Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Membujang bukan bermakna hidup menyendiri dan tersisih

Baru-baru ini sebuah firma mencari jodoh di Singapura, Lunch Actually, telah menerbitkan hasil tinjauannya yang melibatkan 500 responden bujang untuk mendapatkan pencerahan tentang perjalanan mereka mencari jodoh. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Membujang bukan bermakna hidup menyendiri dan tersisih

(Gambar: mikoto.raw Photographer/Pexels)

BERITAmediacorp: Baru-baru ini sebuah firma mencari jodoh di Singapura, Lunch Actually, telah menerbitkan hasil tinjauannya yang melibatkan 500 responden bujang untuk mendapatkan pencerahan tentang perjalanan mereka mencari jodoh.

Antara dapatan yang menjadi keprihatinan saya adalah: walaupun 95% daripada responden menginginkan hubungan yang komited, hampir 60% berasa mereka tidak dapat mencari pasangan hidup yang menyayangi atau memahami mereka.

Mereka yang lebih tua pula berasa lebih sepi dan merangkumi 40% responden yang melaporkan tahap kesihatan mental yang lebih teruk pada tahun ini.

Dapatan ini membayangkan keinginan sebahagian golongan bujang yang mahu membina keluarga tetapi rasa kurang yakin ia akan menjadi kenyataan. Ia juga menggambarkan seolah-olah hidup membujang pada usia senja membawa risiko kepada kesihatan mental jika seseorang individu tidak mempunyai rangkaian sokongan yang kuat.

SEMAKIN RAMAI MEMBUJANG

Banci Penduduk 2020 menunjukkan bahawa peratusan mereka yang membujang telah meningkat jika dibandingkan dengan dapatan 10 tahun yang lalu.

Suasana di Orchard Road pada 4 Sep 2020. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Bagi mereka yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun misalnya, peratusannya meningkat dari 37.1% kepada 41.9%.

Kaum lelaki yang rendah pendidikan lebih berkemungkinan membujang. Wanita yang berpendidikan tinggi pula menghadapi kemungkinan yang sama.

Adakah natijahnya mereka akan hidup sendirian dan sepi hingga ke usia senja nanti?

Mungkin keadaan pandemik COVID-19 juga tidak membantu. Kegiatan sosial seperti janji temu tersekat oleh langkah-langkah penjarakan sosial di tempat-tempat yang sering pasangan kunjungi secara sosial.

Secara peribadi, ramai juga yang terjejas akibat kehilangan mata pencarian, masalah kewangan, keprihatinan tentang keselamatan diri, perintah kuarantin, peralihan kepada aturan bekerja dari rumah (WFH) dan pelbagai sebab yang menyukarkan mereka untuk bertemu secara fizikal.

RANGKAIAN SOSIAL MENGECIL, SEDANG DIRI TERPENCIL

Bagi mereka yang bujang dan mempunyai rangkaian sosial yang kecil, perubahan kehidupan semasa pandemik menyebabkan mereka rasa lebih terpencil dan sepi.

Sebelum pandemik melanda, para individu yang bujang mungkin rasa selesa hidup sendirian kerana ada bermacam-macam aktiviti yang boleh dilakukan di dalam konteks hubungan manusia seperti melancong, bersukan, menonton wayang bersama rakan, keluar makan bersama rakan sekerja, janji temu dan sebagainya.

Orang ramai di sebuah tempat awam di Singapura pada 7 Julai 2021. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Pandemik telah merubah kehidupan secara bersendirian apabila peluang untuk bertemu secara fizikal terpaksa dikurangkan.

Masa-masa yang dihabiskan di luar kini perlu diisi dengan aktiviti alternatif di rumah.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga, hubungan harian masih diteruskan dengan perbualan dan pergaulan bersama pasangan dan anak-anak.

Mereka yang bujang dan hidup sendirian mungkin cuba mengisi masa mereka dengan mengasah kemahiran seperti memasak, melakukan projek seni atau menumpukan perhatian kepada hobi masing-masing. Walaupun begitu, sudah tentu ada masa-masanya yang mereka akan mendambakan hubungan sesama manusia di luar dari dinding rumah.

Anda mungkin menganggap isu ini sebagai sesuatu yang remeh. Bukankah mereka boleh menelefon dan berbual-bual dengan teman?

Mereka masih boleh berhubungan melalui dalam talian, bukan?

(Gambar: fizkes/iStock)

Mereka hanya perlu mengambil langkah pertama untuk memulakannya. Ia tidak semudah itu.

Mereka yang hidup sendirian mungkin tidak selesa memaparkan mereka kesunyian. Ada yang berasa ibarat akan membebankan orang lain untuk meminta mereka meluangkan masa bersama.

Ada pula yang berasa segan untuk menghubungi teman-teman yang sudah berkeluarga kerana cuba memahami tanggungjawab yang mereka pikul sudah bertambah. Lama-kelamaan mereka akan berasa semakin terpencil.

MEMBUJANG DAN MENITI USIA SENJA

Semakin lama seseorang itu membujang, maka semakin tipis harapan mereka untuk mendapatkan pasangan hidup.

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Apabila seorang bujang mula sedar bahawa dia boleh meneruskan kehidupan secara bersendirian, pilihan untuk tidak berpasangan akan menjadi lebih ketara.

Tetapi, apabila mereka mengubah fikiran, mereka mungkin rasa sudah terlewat dan perlu mengharungi hidup sendirian sebagai satu kenyataan yang pahit.

Jika rakan-rakan di dalam rangkaian sosial mereka mula berkeluarga dan semakin sibuk menjalani kehidupan baru itu, golongan yang membujang akan berasa terpencil kerana perjalanan kehidupan mereka semakin berbeza.

MENCARI HURAIAN BERSAMA

Walaupun sesetengah individu mungkin memilih untuk membujang sepanjang hayat, mereka yang masih mencari pasangan perlu bersikap terbuka untuk meminta bantuan daripada ahli keluarga dan teman-teman yang bersedia untuk membantu menyambungkan jodoh mereka.

Mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula konsep perkahwinan yang diaturkan seperti yang berlaku dahulu. Usaha yang dijalankan oleh Lunch Actually boleh dicedok dalam konteks dua keluarga yang ingin menyatukan dua individu yang sedang mencari jodoh.

Mereka yang masih mencari tidak seharusnya berputus asa dan terus memanjatkan doa agar ditemukan dengan jodoh yang baik.

Pada masa yang sama, usaha mengukuhkan rangkaian sosial yang ada dan menebarkan hubungan yang positif melalui kerja-kerja sukarela, kursus peningkatan diri dan aktiviti sihat akan menambah kenalan baru.

Sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, kita juga perlu lebih peka terhadap kemaslahatan golongan bujang dan kesejahteraan mereka yang sedang meniti usia senja agar rangkaian sosial mereka tetap utuh dan diri mereka merasakan masih disayangi.

MENGENAI PENULIS: 

Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019. 

Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan