Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Membina keluarga yang berdaya tahan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Usaha mengukuhkan institusi keluarga adalah satu perjalanan yang tiada penghujungnya, biarpun Minggu Keluarga Kebangsaan 2023 telah melabuhkan tirainya pada 11 Jun yang lalu.

Dianjurkan oleh Keluarga Sepanjang Hayat (Families for Life), ia disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Sebagai sebuah persatuan yang misinya adalah menyokong aspirasi wanita, memperkukuhkan keluarga, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) akur bahawa isu kekeluargaan yang dihadapi hari ini jauh berbeza dengan isu masa silam. Ia lebih kompleks dan adakalanya merumitkan.

ppis
(Ihsan: Tuminah Sapawi)

Dalam sebuah keluarga, isu yang dihadapi boleh merangkumi bukan saja kewangan malah penderaan, keibubapaan (parenting), pertelingkahan suami isteri yang membawa kepada penceraian, penyalahgunaan dadah yang membawa kepada penahanan dan sebagainya.

Bagaimana untuk menangani isu-isu tersebut?

Apakah nilai penting yang dapat mengukuhkan sesebuah keluarga? Dan adakah jangka waktu yang boleh menjamin sesebuah keluarga itu keluar daripada lingkaran musibah dan berupaya berdiri teguh dan melayari bahtera kehidupan tanpa sebarang bantuan?

Adakah ia tanggungjawab keluarga atau pemerintah atau pekerja sosial untuk memastikan setiap keluarga dapat berdikari dan mencapai impian? Atau adakah hasrat ini sesuatu yang tersemat di sanubari setiap individu yang menjadi pemangkin untuk memastikan masa depan dirinya dan keluarga tersayang terjamin?

Hari demi hari, demikianlah persoalan demi persoalan yang dihadapi pekerja sosial PPIS.

3 Dekad Menyokong Keluarga

Biarpun PPIS telah ditubuhkan lebih tujuh dekad yang lalu pada 1952, khidmat keluarga yang pertama ditawarkan ialah pada 1988 bagi wanita yang kehilangan suami akibat penceraian atau kematian serta anak-anak mereka. Pusat Sokongan Keluarga As-Salaam merupakan satu-satunya pusat khusus yang ditubuhkan di negara ini ketika itu.

ppis
(Ihsan: Tuminah Sapawi)

Dari sebuah pusat sokongan, ia kini merupakan satu antara lima pusat sokongan khusus bagi kaum wanita yang dalam proses penceraian. Kini PPIS mempunyai empat pusat khusus yang lain iaitu INSPIRASI PPIS bagi pasangan muda; Oasis PPIS bagi anak dan keluarga titipan; Vista Sakinah bagi pasangan yang berkahwin semula dan keluarga tiri serta Sym Academy yang mengendalikan kaunseling dan terapi keluarga.

Yang terbaru ialah rumah peralihan bagi kaum wanita iaitu Rise Above.

Biarpun tumpuan dan sasarannya berbeza, namun isu yang dialami keluarga di pusat-pusat PPIS hampir sama – ketidakstabilan kewangan yang menimbulkan pelbagai masalah termasuk perumahan, penceraian, peluang yang terhad bagi latihan peningkatan; penagihan yang menyebabkan kurang upaya untuk memantapkan kedudukan keluarga; penderaan keluarga dan sebagainya.

rise above
(Gambar: Syawal Yusoff)

Dalam pengamatan pekerja sosial, bukan sahaja mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah tampil memohon bantuan atau sokongan emosi. Ada yang daripada golongan pertengahan iaitu middle class, malah yang berpendapatan agak tinggi juga tampil meminta bantuan dan sokongan PPIS. Bantuan yang diinginkan bukan sekadar kewangan sahaja tetapi lebih tertumpu kepada sokongan emosi.

Membina Ketahanan

Sering kali nilai Sakinah, Mawaddah dan Rahmah menjadi asas bagi setiap individu yang ingin membina keluarga bahagia. Ia diterapkan dalam setiap kursus persiapan rumah tangga pusat-pusat PPIS. Malah ia merupakan nilai penting dalam rangka kerja ketahanan psikososial (Psycho-Social Resilience Framework) PPIS yang dilakarkan sewaktu COVID-19 untuk membina ketahanan mental dan sosial individu.

Dan sejak beberapa tahun yang lalu, istilah resilien atau ketahanan timbul untuk memastikan setiap keluarga yang menghadapi masalah tidak kira sama ada kesukaran timbul bertubi-tubi, tetapi keluarga tersebut tetap bangkit semula dan menjadi lebih kukuh.

Lebih daripada bantuan pemerintah dari segi kewangan dan khidmat serta program kekeluargaan, sikap dan keinginan untuk berjaya perlu tersemat di sanubari setiap individu dalam sesebuah keluarga terutama ketua keluarga iaitu si ibu dan bapa.

Malah telah terbukti beberapa kisah keluarga yang berjaya keluar daripada lingkaran sukar dan berhasil memiliki rumah serta memastikan setiap individu berjaya. Ada yang menyumbang semula kepada masyarakat setelah mereka mampu berdikari.

family
(Gambar: Unsplash)

Apakah rahsianya?

Pertama, kesediaan untuk bekerja keras dan tidak mudah untuk menyerah kalah biarpun rintangan menghalang.

Kedua, kesediaan untuk terus belajar dan menjalani latihan biarpun adakalanya latihan tersebut bererti kurang pendapatan apabila mereka bergaji harian dan tidak mendapat sokongan majikan.

Ketiga, kesediaan untuk berkorban dan mengutamakan keperluan daripada keinginan. Keperluan seperti memastikan bil api air dilunaskan daripada memelihara haiwan yang mungkin menelan belanja yang mahal.

Kesediaan untuk mendapat bantuan awal sebelum keadaan melarat hingga membawa kepada penceraian atau kehilangan tempat tinggal dan sebagainya.

Senarai rahsianya tidak ketandusan. Tidak kurang pentingnya ialah doa dan ikhtiar.

Faktor Perlindungan

Keluarga yang dapat berkembang maju adalah mereka yang mempunyai beberapa faktor perlindungan atau protective factors yang dapat memastikan mereka teguh menghadapi cabaran dan rintangan.

Antaranya ialah sikap resilien ibu bapa. Sebagai tunggak keluarga, ibu bapa berupaya untuk bangkit semula daripada setiap musibah. Merekalah peran contoh kepada anak-anak apabila anak-anak dewasa dan menghadapi masalah.

Mempunyai rangkaian sokongan tidak kira dalam kalangan jiran, teman rapat dan juga anggota keluarga besar dapat memastikan keluarga tersebut tidak keseorangan dalam menghadapi kerumitan.

Rangkaian sokongan inilah yang akan membantu mereka sama ada untuk mengatasi masalah kecil atau besar.

Menyemai nilai positif dan membesarkan anak-anak dalam suasana yang tenteram dan sejahtera memerlukan ilmu tentang keibubapaan serta pembangunan anak-anak. Di sini pusat-pusat PPIS menawarkan latihan keibubapaan kepada keluarga yang memerlukan.

Suasana yang tenteram dan sejahtera membolehkan anak-anak membesar dan berinteraksi secara positif dengan kanak-kanak lain. Ia membina daya tahan pada anak-anak tersebut apabila mereka menjejak langkah ke sekolah.

Faktor perlindungan seterusnya ialah menyedari bahawa bantuan bagi keperluan asas seperti perubatan, pendidikan dan sebagainya dapat diperolehi apabila diperlukan.

Kekal Relevan

Bagi memastikan pekerja sosial PPIS dapat menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh keluarga hari ini, mereka dilengkapkan dengan latihan peningkatan yang relevan. Sejak tahun lalu, mereka juga berpeluang menghadiri persidangan antarabangsa di luar negara. Contohnya, persidangan trauma kanak-kanak di Melbourne dan keluarga titipan di Darwin.

Baru-baru ini, sekumpulan pekerja sosial telah menghadiri persidangan Practice Research di Aalborg, Denmark. Di sana mereka menyampaikan kajian tentang Aspirasi Wanita serta usaha mereka untuk memperkasakan keluarga semasa pandemik.

Sebagai persatuan yang mengutamakan profesionalisme dalam menawarkan khidmat, memastikan setiap pekerja sosial bukan saja bertauliah, malah mahir dalam bidang mereka merupakan fokus PPIS.

Kami sedar setiap keluarga berbeza. Sama ada dari segi demografi atau daya ketahanan dan kemampuan. Namun kami yakin, keluarga berjaya adalah mereka yang bukan sahaja sedia dibantu, malah mempunyai niat yang mendalam untuk membantu diri sendiri.

MENGENAI PENULIS:

tuminah
Tuminah Sapawi adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan