Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menyemarakkan penulisan kreatif Zaman 4.0

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menyemarakkan penulisan kreatif Zaman 4.0

Antara buku kanak-kanak dalam Siri Adam, yang ditulis oleh Puan Hana Mohd. (Gambar: Alam Cahaya)

BERITAmediacorp: Baru-baru ini, Puan Hana Mohd, penulis dan pemilik syarikat penerbitan, Cahaya Alam, telah menerima penghormatan apabila Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman, melancarkan buku kanak-kanaknya dalam Siri Adam.

Detik ini seolah-olah mencetuskan harapan bahawa Singapura masih memiliki semangat penulisan kreatif untuk menyusuri Zaman Revolusi Perindustrian Keempat atau 4.0.

Apakah Singapura dapat kembali menjadi pusat penulisan Melayu?

Demikian antara soalan yang tercetus selepas majlis pelancaran buku, Siri Adam, karya pemilik syarikat penerbitan Alam Cahaya dan penulisnya, Puan Hana Mohd pada 13 Ogos lalu di auditorium Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat. Ia antara acara dalam Bulan Bahasa tahun ini.

Soalan ini amat menarik perhatian saya kerana suasana berbahasa Melayu di Singapura dikatakan “merundum”.

Bahkan sembang di masjid dan kedai kopi antara orang Melayu sendiri pun sering memakai bahasa Inggeris.

Banci Penduduk sejak 1980, menunjukkan kadar penggunaan Bahasa Melayu (BM) di rumah atau dalam keluarga kian merosot.
(Gambar fail: Laman MOE)
Gambaran serupa juga berlaku pada bahasa ibunda (vernakular) yang lain iaitu Mandarin dan Tamil.

SUASANA BAHASA

Suasana berbahasa Melayu Singapura kini amat berbeza dengan zaman sebagai tanah jajahan British.

Singapura pernah mengalami zaman kebangkitan persuratan Melayu moden antara 1850 sehingga 1960.

Ramai cendekiawan Melayu dari seluruh pelosok rantau Nusantara yang mencari rezeki, berniaga dan menghasilkan karya di pulau ini. Maka muncullah industri penerbitan akhbar, buku dan majalah, terutama di kawasan Kampong Gelam, kemudian diikuti dengan industri muzik dan perfileman Melayu.

Tempoh tadi selari dengan zaman Revolusi Perindustrian Pertama (1.0) yang tercetus di Britain, khususnya, England, pada abad ke-19M.

Taman bahasa dan sastera Inggeris bertambah subur dengan karya-karya Charles Dickens, H.G Wells (cereka sains) sehingga ke Jane Austen. Dengan pengaruh besar Britain selaku kuasa besar dunia (Pax Britannica) yang menjajah banyak negara termasuk Singapura, bahasa Inggeris memuncak sebagai bahasa antarabangsa.

Namun anehnya mengapa suasana BM mekar di Singapura ketika itu?

Antara sebabnya ialah rantau ini mengalami kebangkitan azam merdeka daripada penjajah yang antara lain menjulang bahasa Melayu. Singapura merupakan pusat gelora tadi.

DAYA KREATIF

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (Cikgu Ariff, 1924-2016) dalam memoirnya, Perjalanan MAS (Majlis Pusat, 2003), puncak perkembangan bahasa Melayu di Singapura adalah antara 1950 dengan 1965 apabila diadakan tiga Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (1952 di Singapura, 1954 di Seremban dan 1956 di Johor Bahru dan Singapura).
Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Raman Daud)
Apabila Singapura ingin menyertai Persekutuan Malaysia, syarat BM sebagai Bahasa Kebangsaan, mendorong ramai penduduk bukan Melayu, terutama kakitangan awam, gigih mempelajarinya demi penakatan kerjaya.

Namun, apabila berlaku perpisahan daripada Malaysia yang membawa kepada kemerdekaan Singapura pada 1965, pemakaian dan semangat pada BM merosot. Mentelah Inggeris diperkasakan sebagai bahasa kerja sejak itu.

Kalangan sarjana termasuk Cikgu Ariff sehinggalah Dr Mohd Aidil Subhan Sulor, pensyarah kanan di Institut Pendidikan Nasional (NIE-NTU) berpendapat bahawa tanpa Dasar Dwibahasa yang setia dipelihara pemerintah, kemungkinan besar bahasa-bahasa ibunda termasuk BM, akan hanyut ditelan masa.

Malah Dr Mohd Aidil pernah membuat syor yang dianggap ‘kontroversil’ oleh media BM di negara-negara jiran – agar BM diajarkan bersama bahasa Inggeris demi memudahkan kefahaman pelajar Melayu di Singapura.

Oleh itu, dapat difahami cabaran getir penulis BM seperti Puan Hana. Waima, beliau sudah menghasilkan hampir 50 judul buku genre kanak-kanak dan amat dihargai dalam konteks menghidupkan pembacaan dalam BM.

Malah tekadnya mendapat sanjungan Prof Datuk Dr Awang Sariyan, 68 tahun, antara perekayasa BM di Malaysia, yang turut diundang dalam majlisnya.

SOKONGAN

Namun kejayaan Puan Hana tidaklah sekadar cerminan tekad peribadi, sokongan keluarga, daya keusahawanannya belaka.

Beliau meraih bantuan dana dan nasihat daripada agensi pemerintah iaitu Dana Dwibahasa Lee Kuan Yew dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC).

Seperti permulaan yang dilalui Puan Hana, ramai penulis Melayu di sini cuba menerbitkan karya mereka dengan biaya sendiri.

Ada juga yang menerbitkan karya menerusi ihsan pertubuhan seperti Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS’50, ditubuhkan pada 6 Ogos 1950). Hanya sejak lewat 1980-an, barulah muncul agensi seperti Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang memberikan geran terhad (baki kos masih perlu ditanggung penulis).

Model niaga penerbitan karya yang ada kini tentulah berbeza dengan era pengarang 1950-1960-an.

Ketika itu, menurut Cikgu Ariff, pengarang lazimnya hidup sukar – tidak mampu membiayai karyanya. “Oleh itu, terpulanglah kepada penerbit untuk memilih karya pengarang yang disukainya.”
(Gambar hiasan: iStock)
Oleh itu, ASAS’50 telah ditubuhkan, antara lain, untuk membela hak penulis agar dapat menerima bayaran atau royalti.

Meskipun begitu banyak cabaran politik dan sosioekonomi dalam era 1950-1960-an, ternyata zaman inilah yang mencatatkan penerbitan tertinggi karya Melayu di Singapura. Demikian dapatan kalangan sarjana setempat termasuk Dr Hadijah Rahmat.

Pengarang Melayu paling prolifik (sehingga hari ini) dengan sekitar 60 judul buku (dari siri kanak-kanak sehingga adikarya novel sejarah, Panglima Awang) ialah Harun Aminurashid atau Pak Har (nama sebenar Harun Mohd Amin, kelahiran Telok Kurau Singapura, 1907-1986), mantan pensyarah Maktab Perguruan Sultan Idris yang pernah menjadi guru sehinggalah kegiatannya dilarang oleh penjajah British.

Karya-karya beliau bernadakan nasionalisme Melayu. Beberapa novelnya telah diterjemahkan oleh ertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) .

Mungkin satu-satunya pengarang dan juga penerbit yang seiras Puan Hana pada era dulu ialah Syed Abdullah Hamid Al-Edrus (1911-1969) yang menghasilkan novel dan majalah, Qalam sebanyak 228 edisi.

TAHAP SELANJUTNYA

Hari ini taman sastera Melayu Singapura masih mekar dengan kehadiran para penulis gigih termasuk sasterawan mapan Suratman Markasan, 92 tahun, sehinggalah Isa Kamari, 62 tahun, yang banyak karyanya diterjemahkan ke beberapa bahasa.
Suratman Markasan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Pokoknya, memelihara mutu amat utama seperti hujah guru pesara Encik Adam Fadila, selaku penyunting buku Siri Adam (karya Puan Hana):

“Dengan suntingan profesional, karya untuk kanak-kanak dapat dihidupkan dengan daya kreatif yang menarik, bahasa yang terpelihara dan sesuai dengan peringkat usia.”

Untuk memastikan penerbitan buku berbahasa Melayu di Singapura dapat bertahan, maka perlulah sokongan masyarakat terutama ibu bapa, sekolah dan guru serta tentulah pemerintah.

Menerusi badan kerantauan, Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) yang dianggotai Singapura pula, diharap karya penulis kita dapat menerobos atau dapat dipasarkan melangkaui sempadan terutama di Malaysia dan apatah lagi di Indonesia.
MENGENAI PENULIS:

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan