Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menghayati sejarah untuk tajamkan pemikiran kritis; hakiskan 'minda terjajah'

Dalam petikan Ceramah Peringatan Syed Hussein Alatas yang keempat anjuran Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) baru-baru ini, sejarawan Profesor Wang Gungwu mengimbas kembali perbincangannya bersama dengan rakan seangkatan, cendekiawan ulung Allahyarham Syed Hussein Alatas tentang gerakan antipenjajah dan kemerdekaan yang pada satu ketika dahulu rancak dibahaskan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam petikan Ceramah Peringatan Syed Hussein Alatas yang keempat anjuran Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) baru-baru ini, sejarawan Profesor Wang Gungwu mengimbas kembali perbincangannya bersama dengan rakan seangkatan, cendekiawan ulung Allahyarham Syed Hussein Alatas tentang gerakan antipenjajah dan kemerdekaan yang pada satu ketika dahulu rancak dibahaskan.

Mungkin ada perkara-perkara yang menarik dalam perbincangan kita kira-kira 60 tahun yang lalu. Keadaan dunia begitu berbeza pada ketika itu dan mungkin terdapat pengajaran daripada kemungkinan dan matlamat-matlamat yang kami anggap sebagai sesuatu yang harus dicapai ketika itu.

Saya ingin berkongsi tentang beberapa isu menarik yang menjadi keprihatinan dan dibincangkan ketika itu yang menyedarkan saya tentang perkara-perkara yang pernah dipandang enteng oleh diri saya sendiri dan bagaimana ia mengubah tanggapan saya terhadap peristiwa-peristiwa pada ketika itu.

BACA: Prof Wang Gungwu: Imperialisme, penjajahan masih wujud, termasuk 'menguasai minda anda'

(Gambar: Mohamed Imran Mohamed Taib/Facebook)

WACANA ANTIPENJAJAHAN

Saya berkenalan dengan Hussein ketika universiti-universiti kita dianggap sebagai tempat para mahasiswa dilatih untuk berkhidmat kepada sebuah negara yang sedang dibina semula. Para pensyarah turut digalak supaya menyumbang kepada proses pembangunan jati diri negara.

Kami bertemu pada 1962 ketika beliau menyertai jabatan pengajian Melayu di Universiti Malaya sementara saya pula menyertai jabatan sejarah. Pada ketika itu pembangunan negara banyak menjadi tumpuan perbualan kami.

Ramai pakar sains kemasyarakatan Eropah juga membahaskan isu lebih luas tentang asal usul imperialisme yang mungkin berputik daripada kepentingan kapitalisme. Hussein sangat menyedari bahawa pejuang-pejuang nasionalisme di Hindia Timur Belanda berhasil mengecapi kemenangan di medan pertempuran. Lantaran itu beliau peka terhadap seruan-seruan untuk membentuk Indonesia Raya.

Sedangkan di Malaya, beliau memerhatikan bagaimana golongan elit mempunyai kepentingan yang berbeza-beza dan kurang kritikal terhadap peninggalan pemerintahan penjajah.

Kampus kedua Universiti Malaya di Singapura di mana saya mengajar merupakan sebuah universiti yang bersasasilahkan institusi zaman penjajah. Ia ditubuhkan untuk mempersiapkan para mahasiswa supaya dapat berkhidmat kepada negara Malaya baru yang pada suatu hari nanti akan juga meliputi Singapura.

Sebagai mahasiswa, kita berbahas tentang pelbagai gerakan antipenjajah yang kita perhatikan di sekeliling kita, lebih-lebih lagi di rantau yang disebut oleh British sebagai Asia Tenggara.

Kami mendambakan kemerdekaan tetapi kami diyakinkan bahawa negara kami itu perlu dibina berdasarkan model negara Eropah moden.

Untuk berbuat demikian, kami diajar supaya menentang kaedah-kaedah revolusi seperti yang berlaku di negara-negara jiran dan yang dilaksanakan oleh Parti Komunis Malaya dan sebaliknya merundingkan peralihan kuasa kepada parti-parti politik tempatan.

Beberapa tahun kemudian, Hussein menerangkan kepada saya bahawa apa yang saya percaya pada ketika itu sebenarnya adalah sebahagian daripada misi peralihan ke tamadun yang berakar dari kepentingan kapitalisme.

Saya menyingkap kembali bagaimana saya mempertahankan pendirian saya dengan merujuk kepada sebuah kelab sosialis yang diasaskan oleh saya dan seorang rakan. Kesemua anggotanya prihatin terhadap keadaan hidup para pekerja dan orang kebanyakan serta mereka yang miskin. Sungguhpun demikian kami menaruh harapan agar nasib mereka akan dapat diperjuangkan menerusi politik demokrasi yang kami menjangkakan akan diwujudkan.

Beliau juga mengingatkan saya bahawa meskipun saya gemar berbahas tentang gerakan antipenjajah sebagai seorang mahasiswa, kami sebenarnya mengadakan perbahasan itu dengan menggunakan bahasa penjajah dan perbincangan itu sebenarnya dari sudut pandangan Barat dan Imperialisme.

Bahkan selepas Merdeka pada 1957, ramai antara kita mengambil mudah erti sebenar di sebalik detik bersejarah itu. Hussein bertanggapan pendirian antipenjajah kami kelihatan cetek dalam pemikirannya. Maka itu, kami gagal mempersoalkannya secara mendalam sehinggakan menerima bulat-bulat peluasan Malaya untuk meliputi Borneo.

Perbincangan saya dengan Hussein mendorong saya untuk bertanya mengapa fasa antipenjajah dalam hidup saya begitu singkat. Selepas merdeka, kami mengalihkan tumpuan dari perbahasan tentang penjajahan kepada penubuhan Malaya sebagai sebuah negara moden.

Negara itu mempunyai perlembagaan yang menjamin kebebasan dan sistem demokrasi yang berteraskan kedaulatan undang-undang. Hak rakyat dan adat turun-temurun dilindungi dan dipertahankan. Sebagai warganegara baru dalam persekutuan itu, saya bertuah kerana diberi peluang untuk menjadikan Malaya sebagai tanah air saya. Sebab itulah pandangan antipenjajah saya lebih berunsur intelektual dan bukan benar-benar dijiwai.

(Gambar: Flickr/Brian J. Chong)

Dalam konteks itulah Hussein menyedarkan saya bahawa pihak universiti kurang peka terhadap wacana penjajah yang mencorakkan pemikiran moden. Kami menerima peluasan untuk meliputi Borneo tanpa pemikiran yang kritis. Saya mengimbas kembali bagaimana rakan-rakan saya berusaha untuk membina Malaya sebagai sebuah negara tetapi tidak mempunyai cukup masa untuk menentukan perkara-perkara yang patut dilakukan. Kurang empat tahun selepas merdeka pada 1957, kami dimaklumkan bahawa Malaya akan menambah wilayahnya untuk membentuk Malaysia.

Sebagai perbandingan, Hussein benar-benar memahami kekerasan dasar penjajah di Hindia Timur Belanda. Beliau yakin British tiada bezanya dari Belanda. British kelihatan lebih fleksibel tetapi ini hanya kerana mereka tidak mempunyai tenaga pentadbir yang secukupnya untuk memerintah setiap pelosok empayarnya dan untuk mentadbirnya sebagai tanah jajahan. Lantaran itu, pihak British berurusan dengan negara-negara berdaulat dan ia menggunakan segala kemahirannya untuk membantu negara-negara itu menjadi ekonomi moden.

Pada masa yang sama, suara lantang yang memperjuangkan nasib buruh dan orang kebanyakan, yang dianggap dieksploitasi oleh majikan kapitalis, mengundang syak wasangka sebagai pesimpati komunis oleh pemerintah British.

Akhirnya, kritikan paling lantang yang menuduh bahawa semua itu adalah satu muslihat kolonial adalah dari Presiden Sukarno di Indonesia dan ia mengatasi suara-suara lain.

Sebaik saja Konfrontasi ditimbulkan dalam konteks Perang Dingin bagi menentang komunisme ramai antara kami menganggap bahawa kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menjayakan Malaysia. Dan yang mengejutkan semua pihak adalah apabila negeri ke-14 Malaysia yang lebih makmur, Singapura, berasa bahawa ia terpaksa meninggalkan Persekutuan Malaysia.

ANTARA SEJARAH DENGAN KEMASYARAKATAN

Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan berkongsi tentang bibit-bibit kenangan mengenai bidang-bidang istimewa yang diminati saya dan juga Hussein.

Pada ketika itu, saya mengajar kursus tentang teori dan kaedah sejarah, yang diambil alih daripada pensyarah terdahulu. Hussein ingin mengetahui bagaimana saya menangani isu catatan sejarah oleh anak kelahiran rantau ini.

Saya tidak pernah melibatkan diri secara langsung dalam perbahasannya sebelum ini. Namun pendekatan saya adalah untuk meneliti tradisi-tradisi catatan sejarah yang berbeza-beza sejak zaman purba dan kemudian merungkai teras falsafah di sebalik setiap tradisi.

Kursus teori dan sejarah itu, yang diajarkan di banyak universiti Barat, lazimnya dimulakan dengan pengajian tentang karya-karya sejarawan Yunani dan Rom seperti Herodotus dan Tacitus dan sebagainya serta pengikut-pengikut utama mereka.

Saya menerangkan kepada Hussein tentang bagaimana saya membanding-bandingkan mereka dengan tradisi warisan sejarawan Cina, seperti Ssu-ma Ch'ien dan Ban Gu yang mencorak catatan sejarah mereka menurut keperluan berterusan negara mereka.

Ia berbeza jika dibandingkan dengan Mahabharata dan Ramayana, iaitu catatan-catatan sejarah India sepanjang seribu tahun, kaya dengan kisah-kisah tentang dewa dan tuhannya. Maka itu saya meminta pandangan Hussein tentang sejarah yang berasaskan kitab suci Al-Quran, khususnya berhubung ilmuwan dan cendekiawan Islam.

Pada waktu itu, saya mengajar tentang karya-karya yang dipetik oleh Charles Issawi dari Muqaddimah Ibn Khaldun. Hussein sangat berpengetahuan tentang tulisan Ibn Khaldun dan beliau menggalak saya supaya mendalami dan memperluaskan pembacaan untuk lebih menghayati pengajian sejarah serta keberkaitan antara Sejarah dengan Sosiologi yang tersurat dalam Muqaddimah.

Hasilnya, saya menjadi lebih yakin semasa menyampaikan kuliah tentang pandangan-pandangan Ibn Khaldun dan saya semakin menyanjunginya atas kebijaksanaannya. Saya juga percaya bahawa saya mampu meyakinkan para mahasiswa sejarah untuk menghayati betapa dalamnya falsafah Ibn Khaldun.

Hussein membangkitkan kesedaran saya tentang sosiologi ilmu pengetahuan dan membantu saya belajar tentang kuasa warisan intelektual.

Walaupun saya tidak dapat berganjak sepenuhnya daripada kaedah sejarah yang dipelajari, saya yakin bahawa perbincangan saya bersama dengan Hussein kira-kira 60 tahun lalu memastikan saya tidak terlalu menekankan kaedah sedemikian.

Atas sumbangannya itu, saya amat berterima kasih.

MENGENAI PENULIS:
Profesor Wang Gungwu adalah profesor Universiti Nasional Singapura dan Pengerusi Institut Asia Timur.

Profesor Wang Gungwu di satu siri ceramah sempena memperingati cendekiawan Almarhum Syed Hussein Alatas pada 19 Nov 2021.

MENGENAI PENULIS:
Profesor Wang Gungwu adalah profesor Universiti Nasional Singapura dan Pengerusi Institut Asia Timur.

Sumber : BERITAmediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa