Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Memupuk dan Membaris Nara Sumber

Sering apabila seseorang tokoh besar berpulang, akan timbul pertanyaaan – siapakah bakal penggantinya?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sering apabila seseorang tokoh besar berpulang, akan timbul pertanyaaan – siapakah bakal penggantinya?

Bagi masyarakat Melayu Singapura, pemergian ahli tafsir Ustaz Ahmad Sonhaji Muhammad Milatu (18 Ogos 1922 - 12 Ogos 2010) atau pendakwah terkenal setempat, Ustaz Syed Abdillah bin Ahmad Al-Jufri (2 Mac 1938 - 4 Jan 2003) sehinggalah guru dan budayawan Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (6 Dis 1924 – 23 Mac 2016) seolah-olah menimbulkan rasa terkilan bahawa tiada pengganti setara dengan mereka.

Rasa kehilangan besar seperti ini bukanlah sesuatu yang tersendiri. 

Misalnya, hal serupa dialami oleh masyarakat Melayu di kawasan terbesar Indonesia iaitu Riau selepas berpulang ‘putera terbaiknya’ iaitu Tengku Syed Nasaruddin bin Syed Effendy Al-Jufri atau Pak Tenas Effendy (9 Nov 1936 – 28 Feb 2015), budayawan yang telah menghasilkan ratusan judul karya.

Ulama besar Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Pemergian ulama besar Dr Yusuf Al-Qardhawi, pakar fikah atau perundangan Islam dalam usianya 96 tahun pada 22 September 2022 telah diisytiharkan sebagai “kehilangan besar” kerana pengaruhnya dalam menjambatani Dunia Muslim dan Dunia Barat.

YANG PATAH

Dalam perbendaharaan peribahasa Melayu yang dikatakan mencapai jutaan ungkapan, terdapat pesan orang tua-tua agar berlaku ‘patah tumbuh, hilang berganti’. 

Ia bermakna proses peremajaan (rejuvenation) atau pembaharuan (renewal) perlu berlaku demi memastikan bakat baru tumbuh sebagai pengganti atau penerus demi penakatan dan kejayaan sesebuah masyarakat atau nusa.

Tokoh narasumber sedemikian bukan saja dinilai berilmu dan berakhlak yang menjadi ikutan, tetapi juga sebagai pedoman sepanjang masa. 

Oleh itu, mereka sering dianggap sebagai narasumber utama iaitu insan yang benar-benar ahli atau merupakan profesional dalam bidang khusus atau mungkin pelbagai bidang. 

Sayang sekali, narasumber juga sering diertikan secara sempit sebagai seseorang yang memberitahu sesuatu berita (news source).

(Gambar: Unsplash)

Menurut tanggapan Dr Muhd Ariff yang menilai Pendeta Za’ba (Zainal Abidin Ahmad, 1895-1973) sebagai guru dan rujukannya bahawa ciri-ciri narasumber adalah seperti berikut:

• memiliki maklumat atau ilmu yang relevan seperti berkaitan dengan sesuatu peristiwa penting
 
• memenuhi keperluan semasa dan akan datang norma-norma (ukur tara) masyarakat

• memiliki sikap responsif, objektif dan jujur untuk terlibat dalam masyarakat serta 

• menggunakan kata-kata sopan lagi bijaksana

ASAL KATA ‘NARA’ 

Berbagai gelaran telah dikaitkan dengan perkataan ‘nara’ yang berasal dari kekata Sanskerta yang bermaksud ‘orang’ tetapi telah dikembangkan dengan pelbagai maksud menurut konteks agama Hindu, Buddha dan sebagainya.

‘Nara’ ditemui di dalam gabungan nama pangkat dan darjat yang ditemui di dalam kerajaan-kerajaan silam di Alam Melayu atau Nusantara seperti Seri Nara Wangsa, Tok Senara Indera, Maharaja Narai (Raja Siam), Seri Nara Menteri, Datuk Suryana Narayana (kerajaan Malayapura), Raja Nara Singa (Inderagiri), Tok Sinaro (Pagar Ruyung) dan sebagainya.

Misalnya, istilah ‘Tok Nara Tua’ adalah panggilan bagi Seri Nara Diraja yang hampir/sudahpun bersara dan sedang mendidik dan membimbing penggantinya (Seri Nara yang baru) yang belum cukup matang dalm ilmu adat istiadat kenaraan (urusan ehwal masyarakat dan negara).

Daripada buku Sulatus Salatin (lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu) diceriterakan bahawa Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali Bin Bendahara Sri Amar Diraja adalah Bendahara Melaka yang keempat. Beliau merupakan anak kepada Bendahara Seri Amar Diraja iaitu anak saudara kepada Parameswara (raja Singapura yang terakhir dan kemudian menubuhkan Kerajaan Melaka) dan Tun Ratna Wati iaitu anak perempuan kepada Mani Puridan dan Tun Ratna Sundari. 

Beliau wafat pada tahun 1456M dan digantikan oleh Bendahara Tun Perak (meninggal dunia pada 1498M) iaitu pentadbir terbilang dan terbaik Kerajaan Melaka seperti diakui oleh negarawan penjajah Portugis, Afonso de Albuquerque (1453 - 1515M).

Jelaslah dalam zaman silam pun, kedudukan kebangsawanan untuk memerintah bukanlah terjamin sepanjang masa. 

Ia tidak saja ditentukan oleh ‘warisan’ tetapi latihan atau pengajaran untuk membolehkan seseorang mencapai darjah ilmu dan keperibadian yang tinggi lagi mulia. 

MENARA GADING

Mungkin jawapan mudah untuk memastikan yang patah dapat tumbuh dan hilang dapat digantikan adalah memupuk ilmuwan di menara gading iaitu universiti. 

Namun Prof Syed Hussein Alatas (1928 - 2008) pernah menyatakan bahawa tidak semua intelek dan pakar dari menara gading dapat menyantuni dan apatah lagi ‘tunduk’ untuk membimbing masyarakatnya. 

Itulah antara sebab ada kalangan narasumber telah diangkat oleh universiti sebagai intelek yang setaraf atau mengatasi para mahagurunya.

Misalnya, Cikgu Muhd Ariff Ahmad diberi gelaran ‘Doktor Kehormat Persuratan Melayu’ oleh bekas sekolahnya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (dahulunya Maktab Perguruan Sultan Idris).

Begitu juga Pak Tenas diberi gelaran ‘doktor kehormat’ oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak hairanlah, adakala segelintir narasumber dinilai sebagai insan langka (rare) yang mungkin muncul dalam setiap 100 tahun seperti pernah dicirikan pada mendiang Lee Kuan Yew (1923 - 2016), perdana menteri pengasas Singapura dan sering dirujuk atau dijadikan tempat bertanya oleh pemerintah lain, termasuk adikuasa Amerika Syarikat.

Namun, tidak bermakna kita menanti proses seabad ini dengan tunggu dan lihat saja.

Seperti dalam zaman silam, setiap insan yang berpotensi perlu dipupuk untuk menjadi narasumber yang gemilang.

Namun, sudah adakah struktur pemupukan itu dalam masyarakat Melayu kita yang sudahpun mempunyai institusi seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sehinggalah Taman Warisan Melayu?

Kita perlu memikirkannya secara serius dan bertindak gigih kerana masa depan kita bergantung bukan saja kepada modal insan, tetapi golongan khusus yang digelar ‘narasumber’.

Golongan inilah yang dapat memberi pedoman yang jelas dalam laluan arus zaman yang kian mencabar dan deras.

MENGENAI PENULIS:
Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)
Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  
Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan