Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menjejaki Rumpun Melayu & menyusuri tamadun kebanggaannya

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tiga mahaguru dari Universiti Sains Malaysia telah mengadakan kajian akademik dan lapangan bagi menjejaki baka dan tebaran rumpun Melayu. Mereka adalah penerima perintis geran kajian Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad di Universiti Teknologi Nanyang pada 2016. 

Hasil kajian mereka dalam memahami peranan rumpun Melayu khususnya dalam membina peradaban jagat dikongsi dan dipaparkan dalam rencana Komentar kali ini.

BAGAIMANA UNTUK MEMBUKTIKAN KETEPATAN SEJARAH?

Selain mendapatkan artifak menerusi penggalian (arkeologi) sehinggalah catatan sejarah seperti kitab lama, para pengkaji kian beralih kepada bukti saintifik iaitu DNA (singkatan bagi deoxyribonucleic acid) iaitu molekul yang menyimpan data mengenai baka manusia.

DNA sering dikaitkan dari segi perubatan seperti mengenal pasti kecacatan baka sehinggalah siasatan jenayah dari segi forensik. 

Namun mengkaji asal usul insan dan kelompok manusia, terutama perpindahan menerusi DNA, kian mencerahkan hasil yang dapat diyakini. Apa yang diperlukan ialah mendapatkan sampel darah atau sampel sel daripada dinding dalam pipi (mulut) yang dipanggil ujian ‘swab’.  

TIGA MAHAGURU

Kesimpulan ini terpapar dalam Seminar Jalinan Budi yang pertama bagi tahun 2022 yang berlangsung secara maya pada 14 April lalu, anjuran Bahagian Bahasa dan Budaya Melayu, Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC), Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). 

Ia disampaikan oleh tiga mahaguru ternama dari Universiti Sains Malaysia (Pulau Pinang) yang merupakan penerima geran kajian Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad (ringkasnya Dana MAS) iaitu: Profesor Dato’ Seri Dr Md Salleh Yaapar, Professor Dr Zilfalil Alwi dn Profesor Madya Dr Mohammad Reevany Bustami.
 
Ketiga-tiga pembentang cuba membuktikan bahawa rumpun Melayu adalah antara kelompok terbesar di dunia dengan aspek-aspek sejarah, budaya dan bahasa yang tersendiri. 

Dengan meneliti daripada pihak induk atau ibu (mitrochrondial atau singkatannya, mitDNA) yang diangap lebih mantap, para pengkaji ini telah menyusuri rumpun Melayu (juga disebut Melayu Mahawangsa) memang berasal dari Benua Sunda (Sundaland, yang menampung gugusan kepulauan Asia Tenggara dan Semenanjung Tanah Melayu). Mereka telah mengembangkan peradaban sehingga diketahui sejauh Yunani (Greece). 

Apabila berlaku kejadian alam yang besar seperti bah dan ledakan gunung berapi (Toba dan Krakatoa) yang menenggelamkan Benua Sunda, sebahagian besar mereka (dikenali dengan istilah Malayo-Polynesia) telah keluar bertebaran sejauh Malagasy (Afrika), Yunan (di selatan China), Taiwan, dan belayar sejauh Hawaii dan Kepulauan Easter. 

Lantaran itulah, banyak kekata Melayu ditemui dalam banyak dialek di rantau Pasifik. 

Menurut Prof Salleh, teori-teori yang menyatakan rumpun Melayu berasal dari Yunan atau Taiwan sukar dipertahankan lagi. 

Tanggapannya bak disokong beberapa laporan terkini, termasuk akhbar South China Morning Post, yang menukil hasil penggalian di Sichuan yang menunjukkan adanya tamadun yang lebih tua dan berbeza daripada tamadun China yang diketahui sejauh ini.     

Malah kajian sejarawan Barat dan China mendapati bahawa dalam zaman seawal Dinasti Han (202SM-220M), orang rumpun Melayu (dipanggil Kunlun) yang terkenal sebagai pedagang, ahli pelayaran, pembuat kapal dan ahli seni bela diri, pernah mempengaruhi peradaban China. 

Antara lain, pencak silat telah diperkenalkan di China oleh pemuka agama Buddha yang berasal dari Palembang (zaman Sriwijaya) dan kemudian dikenali sebagai ‘kung fu’. 

Malah jong (kapal layar) Melayu telah mempengaruhi seni membuat kapal di China. 

IKATAN RUMPUN

Dalam zaman penjajahan Barat di Alam Melayu bermula dengan Portugis di Melaka sejak 1511M, rumpun Melayu sekali lagi ditebarkan keluar sebagai tahanan politik sehingga perhambaan. 

Hal ini menjelaskan wujudnya petempatan Melayu di Sri Lanka, Afrika Selatan sehingga Surinam (di utara benua Amerika Selatan).  

Menurut Prof Salleh, percubaan untuk ‘menyatukan’ rumpun Melayu (Pan Polynesia) telah dirintis oleh seorang raja Hawaii, Kalākaua (1838-1891) dengan sokongan para menterinya pada 1879. 

Raja ini pernah bertemu Sultan Abu Bakar, Johor, pada 1881. Sayangnya, kerajaannya telah ditumbangkan oleh para pedagang Amerika Syarikat. Oleh itu, Prof Salleh berpendapat ‘tanah asal’ rumpun Melayu bukan saja di Asia Tenggara tetapi sejauh Malagasy sehingga Hawaii. 

Prof Zilfalil telah menampilkan ‘takrif’ orang Melayu berdasarkan sosiologi atau ilmu kemasyarakatan sehinggalah rumpun bahasa Austronesia. 

Untuk memetakan baka orang Melayu, katanya, ada dua kajian yang boleh dilakukan dari segi kebakaan (genomik) dan linguistik (kebahasaan). 

Dengan dua cara ini, pola migrasi atau perpindahan rumpun Melayu dapat dikaji. 

Pihaknya telah menjalankan kajian berdasarkan sampel darah sejak 2006 dengan dana beberapa pihak.  

Di Semenanjung Tanah Melayu, hampir semua suku kaum Melayu seperti Jawa, Bugis dan Minang mempunyai kaitan dengan Indonesia. Yang unik ialah masyarakat Kelantan didapati lebih mempunyai kesan baka India dan orang asli Semang.

MELAYU TANJUNG

Memandangkan kajian DNA turut dilakukan secara jagat, maka pihaknya telah bekerjasama dengan badan seperti HUGO yang mendapati bahawa pola penghijrahan manusia bermula dari Afrika ke benua Sunda dan barulah kemudian ke bahagian Asia yang lain.

Dengan bantuan geran kajian Dana MAS bernilai S$15,000, maka antara 1 September 2016 sehingga 31 Mac 2019, pihaknya telah mengkaji pola penghijrahan orang Melayu ke Afrika Selatan. 

Mereka juga dibantu oleh Prof Himla Soodyal dari Afrika Selatan. Antara lain, kesimpulan kajian mereka mendapati memang ada pertalian erat dari segi keturunan antara Melayu Tanjung (Cape Malays) dengan Melayu di Nusantara bukan saja dari segi baka, bahkan bahasa sehinggalah amalan Islam, khususnya tasauf (hasil ajaran para guru khususnya Syeikh Yusof Al-Makassari).

Dr Mohammad Revanny mendapati bahawa dari segi kehidupan Melayu Tanjung (Cape Malays) – pemakanan sehinggalah amalan beragama dan bermasyarakat, mereka memanglah tidak syak berketurunan Melayu. 

Namun, mereka amat memerlukan jalinan teguh serumpun termasuk pengajaran bahasa Melayu agar terus dapat menakat sebagai sebuah kaum yang unggul. 

Antara ciri mereka yang menyerlah ialah kejujuran yang diyakini termasuk dalam kes di mahkamah.

Mengalu-alukan hasil kajian tiga mahaguru tadi, Prof Madya Dr Hadijah Rahmat, ketua ALC-NIE, yakin bahawa sumbangan Dana MAS, telah membantu dalam memahami serba sedikit mengenai tebaran rumpun Melayu. 

Namun perjalanan masih jauh lagi dan kerana itulah, Dana MAS diharap dapat terus disuburkan demi memajukan Pengajian Melayu, bukan saja di Singapura malah di persada dunia.    

MENGENAI PENULIS:

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan