Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melindungi SG Daripada Ancaman 'Deepfake'

Dalam landskap teknologi yang berkembang pesat, penipuan menggunakan teknologi 'deepfake' kini muncul sebagai cabaran yang semakin membimbangkan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Melindungi SG Daripada Ancaman 'Deepfake'

Petikan skrin video 'deepfake' melibatkan PM Lee Hsien Loong.

SINGAPURA: Dalam landskap teknologi yang berkembang pesat, penipuan menggunakan teknologi 'deepfake' kini muncul sebagai cabaran yang semakin membimbangkan di Singapura.

Manipulasi kandungan audio dan video yang direka dengan rumit ini menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mencipta simulasi individu sebenar yang sangat meyakinkan sehingga ia menimbulkan kebimbangan yang meningkat terhadap penyalahgunaan teknologi ini.

Insiden baru-baru ini yang melibatkan pemalsuan 'deepfake', termasuk yang menyasarkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan ahli politik terkemuka yang lain, menekankan betapa pentingnya untuk menangani isu ini. Apabila penipuan dan pemalsuan seperti ini terus meningkat, ia akan menimbulkan ancaman yang besar dan sangat memprihatinkan terhadap integriti dan kesahihan maklumat, sekali gus meningkatkan penyebaran maklumat yang salah, propaganda dan ancaman siber di Singapura. Komentar ini meneroka fenomena 'deepfake' serta implikasinya terhadap benteng keselamatan siber dan strategi bagi menangani kesannya dalam konteks Singapura.
Petikan skrin video 'deepfake' melibatkan PM Lee Hsien Loong.
APA ITU 'DEEPFAKE'?

'Deepfake' dicipta melalui algoritma pembelajaran yang menganalisis dan meniru corak dalam data untuk memanipulasi ekspresi muka, nada suara dan pergerakan badan untuk menjana simulasi individu yang sangat realistik.

Manipulasi yang boleh dilakukan dengan begitu mudah menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaannya kerana pemalsuan sebegini boleh dijadikan sebagai senjata untuk pelbagai tujuan, termasuk menyebarkan maklumat palsu, merosakkan reputasi dan mempengaruhi pendapat umum seperti yang disaksikan di Singapura baru-baru ini melalui insiden yang melibatkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan dan beberapa ahli politik lain.
IMPLIKASI & KESAN 'DEEPFAKE'

1. Maklumat Salah dan Manipulasi:
Insiden baru-baru ini di Singapura yang melibatkan pemalsuan 'deepfake', terutamanya yang menyasarkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan tokoh berpengaruh yang lain, boleh mencetuskan risiko menyebarkan maklumat salah pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Simulasi yang meyakinkan ini boleh memanipulasi pendapat umum dan mempengaruhi naratif politik. Lantaran itu, strategi yang berkesan diperlukan untuk mengatasi kesannya.

2. Keprihatinan Terhadap Privasi:
Insiden yang melibatkan pemalsuan dan penipuan 'deepfake' di Singapura telah meningkatkan kebimbangan terhadap isu privasi kerana individu, termasuk tokoh-tokoh politik, mungkin mendapati diri mereka secara tidak sedar dipaparkan dalam kandungan yang dimanipulasi yang boleh membahayakan kehidupan peribadi dan profesional mereka.
(Gambar: Google Images)
3. Ancaman Siber:
Penggunaan teknologi 'deepfake' dalam serangan siber telah menjadi lebih ketara di Singapura, menyulitkan lagi usaha untuk membezakan antara kandungan tulen dengan yang dimanipulasi. Ini membawa kepada kekeliruan, ketidakpercayaan, dan potensi mengalami kerugian kewangan, yang secara langsung akan memberi kesan kepada masyarakat Singapura.

RISIKO YANG DITIMBULKAN 'DEEPFAKE'

Aplikasi teknologi jahat ini melangkaui manipulasi politik kerana para pelaku mengeksploitasi teknologi ini untuk melakukan penipuan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan yang tidak disokong, malah menyalahi undang-undang.

Individu-individu ini mengambil kesempatan daripada emosi manusia, terutamanya ketamakan dan daya tarikan skim cepat kaya untuk memperdayakan mangsa.

Untuk meningkatkan kredibiliti usaha mereka, para pelaku yang berniat jahat ini sering menggunakan atau memaparkan selebriti atau tokoh politik terkenal dalam kandungan palsu mereka.
Wadah digital semakin mudah diakses dan canggih, sekali gus memudahkan proses menghasilkan 'deepfake'. (Gambar: AFP/Stefani REYNOLDS)

Dengan mengambil kesempatan daripada kepercayaan yang dikaitkan dengan personaliti terkemuka ini, mereka cuba melenyapkan keraguan mangsa dengan menjadikan kempen penipuan mereka lebih meyakinkan semata-mata untuk memperdayakan para mangsa mereka.

MENANGANI ANCAMAN YANG MENINGKAT DI SINGAPURA

1. Teknologi Pengesanan
Sebagai tindak balas terhadap ancaman penipuan yang semakin meningkat di Singapura, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan dan melaksanakan teknologi pengesanan. Alat berkuasa AI yang menganalisis kandungan bagi mengesan sebarang keganjilan atau anomali dan corak yang menunjukkan manipulasi, terutama sekali memandangkan insiden baru-baru ini melibatkan tokoh-tokoh politik yang berprofil tinggi.

2. Literasi dan Pendidikan Media
Pendidikan awam di Singapura tentang kewujudan dan potensi kesan penipuan kini lebih menggenting berbanding sebelum ini. Insiden terkini yang melibatkan tokoh-tokoh politik menekankan betapa pentingnya memupuk kemahiran celik digital, memperkasakan individu untuk membezakan antara kandungan yang tulen dan yang dimanipulasi.
 

3. Peraturan dan Perundangan
Insiden penipuan 'deepfake' baru-baru ini yang melibatkan tokoh-tokoh politik di Singapura menekankan betapa pentingnya untuk melakar dan menggubal peraturan dan perundangan yang jelas. Kerjasama antara pemerintah dan industri teknologi sangat penting untuk menangani penciptaan dan penyebaran maklumat palsu, dengan langkah-langkah termasuk hukuman dan juga insentif untuk membangunkan dan menerima pakai teknologi pengesanan.

4. Ketelusan Kandungan
Insiden terbaharu yang melibatkan penipuan 'deepfake' di Singapura telah menyerlahkan keperluan untuk meningkatkan ketelusan pada penciptaan kandungan pada platform yang menghoskan kandungan yang dijana pengguna. Ciri-ciri yang menunjukkan sama ada klip video atau audio telah dimanipulasi boleh membantu pengguna membuat keputusan berhemah tentang kandungan yang mereka gunakan.

5. Digital 'Watermarking'
Insiden penipuan 'deepfake' baru-baru ini yang melibatkan tokoh-tokoh politik terkemuka di Singapura menekankan kepentingan untuk melaksanakan teknologi 'watermarking'. Teknologi ini boleh mengenal pasti kandungan tulen, menjadikannya lebih mencabar dan sukar untuk para penipu mencipta kepalsuan yang meyakinkan dan menyediakan perlindungan yang secukupnya untuk individu berprofil tinggi.

(Gambar: fizkes/iStock)
NASIHAT UNTUK RAKYAT SINGAPURA

Sebagai rakyat yang perlu berwaspada, terdapat beberapa langkah proaktif yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko yang ditimbulkan oleh penipuan 'deepfake'.

Pertama, pupuk tabiat celik digital dengan sentiasa mengikuti perkembangan terkini tentang penipuan 'deepfake' dan penipuan-penipuan lain. Bersikap kritis terhadap kandungan online, terutamanya jika ia kelihatan sensasi atau terlalu kontroversial.

Sahkan maklumat daripada pelbagai sumber yang diyakini sebelum mempercayai atau mengongsikannya. Selain itu, beri perhatian kepada butiran-butiran sampingan, seperti pencahayaan yang tidak konsisten atau ekspresi muka yang tidak semula jadi, yang mungkin menunjukkan terdapat manipulasi. Gunakan peralatan dan aplikasi yang direka untuk mengesan penipuan 'deepfake' kerana penipuan sebegini akan menjadi bertambah kompleks.

Akhir sekali, laporkan kandungan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa atau platform-platform relevan untuk menyumbang kepada usaha kolektif dalam menegakkan integriti digital.

INISIATIF & SOKONGAN PEMERINTAH

Selaras dengan kesedaran rakyat, agensi-agensi pemerintah Singapura boleh memainkan peranan penting dalam memerangi penipuan 'deepfake' dan penipuan-penipuan baharu.

Menubuhkan pasukan bertindak khas atau bekerjasama dengan para pakar teknologi boleh membantu Singapura untuk membangunkan teknologi pengesanan yang serba canggih. Memperuntukkan sumber-sumber untuk meningkatkan tahap kesedaran awam dan melaksanakan program pendidikan awam yang berkesan akan memperkasakan rakyat Singapura untuk mengenal pasti dan membanteras ancaman penipuan online. Mengetatkan lagi peraturan dan undang-undang untuk mencegah penciptaan dan penyebaran kandungan palsu online yang berniat jahat harus menjadi keutamaan nombor satu.

Selain itu, menjalin kerjasama antarabangsa untuk berkongsi kepakaran dan amalan-amalan terbaik boleh meningkatkan daya tahan Singapura terhadap cabaran-cabaran 'deepfake' di peringkat global.

Dengan mengambil pendekatan pelbagai serampang, menggabungkan huraian teknologi, meningkatkan pendidikan awam dan melaksanakan langkah-langkah pengawalseliaan, agensi-agensi pemerintah boleh menyumbang dengan ketara kepada usaha melindungi landskap digital Singapura.
MENGENAI PENULIS
Wahab Yusoff adalah seorang pakar keselamatan siber yang menyandang jawatan Naib Presiden Asia Pasifik dan Jepun di Delinea, sebuah firma yang menawarkan khidmat runding cara dalam bidang keselamatan siber, kandungan perniagaan telko dan pengurusan pengetahuan.
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan