Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melestarikan bahasa sebagai pendinding nilai dan budaya

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Bulan Bahasa 2022 telah melabuhkan tirainya pada 9 Oktober. Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2022 ditonton secara bersemuka pada tahun ini selepas dua tahun dek sekatan pandemik COVID-19. Peluang untuk menyertai program-program bahasa, sastera dan budaya Melayu secara fizikal telah dibuka masyarakat pada tahun ini. Dengan itu, semarak bahasa Melayu dapat dirasakan sekali lagi.

Walaupun kegiatan-kegiatan kebahasaan diadakan sepanjang tahun, Bulan Bahasa memeriahkan lagi persekitaran penggunaan Bahasa Melayu. Dengan bertali arusnya program-program yang dijalankan, semangat cinta kepada bahasa dapat terus dipupuk dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang hidup di Singapura.
(Gambar: Facebook/ Majlis Bahasa Melayu Singapura)

YANG BAIK BUDI, YANG INDAH BAHASA

Di Alam Melayu, bahasa itu berkait rapat dengan tata tertib, sopan santun dan adat resam. Teliti sahaja pantun berikut yang dikongsikan oleh Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman di Majlis Pelancaran Bulan Bahasa baru-baru ini.

Adat kita berbahasa,
Cerminan jiwa, jati diri;
Adab kita menyusun kata,
Biar sopan, lebih pekerti.


Jelas terlihat di sini kesantunan Bahasa Melayu yang terangkum indah dalam pantun tersebut. Kesantunan dalam berbahasa dan perlakuan memang sinonim dengan orang Melayu. Nilai murni dalam budi bahasa memberikan kekuatan sosial dan moral serta membentuk budaya tinggi sesebuah masyarakat.

Mungkin pernah kita terdengar seseorang yang melafazkan ungkapan ‘tidak tahu bahasa’. Frasa itu tidak semata-mata bermakna tidak tahu akan bahasa, tetapi ia membawa juga makna tidak tahu adat; tidak terpelajar; jahil; biadap atau kurang ajar.

Ternyata bahawa takrifan bahasa dalam kalangan orang Melayu melangkaui bunyi-bunyi sistem simbol yang diucapkan melalui lidah manusia. Bahasa itu mencerminkan nilai budaya kita.

(Gambar: Facebook/ Majlis Bahasa Melayu Singapura)
KALAU TAKUT DILAMBUNG OMBAK, JANGAN BERUMAH DI TEPIAN PANTAI

Kalau takut berhadapan dengan risiko atau penderitaan, lebih baik jangan melakukan sesuatu yang menyusahkan.

Biasa kita mendengar peribahasa sebegini diucapkan, bukan?

Namun, bagaimanakah pula sekiranya ombak datang membadai walaupun jauh kita melarikan diri?

Yang saya maksudkan di sini ialah persekitaran bahasa yang pesat berubah. Dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa dominan, domain penggunaan Bahasa Melayu yang sebenar kian mengecil. Kalau dahulu Bahasa Melayu menjadi bahasa basahan dalam pelbagai domain seperti urusan jual beli, di rumah, aspek agama dan sebagainya, kini yang nyata, penggunaan Bahasa Melayu dalam domain tersebut semakin berkurangan.

Bahasa Inggeris menjadi bahasa perantaraan yang kini kerap digunakan.
Gambar: Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim
Kita sedia maklum bahawa hasil tinjauan Banci Penduduk 2020 yang dilaporkan mendedahkan kenaikan penggunaan Bahasa Inggeris di rumah.

Hal ini seiringan dengan penurunan penggunaan Bahasa Ibunda secara menyeluruh, termasuk Bahasa Melayu.

Penggunaan Bahasa Melayu turun lebih 20% ke tahap 60.7% berbanding pada tahun 2010. Namun, kalau dilihat dari sisi yang lain, hasil tinjauan ini juga menunjukkan amalan kedwibahasaan yang tinggi. 82.8% keluarga Melayu yang ditinjau pada 2020 melaporkan keupayaan berdwibahasa dengan selesa berbanding 79.4% pada 2010.

Perubahan pada amalan berbahasa berlaku sejajar dengan perubahan demografi penutur bahasa.

Oleh itu, apakah senjata yang kita ada untuk menghadapi arus gelombang ini agar tidak ditelenggami Bahasa Melayu kita?
(Gambar: Facebook/ Majlis Bahasa Melayu Singapura)

MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA

Dasar dwibahasa menjadi tunjang dalam sistem pendidikan di Singapura.

Keupayaan menggunakan Bahasa Inggeris membolehkan Singapura membina perhubungan dengan dunia.

Menguasai Bahasa Ibunda pula menghubungkan kita dengan warisan dan jati diri budaya kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa dasar bahasa yang berpaksikan kedwibahasaan ini telah berjaya dan memberikan impak yang besar terhadap pembangunan ekonomi dan sosial Singapura.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menguasai lebih daripada satu bahasa mempunyai kemahiran kognitif yang lebih tinggi. Hal ini membolehkan mereka untuk memberikan tumpuan pada tugasan yang lebih kompleks, berupaya untuk melakukan pelbagai tugasan pada satu-satu masa, mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan boleh berfikir secara kritis.

Kedwibahasaan dalam pendidikan awal kanak-kanak juga membantu dari segi kemahiran sosial mereka. Kanak-kanak ini akan membesar dengan keupayaan untuk memahami sudut pandangan yang berbeza mengenai nilai dan amalan budaya yang berbeza-berbeza.

Peranan ibu bapa sebagai guru pertama dalam kehidupan kanak-kanak penting untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada Bahasa Melayu seawal mungkin.

Misalnya, mereka boleh membina lingkungan dwibahasa di rumah melalui budaya membaca dengan menyediakan bahan-bahan dwibahasa. Usaha para pendidik untuk terus menyokong penggunaan Bahasa Melayu melalui cara pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan pula diharapkan akan dapat memupuk kesedaran dan menyemai cinta akan bahasa dan budaya dalam diri anak-anak kita.

Usaha sedemikian yang berterusan dari peringkat prasekolah sehingga peringkat prauniversiti akan memastikan adanya kelangsungan penggunaan Bahasa Melayu pada setiap peringkat persekolahan.

Lantas, sebagai ibu bapa atau orang dewasa dalam kehidupan anak-anak kita, penting untuk kita tidak mengukur tahap kecekapan anak-anak kita menggunakan Bahasa Melayu melalui gred pencapaian dalam subjek tersebut semata-mata.

Yang lebih penting adalah menanam bibit-bibit keyakinan dalam diri mereka untuk menggunakan Bahasa Melayu. Penanda aras jangka panjang yang lebih bermakna adalah untuk melihat anak-anak kita terus menggunakan Bahasa Melayu dengan baik selepas mereka meninggalkan bangku sekolah.

Gambar: Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim

YANG BERAT SAMA DIPIKUL, YANG RINGAN SAMA DIJINJING

Untuk melestarikan penggunaan Bahasa Melayu, kita perlukan usaha yang lebih bersepadu. Selain ibu bapa dan para pendidik, peranan masyarakat juga tidak terkecuali.

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) menggalas tanggungjawab untuk menggalakn penggunaan bahasa dan penghayatan sastera Melayu melalui program-program unggul seperti Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan. Bulan Bahasa yang diadakan sejak 1988 menyajikan program-program menarik sesuai dengan semua lapisan masyarakat. Berlangsung dari bulan Ogos sehingga bulan Oktober, acara Bulan Bahasa dirancang dan dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat.

Dengan sokongan padu rakan kerjasama seperti Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB), Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Taman Warisan Melayu (MHC), Wisma Geylang Serai (WGS), MESRA dan juga MAEC, Bulan Bahasa berjaya meluaskan jangkauannya saban tahun. Hal ini amat memberangsangkan bagi pihak penganjur.

Seperti tahun-tahun yang sudah, Bulan Bahasa menyediakan program-program yang pelbagai, sesuai dengan fokus kumpulan sasaran dan matlamat yang hendak dicapai. Khusus bagi pelajar, Rakan Bahasa dilantik sebagai duta untuk menggalak penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan.

Gambar:Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim

Bagi membina keyakinan mereka untuk bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik, pelbagai program seperti Pidato, Penterjemah Pintar dan Pertandingan Kewartawanan diadakan. Pada tahun 2022, seramai 358 Rakan Bahasa telah dilantik.

Selain pelajar, tumpuan juga diberikan kepada golongan belia. Golongan ini merupakan golongan yang penting kerana mereka boleh dianggap sebagai pelapis generasi akan datang. Mereka mampu menjadi suri teladan dalam masyarakat atau pemimpin dalam bidang-bidang tertentu.

Mereka juga bakal menjadi ketua keluarga yang boleh memainkan peranan yang penting untuk menyemai rasa cinta akan Bahasa Melayu dalam diri anak-anak mereka. Sejajar dengan keperluan golongan ini, Duta Bahasa dilantik sempena Bulan Bahasa.

Duta-Duta Bahasa ini merupakan karyawan daripada pelbagai latar termasuklah peguam, doktor, pelakon, penggiat seni dan tokoh akademik.

Penampilan jati diri yang kukuh terutama dalam kalangan profesional yang sering menjadi cerminan kemajuan masyarakatnya akan memastikan ketahanan Bahasa Melayu dalam masyarakat umum.

Hanya dengan sebuah ekosistem yang sihat yang terbentuk daripada gabungan usaha dan kesepaduan pelbagai pihak yang berkepentingan dapat kita memastikan bahawa Bahasa Melayu terus digunakan di Singapura. Bahasa sebagai tampuk nilai dan budaya membentuk sebahagian daripada warisan kita dan harus dilestarikan.

MENGENAI PENULIS:

aMenteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim adalah Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura.
 
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan