Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mempertingkat inklusiviti dan sokongan untuk kanak-kanak berkeperluan khas

Mengapa kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan masyarakat kita kekal inklusif dan terbuka untuk semua orang termasuk golongan berkeperluan khas.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mengapa kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan masyarakat kita kekal inklusif dan terbuka untuk semua orang termasuk golongan berkeperluan khas.

Baru-baru ini terdapat kes seorang remaja lelaki yang dirakam sedang terbaring di lantai di sebuah stesen MRT, sambil bermain dengan telefon bimbitnya.

Beliau begitu asyik sehingga langsung tidak menyedari keadaan dan sesiapa pun di sekelilingnya.

Sedang video itu tersebar online, warga siber mula berkongsi pandangan mereka mengenai perkara tersebut.

Sebahagiannya mengkritik kelakuan tidak elok remaja berkenaan, manakala sebahagian yang lain menuding jari kepada didikan yang tidak betul daripada ibu bapanya serta masalah disiplin.

Namun, rupa-rupanya remaja tersebut mengalami autisme dan dikenali dalam kalangan masyarakat berkeperluan khas. Belia itu dikenali kerana bakat besarnya dalam melukis potret dan sedang menuntut di NAFA.

Aspirasi yang ingin dikecapi adalah untuk kita semua menerima sepenuhnya individu-individu berkeperluan khas dalam masyarakat - baik di kawasan kejiranan kita dan di tempat kerja - tanpa sebarang diskriminasi.

Bekas pelajar Sekolah Northlight bersama guru mereka. (Gambar: Facebook/ Northlight School (Official))

Bekas pelajar Sekolah Northlight bersama guru mereka. (Gambar: Facebook/ Northlight School (Official))

Namun realitinya, kita masih dibelenggu sikap berat sebelah dan stereotaip dan apabila kita melihat kelakuan atau keadaan seseorang yang agak lain daripada biasa, kita cenderung untuk menghakimi dan melabel mereka.

Sedang kita matang sebagai sebuah masyarakat, kita perlu menjadi lebih penyayang, bersikap belas ihsan, inklusif dan jangan menghakimi seseorang sebelum kita benar-benar memahami apa yang terpaksa mereka alami.

INKLUSIF DAN SOKONGAN 

Masyarakat di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Norway dan Sweden sudah lama mendukung perlunya sikap lebih berbelas ihsan dan inklusif, lebih-lebih lagi kepada mereka yang kurang bernasib baik dan mereka yang berkeperluan khas.

Di peringkat global, Konvensyen Hak Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) (1989), menyatakan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan, walaupun mereka kurang upaya dan tanpa diskriminasi.

Gambar hiasan seorang pelajar berkeperluan khas. (Gambar: Jack Board)

Selain itu, Konvensyen Hak Orang-Orang Kurang Upaya PBB (UNCRPD) (2006) menggariskan hak-hak orang kurang upaya atau berkeperluan khas untuk mendapatkan pembelajaran sepanjang hayat tanpa diskriminasi dan secara saksama dengan orang lain dan tidak dikecualikan daripada pendidikan aliran utama disebabkan mereka berkeperluan khas.

Di negara-negara tertentu, undang-undang dikuatkuasakan bagi memastikan orang-orang berkeperluan khas dimasukkan dan diberi sokongan di sekolah-sekolah aliran utama dan juga dalam masyarakat.

Ini seperti Akta Pendidikan 1981 di Britain dan Akta Pendidikan Individu Berkeperluan Khas 1997 di Amerika Syarikat.

PENEMPATAN DAN PEMBELAJARAN

Di bawah undang-undang sedemikian, bersikap inklusif adalah dari dua aspek - penempatan dan pembelajaran.

Penempatan memerlukan kanak-kanak berkeperluan khas pada tahap ringan hingga sederhana ditempatkan dalam sekitaran pendidikan yang sama dengan kanak-kanak biasa (Yeo, Neihart, Tang, Chong & Huan, 2011).

Para pelajar di Sekolah Yishun Park Rainbow Centre. 

Pembelajaran pula merujuk kepada tahap sesebuah sekolah atau masyarakat menerima kanak-kanak berkeperluan khas sebagai anggotanya; mewujudkan peluang-peluang untuk mereka menyertainya dengan bermakna; dan nila-nilai sumbangan mereka sebagai sama seperti yang lain.

MEMBANTU PERTUMBUHAN

Para pejuang sikap inklusif dalam pendidikan secara tidak langsung mengaitkan pelbagai manfaatnya bagi pelajar berkeperluan khas dan juga pelajar biasa (Pappas, Papoutsi & Drigas, 2018), khususnya dari segi sosial, emosi dan akademik (Katz & Mirenda, 2002).

Selain itu, inklusiviti dalam pendidikan membantu membangunkan pertumbuhan moral dan budaya dalam anak-anak kita, di mana mereka dapat menimba kemahiran sosial dan belajar memikul tanggungjawab mereka sendiri (Bull-Holmberg & Jeyaprathaban, 2016).

Lantaran itu, amat penting sekali untuk kita memahami bahawa inklusiviti dalam pendidikan bukan berniat hanya untuk memberi manfaat kepada para pelajar berkeperluan khas.

SEMUA MERAIH MANFAAT

Semua pelajar baik yang biasa mahupun yang berkeperluan khas akan meraih manfaat daripada sistem pendidikan dan sekitaran yang inklusif dan terbuka kepada semua.

Oleh itu, sumber-sumber yang mencukupi diperlukan untuk menyediakan sokongan yang diperlukan demi memastikan sistem pendidikan yang inklusif.

Sumber-sumber itu termasuk:
(i) dana untuk membangunkan prasarana dan kemudahan-kemudahan yang membolehkan penempatan para pelajar berkeperluan khas;
(ii) dana untuk melatih para guru dalam pendidikan khas (SEN);
(iii) dana untuk menyemak dan mempertingkat kurikulum; dan
(iv) dana untuk mewujudkan khidmat-khidmat relevan dan sokongan sosial yang lain berdasarkan keperluan (contohnya, menyediakan para kaunselor atau jururawat dan alat-alat bantuan).

SOKONGAN KEWANGAN

Sokongan dana yang mencukupi akan mewujudkan spektrum peruntukan yang luas untuk membolehkan sistem pendidikan dan sekitaran inklusif.

Misalnya, lebih S$140 juta sudahpun diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk sekolah-sekolah pendidikan khas (SPED) (Kementerian Pendidikan, 2019).

Sekalipun demikian, meskipun terdapat sokongan dana yang besar daripada pemerintah dalam bentuk subsidi bagi program-program intervensi, terapi atau rawatan, masih lagi terdapat keperluan bagi sokongan kewangan untuk para ibu bapa.

Tinjauan Sikap Inklusif yang dijalankan oleh Yayasan Lien (2016), yang meninjau 835 ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas, mendapati lebih 40% daripada mereka mahukan lebih banyak sokongan dana daripada pemerintah.

Satu lagi tinjauan yang dijalankan oleh Sayap Wanita PAP (2019), ke atas 294 ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas, mendapati kos-kos rawatan dan terapi menjadi kebimbangan utama mereka.

MENJANGKAUI UNDANG-UNDANG 

Selain undang-undang dan lebih banyak sokongan dana daripada pemerintah, terdapat juga faktor-faktor lain yang diperlukan untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan ekosistem yang inklusif dan menyokong kanak-kanak berkeperluan khas.

Pertama, perlu ada kesedaran yang lebih tinggi dan pendidikan awam mengenai kanak-kanak berkeperluan khas.

Antara mereka yang menghadiri pesta anjuran Sekolah Perubatan Lee Kong Chian. (Gambar: Siti Rohanah Koid‎/ Facebook)

Kempen-kempen pendidikan awam, sesi-sesi perbincangan dan maklumat menerusi pelbagai saluran media tentang kanak-kanak berkeperluan khas perlu dijalankan supaya perbualan mengenai kanak-kanak itu serta perlunya sikap inklusif akan dapat diteruskan.

Kedua, perlu ada inisiatif-inisiatif akar umbi yang organik oleh pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah atau yang diterajui individu-individu.

PERUBAHAN POSITIF

Ini amat penting bagi memastikan kita tidak hanya setakat berbicara tentang kanak-kanak berkeperluan khas dan inklusiviti.

Sebaliknya, kita juga mengambil langkah-langkah untuk melakukan sesuatu mengenainya sekaligus mengecap perubahan positif.

Akhir sekali, minda, kepercayaan dan budaya perlu diubah. Setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan memastikan bahawa masyarakat kita, sekolah-sekolah, estet-estet perumahan dan tempat kerja kita kekal inklusif dan terbuka untuk semua, tidak mengira keperluan atau keupayaan mereka.

MENGENAI PENULIS:

(Gambar: Dr Intan Azura Mokhtar)

Dr Intan Azura Mokhtar adalah Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio (Jalan Kayu) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pendidikan  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan