Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Menghadapi dua paksi – dapatkah jalinan keruh Amerika-China dijernihkan

Hubungan Amerika-China yang bertambah tegang di bawah Pentadbiran Trump jelas merosakkan ekonomi sejagat. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Menghadapi dua paksi – dapatkah jalinan keruh Amerika-China dijernihkan

Gambar fail bendera kedua-dua negara Amerika Syarikat dan China. (Gambar: AFP/Ng Han Guan)

BERITAmediacorp: Hubungan Amerika-China yang bertambah tegang di bawah Pentadbiran Trump jelas merosakkan ekonomi sejagat. Sejauh mana kedua-dua negara boleh ikut nasihat supaya segera menjernihkan suasana demi kepentingan semua?

Bendera ASEAN (kanan) dan negara-negara anggotanya (Gambar: AFP/Tang Chhin Sothy)

Dapatkah Amerika Syarikat (AS) dan China memulihkan jalinan mereka secara “untung bersama” (win-win situation)?

Inilah antara persoalan genting bagi jagat sejak Encik Joe Biden muncul sebagai bakal presiden ke-46 selepas mengalahkan presiden bertahan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika awal November lalu.

Dalam satu wawancara dengan Bloomberg, Perdana Menteri Singapura Encik Lee Hsien Loong menaruh harapan agar ‘perang dagang’ dua gergasi itu dapat digencatkan. Malah, PM Lee berharap agar Encik Biden dapat menampilkan rumus pemulihan jalinan itu.

Hakikatnya, sepanjang penggal khidmat Trump tertonjol betapa keruhnya hubungan dua adikuasa dunia ini, bukan saja dari segi perdagangan bahkan hubungan antara rakyat.

Suasana ini menepati ramalan 30 tahun lalu oleh mahaguru Universiti Harvard, Samuel L Huntington, bahawa akan berlaku “pertembungan tamadun” yang seru antara AS dan China kelak. Kesannya akan menjejas seluruh jagat.

Hal tadi diakui oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang menyatakan bahawa akibat ‘perang dagang’ AS-China, kemajuan perdagangan jagat terencat! Hal ini diperburuk pula oleh pandemik COVID-19 sejak Mac tahun ini.

LANGKAUI DIMENSI EKONOMI

Pada Oktober tahun ini di Forum Ekonomi Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan bahawa China sudah mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebagai ekonomi terbesar jagat.

Pengumuman ini sudah lama dijangka. Namun, ini tidak bermakna ‘pusat’ ekonomi dunia segera beralih ke China. Misalnya, kadar faedah di banyak negara dunia, termasuk Singapura, masih berpandukan rentak pasaran terbesar dunia, Bursa Saham New York dan dasar-dasar Bank Simpanan Federal AS.

Menurut IMF, ekonomi China sebesar AS$24.2 trilion ialah seperenam lebih besar daripada AS, AS$20.8 trilion. Memang dari segi keluasan, China besar sedikit daripada AS iaitu 9.57 juta km persegi berbanding dengan 9.1 juta km persegi. Dari segi penduduk, China menampung 1.42 bilion jiwa iaitu empat kali lebih ramai daripada AS.

SALING MEMERLUKAN

Fakta-fakta sejarah dan perkembangan ekonomi menunjukkan bahawa dua gergasi tadi saling memerlukan.

Namun Pentadbiran Trump mendapati bahawa ‘lebihan’ dagangan kian berpihak pada China. “Ini tidak adil”, hujah Presiden Trump yang menyalahkan China, termasuk mencetuskan pandemik COVID-19 yang dikatakannya sebagai ‘demam selesema China’ (Chinese flu).

Presiden Trump. (Gambar: Alex Brandon/AP Photo)

Ramai pihak di AS dan sekutu AS seperti Jepun mendapati ada benarnya ketegasan Pentadbiran Trump. Kurangan atau defisit dagangan AS dengan China terus meningkat dari 1996 sehingga 2019 iaitu daripada AS$70 bilion menjadi AS$420 bilion pada 2018.

Pentadbiran Trump juga mendakwa China telah meraih banyak faedah dengan menghantar ramai pelajarnya untuk menuntut di institusi terkenal Amerika sementara banyak firma besar AS pula melabur di China.

Dalam suasana keruh ini, AS telah menahan beberapa warga China atas tuduhan pengintipan rahsia teknologi perusahaan.

DIPLOMASI PING PONG

Dunia tidak akan lupa akan diplomasi ‘ping pong’ atau tenis meja yang merapatkan AS dengan China. Ia bermula dengan pertukaran para pemain tenis meja dua negara selepas satu kejohanan di Nagoya, Jepun, pada 1971.

Pada 1972, Presiden Richard Nixon telah berkunjung rasmi ke China. Langkah ini dinilai amat strategik dalam konteks Perang Dingin. Tindakan AS telah ‘mengepung’ adikuasa komunis, Soviet Union (kini diwarisi Rusia) yang merupakan pesaing China.

China alami perubahan besar dengan mendakap ekonomi pasaran atau kapitalisme selepas kematian Pengerusi Parti Komunis Mao Zedong pada 1976 dan apabila Deng Xiao Peng telah dikembalikan ke persada kuasa China.

Dek kagum dengan kemajuan Singapura, mendiang Deng (1904-1997) telah merapati Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew untuk memanfaatkan nasihat beliau bagi proses pemodenan China.

Gambar fail mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew di satu sesi dialog pada 2011 (Gambar: Reuters)

Di bawah dasar tunjang ‘sebuah negara, dua sistem’ yang diperkenalkannya, Deng berjaya memacu negaranya menjadi adikuasa dunia yang baru.

PERSAINGAN SIHAT

Maka dalam konteks inilah mungkin dunia dapat menghargai nasihat PM Lee Hsien Loong kepada dua negara tadi.

Hakikatnya, Singapura sebagai negara kecil amat bergantung kepada perdagangan dunia dan keutamaan pelaksanaan undang-undang antarabangsa. Oleh itu, jalinan Singapura dengan semua negara, termasuk AS dan China, berlaku secara telus dan saling menghormati.

Peranan Singapura dalam ASEAN juga mengambil kira dimensi geopolitik ini. Dalam menghadapi dua gergasi tadi, ASEAN cuba membina suasana membina persefahaman antara para pemain utama dunia. Ini dilakukan menerusi dialog kerantauan yang merintis kerjasama dan persaingan sihat.

Malangnya, sejumlah tindakan Pentadbiran Trump telah menjejas prakarsa (inisiatif) antarabangsa, termasuk usaha ASEAN. Misalnya, Pentadbiran Trump enggan menyertai Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) yang berpotensi besar untuk menjadi Lembangan Asia Pasifik sebagai pelantar terbesar kemajuan jagat.

MERUBAH PERSEPSI

Dengan menjulang dasar ‘Utamakan Amerika’, Pentadbiran Trump telah meremehkan ikatan antarabangsa termasuk Perjanjian Paris yang bertujuan mengekang kerosakan alam sekitar.

Di bawah Perjanjian Paris, S'pura perlu mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 36 peratus berbanding paras 2005, menjelang 2030. (Gambar hiasan: Shammi Mehra/AFP)

Dasar-dasar Pentadbiran Trump telah merubah persepsi di AS terhadap China yang dinilai lebih ‘berbahaya’ berbanding dengan Rusia (dulunya Soviet Union), menurut tinjauan Pew. Dikatakan 73 peratus warga AS yakin bahawa China yang diperintah secara autoritarian merupakan musuh nyata.

Kalau liputan media China boleh dijadikan ukuran, begitu juga jelas terpapar kecurigaan mendalam warga China terhadap AS. Pandangan dua pihak tadi bak pintalan ikat mati dan memang sukar dirungkai dalam jangka pendek.

Presiden China Xi Jinping berucap di pameran dagangan di Shanghai pada 5 Nov 2019 (Gambar: AFP/Hector Retamal)

Misalnya, rumah di Iowa, AS, yang diinapi oleh Encik Xi Jinping (ketika itu selaku pegawai rendah pemerintah China) pada 1985, telah diiktiraf sebagai lambang jalinan dua negara. Namun rumah itu kini terbiar usang, seperti yang dilaporkan South China Morning Post baru-baru ini.

RINTANGAN JIWA

Mantan Setiausaha Negara Amerika Henry Kissinger, 97 tahun, (orang yang merintis kunjungan Presiden Nixon ke China pada 1972) berpendapat aspek rintangan jiwa akan menentukan sejauh mana jalinan AS dan China boleh menghasilkan suasana persaingan sihat atau sebaliknya membawa kepada peperangan!

Beliau telah menasihatkan para penggubal dasar AS agar menghargai China – duduk sama rendah, berdiri sama tinggi – demi menghasilkan kerjasama bermakna.

Dari satu segi, nasihat yang berupa amaran tadi menunjukkan betapa gentingnya AS dan China cuba segera menjernihkan suasana – membina kepentingan bersama dan mengecilkan perbezaan antara mereka.

Bagi negara-negara lain seperti Singapura, inilah yang kita harapkan berlaku apabila pentadbiran baru Amerika mengambil alih kuasa pada Januari depan.

Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)

MENGENAI PENULIS: 

Penulis ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan