Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menghidupkan Lebaran, Merayakan Keihsanan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Sudah sering terlafaz bahawa Hari Raya di bulan Syawal adalah lambang kejayaan besar menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Syawal juga sering terfaham sebagai bulan untuk bermaaf-maafan. Timbangan mizan yang akan memperkira pahala ibadah puasa yang dijanjikan di Hari Pembalasan adalah antara amalan yang dikejar oleh umat yang beriman.

Namun kebaktian kita dalam beribadah pasti juga bukan semata-mata kerana ganjaran pahala. Kebaktian kepada Tuhan bukanlah seperti transaksi untung rugi atau menang kalah, bukan juga berbentuk kredit dan debit, kerana kebaktian kepada Tuhan tidak terukur dengan kefahaman manusia yang terbatas.

Kebaktian Tuhan dalam kefahaman paling mendasar adalah diperpanjangkan sesuatu kebaikan itu kepada umat manusia secara umum, atau kekhasannya kepada mereka yang memerlukan atau yang terlantar dan terpinggir.

Itulah keterpanggilan bagi yang beriman dalam menjalankan ibadah yang menjadi tuntutan dari Tuhan. Ia mesti dilakukan dengan niat ikhlas, tanpa berkondisi itu dan ini, jauh lagi berharap ganjaran itu dan ini.

IBADAH RAMADAN & SYAWAL

Sesungguhnya Sang Pencipta tidak memerlukan apa-apa dari kita, makanya ibadah kepadaNya bukanlah seperti penyembahan kedewaan dalam ajaran kuno. Berbakti kepada Tuhan dalam pengertian agama rata-rata tertuju kepada menyempurnakan amanah yang diberikan oleh Tuhan kepada kita. Dan amanah itu sangatlah luas, baik dari bentuk dan isinya.

Antara amanah tersebut, yang boleh kita jejaki rangkumannya, khasnya ibadah sewaktu Ramadan-Syawal ialah manusia sayugia: (a) sadar kembali kepada fitrah asal manusia; (b) berlaku adil kepada diri dan sesama manusia; (c) berbagi sumber apa yang kita miliki untuk dibagikan dengan berpatut kepada mereka yang berhak menerima dan memerlukannya; (d) terus menginsafi kesalahan kita dan bermohon ampun maaf dari Tuhan dan manusia lainnya; dan (e) akur akan hakikat dimensi beragama yang ada sifat “batin” dan “zahirnya” kerana kedua-dua sisi ini memberi makna bagaimana kita memahami inti kepada sendi tauhid, syariah, fiqah dan tasawuf.

Ibadah dalam pengertian yang substantif sayugia terungkap dalam bentuk yang terus menjadi, bukan dalam bentuk “paket tersiap” ataupun melakukannya untuk mendapatkan habuan semata.

Ibadah yang niatnya menjurus untuk habuan gantian di hari muka adalah jenisan ibadah yang tidak ubah bagai transaksi jual-beli. Dari inti dan semangat agama, penjurusan beribadah seperti itu akan berhujung dengan penyempitan makna dan kefahaman.

Pastinya erti ibadah lebih luas dari itu.

Ibadah bukan saja terletak pada niat tetapi tingkat ikhlas, menyempurnakannya tanpa terlintas mengharapkan apa-apa ganjaran dari Sang Pencipta.

Yang paling indah adalah ibadah yang terus tumbuh dari kesadaran yang bersifat batin dan zahir, yakni dari sisi luar dan dalam.

Dalam bahasa moden, ia adalah suatu proses yang bertahap, ke arah menjadi (becoming ) ke tahap yang lebih sempurna dari yang sebelumnya. Ini dibezakan dengan sikap yang memandang suatu amalan sebagai pemilikan mutlak ataupun mendapat ganjaran semata-mata dari sesuatu perbuatan amalan itu.

Sebaliknya ibadah yang dilakukan dengan niat ikhlas kepada Pencipta dan makhlukNya bukanlah sesuatu matlamat yang berkira-kira mendapatkan ganjaran pada diri sendiri, tetapi berdasarkan keyakinan bahawa hikmah ibadah itu mempunyai kebaikan kepada manusia lainnya, termasuk alam semesta dan dalam proses tersebut membaiki diri kita pada setiap segi kewujudan.

Begitulah dalam ibadah puasa. Ia bukan sekadar lapar dan dahaga, tetapi harus melahirkan kesadaran dan keinsafan terpadu sehingga kita dapat menimba pengalaman dan teladan. Dengan puasa menahan lapar dapat kita insafi betapa yang miskin dan tak berpunya sering perutnya kosong dan berjuang mencari sesuap makanan untuk menyambung hidup.

Dengan mengawal nafsu, terpanggil kita untuk mendisiplinkan diri untuk terus mengawal nafsu badani, tutur kata, perbuatan dan pergaulan dan sadar akan keterbatasan dan kemampuan manusia itu sendiri.
PUASA PUPUK SIKAP KESEDERHANAAN

Puasa mengajar kita menyederhanakan setiap sisi kehidupan. Puasa menuntut upaya yang menjalankan kehidupan serba sederhana selain mampu mengendali nafsu dan amarah kita.

Itulah disiplin dalam puasa sebagai pelatihan jasmani dan rohani, yang asasnya punya sisi batin dan zahirnya.

Selain amanah, Ramadan dan Syawal terseru kemampuan menegakkan kesederhanaan. Ia bererti berimbang, berpada dan bertempat dalam sukat dan pertimbangan amalan dan perbuatan.

Kesederhanaan dalam kehidupan keseharian menuntut penginsafan untuk tidak sakan bermewah, tidak membuang wang ringgit tanpa munasabah, hemah berbelanja, berjimat dengan sepatut dan sedia berbagi kepada mereka yang memerlukan. Kesederhanaan bukan terlebih kemewahan, bukan juga terlebih kebakhilan.

Kesederhanaan juga menuntut kesadaran untuk membenih dan menyuburkan keihsanan dan kemanusiaan kepada individu, umat seagama, malahan umat manusia lainnya.

Tetapi untuk menanggapi Ramadan sebagai bulan khas beribadah dan menginsafi dalam renungan, adalah kurang tepat.

Sama ada Ramadan atau Syawal, sebagaimana bulan-bulan yang lainnya, ia menuntut kita untuk terus membuat kebaikan menjauhkan segala yang ditegah.

Selain Syawal terkait amat dengan Ramadan sebagai bulan penuh rahmah, bulan Syawal sendiri ditandai dengan banyak lafaz dan perbuatan yang berhujung kepada kebaikan dan kebersamaan, serta doa harapan agar kita ditempatkan antara orang-orang yang meraih kemenangan, sebagaimana terungkap dalam lafaz, “minal ‘aidin walfaizin.’

Kemudian itu disambut lafaz “Taqobbalallahu minna wa minkum,” yakni semoga Allah menerima amal kita dan amal semuanya.
KEMBALI KE FITRAH

Di rantau belahan ini, lafaz yang terlazim ialah “Hari Raya Aidilfitri,” yang bermaksud hari kebesaran dengan kembali kepada fitrah. Inilah keseimbangan yang kita dianjur kembali setelah sebulan puasa, maka hari kebesaran ini, kembali ke kondisi sedia kala, yakni fitrah seadanya sebagai manusia, namun tetap akur pada penegakan kebaikan dan kemuliaan.

Sepanjang bulan mulia ini kita melafazkan “mohon maaf zahir batin”, lantas membawa kita kepada suatu dasar ajaran agama kita bahawa setiap ajaran, amalan dan amanah kepada manusia itu terkandung sisi zahir dan batinnya.

Kedua-duanya saling melengkapi dan tiada akan membawa apa jua makna kalau sesuatu faham dan perbuatan itu kuat pada zahirnya tetapi kontang dari isi batinnya.

Begitupun juga sesuatu faham dan pekerjaan itu walaupun terkandung ampuh isi dan maknanya tetapi tidak terzahir atau dilakukan dengan sempurna. Begitulah sisi makna zahir dan batin yang sering disebut dalam pengungkapan keagamaan kita. Tatkala ia disebut pada lafaz “Maaf zahir dan batin” sekali gus mengingatkan kita bahawa sisi luar dan dalam, bentuk dan isi, semangat dan sifat, semua harus terganding sama, sama melengkapi demi memberikan makna kepada sesuatu amalan dan fikiran. Mohon maaf kita bukan sekadar lafaz harfiah, tetapi diperteguhkan dengan keinsafan dalaman yang utuh.

Begitu juga bila menjalankan amanah membuat kebaikan, niat ikhlas itu harus terbingkai dalam pengertian zahir dan batin. Itulah keindahan yang harus kita teladani dari bulan mulia ini.

Lantas menghidupkan Lebaran bererti sadar memberi ia makna yang sesungguhnya.

Hari Raya bukan pesta tahun baru, bukan pula pesta berbelanja atau berjamu makan-makan. Kekata lebar itu dalam bahasa Jawa merujuk kepada sesuatu yang usai. Maka Lebaran merujuk kepada selesainya Ramadan.

Namun Lebaran juga boleh membawa maksud hal yang lebar atau luas. Hari mulia ini, yang rahmatnya luas, untuk manusia mengecap kemenangan, melakukan kebaikan dan berbagi kerahmatan kepada lain.

Begitulah yang dapat kita saksikan, di bulan ini, kita membuka luas pintu rumah kita untuk saling berkunjung, menyapa dan menjalin silaturahmi antara tetangga, keluarga dan kerabat. Luas atau lebar juga dalam kesediaan kita berbagi apa yang kita ada sedikit kelebihan.

Dalam bulan Ramadan, kita belajar berbagi masakan dan juadah berbuka. Bubur masjid adalah contoh berbagi secara kolektif yang sangat baik. Dalam persiapan membuat kuih-muih untuk Raya, kita berbagi kuih kepada keluarga yang tidak berpunya. Sepanjang Raya Syawal, kita memberi duit raya kepada anak-anak kecil, orang-orang tua, ibu tunggal dan anak yatim, ataupun sanak saudara dan sahabat handai yang tidak bercukupan hidupnya. Berbagi seperti ini boleh dikira sebagai sedekah, yakni anjuran mulia, selain zakat fitrah yang diwajibkan.

Itulah Lebaran, bermaksud lebar hati, lebar jiwa, bertolak dari kemenangan Ramadan. Hari Lebaran adalah perayaan yang harus merangkul semua, kaya dan miskin, tua dan muda, keluarga dan taulan, serta sesama umat seiman dan umat manusia selainnya.

Di pagi Raya, pintu rumah terbuka luas menyambut tetamu yang berkunjung. Itulah tradisi yang tersulam dari semangat agama untuk mengajar kita mendapatkan kemenangan Ramadan, serta berbagi keihsanan di Syawal mulia.

Di hari kemenangan ini juga kita dianjur menyeru dan memuji kebesaran Tuhan. Pastilah kebesaran itu harus tersebar di serata alam dan antaranya itu teristimewa adalah rahmatal lil alamin yakni rahmat Tuhan pada seluruh dan sekalian alam.

Jelasnya Ramadan bulan pelatihan mengawal nafsu, Syawal bulan sambutan menjejaki fitrah kembali sadar sebagai manusia beriman, memohon pengampunan, dengan faham batin dan zahir itu menjadi asas dalam kita memaknakan kehidupan beragama, sedangkan beragama itu sebagai landasan penyempurnaan kehidupan.

Sayugia Hari Raya, hari kebesaran, menyadarkan bahawa kitalah makhluk yang diamanah untuk memakmurkan dunia ini, amanah menegakkan keadilan, amanah menyampaikan fitrah asasi manusia, amanah menyempurnakan tugas kehidupan yang ada sisi batin dan zahirnya.

Semoga sepanjang Syawal mulia ini kita penuhkan dengan seluas dan selebarnya untuk kita berdiri membawa kebaikan dan kesejahteraan untuk umat manusia dan segala kehidupan, termasuk alam sekitar yang kita huni ini.
<p>(Gambar hiasan: iStock)</p>
Lebaran yang sebenarnya adalah kelebaran kemanusiaan kita untuk utuh beriman dan bersungguh membuat kebaktian. Itulah kelebaran jalan yang harus kita tempuh untuk mendapat keredaanNya.

Izinkan disempurnakan renungan ini dengan bait-bait syair melebarkan makna Syawal:

Usai Ramadan dinantikan hilal
Sempurna puasa akhir dan awal
Hari Berlebaran di satu Syawal
Kemenangan yang diraih mestilah afdal


Sempurna puasa akhir dan awal
Laksanakan amanah mencari bekal
Keikhlasan dan keihsanan dijanji kelal
Membaiki kemanusiaan seruan Sang Tunggal


Moga Lebaran bersisi keihsanan
Tersuguh semua nikmat Rahmatan
Selamat Hari Raya menyemat ucapan
Maaf Zahir Batin ikhlas dipohonkan.
MENGENAI PENULIS:
Dr Azhar Ibrahim Alwee adalah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan