Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Menjambatani Legasi dan Masa Depan: Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Fasa Peralihan

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menjambatani Legasi dan Masa Depan: Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Fasa Peralihan

Tokoh akademik bahasa dan persuratan Melayu, Dr Sa’eda Buang (tengah). (Gambar: NLB)

SINGAPURA: Persaraan tokoh akademik bukan sekadar penutupan satu bab, tetapi detik penting untuk kita menilai semula arah dan masa depan bidang.

Dalam konteks bahasa dan persuratan Melayu di Singapura, peralihan ini menjadi lebih signifikan apabila melibatkan tokoh seperti Dr Sa’eda Buang, menurut Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar, yang telah lama menyumbang kepada pembentukan landskap akademik, pedagogi, dan sastera tempatan.
Related article image
Ketua Jabatan Budaya & Bahasa Asia (ALC) di NIE, Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Related article image
Dr Sa’eda Buang. (Gambar: Facebook/Singapore Book Council)
Di Institut Pendidikan Nasional (NIE) tempat beliau menabur bakti selama hampir tiga dekad, kerjayanya memuncak dengan peranan sebagai Penolong Ketua di Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC), dengan tanggungjawab khusus terhadap bidang bahasa dan kebudayaan Melayu.

Sumbangan Yang Melangkaui Pencapaian Individu

Sumbangan Dr Sa’eda tidak wajar dilihat hanya melalui senarai penerbitan atau peranan pentadbiran. Yang lebih penting ialah bagaimana beliau telah membantu membentuk cara kita memahami dan menghidupkan bahasa dan persuratan Melayu.

Dalam bidang sastera, beliau mengangkat teks bukan sekadar sebagai bahan kajian, tetapi sebagai ruang untuk memahami masyarakat, nilai, dan kemanusiaan. Pendekatan ini memastikan persuratan Melayu kekal relevan sebagai wahana refleksi sosial, bukan sekadar warisan yang dipelihara secara simbolik.

Hal ini turut tercermin dalam karya kreatif beliau, khususnya novel Razi, yang dipilih oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) untuk inisiatif READ! Singapore dan telah diterjemahkan ke dalam tiga bahasa lain, sekali gus memperluas jangkauan dan impaknya kepada khalayak yang lebih luas.
Related article image
Novel Razi oleh Dr Sa’eda Buang. (Gambar: NLB)
Related article image
Penolong Ketua (Bahasa Melayu) bagi Jabatan Bahasa dan Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Sa’eda Buang bersara pada 30 April 2026 selepas lebih dua dekad berkhidmat di NIE. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Dalam pendidikan guru di NIE, impak beliau lebih meluas. Generasi guru yang dilatih di bawah bimbingan beliau membawa bersama pendekatan yang sensitif, reflektif, dan tidak mekanistik terhadap bahasa dan sastera, suatu sumbangan yang terus hidup dalam amalan bilik darjah.

Pendekatan pedagoginya turut terserlah melalui komitmen terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Lawatan pembelajaran yang melangkaui bilik darjah dan sempadan negara menjadi wahana penting untuk menghidupkan bahasa dan persuratan – daripada komuniti diaspora Melayu di Afrika Selatan, kepada amalan bahasa dan tulisan Jawi di Brunei, serta lokasi setempat yang menghubungkan teks dengan realiti sosial.

Pada peringkat institusi, beliau turut menyumbang kepada pembentukan identiti bidang bahasa Melayu di ALC, khususnya dengan mengekalkan keseimbangan antara sastera, budaya, dan pendidikan, serta menjambatani hubungan antara akademia dan masyarakat.
Related article image
Dr Sa'eda Buang menyampaikan ceramah sempena pameran "Ceritera Temasek & Singapura Ketakjuban, Metafora, Maksud Sejarah Melayu". (Gambar fail: BERITA Mediacorp)
Mengurus Peralihan: Daripada Kehilangan Kepada Kesinambungan

Dengan tokoh seperti Dr Sa’eda bakal bersara, cabaran utama bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi mengurus pemindahan legasi.

Sebagai Ketua Jabatan ALC, saya melihat peralihan ini bukan sebagai kehilangan mutlak, tetapi sebagai peluang untuk mengenal pasti kekuatan yang perlu dikekalkan, mengagihkan peranan secara kolektif, dan membuka ruang kepada pembaharuan.

Tidak semua yang dipegang oleh seorang tokoh boleh digantikan oleh seorang individu. Sebaliknya, kita perlu membina kekuatan berpasukan yang mampu menampung pelbagai dimensi, iaitu pengajaran, penyelidikan, dan penglibatan masyarakat. Pada masa yang sama, hubungan dengan tokoh yang bersara perlu dipupuk agar sumbangan mereka dapat diteruskan dalam bentuk baharu.

Cabaran Kesinambungan Dalam Landskap Pendidikan Semasa

Kesinambungan bidang bahasa dan persuratan Melayu berhadapan beberapa cabaran struktur.

Pertama, terdapat ketidakseimbangan fungsi bahasa dalam sistem pendidikan. Bahasa Inggeris kekal dominan sebagai bahasa ilmu dan ekonomi, manakala bahasa Melayu sering dibingkaikan sebagai bahasa budaya dan identiti. Ini mempengaruhi bagaimana pelajar dan masyarakat menilai kepentingan bidang ini.

Kedua, pengalaman pembelajaran bahasa Melayu semakin bersifat instruksional dan berorientasikan peperiksaan dengan ruang yang terhad untuk keterlibatan mendalam sebagai pengalaman hidup.

Pembukaan semula Taman Warisan Melayu dan sambutan yang mengiringinya memperlihatkan bagaimana warisan sering diraikan secara episodik, tetapi kurang dialami secara berterusan sebagai amalan yang membina dan mengembangkan kecekapan bahasa serta penghayatan budaya.

Kecenderungan ini mencerminkan “museumisasi” bahasa dan budaya, di mana bahasa dan budaya dilihat sebagai objek warisan, bukan sebagai amalan hidup. Di sinilah sekolah mempunyai peranan penting untuk menyediakan pengalaman yang membolehkan pelajar menggunakan, mengalami, dan mengembangkan bahasa secara konsisten.
Related article image
Sekolah memainkan peranan penting dalam membolehkan para pelajar menggunakan, mengalami dan mengembangkan bahasa. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Ketiga, dan berkait rapat dengan hal ini, ialah penyusutan “modal insan kritikal” dalam bidang ini. Apabila bahasa dan persuratan tidak dialami sebagai amalan hidup yang berterusan, minat untuk mendalami bidang ini pada tahap lanjutan turut terjejas, sekali gus mengecilkan saluran untuk melahirkan generasi pakar baharu di universiti.

Dalam keadaan sedemikian, persaraan tokoh seperti Dr Sa’eda Buang menjadi lebih signifikan, kerana yang hilang bukan sekadar seorang pensyarah, tetapi sebahagian daripada teras intelektual bidang itu sendiri. Dalam konteks ini, usaha membina golongan pelapis pada peringkat akademik juga tidak harus terbatas kepada sumber setempat, tetapi perlu meluas ke luar negara bagi memastikan kesinambungan kepakaran dan kepelbagaian perspektif dalam bidang ini.

Perubahan Minat Pelajar: Bukan Hilang Tetapi Berubah

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jelas terdapat perubahan dalam minat pelajar terhadap bahasa dan persuratan Melayu.

Pertama, terdapat kecenderungan menurun terhadap sastera sebagai bidang akademik.

Kedua, bacaan dalam bahasa Melayu semakin dikaitkan dengan keperluan sekolah, manakala bacaan untuk keseronokan lebih cenderung berlaku dalam bahasa Inggeris.

Ketiga, kita melihat pola yang semakin berpolarisasi, iaitu sebilangan kecil pelajar menunjukkan minat yang mendalam, tetapi sebahagian besar berada pada tahap minimum yang bersifat kepatuhan kepada keperluan kurikulum, dipengaruhi oleh pengalaman pembelajaran yang berfokus kepada peperiksaan.

Keempat, perubahan dalam ekologi bahasa di rumah mengurangkan pendedahan semula jadi kepada bahasa Melayu.

Kelima, pelajar semakin menilai sesuatu bidang berdasarkan kegunaan dan masa depan.

Keenam, minat terhadap bahasa dan persuratan juga muncul dalam bentuk baharu, termasuk medium digital dan popular.
Related article image
Bahan-bahan pembelajaran bahasa Melayu buat para pelajar sekolah rendah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nurfazirah Azman)
Related article image
Para pelajar menggunakan teknologi, gamifikasi atau permainan dalam pembelajaran bahasa ibunda mereka. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nurfazirah Azman)
Kesemua ini menunjukkan bahawa perubahan minat pelajar berkait rapat dengan struktur pendidikan, persekitaran bahasa, dan naratif yang mengelilingi bidang ini.

Harapan Terhadap Generasi Pelapis

Persoalan sama ada akan muncul barisan pelapis dalam kalangan penulis dan pendidik bidang ini bukan sekadar soal bilangan, tetapi soal kualiti dan arah.

Saya optimis bahawa generasi pelapis akan muncul, dengan syarat sokongan yang sesuai diberikan. Mereka perlu mampu “menghidupkan” bahasa Melayu dalam pemikiran, penulisan, dan interaksi seharian, sebagaimana mereka berfungsi dalam bahasa Inggeris, selain membina suara intelektual sendiri, serta menjambatani tradisi dan inovasi.

Yang penting, mereka tidak perlu meniru tokoh terdahulu, tetapi membawa dimensi baharu yang sesuai dengan zaman.

Menjambatani Legasi & Masa Depan

Akhirnya, persoalan utama bukanlah sama ada bidang ini dapat diteruskan, tetapi bagaimana ia akan diteruskan.

Persaraan tokoh seperti Dr Sa’eda mengingatkan kita bahawa kesinambungan tidak berlaku secara automatik. Ia memerlukan perancangan, pelaburan, dan kesediaan untuk berubah.

Dalam menjambatani legasi dan masa depan, tanggungjawab kita ialah memastikan bahawa bahasa dan persuratan Melayu kekal sebagai ruang hidup untuk berfikir, berkarya, dan memahami dunia.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Prof Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar ialah Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC).
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita