Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mendakapi kepelbagaian laluan pendidikan demi tempuh cabaran hari muka

Tuntutan kerjaya dan kehidupan masa depan yang berubah-ubah memerlukan sistem pendidikan yang membenarkan para pelajar untuk menceburi bidang-bidang yang berpelbagai dan belajar mengikut rentak yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mendakapi kepelbagaian laluan pendidikan demi tempuh cabaran hari muka

Gambar fail pelajar-pelajar politeknik menjalani latihan amali.

BERITAmediacorp: Tuntutan kerjaya dan kehidupan masa depan yang berubah-ubah memerlukan sistem pendidikan yang membenarkan para pelajar untuk menceburi bidang-bidang yang berpelbagai dan belajar mengikut rentak yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

Tiada garis lurus dalam alam semula jadi, kata jurubina Sepanyol Antoni Gaudi, dan ini merupakan suatu hakikat jika direnungkan. Apabila tumbuh-tumbuhan membesar, ia membengkok ke arah matahari dan mengikut tiupan angin. Gunung-ganang tidak berdiri dalam bentuk tiang.

Jalan yang lurus lebih mudah untuk dilalui. Jika kita ingin bergerak dari A ke Z dalam masa paling singkat, kita akan melakar garis lurus antara kedua-dua titik itu. Jika kita mengikuti alunan semula jadi, kita perlu menerima kenyataan bahawa perjalanannya akan penuh dengan selekoh, perhentian dan lencongan. Meskipun perjalanannya mengambil masa lebih lama, ia mungkin lebih bermakna dan mengkayakan.

LALUAN PENDIDIKAN

Saya dan rakan-rakan sekerja saya di Kementerian Pendidikan (MOE) kini sedang giat mengkaji bagaimana kita boleh mempertingkat laluan-laluan pendidikan bagi para penuntut politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Sekitar 70% pelajar dalam setiap peringkat usia menuntut di politeknik atau ITE. Lantaran itu, peningkatan yang kita laksanakan akan mendatangkan kesan yang luas.

(Gambar: MOE)

Kita berusaha untuk melengkapi mereka dengan pengetahuan dan kemahiran bagi pekerjaan dalam jangka masa terdekat dan pada masa yang sama mempersiapkan mereka bagi jangka panjang. Persiapan bagi masa terdekat lebih mudah untuk ditentukan manakala persiapan bagi jangka panjang kadang kala kurang jelas untuk dirancang.

Sebagai contoh, Sharif dan adik lelakinya menuntut di politeknik. Sharif, yang kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara, mengikuti kursus pengajian nautikal dengan lancar dan berasa yakin tentang peluangnya untuk menuntut di universiti dan mendapatkan pekerjaan selepas itu.

Adiknya pula menghadapi beberapa kesukaran dan terpaksa menduduki beberapa modul sekali lagi kerana gagal sebelum ini. Kekecewaan mula terasa. Sharif yakin adiknya berupaya menamatkan kursusnya, tetapi memerlukan masa yang lebih sedikit.

Semasa satu sesi pendampingan baru-baru ini yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada Semakan Peluang dan Laluan dalam Pendidikan Gunaan dan yang saya pengerusikan, Sharif menyarankan agar pelajar-pelajar politeknik diberikan ruang untuk belajar menurut rentak yang sesuai dengan keperluan dan kecenderungan masing-masing.

Gambar: MOE

(Gambar: MOE)

Saya mengalu-alukan kejujurannya dalam menyuarakan keprihatinan pelajar-pelajar lain seperti adiknya dan ini adalah sesuatu yang memang diselidiki MOE - untuk menyokong para pelajar yang mungkin memerlukan masa lebih lama untuk menamatkan pengajian, atau para pelajar yang ingin menceburi pelbagai bidang yang menjangkaui sukatan pelajaran dalam kursus masing-masing.

Kami sedar bahawa para pelajar mempunyai minat dan keperluan berpelbagai, dan ramai yang akan meraih manfaat daripada peluang untuk mengikuti pelajaran mengikut rentak yang sesuai dengan keperluan dan kecenderungan masing-masing. Dengan ini, kita terus menyemarakkan semangat dan motivasi mereka dalam bidang yang mereka ceburi.

Kita mungkin perlu menerima hakikat bahawa laluan-laluan pendidikan tidak semestinya menuruti haluan-haluan yang terbukti berhasil, dan pendekatan sedemikian akan memerlukan perubahan kursus dan kurikulum.

(Gambar fail pelajar-pelajar ITE.)

Ini memandangkan tuntutan ekonomi masa depan lebih menitikberatkan kemahiran serba boleh dan kecerdasan.

Pelajar-pelajar kita mungkin perlu menimba kemahiran berasaskan pengetahuan luas, bukan saja di bangku sekolah tetapi juga sepanjang kerjaya mereka. Ini akan memperkasa kemampuan mereka untuk membuat penyesuaian, membantu mereka merebut peluang-peluang yang memuncul dalam bidang pilihan, dan bahkan juga untuk menukar kejayaan atau sektor.

MEMPERKASA KEMAHIRAN HIDUP & RANGKAIAN SOKONGAN

Dalam persiapan para pelajar untuk berdepan dengan tuntutan jangka panjang, kita bukan saja prihatin tentang kebingkasan mereka dalam kerjaya, tetapi juga dalam melengkapi pelajar-pelajar kita dengan kemahiran dan rangkaian-rangkaian sokongan dalam mengharungi cabaran-cabaran hidup. Ini yang kita sebutkan sebagai Kemahiran Hidup!

Pengajaran-pengajaran berhubung kemahiran hidup diterapkan dalam sukatan pelajaran, misalnya dengan mengajar tentang komunikasi berkesan semasa membuat persembahan, daya bingkas ketika melakukan projek-projek dan kegiatan atau menimba kemahiran bekerjasama semasa menjalani latihan amali.

Gambar fail penuntut-penuntut Politeknik Temasek.

(Gambar fail pelajar-pelajar Politeknik Temasek.)

Kami boleh mengkaji bagaimana kita boleh meningkatkan lagi akses para pelajar kepada sokongan di luar waktu sekolah menerusi kakitangan kita dan rakan-rakan masyarakat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang kekurangan rangkaian sokongan kukuh di rumah.

Saya berbesar hati apabila Hannah, seorang lepasan politeknik baru-baru ini, berkongsi semasa satu sesi pendampingan Semakan tersebut bahawa lebih ramai pelajar sepatutnya digalakkan untuk membantu rakan-rakan sedarjah dan seangkatan usia kerana belia lebih terbuka untuk meminta bantuan daripada rangkaian sokongan keluarga dan rakan-rakan lebih senior.

Hannah sendiri mendakapi peranan demikian menerusi pelibatannya sebagai Penyokong Rakan di politekniknya di mana beliau berusaha mewujudkan kesedaran tentang kesihatan mental dan melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk membantu rakan-rakan yang berkeperluan untuk mendapatkan bantuan.

Selepas mendengar pandangan yang disuarakan lebih 1,200 peserta dalam lebih 40 sesi pendampingan, saya mendapati perbualan-perbualan itu meyakinkan kepercayaan saya sendiri terhadap potensi anak-anak muda kita: Ayuh, kita meluaskan pilihan bagi para pelajar dengan kekuatan dan minat masing-masing yang berpelbagai, dan meningkatkan bantuan bagi para pelajar dari latar belakang yang berbeza-beza dengan keperluan yang berlainan.

Maklum balas mereka membangkitkan keyakinan terhadap hala tuju MOE dari segi laluan-laluan pendidikan yang disediakan, untuk mendakapi kepelbagaian dan erti kejayaan dalam hidup yang lebih luas.

Saya fikir pendekatan demikian dapat menggabungkan ciri-ciri terbaik dalam laluan pendidikan yang lurus mahupun yang berselekoh - membenarkan setiap individu belajar sepanjang hayat, langkah demi langkah.

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohamad Maliki Osman adalah Menteri, Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar.  

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan