KOMENTAR: Memulaukan Israel secara diplomatik akan memburukkan lagi kesengsaraan di Timur Tengah

(Gambar: Mahmud HAMS / AFP)
Krisis ini timbul apabila Netanyahu cuba melakukan reformasi terhadap sistem kehakiman di Israel.
Antara rombakan yang bakal dilaksanakan termasuk langkah-langkah yang akan membendung kuasa Mahkamah Tinggi di negara Timur Tengah itu.
Dan antara sebab-sebab yang diberikan Netanyahu semasa mengetengahkan reformasi ini adalah untuk mengatasi ketidakpastian politik yang melanda Israel baru-baru ini dan membawa Parlimen selari dengan sistem-sistem kehakiman yang diamalkan oleh negara-negara di Eropah.
Tetapi reformasi ini dikritik hebat oleh musuh-musuh politik Netanyahu yang menganggapnya sebagai satu langkah untuk memantapkan kuasa pihak sayap kanan dan membuka laluan kepada campur tangan politik dalam urusan pelantikan hakim.

Bantahan besar-besaran ini telah menimbulkan tekanan politik yang kuat pada Netanyahu dan pemerintahannya dan kerjaya politik Netanyahu hampir tergugat oleh krisis yang timbul daripada reformasi kehakiman ini dan telah menggoyahkan kedudukan Netanyahu sebagai pemimpin Israel.
Perang Hamas-Israel 2023
Tetapi sengketa politik Israel yang telah berlarutan selama beberapa bulan ini terhenti secara mengejut pada 7 Oktober.
Kumpulan militan Hamas di Gaza melancarkan serangan terbesar mereka ke atas Israel dengan meluncurkan ribuan roket ke arah Israel.
Ini disusuli dengan pencerobohan besar-besaran oleh beratus-ratus anggota Hamas yang menyusup masuk ke dalam wilayah Israel dengan membolosi lintasan yang telah dibina di sekeliling Carikan Gaza.
Dalam serangan ini lebih 1,300 warga Israel terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.

Dan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyifatkan serangan ini sebagai serangan paling dahsyat yang pernah dilakukan ke atas kaum Yahudi sejak Perang Dunia Kedua.
Sebagai tindak balas, Israel mengisytiharkan “perang habis-habisan” terhadap Hamas dan melancarkan operasi ketenteraan terbesarnya sejak peperangan dengan kumpulan militan Hezbollah di Lubnan pada tahun 2006.
Selepas enam hari peperangan ini, pihak tentera Israel mendakwa bahawa ia telah menggugurkan lebih 6,000 butir bom di Carikan Gaza dalam usahanya membendung kegiatan-kegiatan kumpulan militan Hamas.

Pada waktu ia diserang, pekarangan hospital ini dikatakan telah menjadi tempat perlindungan beribu-ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat berteduh akibat peperangan ini.
Pihak berkuasa Palestin mendakwa bahawa lebih 500 orang terkorban dalam letupan ini dan telah menuding jari ke arah tentara Israel sebagai dalang serangan tersebut.
Pihak tentera Israel bagaimanapun telah menafikan bertanggungjawab atas serangan ini dan telah menyiarkan beberapa rakaman video dan gambar satelit untuk membuktikan bahawa letupan tersebut disebabkan oleh pelancaran roket oleh kumpulan Jihad Islam Palestin yang gagal.
Kemarahan Dunia Arab
Serangan ke atas Hospital Al-Ahli Arab telah mendapat kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa, termasuk dari negara-negara Arab.
Kemarahan pemimpin-pemimpin Arab ini jelas kelihatan apabila pertemuan lapan mata yang sepatutnya berlaku antara Presiden Palestin Mahmud Abbas, Raja Jordan Raja Abdullah II dan juga Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dengan Presiden Joe Biden dibatalkan.
Pertemuan ini sepatutnya diadakan di Jordan setelah Presiden Biden bertemu dengan Presiden Netanyahu.
Pembatalan ini boleh disifatkan sebagai satu tamparan diplomasi yang sangat memalukan buat pentadbiran Presiden Biden.
Serangan ke atas Hospital Al-Ahli dijangka akan merumitkan beberapa usaha diplomatik yang sedang giat dijalankan di balik tabir sejak sebelum tercetusnya peperangan antara Israel dan Hamas.
Dan salah satu usaha diplomatik ini ialah daya ikhtiar Amerika Syarikat untuk menormalisasikan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi.

Dalam usahanya untuk mencapai kedamaian di Timur Tengah, Amerika Syarikat dipercayai telah menjanjikan pakej ketenteraan dan teknologi kuasa nuklear awam kepada Arab Saudi.
Dan sebagai ganjaran, Amerika Syarikat mahu Arab Saudi menormalisasikan hubungan diplomatiknya dengan Israel.
Dengan tertubuhnya hubungan diplomatik ini, jalan untuk negara-negara Arab lain menjalin hubungan diplomatik dengan Israel akan terbuka.
Malangnya, proses normalisasi yang bakal mencipta sejarah ini pudar apabila meletusnya peperangan antara Hamas dengan Israel.
Arab Saudi telahpun menyatakan bahawa usaha-usaha diplomatik telah dibekukan.
Dan harapan Presiden Biden untuk mencatat satu kemenangan diplomatik sebelum berakhirnya penggal beliau sebagai presiden semakin pudar.
Pengasingan di Timur Tengah
Pemulauan diplomatik terhadap Israel apabila digabungkan dengan kekejaman terburuk yang pernah dialami warga Israel, akan memberanikan kumpulan pelampau sayap kanan Yahudi di merata Israel, termasuk sekutu dalam gabungan politik yang diterajui Netanyahu.
Dan selari dengan perkembangan ini, unsur-unsur politik sederhana dalam pemerintahan Israel bakal mendapat sambutan yang lebih dingin daripada warga Israel.
Perkembangan ini akan lebih ketara setelah Israel mengadakan pilihan raya parlimen di negara itu.
Pilihan raya yang selanjutnya hanya bakal diadakan pada tahun 2026 tetapi tidak mustahil Netanyahu akan mengadakan satu pilihan raya mengejut dalam usahanya untuk mengukuhkan kuasa dalam pakatan politiknya.
Dengan bangkitnya kumpulan pelampau sayap kanan, pemerintah Israel akan mendapati ia lebih mudah untuk melaksanakan keputusan yang tidak popular, seperti memperluaskan wilayah yang telah dirampas daripada rakyat Palestin di daerah-daerah seperti Tebing Barat.
Di samping itu, pemulauan diplomatik terhadap Israel besar kemungkinan akan menguatkan lagi tekad Amerika Syarikat untuk terus membekalkan Israel dengan dana dan teknologi ketenteraan yang diperlukan untuk melindungi dirinya daripada negara-negara yang semakin bermusuhan.
Kemungkinan ini akan menjadi lebih nyata jika Presiden Biden kalah dalam pilihan raya pada 2024 kerana ini akan membuka jalan kepada pentadbiran Parti Republican yang sejak selama ini ternyata lebih lantang dalam usahanya untuk memperkasakan Israel.
Oleh itu, walaupun dalam jangka masa terdekat nampaknya Israel sedang dipencilkan disebabkan oleh perang Gaza, tetapi dalam jangka masa panjang pengasingan ini akan membangkitkan sebuah pemerintah Israel yang lebih konservatif dan ini berpotensi akan menyebabkan lebih banyak kesengsaraan di Timur Tengah.
MENGENAI PENULIS
Ridzwan Rahmat adalah penganalisis pertahanan yang telah berkhidmat selama lebih 10 tahun dengan syarikat perunding pertahanan yang berpangkalan di United Kingdom. Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Strategik dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam (RSIS). Sebelum beliau menyertai syarikat perunding itu, Ridzwan bertugas dengan pemerintah Singapura dalam bidang kawalan komoditi strategik dan ketenteraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.