Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Memperingati Peristiwa 9/11 dan mengapa kita perlu terus bersatu padu memerangi pengganasan

Dunia digemparkan dengan serakah serangan pengganas yang sangat dahsyat dan kejam pada 11 September 2001. Dengan sekelip mata, dunia kita berubah. Berikut adalah komentar khas Perdana Menteri Lee Hsien Loong sempena memperingati ulang tahun ke-20 Peristiwa 9/11.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Memperingati Peristiwa 9/11 dan mengapa kita perlu terus bersatu padu memerangi pengganasan

Menara kedua Pusat Perdagangan Dunia dijilat api selepas diserang pada 11 September 2001. (Gambar fail: REUTERS)

BERITAmediacorp: Dunia digemparkan dengan serakah serangan pengganas yang sangat dahsyat dan kejam pada 11 September 2001. Dengan sekelip mata, dunia kita berubah. Berikut adalah komentar khas Perdana Menteri Lee Hsien Loong sempena memperingati ulang tahun ke-20 Peristiwa 9/11.

Menara kedua Pusat Perdagangan Dunia dijilat api selepas diserang pada 11 September 2001. (Gambar fail: REUTERS)

Menara kedua Pusat Perdagangan Dunia dijilat api selepas diserang pada 11 September 2001. (Gambar fail: REUTERS)

Pada tarikh ini 20 tahun yang lalu, Profesor S. Jayakumar menelefon saya di rumah untuk memberitahu saya tentang serangan pengganas secara besar-besaran ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York.

Profesor Jayakumar adalah Menteri Ehwal Luar merangkap Undang-Undang pada ketika itu dan secara kebetulan, saya memangku jawatan Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Goh Chok Tong.

Saya menghidupkan televisyen dan melihat kedua-dua menara dijilat api dan kemudian, wajah saya pucat melihat kedua-dua menara tersebut runtuh satu persatu.

DUNIA BERUBAH DENGAN SEKELIP MATA

Dunia kita telah berubah semalaman. Apa yang kita perlu lakukan dengan segera adalah jelas.

Kami mengeluarkan kenyataan yang tegas untuk mengutuk serangan-serangan itu bagi menyuarakan perpaduan kami dengan Amerika Syarikat dan menyampaikan ucapan takziah kepada para mangsa dan keluarga mereka. Kami menghubungi rakyat Singapura di Amerika Syarikat bagi memastikan mereka selamat dan jika mereka memerlukan bantuan konsular.

Para penyelamat berusaha menyelamatkan mereka yang mengalami kecederaan ekoran serangan itu. (Gambar fail: REUTERS)

Kami meletakkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan Home Team kita dalam keadaan berjaga-jaga untuk bersiap siaga menghadapi kemungkinan yang paling buruk.

LEBIH DARIPADA KESELAMATAN FIZIKAL

Ternyata, ancamannya muncul lebih pantas dan lebih dekat daripada yang kita bayangkan.

Kami berhasil mengesan sebuah kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang berpegang kepada ideologi yang sama dan mempunyai kaitan secara langsung dengan Al Qaeda di Afghanistan.

Pada 9/11, para anggota JI sudahpun membuat rancangan tahap akhir untuk melancarkan serangan bom trak serentak ke atas beberapa sasaran di Singapura, termasuk Kedutaan Amerika Syarikat dan kepentingan negara-negara Barat yang lain.

Mujur, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) tangkas bertindak untuk menggagalkan rancangan kumpulan itu dan berjaya mengelakkan bencana.

Anggota polis dan tentera Singapura dikerah mengawal keselamatan beberapa lokasi selepas Mas Selamat yang didakwa pemimpin Jemaah Islamiyah melarikan diri pada 2008. (Gambar fail: AP)

PELIBATAN S'PURA DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Di peringkat antarabangsa pula, kami bekerjasama dengan negara-negara lain untuk berkongsi maklumat risikan dan memerangi musuh yang sama. SAF telah menyertai Pasukan Bantuan Pertahanan Antarabangsa di Afghanistan dan menyumbang kepada usaha Gabungan Global untuk menumpaskan ISIS di Iraq.

Walaupun jauh beribu batu, kumpulan-kumpulan pengganas ini adalah satu ancaman yang serius terhadap Singapura.

Tetapi bagi Singapura yang berbilang kaum dan agama, pengganasan bukan sahaja ancaman terhadap keselamatan fizikal kita. Bahaya yang lebih besar adalah terhadap rasa saling percaya dan perpaduan sosial kita.

Dalam menghadapi pengganasan berbentuk jihad, dan terutamanya setelah beberapa rakyat Singapura yang menganggotai JI ditahan, masyarakat bukan Islam di Singapura dengan mudah boleh menjadi takut dan curiga terhadap jiran, rakan sekerja dan teman yang beragama Islam.

Dan orang-orang Islam pula, mungkin mengasingkan diri mereka akibat berasa dicurigai dan terancam. Kita mungkin berpecah belah disebabkan oleh perbezaan kaum dan agama. Dan jika serangan benar-benar berlaku di sini, mungkin akan berlaku keretakan dalam masyarakat kita.

BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH

Gambar fail: Nuria Ling/TODAYonline

Namun, kita berpegang kepada kepercayaan yang dibina sejak bertahun-tahun lamanya antara masyarakat-masyarakat kita yang berbeza dan juga dengan Pemerintah untuk sama-sama mengatasi isu-isu sensitif secara adil demi kebaikan kita bersama.

Dalam krisis yang mengancam kewujudan kita, rakyat Singapura bertindak mengikut naluri untuk bersatu padu dan memberikan respons yang tegas dan bersepadu untuk menjaga keselamatan diri kita.

Para pemimpin daripada semua kumpulan masyarakat dan kepercayaan tampil untuk mengutuk serangan-serangan pengganas itu dan mereka bersatu hati dalam menegakkan perpaduan.

Khususnya, para pemimpin masyarakat Islam yang bersikap tegas dalam mengecam para pengganas. Mereka membimbing masyarakat Islam tentang ajaran Islam yang sebenar.

Para pemimpin bukan Islam turut bersuara, menyokong sikap toleransi beragama dan semua rakan senegara tanpa mengira agama mereka.

PENTING TERUS MENGADAKAN PERBINCANGAN TERBUKA

Pemerintah telah mengadakan perbincangan-perbincangan terbuka dengan para pemimpin daripada semua kumpulan masyarakat supaya semua orang faham apa yang menjadi pertaruhan dan isyarat yang disampaikan kepada orang ramai adalah jelas dan meyakinkan.

Kami memberikan taklimat secara tertutup kepada para pemimpin utama untuk meyakinkan mereka dan berkongsi dengan mereka maklumat risikan yang sensitif dan penilaian terhadap ancaman-ancaman itu.

Presiden Halimah Yacob menyampaikan ucapan di sebuah acara IRCC pada 2018. (Gambar fail: Nuria Ling/TODAYonline)

Di peringkat akar umbi, kami menubuhkan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) di merata Singapura. Kumpulan-kumpulan ini membentuk rangkaian pemimpin yang saling mengenali dan mempercayai satu sama lain dan akan membantu menangani sebarang ketegangan kaum dan agama yang timbul menyusuli serangan pengganas.

Kami juga berusaha untuk memulihkan individu-individu yang telah disesatkan dengan ideologi ekstremis yang ganas.

KERJASAMA ANTARA PEMERINTAH DAN MASYARAKAT

Usaha ini bergantung kepada kerjasama rapat antara Pemerintah dan masyarakat Islam. Pemimpin-pemimpin masyarakat Islam yang dihormati seperti Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohamed Hasbi bin Hassan menubuhkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Mereka berusaha dengan sabar dan tanpa henti untuk menyedarkan individu-individu berkenaan tentang kesilapan mereka dan membimbing mereka untuk kembali menjadi Muslim dan warganegara yang baik.

Beberapa badan Islam berganding bahu untuk menubuhkan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi. Mereka membantu individu berkenaan kembali ke pangkal jalan dan menyediakan sokongan sosial, emosi dan kewangan kepada keluarga-keluarga mereka. Mujur, bagi kebanyakan kes, usaha ini membuahkan hasil.

Kerana kita melakukan semua ini, keharmonian kaum dan agama kita dapat bertahan, malah menjadi lebih kukuh.

Gambar fail: MOE

ANCAMAN PENGGANASAN JELAS & NYATA

Ini penting kerana ancaman pengganasan itu nyata dan tidak akan reda. Dalam tahun-tahun sejak peristiwa 9/11, kita menyaksikan pengeboman di Bali, serangan-serangan di Jakarta, Kuala Lumpur dan Bangkok, serta pengepungan Marawi di selatan Filipina.

Singapura juga terus menjadi sasaran utama.

Lebih daripada sekali, pengganas telah merancang untuk menyerang Singapura, termasuk merampas dan menghempaskan sebuah pesawat di Menara Lapangan Terbang Changi dan satu lagi rancangan untuk melancarkan serangan roket ke atas Marina Bay Sands dari Batam. Mujur, serangan-serangan tersebut dapat dipintas dan Singapura tetap selamat.

LEGASI 9/11

Dua dekad selepas peristiwa 9/11, usaha memerangi pengganasan belum nampak penghujungnya.

Pengganasan ekstremis semakin berleluasa. Media digital telah menyebarkan racun ini.

Al Qaeda digantikan oleh ISIS, yang telah kehilangan wilayah fizikal tetapi masih terus beroperasi, termasuk di alam maya.

Para penyerang yang bertindak sendirian telah menjadi radikal secara online.

Sebahagian daripada mereka berpegang kepada ideologi jihad, tetapi yang lain berpegang kepada ideologi ganas yang melampau.

Gambar hiasan: Jeremy Long

Tahun ini, kami menahan dua orang belia rakyat Singapura yang menjadi radikal secara sendiri. Mereka sedang merancang untuk melakukan serangan secara sendirian – satu ke atas sebuah saumaah, satu lagi ke atas sebuah masjid.

Dan dengan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan, kita perlu memantau dengan teliti bagaimana situasi di negara itu berkembang dan sama ada kumpulan-kumpulan yang berpangkalan di Afghanistan akan mengancam keselamatan kita sekali lagi, serta di mana lagi medan-medan baru pengganasan akan muncul.

TERUS PUPUK KEHARMONIAN KAUM

Pada masa yang sama, keharmonian kaum kita masih lagi terus diusahakan.

Peristiwa 9/11 menunjukkan betapa kuatnya tekanan-tekanan yang boleh memecahbelahkan masyarakat kita dan bagaimana kita perlu berhati-hati apabila kita cuba membuat sebarang perubahan pada formula yang telah berjaya mewujudkan keharmonian kaum dan agama untuk Singapura.

Jangan sesekali menganggap bahawa kita telah dapat melenyapkan kecenderungan individu untuk berpihak kepada kumpulan-kumpulan kaum dan agama mereka sendiri. Kita perlu terus mengeratkan lagi perpaduan setiap lapisan masyarakat dan dari semasa ke semasa menyesuaikan keseimbangan rapuh yang telah dicapai oleh setiap masyarakat.

Gambar: Persatuan Politik Siswa NUS

Harga keselamatan adalah kewaspadaan yang kekal. Harga keharmonian merupakan satu usaha yang tidak putus-putus untuk mendukung dan merealisasikan dengan lebih lengkap lagi impian sewaktu negara kita diasaskan iaitu untuk menjadi satu rakyat tanpa mengira kaum, bahasa, atau agama.

Pengalaman bersama rakyat Singapura mengharungi peristiwa 9/11 dan kesannya terhadap kita semua merupakan satu lagi bab formatif dalam perjalanan pembangunan negara kita.

Pada ulang tahun ke-20 Peristiwa 9/11, marilah kita bertekad untuk menguatkan diri kita supaya apabila kita menghadapi ujian yang serupa satu hari nanti, kita akan dapat mengatasinya sekali lagi dengan lebih teguh sebagai satu rakyat yang bersatu padu.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan