Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menyusur dua dekad serangan pengganas Al-Qaeda

Usaha berterusan yang lebih serius dan berkesan harus dipertingkatkan untuk membentengi masyarakat daripada budaya tegar dan ideologi benci yang boleh membawa kepada sikap dan perbuatan ganas. Menghilangkan kebencian daripada masyarakat akan membawa kepada kehidupan yang lebih aman dan harmoni.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menyusur dua dekad serangan pengganas Al-Qaeda

Pemasangan "Tribute in Light" di 'Ground Zero' beri penghormatan kepada mangsa serangan 11 September (Gambar: AFP/Ed Jones)

BERITAmediacorp: Dua puluh tahun yang lalu, pengganas Al-Qaeda merampas tiga pesawat komersial dan menghempaskannya ke Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon di Washington, Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Pesawat keempat pula terhempas di sebuah kawasan di Shanksville, Pennsylvania.

Menara kedua Pusat Perdagangan Dunia dijilat api selepas diserang pada 11 September 2001. (Gambar fail: REUTERS)

Menara kedua Pusat Perdagangan Dunia dijilat api selepas diserang pada 11 September 2001. (Gambar fail: REUTERS)

Serangan tersebut telah mengakibatkan hampir 3,000 nyawa terkorban termasuk 19 perampas yang telah mengambil alih pengemudian empat buah pesawat yang digunakan dalam serangan tersebut.

Peristiwa ini telah menjadi satu kejutan besar kepada dunia ketika itu. Kesangsian terhadap siapakah dalang di sebalik serangan ini cepat dilemparkan terhadap ketua Al-Qaeda, Osama Bin Laden. Pada awalnya, Osama menafikan bahawa beliau terlibat dalam serangan ini tetapi akhirnya mengaku bertanggungjawab mendalanginya pada 2004.

Implikasi serangan Al-Qaeda ini amat besar terutama sekali terhadap agama Islam dan masyarakat Muslim secara global. Serangan tersebut telah menyebabkan salah faham yang begitu mendalam sehingga Islam dituduh sebagai agama yang menyokong pengganasan.

IDEOLOGI JIHAD AL-QAEDA

Antara isu salah faham yang timbul dari serangan ini adalah konsep Jihad yang mula disangsi ramai akan matlamatnya sebagaimana yang digariskan dalam ilmu perundangan Islam. Sudah tentu, salah faham terhadap konsep Jihad ini muncul akibat dari kenyataan Al-Qaeda yang mendakwa bahawa serangan mereka itu adalah Jihad menentang musuh Islam iaitu Amerika dan masyarakat bukan Muslim secara umum.

Ideologi yang dipelopori Al-Qaeda itu amat berpengaruh dan telah menjadi satu jenama yang terkenal ketika itu. Atas nama Jihad dan mempertahankan agama Allah di muka bumi ini, Osama memanggil sesiapa saja dalam kalangan masyarakat Islam dunia untuk melancarkan serangan pengganasan tidak kira di mana mereka berada.

Al-Qaeda menggunakan ajaran agama dan konsep-konsep Islam bagi mewajarkan perbuatan mereka. Ideologi mereka didorong oleh rasa benci, marah dan tidak senang dengan Amerika, sekutu-sekutunya, bukan Muslim secara umum dan juga Muslim yang tidak sehaluan pemikiran dengan mereka.

Gambar hiasan. 

Mereka telah mencipta satu ideologi yang mampu menarik simpati ramai orang tidak kira di mana mereka berada. Dengan memanfaatkan rangkaian radio, video, penerbitan dan juga internet, Al-Qaeda berupaya mempromosikan ideologi mereka dengan meluas dan berkesan. Cara Al-Qaeda menjalankan propaganda ini telah menjadi satu contoh yang diikuti kumpulan-kumpulan pengganas hari ini yang muncul selepas Al-Qaeda.

Di samping ajaran Osama yang sangat berpengaruh, terdapat beberapa faktor lain yang menyemarakkan lagi semangat aktivis Muslim untuk menyerang sesiapa saja yang dianggap musuh oleh mereka.

Antaranya ialah perasaan solidariti sesama Muslim di seluruh dunia dan marah terhadap penindasan yang dilakukan ke atas umat Islam. Begitu juga kemarahan terhadap pemerintah Amerika yang telah menduduki tanah suci Islam ketika Perang Teluk berlaku pada tahun 1990.

RANGKAIAN GLOBAL AL-QAEDA

Pengaruh ajaran Osama tersebar luas di merata dunia hingga ke Asia Tenggara dan mampu mempengaruhi sebahagian besar ekstremis Muslim di rantau ini. Mereka mempercayai kenyataan Osama itu adalah suatu kewajipan yang harus dijalankan baik di mana sahaja.

Jenama Al-Qaeda berkembang di banyak negara seperti Arab Saudi, Mesir, Afrika, dan juga Asia Tenggara. Kumpulan-kumpulan militan Islam seperti Organisasi Al-Qaeda di Tanah Arab, Organisasi Al-Qaeda di Iraq, Boko Haram di Nigeria, Al-Shabab di Somalia dan Jemaah Islamiyah (JI) di rantau Asia Tenggara kesemuanya mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dan telah melancarkan serangan pengganas di tempat masing-masing.

Selepas serangan 11 September, Singapura dan negara-negara di Asia Tenggara berdepan dengan ancaman daripada kumpulan dan individu yang bersimpati dengan Al-Qaeda terutama sekali JI. JI telah diasaskan oleh Abdullah Sungkar dan Abdullah Ba'asyir di Indonesia dengan tujuan asal menubuhkan negara Islam di Indonesia.

Gambar fail tugu peringatan mangsa-mangsa serangan bom Bali yang terkorban pada 2002 (Gambar: AFP/Sonny Tumbelaka)

Gambar fail tugu peringatan mangsa-mangsa serangan bom Bali yang terkorban pada 2002 (Gambar: AFP/Sonny Tumbelaka)

Seperti Al-Qaeda, JI juga telah menggunakan taktik keganasaan dan mewajarkan perbuatan tersebut atas nama jihad. Pada 12 Oktober 2002, mereka telah melancarkan serangan pengganas di Bali. Serangan tersebut yang mengakibatkan 202 jiwa terkorban adalah yang terbesar selepas serangan pengganas di Amerika pada 11 September 2001.

EVOLUSI IDEOLOGI PENGGANASAN

Al-Qaeda boleh disifatkan sebagai kumpulan pertama mencipta satu ideologi ganas yang didasari ajaran agama secara teratur. Ideologi dan fahaman agama Al-Qaeda telah disampaikan melalui pelbagai wadah termasuk pertemuan dengan para pengikut secara bersemuka dan juga internet. Mereka juga telah mempromosikan ideologi mereka melalui penerbitan buku dan majalah.

Dengan kematian Osama pada tahun 2011, Al-Qaeda boleh dikatakan sudah lumpuh dan ditewaskan. Beberapa lagi pemimpin kanan Al-Qaeda seperti Abu Mus’ab Al-Zaqawi dan juga pemimpin kanan JI seperti Azahari Hussin dan Noordin Mohd Top telah ditembak mati oleh pihak penguasa.

Walaupun era Al-Qaeda dan JI sudah berlalu, ideologi ganas yang dipelopori Al-Qaeda masih terus mekar. Selepas Al-Qaeda, evolusi ideologi pengganasan berlaku dengan munculnya dua fenomena.

Pertama, terdapat sekumpulan individu yang tidak ada kaitan langsung dengan Al-Qaeda tetapi dipengaruhi fahaman ganas dan tegar melalui internet. Fenomena ini dikenali sebagai radikalisasi secara sendiri atau self-radicalisation.

Singapura menjejaki kes pertama fenomena radikalisasi secara sendiri ini seawal tahun 2007, di mana seorang rakyat Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didiapati merancang untuk mengangkat senjata di luar negara dengan alasan memperjuangkan Muslim yang tertindas dan juga agama.

Sejak itu, beberapa lagi individu lain telah ditahan di bawah ISA kerana menjadi radikal. Proses radikalisasi mereka berlaku lazimnya melaui wadah internet dan media sosial.

Fenomena kedua asalnya bermula pada 2011 di mana beberapa rakyat Singapura terpanggil untuk berjuang dan terlibat dengan konflik dan perang saudara di Syria. Mereka dipengaruhi oleh naratif yang mendakwa bahawa konflik di Syria adalah satu jihad yang memerlukan pelibatan umat Islam.

(Gambar hiasan: Bill Oxford/Unsplash)

Konflik di Syria pada 2011 telah menjurus kepada kemunculan kumpulan pengganas terkemuka hari ini iaitu Islamic State of Iraq and Syria atau ISIS yang telah menubuhkan Khilafah Islamiyah pada 2014. Seperti Al-Qaeda, ISIS juga menghalalkan pengganasan dan pembunuhan dengan menggunakan teks agama. Malah, ISIS dilihat sebagai kumpulan yang lebih ganas daripada Al-Qaeda apabila mereka mula memenggal kepala musuh-musuh mereka.

Sejak 2014, ISIS telah berjaya menaklui beberapa wilayah di Syria. Mereka juga telah berjaya menarik perhatian ramai anak muda Muslim dari banyak negara termasuk dari Timur Tengah, Eropah, Amerika dan juga dari rantau Asia Tenggara. Tidak kurang juga ramai di antara mereka telah berangkat ke Syria untuk menyertai ISIS di sana.

Sejak 2018, ISIS sudah mula kehilangan wilayah-wilayah yang telah ia takluki sebelum ini. Kekuatan tentera ISIS juga mula berkurangan. Namun, pada hari ini kita dapati kekuatan ISIS tidak lagi terletak pada kekuatan ketenteraan dan juga wilayah yang pernah ia takluki. Malah, ia terletak pada ideologi dan propaganda yang telah mereka sebarkan menerusi internet dan media sosial.

Inilah kekuatan ISIS di mana ia bersandarkan kepada kekuatan proganda dan penggunaan internet dan media sosial yang boleh menyasarkan ramai orang tidak kira di mana sahaja mereka berada.

ANCAMAN HARI MUKA

Dua dekad sudah berlalu sejak Al-Qaeda melancarkan serangan di Amerika atas nama jihad. Sejak itu, ancaman pengganasan tidak pernah berhenti. Malah ia terus berubah dengan corak baru dan berterusan sehingga ke hari ini. Ribuan nyawa terkorban akibat perbuatan ganas mereka yang tidak bertanggungjawab.

Harus diingatkan bahawa ancaman pengganasan atas nama agama bukan hanya datang daripada mereka yang beragama Islam sahaja. Sebelum muncul Al-Qaeda terdapat juga kumpulan-kumpulan dan individu yang melakukan pembunuhan dan pengganasan atas nama agama lain seperti Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya.

Sejak kebelakangan ini, kita dapati beberapa fahaman dan orientasi yang bahaya wujud dan berpotensi memecahbelahkan masyarakat dunia dan juga meretakkan hubungan harmoni antara pengikut-pengikut agama.

Contohnya, orientasi seperi perkauman, fahaman eksklusif, fahaman ekstremis dan juga sentimen anti-agama.

Keganasan hanya merupakan akibat daripada orientasi-orientasi ini dan juga sifat benci dan marah yang begitu mendalam.

Mereka yang bertindak ganas dengan membunuh dan melakukan pengeboman kesemuanya memiliki ideologi kebencian ini. Secara rumusan, ideologi kebencian inilah yang menjadi ancaman utama hari muka.

Maka itu, usaha berterusan yang lebih serius dan efektif harus dilakukan untuk membentengi masyarakat kita daripada budaya tegar dan ideologi benci yang boleh membawa kepada sikap dan perbuatan ganas.

Menghilangkan sifat kebencian daripada masyarakat kita akan menghasilkan kehidupan yang lebih aman dan harmoni.

Ini adalah antara pengajaran utama yang boleh kita pelajari daripada Peristiwa 11 September di mana ideologi kebencian dan kemarahan boleh menjadi sebab ribuan nyawa terkorban.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan