Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Memperingati dua dekad penangkapan JI dari kaca mata seorang kaunselor RRG

“Ketika bertemu dengan para tahanan, reaksi awal mereka tidak begitu baik. Tidak kurang mereka yang sangsi dengan kehadiran kami. Ada yang menuduh kami sebagai munafik dan juga ustaz pemerintah" - Dr Mohamed Bin Ali, antara asatizah yang berkhidmat dalam RRG sejak ia ditubuhkan pada April 2003.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Memperingati dua dekad penangkapan JI dari kaca mata seorang kaunselor RRG

Pasukan Polis Singapura dan anggota tentera di lokasi sedang pihak berkuasa melancarkan usaha memburu besar-besaran untuk mencari Mas Selamat pada 2008. (Gambar: AFP)

Anggota polis dikerah dalam usaha memburu Mas Selamat pada 2008. (Gambar fail: TODAYonline)

Anggota polis dikerah dalam usaha memburu Mas Selamat pada 2008. (Gambar fail: TODAY)

Tidak lama setelah saya kembali ke sini, dunia dikejutkan dengan serangan pengganas yang dilancarkan Al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat. Hampir 3,000 nyawa terkorban akibat serangan tersebut.

Selang tiga bulan kemudian, Singapura mengumumkan penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI) buat pertama kali pada Disember 2001. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA) kerana merancang untuk melancarkan serangan pengganas ke atas beberapa bangunan dan tempat awam di sini.

SIAPA JI?

Anggota JI yang ditahan pada tahun 2001 dan 2002 merupakan cawangan dari rangkaian JI yang beroperasi di rantau ini termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan selatan Filipina.

JI telah ditubuhkan oleh Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir di Indonesia pada 1993 dengan tujuan menubuhkan negara Islam di Indonesia dan Asia Tenggara. Walaupun ditubuhkan di Indonesia, kedua-dua pemimpin JI ini telah meluaskan jaringan JI di Malaysia. Maka di Malaysia, anggota JI Singapura diperkenalkan kepada kumpulan tersebut.

Anggota JI diberkas di Indonesia. (Gambar: AP)

Anggota JI diberkas di Indonesia. (Gambar fail: AP)

JI juga dikatakan mempunyai ikatan dengan Al-Qaeda. Seperti Al-Qaeda, JI telah melancarkan banyak serangan pengganas dari tahun 2002 hingga 2008. Ini termasuk serangan di Bali pada 12 Oktober 2002 yang menyebabkan 202 nyawa terkorban termasuk 88 rakyat Australia. Selain Bali, JI juga telah melancarkan serangan di Jakarta, Sulawesi, Filipina dan Malaysia.

MENYERANG SINGAPURA

Siasatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menunjukkan bahawa cawangan JI Singapura telah melakukan perancangan yang teliti untuk menyerang beberapa lokasi di negara ini. Ini termasuk Kedutaan Amerika Syarikat, Australia, Israel, stesen MRT Yishun dan saluran paip air antara Singapura dan Malaysia.

Pemimpin JI di Indonesia dan Singapura telah menanamkan rasa benci terhadap Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya dalam diri para pengikut JI. Para pengikut JI telah diajar bahawa menyerang Amerika dan musuh-musuh Islam itu satu kewajipan besar dan juga merupakan Jihad pada jalan Allah.

Ideologi JI telah didasarkan atas fahaman agama yang salah dan mengelirukan. Konsep-konsep agama seperti Jihad, Ummah, Bai’ah dan Hijrah telah diputarbelitkan maksudnya untuk mewajarkan perjuangan dan perbuatan ganas mereka.

Ideologi ini amat penting bagi JI. Ia ibarat nadi yang menggerakkan kumpulan tersebut. JI telah mencipta ideologi mereka sendiri yang bersifat eksklusif, tegar dan terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. JI juga telah membukukan ideologi mereka dalam sebuah buku panduan yang dipanggil Pedoman Umum Perjuangan Al-Jamaah Al-Islamiyah (JI) atau PUPJI.

REAKSI TERHADAP PENANGKAPAN JI

Secara nalurinya, penangkapan JI ini mengejutkan kami dan juga ramai rakyat Singapura. Pelbagai fikiran terlintas di fikiran kami dan kami bertanya: Benarkah mereka mampu melakukan perbuatan yang mengerikan itu? Apakah sebab di sebalik tindakan mereka? Mengapa mereka mahu melakukannya?

Penangkapan anggota JI pada ketika itu adalah sesuatu yang tidak pernah kami duga dan juga masyarakat Singapura. Buat pertama kali, umat Islam di Singapura harus berdepan dengan satu isu yang baru dan rumit – iaitu menangani individu-individu yang membenarkan perbuatan ganas atas nama agama.

ISD mendapati bahawa mereka bukan pengganas biasa. Mereka adalah sekumpulan orang yang menggunakan Islam untuk menyebarkan agenda mereka. Idea mereka tentang Jihad adalah perang suci dan ia mesti dilaksanakan. Ini adalah sesuatu yang unik dan baru kepada Singapura.

MEMULIHKAN FAHAMAN JI

Disebabkan anggota JI yang ditahan di Singapura telah terpengaruh oleh fahaman Islam yang terpesong dan radikal, ISD telah bergabung dengan beberapa asatizah untuk memulihkan fahaman JI yang terpesong. Dua asatizah mapan Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan telah tampil ke hadapan untuk membantu ISD dalam usaha ini.

Setelah bertemu dengan tahanan JI pada tahun 2002, kedua-dua Ustaz Ali dan Ustaz Hasbi merasakan kepentingan untuk membetulkan fahaman agama JI. Ini telah menjurus kepada penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang ditubuhkan secara rasminya pada April 2003.

RRG ditubuhkan dengan matlamat utama untuk memberikan kaunseling keagamaan kepada para tahanan ISA. Ia juga telah mengadakan beberapa inisiatif untuk mendidik masyarakat setempat tentang bahayanya fahaman tegar dan pelampau agama.

CABARAN AWAL RRG

Terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh RRG pada tahun-tahun awal dan sepanjang perjalanan termasuk penerimaan yang negatif dari segelintir masyarakat. Kami juga menghadapi realiti menangani tahanan yang degil dan tetap berpegang kuat kepada ideologi JI mereka.

Masjid Khadijah (Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Masjid Khadijah (Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Perjalanan awal RRG tidak begitu mudah. Antara cabaran utama RRG pada ketika itu ialah mempelajari metodologi kaunseling dan juga mencari strategi untuk meyakinkan para tahanan bahawa fahaman agama yang diajar JI itu adalah salah dan mesti dibetulkan.

Kaunseling untuk tahanan JI merupakan sesuatu yang baru dan belum pernah dicuba oleh mana-mana pihak dan pemerintah. Kaunseling keagamaan yang biasa dijalankan adalah yang berkisar tentang masalah sosial, seperti krisis rumah tangga, masalah kewangan, masalah pemulihan akhlak remaja dan sebagainya.

Manakala kaunseling para tahanan JI ini bertujuan memberikan alternatif kepada sesuatu fahaman yang telah lama tertanam dalam diri mereka yang susah sekali untuk menghilangkannya. Ini disebabkan fahaman tersebut telah didasari oleh prinsip agama yang mereka percaya dan pegang kuat.

BERDEPAN DENGAN TAHANAN JI

Para kaunselor RRG juga menghadapi cabaran apabila berhadapan dengan tahanan JI. Tidak semua tahanan pada awalnya menerima kami dengan baik dan juga memahami tujuan kehadiran kami.

Ketika bertemu dengan tahanan, reaksi awal mereka tidak begitu baik. Tidak kurang mereka yang sangsi dengan kehadiran kami. Ada yang menuduh kami sebagai munafik dan juga ustaz pemerintah. Namun, kami tetap meneruskan untuk mendekati mereka dan cuba membina ikatan dan hubungan yang baik dengan mereka. Ini strategi utama RRG sebelum memulakan sesi diskusi keagamaan dalam kaunseling.

Namun, dengan kesabaran dan semangat yang jitu, cabaran ini dapat diatasi setelah menjalankan beberapa sesi kaunseling. Akhirnya ramai daripada tahanan JI yang telah ditemui kaunselor RRG dapat dipulihkan fahaman mereka.

Matlamat utama RRG ialah memberikan kefahaman agama yang benar kepada para tahanan dan menyedarkan mereka bahawa kesalafahaman mereka terhadap isu-isu agama seperti Jihad dan sebagainya akan membawa kerosakan kepada individu dan masyarakat.

MASA DEPAN RRG

Masa depan RRG akan terus mencabar. Evolusi ancaman keganasan dan perubahan landskap ancaman menuntut RRG untuk kekal bertenaga dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Cabaran evolusi ancaman terorisme dan ekstremisme kian berubah dan meruncing. Pada hari ini, selain dari memerangi fahaman keganasan dan pelampauan agama, RRG perlu bersiap sedia menangkis ancaman eksklusivisme, fanatisme, sentimen anti-agama, perkauman dan sebagainya.

Masjid Assyafaah, Masjid Yusof Ishak. (Gambar: Google Street View)

Masjid Assyafaah, Masjid Yusof Ishak. (Gambar: Google Street View)

Penahanan remaja lelaki berusia 20 tahun yang merancang untuk membunuh orang Yahudi dan budak lelaki berusia 16 tahun yang terpengaruh dengan fahaman pelampau sayap kanan dalam tempoh beberapa minggu antara satu sama lain adalah petunjuk jelas bahawa ancaman belia dan radikalisasi dalam talian adalah nyata.

Ini memaksa kami dan juga masyarakat untuk sentiasa peka terhadap ancaman fahaman radikal yang berleluasa dalam talian dan terus mendekali anak-anak muda pada hari ini.

Pada waktu yang sama, RRG juga berperanan menyumbang ke arah mewujudkan keharmonian kaum dan menolak segala fahaman dan ancaman yang boleh menggugat keharmonian agama di sini. Ini termasuk membidas segala sentimen anti-agama dan perkauman yang membahayakan masyarakat.

KESIMPULAN

Setelah dua dekad, kaunseling keagamaan untuk tahanan ISA didapati sangat berkesan dan memberi manfaat yang banyak kepada mereka. Dengan bimbingan ini, segala kekeliruan dan salah faham agama yang ada pada mereka dapat dileraikan.

Kaunseling keagamaan juga menjadi wadah bagi RRG untuk mendidik para tahanan akan kepentingan menyesuaikan kefahaman dan pengamalan agama dalam konteks masyarakat Singapura yang bersifat majmuk dan di bawah sistem pemerintahan yang berbentuk sekular.

Dengan adanya bimbingan dari RRG, lebih dari 90 peratus tahanan JI telah berjaya dibebaskan dan berjaya kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat dengan baik.

RRG boleh dijadikan contoh yang baik di mana masyarakat umum terutama sekali golongan agamawan boleh memainkan peranan yang penting dalam perkara yang melibatkan kemaslahatan awam dan keselamatan negara.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan