasa:

"segala pekerjaan kerajaan itu terlebih berlaku pekerjaan kalam daripada pedang kerana segala pekerjaan pedang itu dapat berbuat dengan kalam tetapi segala pekerjaan kalam tiada dapat berbuat dengan pedang. Adapun barang siapa mengetahui segala perintah alam ini, hendaklah ia membaca kitab dan surat, dan jika tiada ia berbuat itu tiada jua sempurna pengetahuannya dalam segala pekerjaan alam itu."

Dengan penegasan kepada akal dan keadilan, menghormati hukum dan ilmu, serta kesamarataan manusia, maka nilai-nilai yang digagaskan Tajussalatin lantas sangat berbeda dari nilai-nilai yang didukung dalam feudalisme Melayu.

Wajarlah apabila Shaharuddin Maaruf, menyifatkan gagasan Tajussalatin sebagai kemanusiaan Melayu yang terangkum di dalamnya nilai-nilai universal Islam, terlafaz dalam konteks alam Melayu.

Jelasnya, keistimewaan teks ini terletak pada penegasan bahawa mahktota raja itu bukan kerana nasab dan kuasa fizikal, melainkan mahkota yang berdiri atas adil dan akal.

P.P. Roorda van Eysinga, seorang pengkaji Belanda menganggap Tajussalatin sebagai “mahkota segala naskhah Melayu” sehingga memperkenalkan kepada pembaca Belanda seawal 1826. Teks ini masih dibaca dan disalin di Aceh pada abad ke-19 dan diterjemah ke bahasa Jawa di keraton Yogya dan Solo.

Raja Ali Haji juga bangga memiliki teks ini. Munshi Abdullah pernah merujuk kepada teks ini dan beliau menasihati pembesar Melayu untuk membaca Tajussalatin sebagai panduan untuk menjalankan pemerintahan yang adil.

Agak menarik diperhatikan, Tajussalatin masih belum mendapat perhatian besar dalam dunia kajian sastera dan pemikiran Melayu, betapa teks ini berjumlah banyak naskahnya dan antara yang paling luas tersebar di rantau ini.

Malah R O Windstedt, yang merintis kajian sastera klasik Melayu, beranggapan bahawa teks ini hanyalah saduran semata, tidaklah “Melayu” seutuhnya dan tidak halus ungkapannya seperti karya-karya istana dan penglipur lara lainnya.

Beginilah nasib dalam dunia kajian dan pendidikan.

Pemilihan karya untuk dikedepankan dalam pendidikan dan pembacaan sering ditandai oleh kepentingan dan kecenderungan ideologi tertentu. Aliran pemikiran yang cenderung mengagungkan feudalisme Melayu, pasti melihat teks ini sebagai tantangan nilai terhadapnya.

Sedangkan dunia kesarjanaan yang masih tertawan dengan idea Orientalisme, tidak gemar menghubungkaitkan peranan Islam dengan peradaban Melayu, seolah-olah kedua-duanya jauh berbeda dan “ketulenan” Melayu hanya wujud kalau Islam dipisahkan darinya.

Kemandirian berfikir supaya tidak dibelenggu oleh diayah penguasa, dengan dasar moral etika sebagai pegangan, pastinya menjadikan Tajussalatin karya adab yang benar-benar meletakkan karya berbahasa Melayu ini sebagai salah satu sumbangan besar kepada khazanah ilmu dunia Islam.

tajussalatin book 2
Gambar: NUS

Betapa ada yang menyebutnya karya “saduran” yang menarik adalah versi Arab, Parsi dan Turki pada teks ini tidak pernah diketemukan.

Apapun, Bukhari yang Jauhari ini pastinya adalah penyusun gagasan yang bijak menyulam penyuguhan dan penyanggahan. Diingatkannya:

"Dan barang siapa ada baginya sempurna akal serta ilmu nescaya adalah di dalam dunia hakim yang bijaksana lagi ikutan segala manusia....keelokan dan kemuliaan dan kebesaran martabatnya dan kebajikannya segala dunianya dan akhiratnya itu dengan akal jua....tiada ada perbuatan orang yang berakal itu jatuh pada suatu pekerjaan yang sukar, maka tatkala jatuh ia pada kesukaran, maka dibicarakannyalah melepaskan dirinya daripada bahaya itu.”

Itulah Bukhari yang mencitakan agar tumbuh peribadi yang dinamakan “Orang Budiman,” yang jelas bertentangan dari keunggulan “hamba setiawan” yang dianjurkan feudalisme Melayu, termasuk “Orang Kamil” yang diseru oleh aliran kesufian di rantau ini.

Sesungguhnya membaca khazanah lama bukan setakat penghargaan terhadapnya, tetapi juga kita menilai gagasan nilai dan pemikiran yang terkandung di dalamnya. Maka, terpanggil untuk kita menilai dari aliran fikiran manakah yang akan membangunkan kemanusiaan kita hari ini, dan manakah pula yang mengkerdilkannya selama ini.

Tanpa syak lagi, Tajussalatin ilham susunan Bukhari al-Jauhari inilah yang telah meletakkan khazanah Nusantara kita di antara taman kemanusiaan dan keadaban dunia.

Berjauharilah kita mengenal dan memperkenalkannya!

MENGENAI PENULIS:

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa