Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mengapa mencegah lebih baik daripada mengubati mesti terus dijadikan benteng utama jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mengapa mencegah lebih baik daripada mengubati mesti terus dijadikan benteng utama jagaan kesihatan

Mastocheck boleh digunakan sebagai tambahan ke[ada mamogram rutin bagi diagnosis yang lebih tepat. (Gambar: BongkarnThanyakij/iStock)

BERITAmediacorp: Peperangan terhadap penyakit kencing manis (diabetes) diperjuangkan melalui gaya hidup sihat dan pencegahan, menggalak penduduk untuk kekal aktif dan makan sihat demi mengurangkan risiko penyakit kencing manis yang juga dikenali sebagai diabetes.

Kajian NPHS 2020 yang terbaru menyaksikan peningkatan dalam kelaziman penyakit darah tinggi atau yang dikenali sebagai hipertensi dan penyakit hiperlipidemia/kolesterol tinggi.

Kajian NPHS 2020 juga mendapati pengurangan dalam kelaziman rakyat Singapura menyertai ujian saringan dan melakukan aktiviti fizikal.

Gaya hidup aktif terus digalakkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH). Komponen penting dalam pembaharuan penjagaan kesihatan adalah untuk menggalak dan menyokong gaya hidup sihat. Kita dapati bahawa Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) lebih peka dan kini mengadakan lebih banyak aktiviti percuma seperti kelas zumba percuma untuk masyarakat setempat.

BERI PERHATIAN KEPADA PENYAKIT LAIN JUGA

Selain daripada diabetes, terdapat banyak lagi penyakit yang amat penting yang tidak harus kita abaikan. Ini termaksuklah penyakit darah tinggi dan kolesterol tinggi, penyakit jantung, penyakit angin ahmar dan penyakit barah yang lebih kerap berlaku dalam masyarakat maju. Ujian saringan yang disyorkan untuk populasi umum, termasuklah untuk penyakit:

●Diabetes Jenis 2
●Tekanan darah tinggi
●Kolesterol tinggi
●Barah payudara
●Barah pangkal rahim
●Barah usus kolorektal

Untuk barah payudara, pemeriksaan yang paling penting adalah mamogram yang dilakukan selepas berumur 40 tahun. Barah payudara senang diubati jika diketahui awal. Ini amatlah penting jika mempunyai keluarga yang juga mempunyai barah yang sama, lebih-lebih lagi jika mereka mendapat barah payudara pada usia yang muda.

Untuk barah usus atau barah kolorektal, ujian saringan boleh dilakukan melalui pemeriksaan darah, pemeriksaan najis dan juga melalui kaedah kolonoskopi. Sama seperti barah payudara, ini amatlah penting jika seseorang mempunyai risiko seperti keluarga yang juga menghidap barah usus.

Barah serviks adalah barah yang boleh berlaku dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Kebanyakan kes berlaku di negara yang kurang maju dan mempunyai sumber yang terhad. Di negara yang kaya dengan sumber, penurunan dalam insiden barah serviks dan kadar kematian adalah berkaitan dengan ketersediaan program saringan dan pemvaksinan human papillomavirus (HPV).

Pemeriksaan boleh mengesan prekursor dan penyakit peringkat awal untuk kedua-dua jenis barah serviks: karsinoma sel skuamosa dan adenokarsinoma. Rawatan prekursor dan penyakit peringkat awal boleh menghalang perkembangan barah serviks invasif dan mengurangkan kematian barah serviks.

Kaedah yang tersedia untuk pemeriksaan barah serviks adalah ujian Papanicolaou (Pap), ujian untuk mengesan virus HPV, dan ujian bersama (pap dan HPV).

Jangkitan dengan strain onkogenik HPV yang berisiko tinggi (hrHPV) dan jangkitan hrHPV yang berterusan adalah penentu sama ada seseorang itu akan menghidap barah serviks. Bagi mereka yang merokok, jangkitan virus HPV susah untuk dilawan dan jangkitan yang berterusan akan menyebabkan barah pangkal rahim.

Pengesyoran untuk ujian saringan, mengimbangi faedah daripada pengesanan awal yang boleh dirawat dan pengurangan pada jumlah kematian barah serviks dengan potensi risiko keputusan ujian yang positif palsu. Manfaat dan risiko yang berpotensi berbeza-beza mengikut umur, sejarah perubatan dan faktor risiko.

PENTING JALANI UJIAN SARINGAN

Terdapat perdebatan tentang siapa yang hendak disaring, kaedah ujian mana yang lebih baik, dan berapa kerap kita perlu membuat ujian saringan.

Selain daripada ujian saringan, pencegahan kesihatan meliputi juga kesedaran mengenai vaksinasi.

Bagi vaksinasi yang diberikan subsidi termasuklah suntikan bagi mencegah virus influenza dan pneumokokus bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas atau yang mempunyai masalah penyakit kronik.

Selain suntikan vaksinasi untuk virus influenza, terdapat banyak lagi suntikan vaksinasi dalam program imunisasi kebangsaan, bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga untuk orang dewasa.

Ini termasuk suntikan vaksinasi untuk mencegah virus hepatitis, virus HPV, penyakit campak, beguk dan vaksinasi untuk menghidari penyakit diptheria, pertusis dan tetanus.

Bagi populasi dewasa umum, kita sentiasa memujuk dan menggalak masyarakat dengan menyelitkan pendidikan awam demi meningkatkan celik kesihatan dan kesedaran tentang faktor risiko gaya hidup yang boleh diubah suai untuk penyakit kronik.

MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

Kalau boleh, tabiat sihat yang bermula dari muda adalah lebih baik. Mencegah juga lebih baik daripada mengubati penyakit.

Penjagaan pencegahan adalah asas kepada penjagaan kesihatan, maka adalah wajar diberikan subsidi.

Bagi rakyat Singapura, kita boleh menyahut seruan untuk menjadi lebih sihat, bukan sahaja untuk menangani penyakit kencing manis, tetapi penyakit-penyakit lain yang boleh memudaratkan kehidupan seharian kita.

Apabila badan kita berasa sihat, minda kita pun lebih sihat dan kita berasa lebih bahagia.

MENGENAI PENULIS:


Dr Nurhidayati Mohamed Suphan adalah doktor perbidanan & sakit puan Pacific Healthcare Specialist Centre.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan