Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menyuburkan kajian zaman silam

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak mahaguru sejarah, John N Miksic, membuktikan lewat arkeologi (kaji purba menerusi penggalian tapak sejarah) mengenai kisah silam Singapura, terpapar minat meluas dalam sejarah nusa dan rantau ini. Mohd Raman Daud menyusuri keghairahan yang boleh membina pusaka dan jati diri Singapura. 

Pernah dengar istilah ‘Suliwatang’?

Sejarawan di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Mohamed Effendy Abdul Hamid, 43 tahun, menemukannya antara lain ketika mengkaji arena persilatan Singapura dan juga buku Sejarah Singapura (DBP, 1972) oleh Buyong Adil (1907-1976).

Setelah lama mengkaji sejarah Champa di Kemboja dan Vietnam  (192-1832M),  Dr Effendy beralih kepada masyarakat Bugis yang kebangkitannya telah mencorakkan arena siasah dan sejarah rantau ini antara abad ke-17 sehingga 19M.

"Untuk meluaskan pengaruh raja-raja Bugis, mereka mewujudkan golongan orang suruhan iaitu para pendekar untuk memungut cukai, menjaga keamanan sehingga sebagai tenaga perang," katanya dalam satu ceramah Siri Dunia Melayu bertajuk ‘Misteri Suliwatang di Singapura’ pada Sabtu, 21 Januari lalu di Perpustakaan Bedok.

KEBANGKITAN BUGIS

Menurut Dr Azhar Ibrahim Alwee, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu NUS dan pengacara ceramah ini, pengaruh Bugis amat luas dari Papua sehingga Afrika Selatan dan turut dikesan di utara Australia. 

(Gambar hiasan: Kyle Glenn/Unsplash)

Kekuatan Bugis mencabar kesultanan Melayu dan penjajah Barat seperti British dan Belanda. Jurai kesultanan Melayu boleh disusur daripada buku Sulalatus Salatin (atau Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang) manakala pengaruh Bugis (raja keturunan Bugis berbagi kuasa dengan Sultan keturunan suku Melayu, dengan mendapat gelaran Yang Dipertuan Muda) lewat karya Raja Ali Haji seperti Tuhfatus Nafis.

Dr Effendy mendapati peranan ‘sulitawang’ yang didukung seorang bernama Daeng Menipi telah menyepi di Singapura berikutan termeterainya perjanjian antara Kompeni Inggeris Hindia Timur yang diwakili Stamford Raffles dengan Sultan Hussein Syah dan Temenggong Abdul Rahman pada 1819.

Kajian Dr Effendy baru bermula dan tentulah dinantikan kesudahannya yang mungkin mendorong beliau berkelana di Sulawesi, rantau yang menghasilkan epik terpanjang dunia, La Galigo sehinggalah wira bangsa Indonesia, Sultan Hasanuddin. Lama sebelum Dr Effendy iaitu dalam akhir 1960-an dan 1970-an, Jabatan Sejarah NUS pernah menampilkan Dr Sharom Amat, aktivis di Majlis Pusat dan canselor di beberapa universiti rantau ini. 

Dalam sembang rancak selepas ceramah yang disertai Dr Imran Tajuddin, ilmuwan dari NUS yang beralih dari Jabatan Seni Bina ke Pengajian Melayu, ada kalangan peserta tersentak menyedari usaha Dr Effendy dibuat sebagai ‘kegiatan luar darjah’. 

Dr Azhar menjelaskan bahawa ilmuwan seperti beliau dan Dr Imran perlu berbuat demikian sebagai bakti untuk masyarakat.

Dr Azhar Ibrahim Alwee, Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS)

KEKAYAAN DUNIA MELAYU

Antara ilmuwan Dunia Melayu yang karyanya masih dibaca ramai sehingga kini ialah Buya Hamka (1908-1981) yang menyifatkan Dunia Melayu sebagai antara khazanah yang belum diteroka sepenuhnya (Hamka, Dari Perbendaharaan Lama, 1963).

Walaupun sarjana Barat, terutama dalam zaman penjajahan, telah cuba menyelongkar ‘perbendaharaan’ tadi, namun sudut pandangan mereka sering bersifat Eropah (Eurocentric). Oleh itu, amat diperlukan sarjana asal Nusantara yang dapat memperbetulkan dapatan dan pandangan yang berat sebelah oleh para sarjana Barat.

Demi menyuburkan usaha sedemikian, maka sarjana seperti Dr Effendy dan rakan-rakan seangkatannya perlu digalak dari segi semangat sehingga dana untuk meneruskan kajian dan memupuk penerus dari kalangan siswa mereka. Kegiatan luar darjah mereka mungkin memerlukan mereka bergerak lebih jauh dan berani dalam menggeledahkan fakta-fakta tersembunyi. 

Misalnya, kajian bersandarkan DNA iaitu asid yang membentuk baka manusia, telah diguna pakai oleh kalangan sarjana untuk mengkaji – apakah benar rumpun Melayu berasal dari Yunan (di selatan China) atau dari Taiwan?

Ternyata kajian mutakhir membuktikan teori-teori dari sarjana Barat itu tidak kukuh sandarannya. 

Dengan tebaran rumpun Melayu dari Malagasy (Madagascar) sehingga Hawaii dengan pusatnya di Asia Tenggara, timbul cetusan idea bahawa rumpun Melayu sudah berakar di pulau Borneo lama sebelum Zaman Ais. Mereka terpaksa ‘berhijrah’ akibat banjir besar dan malapetaka lain sehingga tabah mengharungi samudera besar. 

Hal ini, menurut almarhum Prof Wan Hashim Wan Teh, antara lain, dapat dihujahkan sebagai menjelaskan keahlian rumpun Melayu dari segi pemaliman atau perkapalan.   

Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhd Ariff Ahmad di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pernah turut membiayai kajian susur DNA yang dijalankan oleh pasukan dari Universiti Sains Malaysia mengenai tebaran orang Melayu di Afrika Selatan. 

KESILAPAN SEJARAH

Memang kos bagi kajian memanglah tinggi untuk mengupas ilmu, apatah lagi yang melibatkan sejarah silam. 

Namun ini perlu kerana tanpa mengetahui sejarahnya, sesebuah masyarakat berkemungkinan besar mengulangi kesilapan silam, hujah ahli falsafah George Santayana. Jatuh bangun Temasek yang kemudian dikenali sebagai Singapura dalam jalur Laluan Sutera perlu dikaji untuk mengetahui setakat mana pentingnya Pulau Hujung (gelaran Singapura kerana berada di hujung Semenanjung Tanah Melayu).

Perdana Menteri Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew pernah mengingatkan bahawa untuk Singapura menakat lagi 100 tahun, bukan saja diperlukan pemimpin-cendekiawan yang pandai mengatur strategi, tetapi juga ilmu untuk menakat dan berkembang. Inilah kaitannya dengan usaha mengkaji warisan silam.

Oleh itu, kajian warisan silam amat penting bukan saja dalam membina kefahaman mengenai masa lalu tetapi juga membina tamadun bagi sesebuah negara. 

Singapura bukan saja gerbang bagi Dunia Melayu/Islam tetapi juga gerbang kepada tamadun Barat dan Timur (terutama China dan India).

Menurut Teuku Iskandar, sarjana Aceh, bahawa Singapura pernah menjadi pusat penterjemahan karya klasik Hindu dan Buddha selepas jatuhnya Empayar Sriwijaya yang berpusat di Palembang. 

Malah, kian dipercayai bahawa tersebarnya agama Buddha dari India ke rantau ini dan kemudian ke China sehingga Jepun dibawa oleh para sami dari rumpun Melayu – suatu cetusan pendapat yang masih perlu dibuktikan.

Justeru, usaha Dr Effendy dan sarjana sealirannya wajar mendapat sokongan penuh bukan saja daripada pemerintah dan institusi pengajian tinggi, malah daripada badan setempat seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud untuk memastikan kita arif sejarah dalam membangunkan peradaban.

MENGENAI PENULIS:

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan