Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Membuktikan Tekad SG Terhadap Bahasa Ibunda

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perkembangan Bahasa Melayu (BM) di rantau induk, Kepulauan Melayu, memiliki dinamikanya yang berbeza-beza di setiap negara, menurut Prof Emeritus Dr Asmah Haji Omar, dalam webinar Syarahan Perdana MAS pertama anjuran Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU).

Mohd Raman Daud mengulas dapatan Prof Asmah dalam rangka masa depan BM di Singapura.

Dapatkah BM bertahan dan subur di Singapura?

Inilah persoalan besar dalam sesi soal jawab selepas Prof Emeritus Dr Asmah Haji Omar menyampaikan Syarahan Perdana MAS dalam webinar anjuran Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, NIE-NTU) pada Rabu, 25 Sep 2024.

s
Gambar: Hadijah Rahmat/Facebook

Ia juga sempena memperingati Seabad Kelahiran Dr Muhd Ariff Ahmad (1924-2016), bahasawan dan budayawan nusa.

Prof Asmah (lahir pada 1940 di Jitra, Kedah) dianggap ‘arkitek’ BM di Malaysia, terutama peranannya dalam menjadikan BM sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya, dan antara sarjana yang amat prolifik dari segi kajian lapangan dan penulisan mengenai bahasa, persuratan dan tokoh Melayu.

Gambar: Hadijah Rahmat/Facebook
BM yang pada asasnya merupakan BM Riau-Johor telah menjadi Bahasa Indonesia (BI) ketika Peristiwa Sumpah Pemuda pada Oktober 1928. Namun sejak itu, BI telah berkembang dengan sendiri menerusi pengambilan kata daerah dan sebagainya, bak diakui mendiang Prof Anton Moliono, Ketua Pengarah Pusat Bahasa Indonesia. Jakarta merupakan kawasan teras BI.

RANAH TERAS

‘Berterusan Hayat Bahasa Melayu’ iaitu tajuk syarahan Prof Asmah, bergantung kepada banyak unsur paksi dalaman dan paksi luaran. Menurutnya, penutur BM yang berada jauh dari ‘kawasan induk BM’ iaitu Nusantara, telah mengalami penghakisan Bahasa Ibunda seperti di Afrika Selatan dan Sri Lanka. Sementara itu, fobia (ketakutan) terhadap golongan pendatang di Barat juga menjejas penerusan Bahasa Ibunda golongan pendatang.
Gambar: Hadijah Rahmat/BERITA Mediacorp
Mengenai Singapura, Prof Asmah mendapati:
“Perubahan kawasan teras BM menjadi kawasan bukan teras juga berlaku di Singapura. Sejak abad ke-17M, Singapura masih berada di dalam Kesultanan Johor-Riau. Bahkan selepas bebas dari Johor dalam abad ke-19M, pulau ini merupakan kawasan teras BM. Mula terbitnya Sejarah Melayu adalah di Johor, diikuti oleh sastera hikayat, dan perkembangan ini terpancar ke negeri-negeri Melayu lainnya.

“Surat khabar mula lahir di Singapura, demikian juga penggunaan BM dalam radio dan filem. Singapura juga terkenal dengan kegiatan persatuan bahasa dan sastera. Sungguhpun kegiatan yang membawa perkembangan BM masih ada di Singapura, tetapi densiti penutur dan jaringan penggunaannya menunjukkan Singapura bukan lagi kawasan teras BM.”

Sebalik halnya dengan Brunei yang mempunyai setengah juta penduduk (serupa jumlah orang Melayu Singapura) tetapi kerana menggunakan BM sebagai pengantarnya, telah menjadi ‘kawasan teras’ BM.

DASAR PEMERINTAH

Masa depan bahasa bergantung kepada penuturnya dari segi penakatan ekonomi dan pengaruhnya dan tentulah dasar pemerintah, hujah Prof Asmah.

Ketika menjawab soalan Dr Salinah Jaafar dari Universiti Malaya mengenai Sebutan Baku (SB), Prof Asmah berpendapat bahawa Malaysia hanya menggunakan sebutan standard tadi untuk sekolah. SB diperjuangkan Encik Anwar Ibrahim, yang menyandang jawatan Menteri Pendidikan dalam 1990-an dan kini pula Perdana Menteri Malaysia. Tetapi SB terketepi dek pandangan dominan yang menolaknya.

Pengerusi syarahan, Prof Madya Dr Mukhlis Abu Bakar, sempat mencelah dengan mengutarakan pengalaman Singapura mengenai SB yang menurut dapatan kajiannya lebih tertumpu kepada kelas BM di sekolah. Malah didapati sebutan BM di Singapura merupakan kacukan SB dan Melayu-Riau.
 
Gambar: Hadijah Rahmat/BERITA Mediacorp

Tidak syak, penyampaian makalah (lebih 4,000 perkataan) selama lebih satu jam setengah oleh Prof Asmah mengandungi mutiara hikmah mengenai jalur dan laluan masa depan BM. Beliau tampak berat mulut untuk mengulas dasar politik mengenai BM. Namun jelas sekali, jejeran fakta beliau menunjukkan tekad politiklah yang menentukan masa depan BM, selain sikap penutur rumpun Melayu sendiri.

Untuk BM berterusan hayatnya di Singapura, maka selain Dasar Dwibahasa, pengajaran BM di sekolah, peranan Jabatan BM atau Pengajian Melayu di tiga universiti setempat dan ikhtiar Majlis Bahasa Melayu Singapura, tentulah yang utama ialah sikap penutur BM sendiri, terutama generasi muda.

s
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


Apakah mereka memiliki harga diri untuk mengamal dan memeliharanya daripada malap?

MENGENAI PENULIS

Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan