Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mengapa kita perlu 'Jaga Makan, Jaga Badan' untuk kekal sihat

Sebagai bapa kepada empat anak kecil, saya sentiasa sibuk dengan tuntutan kerja dan tanggungjawab keluarga dan saya sedar bahawa ia mungkin mencabar untuk mencari masa lapang untuk diri sendiri. Apabila saya perlu bertugas sehingga ke larut malam, makan malam saya dilambat-lambatkan dan tabiat pemakanan sihat sering kali diabaikan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebagai bapa kepada empat anak kecil, saya sentiasa sibuk dengan tuntutan kerja dan tanggungjawab keluarga dan saya sedar bahawa ia mungkin mencabar untuk mencari masa lapang untuk diri sendiri. Apabila saya perlu bertugas sehingga ke larut malam, makan malam saya dilambat-lambatkan dan tabiat pemakanan sihat sering kali diabaikan.

Hanya setelah suatu kebimbangan tercetus berhubung kesihatan saya, barulah saya menyedari tentang betapa pentingnya untuk mengutamakan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

BIMBANG TENTANG KESIHATAN

Pada Disember 2021, semasa bercuti bersama keluarga, suatu kebimbangan tentang kesihatan memaksa saya untuk menilai semula pilihan gaya hidup saya. 

Sebaik pulang ke tanah air, saya membuat janji temu dengan doktor saya untuk menjalani pemeriksaan. Meskipun hasil pemeriksaan menunjukkan saya berada dalam keadaan sihat, doktor saya menasihati saya supaya menurunkan berat badan.

Pada masa itu, berat badan saya adalah 80 kilogram dan saya sedar bahawa saya perlu mengambil tindakan supaya bertambah sihat. Sungguhpun saya tidak "kelihatan" gemuk, berdasarkan Indeks Jisim Badan (BMI), saya berlebihan berat badan dan saya sedar bahawa saya perlu melakukan perubahan besar pada gaya hidup demi mencapai matlamat saya.

LANGKAH DEMI LANGKAH

Saya bermula dengan menyertakan kegiatan berjalan ke dalam rutin harian saya, dengan meningkatkan intensiti dan tempoh berjalan secara beransur-ansur. 

Selepas beberapa minggu, saya menyertakan Latihan Berjeda Keamatan Tinggi (HIIT) ke dalam rutin senaman saya. Saya melakukan senaman-senaman mudah pada mulanya dan mencabar diri saya untuk beralih ke senaman-senaman lebih rumit secara beransur-ansur.

Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, terutamanya pada beberapa hari pertama. Terdapat juga hari-hari tertentu di mana saya tidak teringin untuk bersenam, tetapi saya sedar bahawa saya perlu kekal komited demi mencapai matlamat saya.
 

(Gambar: Unsplash)

Saya juga sedar bahawa mana-mana senaman atau kegiatan fizikal yang ingin saya lakukan mempunyai batas: lutut saya sering kali mengalami kecederaan. Saya gemar bersukan, tetapi akibat lumrah sukan yang serba berbentuk persaingan, terdapat kecenderungan lebih tinggi untuk saya mengalami kecederaan. 

Lantaran itu, adalah penting untuk mencari rutin senaman yang sesuai untuk diri anda. 

Ia boleh melibatkan kegiatan semudah berjalan, berbasikal atau sesuatu yang lebih intensif seperti HIIT. Yang penting adalah anda dapat mencari sesuatu kegiatan yang boleh anda nikmati dan lakukan secara berterusan.

Sedang saya meneruskan rejimen senaman baru saya, saya juga mula memberi tumpuan kepada pemakanan yang betul dan tabiat tidur yang baik. Sekali lagi, saya bermula dengan melakukan perubahan-perubahan kecil, seperti makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta mengurangkan minuman manis dan makanan diproses. 

Model Pinggan Sihat adalah panduan paling mudah bagi mengisi pinggan anda. Isi separuh pinggan dengan sayur-sayuran, suku daripadanya dengan karbohidrat seperti nasi dan suku terakhir pula diisi dengan protein seperti ayam atau ikan.

Saya juga memastikan supaya saya mendapat tidur yang mencukupi setiap malam bagi memulihkan dan menyegarkan semula tubuh saya. Ia agak mencabar untuk dilakukan pada mulanya, tetapi saya dapat merasakan faedahnya tidak lama kemudian. Sebelum ini, saya akan tidur pada sekitar jam 2.00 pagi dan bangun pada jam 6.00 pagi, tetapi sekarang, saya akan memastikan saya tidur selewat-lewatnya pada tengah malam dan bangun sebelum jam 6.00 pagi.

Sepanjang enam bulan kemudian, saya terus mencatat kemajuan dalam usaha menurunkan berat badan dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat. 

Gambar ihsan: Dr Wan Rizal Wan Zakariah

Akhirnya, melalui usaha konsisten dan tekad berterusan, saya berhasil menurunkan berat badan sebanyak 13 kilogram, sehingga mencapai berat badan sihat yang tidak pernah saya lihat sejak usia remaja.

Melalui pengalaman, saya menyedari tentang betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan dan anda tidak akan pernah terlambat untuk memulakannya. Saya hanya dapat menekankan betapa pentingnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi diri anda dan keluarga anda. 

Langkah menjaga tubuh anda boleh mengurangkan risiko masalah kesihatan pada masa akan datang, menjadikan anda berasa lebih bertenaga dan produktif dan mempamerkan teladan yang baik kepada anak-anak anda.

Saya belajar bahawa perubahan-perubahan kecil boleh mendatangkan perubahan besar dalam menjaga kesihatan anda. Sebagai contoh, berjalan kaki selama 30 minit saja setiap hari atau memilih untuk minum air berbanding minuman manis boleh membawa kesan ketara pada kesihatan anda secara keseluruhannya.

(Gambar fail)

Saya ingin menggalak anda semua supaya mengorak langkah pertama ke arah gaya hidup yang lebih sihat dengan menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa untuk menentukan risiko kesihatan. 

Pengesanan awal masalah kesihatan adalah penting kerana ia boleh memastikan anda menerima rawatan tepat pada masanya dan meningkatkan peluang untuk pulih daripada penyakit berkenaan.

Berikut adalah sebilangan tip Khusus, Boleh Diukur, Boleh Dicapai, Relevan dan Terikat Dengan Garis Masa (SMART) yang saya mendapati telah membantu saya dalam perjalanan saya menuju gaya hidup yang lebih sihat.

Tetapkan Matlamat Khusus: Menetapkan matlamat khusus memudahkan anda untuk menjejak kemajuan anda dan kekal terdorong. Kenal pasti perkara-perkara yang ingin anda capai dan lakarkan rancangan demi mencapai matlamat anda.

Tetapkan Matlamat Boleh Diukur: Pantau kemajuan anda dan buat penyesuaian menurut keperluan. Langkah memantau kemajuan diri adalah pendorong yang sangat baik dan dapat membantu anda kekal di landasan yang betul.

Pastikan Matlamat Boleh Dicapai: Tetapkan matlamat yang mencabar tetapi boleh dicapai. Ini akan membantu anda kekal terdorong dan mengelakkan kekecewaan.

Tetapkan Matlamat Relevan: Tetapkan matlamat yang relevan dengan kehidupan dan keutamaan anda. Ini akan memudahkan anda untuk kekal komited dan terdorong.

Tetapkan Garis Masa: Menetapkan garis masa untuk mencapai matlamat-matlamat anda akan membantu anda kekal fokus dan bertanggungjawab. Ia juga akan membolehkan anda meraikan pencapaian anda dan menetapkan matlamat-matlamat baru.

Kesimpulannya, mengamalkan gaya hidup sihat adalah penting demi kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhannya. Ia mungkin mencabar untuk mengubah rutin harian anda tetapi ia penting demi kesihatan jangka panjang anda.

Mengorak langkah-langkah kecil ke arah gaya hidup lebih sihat boleh mengurangkan risiko masalah kesihatan pada masa akan datang dan menunjukkan teladan baik untuk keluarga anda. Ingatlah bahawa setiap perubahan kecil adalah bermakna dan usaha-usaha anda untuk menjalani gaya hidup sihat adalah berbaloi.

Mengutamakan kesihatan anda adalah penting dan anda tidak akan pernah terlambat untuk memulakannya. Perjalanan saya ke arah gaya hidup yang lebih sihat mengajar saya tentang betapa pentingnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara kerap, bersenam setiap hari, pemakanan seimbang dan tabiat tidur yang baik.

Saya menggalakkan anda semua untuk mengambil langkah pertama ke arah gaya hidup lebih sihat dengan mengamalkan tip-tip tersebut dan menetapkan matlamat-matlamat SMART.

Ingatlah, kesihatan anda adalah anugerah yang tidak ternilai!

Encik Wan Rizal Wan Zakariah. (Gambar: Wan Rizal Wan Zakariah)
MENGENAI PENULIS:
Dr Wan Rizal Wan Zakariah adalah Anggota Parlimen GRC Jalan Besar. Beliau adalah Pensyarah Kanan di Sekolah Sukan, Kesihatan dan Riadah Politeknik Republik.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan