Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menilai prestasi Team S'pore di Sukan Olimpik Tokyo; langkah seterusnya untuk mencapai kejayaan

Sukan Olimpik Tokyo baru saja melabuhkan tirainya, namun perhatian ramai peminat dan pengamat sukan sudahpun beralih ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menilai prestasi Team S'pore di Sukan Olimpik Tokyo; langkah seterusnya untuk mencapai kejayaan

Kontinjen Team Singapore di upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Jul 2021. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 12 Aug 2021 09:08PM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 09:28PM

BERITAmediacorp: Sukan Olimpik Tokyo baru saja melabuhkan tirainya, namun perhatian ramai peminat dan pengamat sukan sudahpun beralih ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sedang Team Singapore dan persekutuan-persekutuan sukan tempatan menilai prestasi atlit masing-masing di Tokyo, adalah penting untuk mereka menangani sebarang kelemahan, melanjutkan kemajuan positif dan mengekalkan momentum sepanjang 1,000 hari menjelang temasya Sukan Olimpik seterusnya.

PRESTASI TEAM SINGAPORE

Pertama, langkah menghantar rombongan seramai 23 atlit yang bertanding dalam jumlah rekod 12 acara sukan, termasuk penampilan sulung bagi sukan berkuda, renang maraton dan sukan terjun cantik, adalah bukti kuat kepada para atlit negara serta kekukuhan ekosistem yang menyokong mereka.

Kedua, dalam kalangan 23 atlit di Tokyo, 20 daripada mereka berusia bawah 30 tahun dan 13 berusia bawah 25 tahun. Ini bermakna kita mempunyai ramai atlit muda yang berbakat besar.

Dalam kalangan 17 atlit yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik, sembilan, atau sekitar separuh daripada mereka, berhasil memenangi perlawanan-perlawanan pembukaan atau persaingan peringkat saringan, termasuk tujuh atlit yang mara ke peringkat seterusnya.

Yu Mengyu beraksi di pusingan suku akhir tenis meja perseorangan wanita di Sukan Olimpik pada 29 Jul. (Gambar: AFP)

Yu Mengyu beraksi di pusingan suku akhir tenis meja perseorangan wanita di Sukan Olimpik pada 29 Jul. (Gambar: AFP)

Pemain tenis meja veteran Yu Meng Yu mengatasi kecederaan yang dialami untuk meraih tempat keempat dalam acara wanita perseorangan, sekali gus memperlihatkan prestasi yang menjangkaui jangkaan ramai.

Singapura bagaimanapun mengakhiri rekod pungutan sekurang-kurangnya sebutir pingat dalam setiap Sukan Olimpik sejak 2008. Antara empat pingat emas yang dirangkul antara 2008 hingga 2016, tiga daripadanya dimenangi pasukan tenis meja dan satu-satunya pingat emas diraih melalui acara perseorangan oleh Joseph Schooling dalam acara renang.

Walaupun semakin ramai atlit kini bertanding dalam lebih banyak acara, Team Singapore masih lemah dalam usaha melentur bakat bertaraf dunia dalam acara-acara yang ditandinginya.

Perenang negara Joseph Schooling dipujuk oleh jurulatihnya Sergio Lopez Miro semasa Sukan Olimpik Tokyo. (Gambar: sergiolopezmiro/Instagram)

Perenang negara Joseph Schooling dipujuk oleh jurulatihnya Sergio Lopez Miro semasa Sukan Olimpik Tokyo. (Gambar: sergiolopezmiro/Instagram)

Sesetengah pihak malah mencadangkan agar Singapura tidak sepatutnya menyokong terlalu ramai atlit sekali gus dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada sekelompok acara sukan yang benar-benar dapat menyumbang dan meraih kemenangan.

Sebagai seorang peminat dan penggiat sukan, saya tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian kerana saya berharap kita akan dapat mengambil pandangan lebih luas dan menggalak para atlit kita untuk memburu kecemerlangan dalam semua acara yang ditandingi kerana ini akan memperluaskan lagi peluang untuk mencapai kemenangan.

Hakikatnya, kedua-dua pendekatan itu memerlukan usaha gigih dan komitmen oleh semua pihak berkepentingan.

BUKAN KERANA S'PURA TERLALU KECIL

Kita juga tidak boleh memberi alasan bahawa Singapura adalah sebuah negara yang kecil.

Jika kita meneliti prestasi negara-negara dan wilayah-wilayah kecil yang bertanding di Sukan Olimpik, Hong Kong berhasil merangkul satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa sementara New Zealand meraih tujuh emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Bahkan negara kecil seperti San Marino dengan jumlah penduduknya sekitar 33,000, atau suku daripada jumlah penduduk Toa Payoh, berhasil membawa pulang tiga pingat emas dengan menghantar hanya lima atlit ke Tokyo.

Jika dibandingkan dengan negara-negara dan wilayah-wilayah kecil yang lain, prestasi Singapura tidak setanding dengan pasukan-pasukan tersebut.

Selepas menimbangkan kesemua perkara tersebut, saya memberikan gred B- kepada Team Singapore atas prestasi mereka di Tokyo.

Saya sedia maklum bahawa penilaian sedemikian tidak saintifik dan mudah dipertikaikan. Namun ia membawa kepada perbincangan yang lebih mustahak - apa lagi yang perlu dilakukan seterusnya?

APAKAH LANGKAH SETERUSNYA?

Jika kita ingin meneruskan perjalanan kita sebagai sebuah negara sukan, mengukuhkan pencapaian atlit-atlit elit terdahulu dan sekarang, dan mencipta nama di persada sukan antarabangsa yang mampu merangkul pingat dan bukan setakat menyertai acara, lebih banyak usaha perlu dilakukan.

Manfaat melakukannya adalah banyak. Ia akan membantu Singapura untuk membina budaya sukan yang menyumbang kepada masyarakat yang sihat, bersatu padu dan berdaya bingkas. Ia juga akan mengangkat Singapura sebagai bandar global yang matang dan mempunyai rakyat yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Jika Sukan Olimpik dianggap sebagai kayu ukur kepada perjalanan sukan negara ini, terdapat beberapa perkara penting yang perlu ditangani menjelang Sukan Olimpik Paris dan selanjutnya.

Berdasarkan pengalaman atlit Team Singapore di Sukan Olimpik Tokyo dan temasya-temasya Olimpik sebelumnya serta acara-acara utama yang lain, dan sistem serta proses di negara-negara yang lebih cemerlang pencapaian sukannya, ternyata kecemerlangan dalam bidang sukan mampu dicapai apabila sesebuah negara bersatu padu untuk menyokong para atlitnya.

Ini memerlukan sokongan sektor-sektor awam, privet dan masyarakat, baik dari segi pembiayaan dana mahupun sokongan infrastruktur atau masyarakat yang berganding bahu untuk menyokong para atlit kita.

Terdapat sebilangan atlit Team Singapore yang berdepan dengan keadaan yang sukar. Mereka terpaksa mengimbangi atau mengatasi tekanan dan keutamaan lain dari sekolah, pekerjaan atau Perkhidmatan Negara dengan tuntutan-tuntutan lain yang turut memerlukan masa, tenaga dan sumber.

Lantaran itu, bolehkah kita mengharapkan mereka untuk bertanding dengan jaguh-jaguh dunia yang seluruh kehidupan mereka hanya tertumpu kepada sukan?

Seperti banyak perkara lain, Pemerintah boleh memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju, seperti mana dilakukan dahulu menerusi peta hala tuju Visi Sukan 2030.

Ia berupaya menyatukan semua sektor di sebalik matlamat kecemerlangan sukan yang dikongsi sama menerusi pelbagai wadah.

Antara jurang paling ketara yang perlu dirapatkan adalah penyampaian mesej secara berkesan menerusi semua saluran media untuk memastikan pihak-pihak berkepentingan memahami dan menghargai nilai dan manfaat sukan dan menyokong wira-wira sukan tempatan.

SOKONGAN SEKTOR PRIVET DIPERLUKAN

Pemerintah melaburkan sekitar S$400 juta setiap tahun untuk membangunkan sukan di Singapura.

Ini termasuk S$70 juta setiap tahun bagi sistem Sukan Prestasi Tinggi (HPS) untuk menyokong pembangunan atlit negara dan persatuan-persatuan sukan nasional, serta melabur dalam pembinaan dan penyenggaraan infrastruktur sukan awam.

Namun jumlah itu membentuk sebahagian kecil Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dan tidak setanding dengan dana yang diperuntukkan oleh negara-negara lain.

Ini mencerminkan realiti keutamaan nasional jika dibandingkan dengan sektor-sektor seperti pertahanan, ekonomi dan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, jagaan kesihatan dan usaha melawan COVID-19.

Dana dan tajaan oleh sektor privet bagi kegiatan sukan di Singapura jauh berkurangan jika dibandingkan dengan negara-negara di mana sukan adalah minat dan keutamaan peringkat nasional.

Jika sektor privet boleh diyakinkan supaya menambah sokongan terhadap kegiatan sukan di Singapura dengan cara yang lebih besar, kita mungkin akan berhasil merapatkan jurang dengan pesaing-pesaing kita.

Ini memerlukan pemahaman lebih mendalam tentang nilai sukan dan bagaimana sukan dibangunkan. Jika kita menilai pelaburan dalam bidang sukan menggunakan pendekatan tradisional, iaitu untuk membandingkan risiko dengan hasil pulangannya, saya khuatir ia hanya akan menghambat para penyokong dan penaja dari sektor privet.

CUKUPKAH SETAKAT MELAKUKAN YANG TERBAIK?

Sudah terdapat banyak pandangan yang diluahkan tentang sama ada prestasi Joseph Schooling dan atlit-atlit lain di Tokyo sepatutnya dikritik, ataupun mereka seharusnya dipuji kerana “mencuba sedaya upaya” bagi Singapura. Para pemimpin negara juga telah menyuarakan pandangan mereka.

Ini menunjukkan masyarakat Singapura masih perlu memahami dengan lebih mendalam tentang pembangunan sukan dan atlit elit.

Tidak cukup untuk kita mengatakan bahawa kita akan menyokong para atlit kita tanpa sebarang syarat semata-mata kerana mereka komited kepada sukan masing-masing atau mereka sudah mencuba sedaya upaya dan melakukan yang terbaik.

Para atlit elit berpegang teguh kepada standard yang tinggi sebagai sebahagian daripada usaha mereka memburu kecemerlangan.

Dan di persada sukan antarabangsa pula seperti Sukan Olimpik, sebab dan motivasi untuk berada di sana semakin tertumpu kepada satu matlamat - iaitu mencatatkan prestasi yang terbaik dengan harapan untuk meraih kemenangan.

Sumber penting individu dan negara mungkin sudah diikrarkan untuk mencapai matlamat tersebut.

Maka itu, kita sepatutnya bersikap jujur dalam penilaian kita sekiranya mereka mencatat prestasi yang kurang memuaskan dan pada masa yang sama, memastikan kritikan dan analisis tidak bertukar menjadi serangan peribadi, hinaan dan penganiayaan terhadap atlit-atlit kita.

Membangunkan budaya sukan yang bertunjang kepada kesedaran dalam kalangan peminat dan penyokong boleh mendatangkan kesan berganda. Para majikan akan lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapi para pekerja yang juga merupakan atlit, lebih ramai sukarelawan akan tampil untuk menyingsing lengan bersama dengan persatuan-persatuan sukan dan lebih ramai lagi rakan dan anggota keluarga akan menawarkan sokongan emosi kepada para atlit ketika mereka berusaha sedaya upaya untuk memburu kecemerlangan.

Perjalanan untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan adalah rumit dengan seseorang atlit perlu menguasai kemahiran teknikal, fizikal dan mental. Sains dan perubatan sukan juga memainkan peranan penting dalam usaha mencapai kecemerlangan.

Sekiranya semua faktor ini bersatu dan berupaya diselaraskan sepanjang tempoh dua minggu setiap empat tahun, kita mungkin dapat mendengar lagu kebangsaan Majulah Singapura berkumandang sekali lagi di pentas Sukan Olimpik.

Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah dan Singapura dan rakyat negara ini mampu membina sebuah negara bertaraf dunia pertama dalam tempoh yang begitu singkat dan mencipta nama di persada antarabangsa dalam bidang-bidang seperti kewangan dan pendidikan.

Tentu sekali kita dapat menerapkan semangat kental ini untuk sukan kita.

Perjalanan untuk meraih kemenangan tidak bergantung hanya kepada seseorang individu atau sesebuah pertubuhan tetapi kepada kita sebagai sebuah negara yang bersatu padu.

MENGENAI PENULIS:
Nicholas Fang adalah bekas atlit lawan pedang dan triatlon negara dan pernah menerajui persekutuan lawan pedang dan pentatlon moden Singapura. Beliau juga pernah menganggotai Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan adalah Ketua Rombongan Team Singapore dalam temasya Sukan SEA 2015. Beliau kini menguruskan khidmat runding cara bagi pengurusan sukan. 

Sumber : Today/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan