Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Memperkasakan Bahasa dan Tradisi Melayu demi Kemakmuran Bersama Masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Memperkasakan Bahasa dan Tradisi Melayu demi Kemakmuran Bersama Masyarakat

(Gambar fail: MHC/Facebook)

SINGAPURA: Sering kali kita mendengar dua pola yang agak melampau apabila kita menyentuh perihal Bahasa Melayu. Satu pendapat menegaskan perihal pentingnya kita mengembalikan martabat Bahasa Melayu ke tahap tinggi daripada orientasi romantisisme sejarah.

Pada mereka, Bahasa Melayu dianggap sudah diperlekehkan daripada segi peri pentingnya dalam kalangan masyarakat.

Yang belia dan yang diangkat atau diharapkan sebagai pelapis pembela Bahasa Melayu dituduh sebagai punca ketandusan pemberdayaan, mengapa Bahasa Melayu tidak lagi diendahkan berbanding dengan bahasa-bahasa lain.

Satu lagi gagasan pula memasrahkan diri dan menyepikan suara sokongan terhadap pendabik dada sebagai pengislah kebangkitan semula prestasi Bahasa Melayu. Mereka yang berpendapat sedemikian sebenarnya tidak peduli atau mengambil kisah.

Bahasa Melayu bagi mereka semata-mata mengangguk-angguk dan menggeleng-geleng kepala perihal pragmatis mengikut bangsa, suku etnik atau ras yang tertera di kad pengenalan. Sebagai contoh ini dikaitkan dengan bahasa bangsa tersebut di bawah naungan dasar kepelbagaian bangsa etnik Cina, Melayu, India dan bangsa lain.
(Gambar fail: MOE)
Tetapi, kedua-dua kecenderungan itu bergantung kepada landasan yang palsu dari segi natijah yang berbuah dan berhasil bagi individu dan masyarakat - iaitu, Bahasa Melayu hak milik Bangsa Melayu, atau penutur Melayu, ataupun tradisi Melayu. Kaca mata yang sempit visinya ini mengaburkan kita kepada kesejagatan dan penyejagatan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu tidaklah dan tidak sepatutnya dimiliki secara eksklusif dan posesif yang keterlaluan orang Melayu, tradisi Melayu, budaya Melayu, penutur Bahasa Melayu dan para eksklusivis yang menyeru untuk mengongkong dan memperkecilkan luasnya potensi Bahasa Melayu. Lagipun, Professor Maya Angelou berkata bahawa pendiaman atau pemilikan seseorang yang terantai kepada satu tempat secara eksklusif dan terpencil sangat menghambat kebebasan yang emansipatif dan bukan kebebasan yang liar tanpa bertanggungjawab.

Menurut beliau:
Saudara dan saudari hanya bebas apabila
menyedari bahawa saudara dan saudari tidak berdiam di satu tempat — saudara dan saudari berdiam di setiap dan segala tempat — yakni, saudara dan saudari tidak berdiam di mana-mana tempat sama sekali. Harga kebebasan ini tinggi. Besar ganjarannya…
(Papova, 2023).


Oleh demikian, Bahasa Melayu harus dibebaskan daripada mereka yang mahu menganggap diri sebagai penjaga ketulenan dan kesucian Bahasa Melayu atas dasar visi miopik mereka, ataupun mereka yang berbuat tidak tahu dan mengaitkan Bahasa Melayu sebagai bahasa si penutur Bahasa Melayu sahaja atau mereka yang melihat diri
mereka sebagai tuan pemilik yang menjaga “ketulenan” bahasa dan tradisi Melayu. Apatah lagi untuk mereka yang menegakkan benang yang basah bahawa Bahasa Melayu hak milik orang Melayu sahaja.

Memikir sebegitu bermakna bahawa kita bak tangkai jering dan lokek -- bakhil yang tidak tentu hala. Bahasa Melayu adalah hak milik manusia sejagat, dan boleh menjadi sumber, pemangkin dan inspirasi untuk membuahkan nilai-nilai, ilmu dan amal yang murni bagi individu-individu dan kaum-kaum di medan dunia.

Tetapi, apa maknanya Bahasa Melayu sebagai hak milik manusia sejagat? Hak asasi manusia kepada Bahasa Melayu tidak boleh terasing daripada tanggungjawab.

Kebertanggungjawaban harus berakar dan mekar daripada dua hala -- dorongan dalaman (motivasi intrinsik) dan dorongan luaran (motivasi ekstrinsik).
(Gambar: Nur Arina Ahmad Anis)
DORONGAN LUARAN DAN DALAMAN

Dari segi dorongan luaran, Bahasa Melayu itu dipupuk, dilestarikan, diperbaiki, diwarisi dan sebagainya, kerana menganggap matlamat Bahasa Melayu sebagai satu alat untuk mencapai tujuan yang lain. Cara pemikiran rasionaliti berperalatan ini atau istilahnya dalam Bahasa Inggeris, 'instrumental rationality' menggapai pencapaian satu tujuan, penyelesaian permasalahan, penyelaraian, pemangkinan atau sebagainya melalui memperkasakan Bahasa Melayu dan
pemerkasaan melalui Bahasa Melayu ini dijalankan tanpa menitikberatkan nilai intrinsik Bahasa Melayu yang bersifat dan bersikap dinamis mengikut konteks.

Bahasa Melayu pada hari ini merupakan cara untuk mencapai sesuatu matlamat atau dijadikan alat. Sebagai alat, nilainya sangatlah rendah berbanding dengan matlamat yang mahu dicapai. Ini adalah satu cara pemikiran songsang dalam kalangan mereka yang memperalatkan Bahasa Melayu untuk nasionalisme atau pembangsaan eksklusif dan cauvinis, serta penuanan Bahasa Melayu yang berorientasi menghisap darah mereka yang tidak tergolong dalam puak mereka, seperti Raja Bersiong.

Ini juga satu lensa minda mereka yang melihat Bahasa Melayu sebagai tidak lagi berkesan, bernilai dan laku kerana hanya dipandang dan digunakan sebagai alat dalam konteks tempatan mereka. Oleh kerana ia bentuk bahasa yang tidak dapat membuahkan modal, wang, duit, taraf sosial dan sebagainya dalam ekonomi politik kapitalis di mana ada yang di pinggir, ada yang di tengah dan ada yang di bawah aras, dengan memperalatkan Bahasa Melayu, mereka yang rasa sebegitu menggalakkan pihak-pihak yang berpragmatis dengan tujuan menimba modal ekonomi sahaja
sebagai pengukur nilai satu bahasa. Mereka yang berasa diri terpinggir dan sangat kecil jika berkemelayuan atau menggunakan Bahasa Melayu, hanya memandang Bahasa Melayu sebagai alat untuk mencapai sesuatu yang ekstrinsik dan mengganggap Bahasa Melayu tidak layak bernilai, berbaloi dan patut diambil berat daripada segi kewangan, bersifat materialisme, nilai-nilai kapitalisme, konsumerisme dan sebagainya, mengikut persepsi mereka, walaupun perangai ini tidak cocok dengan yang hakiki.

Dari segi dorongan luaran, Bahasa Melayu sebagai hak milik kemanusiaan sejagat boleh dianggap sebagai pengantara tradisi-tradisi masyarakat Melayu yang membumikan namun berkewibawaan mempertingkatkan darjat keperadaban dalam mengharungi cabaran-cabaran marcapada dalam pendekatan sosiosejarah yang kreatif dan bersifat antara dan pelbagai disiplin. Daripada sudut ini, Bahasa Melayu menjadi wadah dan cara mencapai matlamat yang lebih besar. Kalau kita melihat kepada tradisi-tradisi dalam sejarah manusia secara alamiah sangat dinamis, bersaingan dan
bergabungan, dan bukan membeku.

Sayugia, Bahasa Melayu, yang berkesinambungan, berdiam di dalam, dan merangkumi tradisi Melayu harus dianggap sebagai dinamis, semarak, pencipta, kreatif, kritis dan sebagainya, seperti sifat tradisi. Sifat yang tidak nyahsosiologi, nyahsosiosejarah, serta nyahpembaharuan ini penting bagi timbulnya sikap yang progresif, reformis dan mandiri. Ini akan mengizinkan Bahasa Melayu menjadi sesuatu yang emansipatif atau dibebaskan daripada segala penzaliman.

Ini adalah cadangan mereka yang mahu mengatasi masalah keterbelakangan Bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai pencelik masyarakat,golongan pembawa dan pelentur budaya.

Dari segi dorongan dalaman, Bahasa Melayu sebagai satu bahasa harus dipelajari oleh kerana bahasa itu sendiri, dan tidak ada iltizam yang ada melainkan pelestarian dan pewarisan bahasa tersebut. Tetapi, kita terbelenggu dengan wabak dorongan dalaman yang bersikap eksklusif dan miopik yang berleluasa sekarang kerana ramai yang mendambakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa yang dibangunkan, tanpa merujuk kepada dorongan luaran, konteks, dan hubung kaitnya penyejagatan dengan tempatan melalui pemahaman sosiosejarah.

Tetapi, sebenarnya dikotomi dwidorongan ini adalah satu maya atau ilusi yang tidak memberi hembusan nafas yang membaharukan kepada Bahasa Melayu mengikut konteks marcapada kita.

Pemisahan antara dorongan luaran dan dorongan dalaman harus diatasi dengan keadaan dikotomi itu digabungkan secara inklusif dan emansipatif.

Bahasa Melayu bernilai sebagai bahasa secara dorongan dalaman kerana ia harus dicerakin, diperbaiki, dikaji, ditulis, dicereka dan sebagainya, tanpa tujuan yang bertunggakkan rasionaliti instrumental atau berperalatan. Ini kerana pencoret Bahasa Melayu akan terhempit kebebasannya berkreativiti kalau terlalu taksub kepada rasionaliti berperalatan yang sering kali akan ditarik ke dalam penjanaan modal bagi ekonomi politik kita, kapitalisme, yang
memupuk nilai-nilai dan sistem yang makin giat menjurangkan daya pengeluaran kekayaan dan modal serta pengedaran kekayaaan dan modal, antara yang berada dan miskin, antara yang menakluk dan ditakluk dan antara yang menzalimi dan dizalimi. Oleh kerana si pembawa, pelestari dan pengislah Bahasa Melayu dan tradisi dan sumber kebudayaan di dalamnya harus berjuang sebagai intelektual yang menggunakan bahasa, mereka harus berkemandirian, dan kebebasan berbahasa Melayu bersabit dengan dorangan dalaman bahawa Bahasa Melayu, secara instrinsik, berharga, bernilai dan bermutu, dan kerja intelektual yang memupuk perhatian kepada Bahasa, haruslah bersifat bebas dari rasionaliti instrumental yang melampau.

Ini akan memupuk keadaan aliran atau 'flow state' bagi mereka yang mendalamkan dan melebarkan skop, visi dan kemampuan Bahasa Melayu, tatkala mereka memperdayakan diri untuk memperdayakan Bahasa. Menurut Professor Mihály Csíkszentmihályi, mereka yang berada dalam keadaan aliran atau flow state akan tenggelam dalam aktiviti tersebut, mereka akan kehilangan masa, konsentrasi dan pemerhatian mereka akan bersifat sangat tajam dan mencengkam, dan mereka akan berupaya menghasilkan pencapaian kreatif dan berkesenian yang melambung tinggi.
Gambar hiasan: iStock
Tetapi tanpa rasionaliti instrumental yang melampau, ini tidak bermakna bahawa Bahasa Melayu tidak harus dihampiri melalui orientasi dorongan luaran. Dorongan luaran penting bagi menempatkan penghasilan dan penjanaan bahasa menurut nilai-nilai sejagat yang bersifat kontekstual dari segi penyejagatan yang membumi di satu konteks, tempat dan masa.

Tanpa dorongan luaran ini, kebebasan yang dialami dan dipergunakan melalui dorongan dalaman akan bernatijah negatif, kerana ia hanya di awang-awangan. Ia harus membumi supaya hak asasi sejagat setiap manusia terhadap bahasa Melayu dapat direalisasikan melalui pembumian tanggungjawab mengikut keperluan kerencaman konteks setiap pelosok
dunia yang berlandaskan nilai-nilai sejagat dan merentas sejarah yang didorong matlamat luaran, untuk mengimbangkan dorongan dalaman.

Maka kedua-dua zahir dan batin haruslah diseimbangkan melalui pergabungan inkusif dan emansipatif dorongan luaran dan dorongan dalaman. Justeru, dorongan dalaman kasih sayang terhadap bahasa mencerminkan dorongan luaran merealisasikan keadilan sosial, iklim, iktisad, politik dan sebagainya. Hak berlandaskan tanggungjawab dan tanggungjawab menimbulkan hak.

Tetapi untuk mencapai keseimbangan kontekstual antara dorongan dalaman dan dorongan luaran, kita harus mengharungi dua aliran falsafah kebaratan yang menusuk kalbu wacana masyarakat oleh kerana kebertanggungjawaban kita kepada pusat-pusat sumber penghasilan ilmu yang bertakhta di Barat.

Imperialisme, penjajahan dan kapitalisme merebakkan dan memburukkan fenomena masyarakat bertongkat terhadap kecenderungan kepada falsafah, teori-teori, suara-suara dan sebagainya daripada Barat yang menganggapkan kita sebagai objek sahaja dan bukan subjek yang berhak bertanggungjawab bersuara di pentas dunia dan untuk perihal
sendiri.

Ini sudahpun dibahaskan dalam istilah kebergantungan akademik dan imperialisme akademik.

Dalam konteks sedemikian, ada dua aliran falsafah bermasalah yang membelakangkan perkembangan mandiri dan progresif Bahasa Melayu dan tradisi-tradisi Melayu yang ditempatkan dalam tradisi-tradisi dunia yang plural dan semakin sering dan giat atau liat berinteraksi dan saling mempengaruhi.
 
Gambar hiasan: iStock
DUA FALSAFAH SALING BERCANGGAH

Kedua-dua falsafah yang bertempur antara satu sama lain dan berleluasa sekarang dalam dunia yang berkejajahan bawah naungan ekonomi politik sejagat yang terjebak dalam ketidakadilan imperialisme dan kapitalisme yang melampau yakni:

1. Falsafah modernisme yang meneraskan
a. perpaduan
b. kewajiban
c. kesejagatan, dan
2. Falsafah pascamodernisme yang
menegaskan
a. kemajmukan
b. kebergantungan
c. pensejarahan


Modernisme melampau membasmi tradisi-tradisi dan pascamodernisme melampau pula menjanakan ketidakberbandingan antara tradisitradisi. Sebagai contoh, seorang modernis yang melampau akan mengatakan bahawa adanya wujud sifat manusia yang sangatlah padu, wajib dan sejagat, tidak kira konteks, keadaan tempatan, kekhususan kondisi, sosiologi, sosiosejarah dan sebagainya.

Maka itu versi keagamaan yang mereka ajukan ditekankan seperti menegakkan benang yang basah dengan semangat antirasional atau antiintellektual, mentelah lagi, yang berlandaskan tradisi-tradisi Islam yang berorientasikan penolakan modernis ekstrem. Maka versi agama yang ketandusan sifat-sifat yang dinamis, kreatif dan kritis ditegaskan tanpa mengambil kira keupayaan agama dan tradisi yang tidak membeku -- mampu membezakan antara yang hakikat dan tidak yang tidak dalam perihal dan peranan sosiosejarah, kebergantungan kepada struktur, elit, ekonomi, politik serta geopolitik, dan kemajmukan alamiah, walaupun dalam kalangan agamawan Islam timbul perbezaan adab (ikhtilaf) atau adab berdepan dengan pluralisme, kerencaman dan kemajmukan tradisi intelektual.

Pascamodernisme melampau pula akan membanteras tanggapan ini dengan mengatakan bahawa tiada sifat manusia yang sejagat langsung mahupun pada masa kini atau dalam sejarah, kerana taksub sangat dengan kemajmukan keadaan manusia yang menenggelamkan manusia dalam kuasa yang meresap dan tidak berpusat, bergantung kepada
konteks sehingga tidak wujud tanpa hakikat dan melihat peranan sosiosejarah sebagai pembasmi agensi, daya memilih dan kebebasan kehendak diri.

Dari sudut falsafah pascamodernisme ini, Lyotard mengatakan bahawa, "Mempermudahkan secara melampau, saya mentakrifkan pascamoden sebagai ketidakpercayaan terhadap metanarratif". Tiada lagi naratif besar seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, nilai-nilai universal, idea tentang ketuhanan yang berpotensi sifat transenden di luar masa dan tempat dan sebagainya.

Terdapat hanya kemajmukan naratif-naratif kecil yang tidak dapat dibandingkan. Maka kita tidak boleh membandingkan antara naratif dan dalam sebuah naratif. Tidak ada nilai ukur sejagat, wajib dan padu untuk membuat penelitian yang mana yang baik dan yang mana yang buruk. Semuanya mengikut nilai ukur tradisi atau naratif kecil mereka tersendiri, terasing daripada yang lain.

Maka itu, untuk mencapai tujuan “perangkuman berkerencaman” yang menggabungkan kemajmukan unsur-unsur tradisi-tradisi daripada tamadun Melayu, Islam, Barat dan lain dan tradisi-tradisi pribumi, kita harus mengambil
ukur dengan unsur-unsur berikut:

1. Humanis di mana dalam humanisme di
dalam masyarakat Melayu/Islam, kita merujuk kepada humanisme Islam dan
keagamaan yang mengambil sikap dan
sifat humanisme dari Ilahi dan tertera
dalam karya Melayu seperti Tajus Salatin
di mana humanisme keIslaman
mengaskan “pengutaraan individualisme
positif, kedudukan sama di mata hukum,
pencapaian kecemerlangan, maruah
individu, maruah kerjaya, kebebasan
memilih antara baik dan buruk serta
keadilan sosial”.


2. Reformis dan progresif yang bertunggak kepada penghampiran tradisi yang menggunakan logika atau mantiq, sumber pengetahuan dan ilmu seperti akal, pancaindera, inspirasi, ilham, wahyu dan sebagainya dan juga menggunakan
rasionaliti saintifik moden dan bersifat
multi dan inter-disiplin.


3. Melentur orang-orang dan masyarakat budiman yang bebas daripada orientasi hegemoni. Contoh orientasi
hegemoni adalah Eurosentrisme, orientalisme, penjajahan dan imperialisme Barat yang mengenepikan,
melenyapkan dan meminggirkan yang lain secara eksploitatif dan nyahkebebasan dan nyahkemandirian dan lebih teruk lagi, ditambah lagi dengan orientasi hegemoni yang mendahului kolonialisme di Asia, seperti sektarianisme, feudalisme dan tradisionalisme, yang turut membebankan pembinaan multikulturalisme egalitarian.


4. Perihal pendayaan (empowerment) untuk menimbulkan penyedaran kritis yang bertunggakkan falsafah etika-moral dan
pendidikan, pengilmuan atau ta’dib yang bersifat manusiawi sejagat, tanpa mengikiskan kemandirian tradisi dan arah perkembangan peradaban Melayu, serta masyarakat dan individu yang menggunakan bahasa Melayu, bersama tradisi dan masyarakat yang lain. Maka mereka boleh menyumbang dan berusaha untuk melentur, mengubah dan mengemansipasikan takdir mereka daripada penzaliman luaran dan dalaman, secara mandiri.


Kita harus kerap mengintipatikan sikap merangkumkan unsur-unsur yang di atas daripada tradisi-tradisi lain. Sebagai contoh, feudalisme merupakan satu istilah yang menggambarkan ekonomi politik di Eropah, tetapi ia relevan kepada sosiosejarah orang Melayu. Memang tentu, feudalisme di sini mempunyai unsur-unsur yang berbeza dengan di
Eropah.
Gambar fail: NLB
Tetapi ini sama dengan istilah kapitalisme yang mempunyai aspek-aspek yang sama walaupun berbentuk lain mengikut
konteks tanpa menanduskan penyejagatan unsur-unsur persamaan seperti kapitalisme dan feudalisme. Kita harus mempunyai sikap dorongan dalaman untuk menggunakan Bahasa Melayu secara inklusif. Satu lagi contoh yang
saya gunakan adalah “rahmah berkesedaran”.

Berkesedaran merupakan 'mindfulness' yang ada persamaannya dengan khusyuk, tetapi agak berlainan kerana datangnya daripada konteks psikologi, yang memupuk inspirasi praktik penganut dharma Buddha. Ia digabungkan
dengan rahmah atau “compassion” dalam Bahasa Inggeris. Seperti saya huraikan, “rahmah berkesedaran” “mengingatkan kita bahawa kita semua berkesinambungan dalam kemanusiaan yang sama dan harus berbaik hati terhadap diri sendiri dan orang lain dan mengikut kajian-kajian penyelidik seperti Professor Kirsten Neff, ada teknik-teknik untuk memperkasakan diri kita dan “salah satu teknik melatih diri untuk mempraktikkan rahmah berkesedaran bagi diri sendiri adalah teknik memerhatikan perasaan dan fikiran yang melintasi minda dan hati dengan pendekatan yang objektif dan dengan sikap ingin tahu, tanpa menilai atau menghukum fikiran atau perasaan kita dengan nilai baik atau buruk).

Kita juga boleh mendalami maksud maitri, karuna, budh, nirvana, dan sebagainya dalam tradisi Buddhisme dan
melihat jikalau aplikasi konsep-konsep tersebut dapat memperkayakan Bahasa Melayu, penuturnya, dan tradisi-tradisi dalam peradaban Melayu/Indonesia.

PERLU BERSIKAP TERBUKA

Keterbukaan kepada konsep-konsep, teori-teori, falsafah-falsafah daripada tradisi dan bahasa lain akan memperkayakan diri kita, terutama sekali apabila kita membumikannya dalam iklim, konteks dan keadaan setempat.

Lebih-lebih lagi, dengan memupuk sikap dan pendekatan ini, kita akan menguatkan dan mengeratkan dorongan dalaman dan dorongan luaran kerana yang dihajat dan wadah mencapai matlamat tidak lagi menjadi dikotomi kerana keterbukaan yang menempatkan diri dalam tradisi Bahasa Melayu digabungkan dengan tradisi-tradisi lain yang bergabung dengan pendekatakan membumikan keterbukaan inklusif tersebut dengan kritis, kreatif dan kontekstual.

Akhir kalam, perangkuman berkerencaman perkongsian ekosistem yang saling bergantung kepada dorongan dalaman dan dorongan luaran dan menyejagatkan Bahasa Melayu sebagai hak asasi semua manusia, yang diperkaya, diperkasa
dan berlaku adil dalam menegakkan keseimbangan saksama antara hak asasi yang dikurniakan dan harus ditegakkan dengan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan yang lain.

Sementelahan, "perangkuman berkerencaman" akan membina kerjasama, keupayaan dan agensi kolektif dalam kalangan golongan intelektual berfungsi dan berkemandirian yang bergotong-royong bersama inteligensia dan masyarakat celik yang semuanya berkesedaran kritis dan bebas daripada belenggu sistem, struktur, nilai, budaya dan diskurs penindasan, Penyenyapan dan peminggiran.
Gambar hiasan: Pexel


Kerjasama rapat semua lapisan masyarakat yang melaburkan diri dalam pemandirian progresif dan manusiawi melalui "perangkuman berkerencaman" dalam bahasa dan tradisi Melayu berpotensi meleraikan masalah-masalah pembangunan serta melakar masa depan yang lebih adil dan berkemakmuran yang saksama bersama masyarakat majmuk sejagat.
 

MENGENAI PENULIS

Faris Ridzuan lulusan jurusan sains kemasyarakatan Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah seorang penyelidik yang menyumbang secara aktif kepada masyarakat sivil dan sektor sosial.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita