Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Meski 'pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', mereka perlukan bimbingan & sokongan masyarakat

'Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara'. Itulah peribahasa Melayu yang menjunjung tinggi peranan yang dimainkan pemuda-pemudi atau belia dalam masyarakat dan negara. Apa tidak, tanggungjawab dan cabaran belia hari ini semakin sulit dan berat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: 'Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara'. Itulah peribahasa Melayu yang menjunjung tinggi peranan yang dimainkan pemuda-pemudi atau belia dalam masyarakat dan negara. Apa tidak, tanggungjawab dan cabaran belia hari ini semakin sulit dan berat.

Dunia hari ini juga berkecamuk dengan ciri-ciri VUCA – keruapan, keraguan, kompleks dan ketaksaan. Bukan sahaja dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19, tetapi ia juga menghadapi kekasaran negara besar terhadap negara kecil dan juga keganasan yang bertopengkan agama dan bangsa, antara isu semasa lain.

Tanah air kita sendiri tidak terkecuali.

Masyarakat majmuk Singapura sedang mengalami peningkatan penduduk warga emas dan ini akan meningkatkan trend pekerja tua memasuki semula pasaran kerja, sama ada untuk menyibukkan diri atau untuk menyara diri.

Pendapat antara generasi juga semakin berubah, terutamanya tentang hal perihal kemasyarakatan.

Lantas dari segi pendekatan dan penggubalan dasar negara yang merangkumi sosioekonomi, pendidikan, perumahan dan kemampanan alam sekitar, yang lebih dewasa perlu mengambil kira pendapat kumpulan ini. Kamilah pemegang obor masyarakat buat belia.


BELIA HARI INI

Belia adalah pemangkin perubahan dan kemajuan. Golongan belia Singapura juga boleh diharapkan untuk menjaga keluarga – tinjauan Instituti Pengajian Dasar (IPS) menunjukkan bahawa mereka berpegang teguh kepada nilai-nilai murni bukan sahaja nilai individu seperti ketabahan diri, berdikari, pragmatisme tetapi juga nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan seperti menghormati ibu bapa, belas ihsan dan perasaan bertimbang rasa.

Gambar fail sebuah keluarga bermaaf-maafan pada pagi Raya. (Gambar: TODAYonline)
Namun, golongan ini menghadapi cabaran-cabaran yang “wicked” atau sukar difahami dan dihuraikan. Menurut pengamatan Young NTUC, golongan belia mahu menyuarakan cabaran berikut tetapi tidak:

1. Kebimbangan kewangan dan masa depan yang tidak menentu
2. Tekanan rakan sebaya, media sosial, dan masalah buli
3. Masalah keluarga
4. Keganasan seksual, rasa malu dan sikap menyalahkan mangsa

Malangnya, nilai-nilai ini juga boleh menjadi sumber ketegangan apabila membuat keputusan mengenai pendidikan, pekerjaan dan pilihan kehidupan utama yang lain.

Bagaimanakah kita sebagai sebuah masyarakat dapat membantu belia hari ini mengharungi dan melayari bahtera kehidupan?

Soalan ini sememangnya mencabar.

Sempena Hari Belia 2022, saya ingin berkongsi bagaimana organisasi belia paling lama di Singapura boleh memperbaharui jawapan ini mengikut pengedaran masa.
Logo 4PM. (Gambar: Mediacorp)
Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) ditubuhkan pada 1948 oleh sekumpulan belia di kampung untuk meluahkan dan mempertahankan suara belia dan pendidikan. 4PM menyediakan ruang yang selamat untuk belia berbincang, berhujah dan bertukar-tukar pendapat dengan berhemah. Bahas 4PM yang pertama kali diadakan pada 1952 masih lagi disayangi dan dikagumi.

Antara bekas pembahas 4PM termasuk Encik Teo Chee Hean, Puan Rahayu Mahzam, Encik Hawazi Daipi dan Puan Guy Ghazali. Tidak lupa juga personaliti TV seperti Encik Suhaimi Yusof, Puan Zaza Majid, Encik Izwan Ohtman dan Nursha Ismail.

Kami sangat kagum akan pancapaian mereka dan kami tekun memperbaharui usaha untuk menyokong perkembangan belia hari ini. Tidak hairanlah untuk Bahas 4PM menyambut ulang tahunnya yang ke-70!

TUNGGAK PERTAMA: SUARA BELIA, SUARA MASYARAKAT – MEMAKSIMUMKAN POTENSI BELIA & MASYARAKAT MELALUI PEMBANGUNAN POSITIF

Kita harus mengambil peduli akan kebimbangan, matlamat dan aspirasi belia untuk kita memahami definisi kejayaan dan kecemerlangan bagi mereka.

Dengan ini, kami mendirikan tunggak pertama jawapan kita: memaksimumkan potensi belia.

Kajian adalah langkah pertama untuk memastikan kita mendengar keperluan belia. Tinjauan Belia NYC tahun lepas memberitahu kita tentang keutamaan dan kerisauan mereka. Sebagai contoh, keinginan untuk mempunyai rumah sendiri dan kerisauan tentang kewangan adalah isu-isu yang perlu kita memahami melalui lensa mereka supaya pendekatan kita membawa impak dan bermakna.

4PM dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) telah menjayakan program-program Bestari ITE, GEMS dan FRENZ Mentoring sejak 2001 untuk memberi manfaat kepada lebih 30,000 pelajar.

Kajian hari ini juga semakin kreatif. Dengan wadah media sosial yang luas seperti Tik Tok, Instagram, Snapchat dan Twitter, para belia berkongsi pendapat dan perjuangan mereka tentang isu-isu seperti perkauman, kelas sosial dan ketidaksamaan. Ini merupakan peluang untuk kita melibatkan belia dalam aktiviti-aktiviti yang memupuk minat mereka pada hal ehwal sosial dan jati diri.
(Gambar hiasan: Rami Al-zayat/Unsplash)
Data-data ini perlu diperhalusi bersama dengan belia. Kelas sosioekonomi adalah faktor yang dapat membezakan aliran hidup, cabaran diri dan kapasiti keluarga antara belia. Data di atas kertas tidak dapat menggantikan suara dan pelibatan belia dalam cara kita memaksimumkan potensi mereka.

4PM kini mempunyai rangka EDGES yang memberi panduan dalam misi ini tetapi ia tetap menjadi cabaran untuk mengenal pasti jurang yang muncul tatkala ombak kehidupan berubah. Namun, kita masih perlu membimbing mereka dengan hormat, kebijaksanaan, sifat rahmah dan penuh ihsan. Ini adalah asas membangunkan belia positif.

KEDUA: RESMI PADI, MAKIN BERISI MAKIN MENUNDUK - TENTUKAN KEJAYAAN, MENCARI SEMANGAT

Ilmu dan pendidikan itu bak pelita dalam kehidupan seseorang manusia. Pendidikan adalah satu cara untuk mencapai dunia yang aman, adil, kebebasan, dan kesaksamaan untuk semua. Ia menyokong kecerdasan manusia, mengembangkan kemahirannya, dan memastikan kemajuannya.

Namun, pendidikan masih dalam proses perubahan. Mencungkil ilham Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam dalam Simposium MENDAKI 2022, kita perlu mempelbagaikan merit dalam sistem meritokrasi dan melembutkan perbezaan antara ilmu dan kemahiran.

Melembutkan perbezaan ini dapat menggalak lebih ramai belia untuk memperkasakan diri dengan lebih ilmu dan kemahiran untuk menangani tuntutan kerja hari muka. Saya percaya ini juga menghidupkan peluang untuk belia menakrifan ‘kejayaan’ buat diri sendiri.
 
(Gambar: 4PM)
Bagi belia, mempunyai mentor juga menawarkan begitu banyak faedah, daripada sokongan pertumbuhan, menjadi sumber pengetahuan dan menawarkan galakan, serta membantu menjalinkan hubungan. Ada kalanya, belia mempunyai mentor hanya untuk telinga yang mendengar.

Melalui bimbingan dan tunjuk ajar, kami dapat membangunkan belia yang berdaya tahan dengan hasil sifat positif seperti keyakinan, perwatakan, hubungan, kecekapan, sumbangan dan sikap penyayang.

Ini juga penting untuk kesihatan dan kesejahteraan mental. Belia hari ini menghadapi cabaran kesihatan mental yang sangat berbeza berbanding rakan-rakan sebaya mereka daripada generasi lalu, satu isu mendalam yang mesti diakui oleh masyarakat dan pemerintah jika ingin menangani masalah yang dihadapi.

Buli di alam siber, sebagai contoh, adalah varian terbaru yang berupaya menembusi keselamatan di rumah dan sekolah dan menyerang belia tanpa henti. Mengikut kajian, ini boleh membuat mereka rasa cemas, tertekan, kesunyian dan ketakutan untuk diasingkan (FOMO) atau cenderung untuk membandingkan realiti mereka dengan detik terbaik orang lain. Ini mungkin membawa kepada tekanan atau gejala kemurungan.

Ia sangat penting untuk masyarakat menormalkan perbualan tentang tekanan, mengajar belia dari awal tentang celik digital dan menguatkan lagi ekosistem sokongan mereka. Antara perubahan baik adalah penyiaran video kesihatan oleh platform perkongsian video TikTok.

Dari pandangan yang menyeluruh, kita perlu memupuk sifat husnuzon dan semangat tidak mudah lentur dalam anak-anak kita sebagai sebahagian daripada pertahanan psikologi.

Ini adalah antara tiang Pertahanan Mutlak yang perlu berdiri supaya masyarakat tidak goyah.

Dengan berbekalkan ilmu yang luas, sokongan keluarga dan masyarakat, dan sifat berdaya tahan dari segi rohani, saya pasti para belia kita akan lebih bersedia untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka.

KETIGA: MENJUNJUNG AMANAH - INGAT SEBELUM KENA, JIMAT SEBELUM HABIS

Dengan perubahan pesat seantero dunia, belia hari ini perlu mengubah 'kalkulus' untuk memastikan mereka mengecapi aspirasi individu, menggapai impian keluarga dan mencapai matlamat organisasi.

Mereka perlu berikhtiar supaya tidak kesal kemudian.

Ia bukanlah ironik. Antara faktor untuk kejayaan sekarang adalah sikap kemasyarakatan dan menjaga hubungan antara satu sama lain.

Faktor-faktor ini bukanlah baru. Kita melihat ramai belia menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan semasa bulan Ramadan menerusi Yayasan Rahmatan lil Alamin (RLAF), Muhammadiyah dan Projek Roda-Roda Ramadan (ROW) oleh 4PM.
Para relawan berbilang kaum dan agama menyingsing lengan membantu mengagihkan hamper makanan dan baucar kepada keluarga dan warga emas yang kurang berkemampuan.
Secara kesuluruhannya, golongan belia Singapura telah membantu lebih 33,000 keluarga tanpa mengira bangsa.

Namun, sifat kemasyarakatan ini perlu dipupuk dalam segenap aspek kehidupan dan dibiasakan supaya para belia saling percaya dan meyakini antara satu sama lain dan dapat belajar cara berfikir dan berbincang, serta budaya dan pegangan yang berbeza.

Ini membolehkan para belia untuk bersiap sedia menghadapi budaya yang berlainan dan menguatkan silaturahim sesama masyarakat Singapura.

Aktiviti-aktiviti kemasyarakatan menjadi peluang penting untuk para belia berkumpul, berbincang dan mengambil tindakan proaktif secara bersama. Sebagai contoh, program Sembang Ilmu ‘Plus’ mempelawa dan menggalak belia untuk menghayati erti hidup orang Melayu di Singapura dan Nusantara dan program pertukaran SSEAYP yang memberi kesempatan untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan aspirasi Asia secara kolektif.

Walaupun mungkin sukar untuk mengambil langkah ini, saya percaya belia Singapura dapat melihat betapa pentingnya untuk mengutamakan keperluan masyarakat supaya aspirasi individu dan keluarga dapat direalisasikan. Ia bagai menabung keikhlasan dan ketulusan sesama kita.

TUNAS HARAPAN – BELIA & KEPIMPINAN

Aspirasi belia hari ini adalah harapan negara kelak.

Oleh itu, kita perlu memastikan agar belia hari ini bersedia dan berjiwa teguh untuk menghadapi cabaran baru esok.

Kita perlu menjadi contoh untuk mereka berfikiran cekal dan mencapai kepimpinan kolaboratif, sebuah strategi yang menarik kewibawaan dan daya fikir semua ahli.

Kemudian, menerusi perancangan penggantian kepimpinan yang melibatkan belia, kita dapat memastikan kesinambungan yang lebih mampan pada setiap generasi.

Selain 4PM, kami turut berbesar hati melihat banyak organisasi Melayu/Islam mempunyai tunggak kepimpinan yang muda, termasuk Persatuan Muhammadiyah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan juga Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Saya fikir ketika obor ini diberikan kepada saya dan rakan-rakan – jasa, amanah dan ajaran lapisan-lapisan yang terdahulu tidak akan kami lupakan. Dengan semangat yang sama, kami tidak akan lalai untuk memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada para belia hari ini dan kami menghitung hari untuk menyokong kepimpinan mereka kelak.

MENGENAI PENULIS

nassar

Nassar Mohd Zain adalah ketua Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Singapura. Beliau adalah lulusan jurusan seni bina Universiti Nasional Singapura (NUS). Baru-baru ini, beliau dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah Yayasan MENDAKI.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan