Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Meleraikan kekeliruan terhadap Budaya Pangkah

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Meleraikan kekeliruan terhadap Budaya Pangkah

Gambar hiasan: Unsplash/Camilo Jimenez

BERITAmediacorp: Pada awal tahun ini, saya diundang oleh Persatuan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk membincangkan fenomena budaya pangkah (cancel culture) yang menjadi perhatian masyarakat mutakhir ini.

Fenomena ini muncul beberapa tahun yang lalu dan terkait dengan beberapa gerakan yang membawa isu-isu seperti gangguan seksual terhadap wanita (#MeToo) dan rasisme terhadap golongan kulit hitam (Black Lives Matter).
Tunjuk perasaan di Sydney, Australia pada 2 Jun 2020. (Gambar: Reuters/Loren Elliott) 
Di dalam konteks ini, masyarakat umum digesa supaya memangkah atau mengecam para pelaku yang dianggap berbahaya, merosakkan atau memangsakan golongan yang lemah, terpinggir dan tertindas.

Oleh kerana penekanannya terhadap pembelaan golongan yang kurang diberi perhatian akibat dominasi golongan berpengaruh dan berkuasa, maka keupayaan menggembleng sentimen orang ramai untuk memangkah dan memulaukan golongan penindas, dianggap sebagai sesuatu yang memperkasakan mangsa dan memperbetulkan struktur yang dianggap tidak adil dan saksama.

Dalam erti kata lain, budaya pangkah muncul di dalam konteks gerakan aktivisme yang mahu menentang ketidakadilan sosial dan menyeru kepada struktur masyarakat yang saksama dan lebih berpihak kepada golongan minoriti, lemah atau terpinggir.

Namun, saya melihat bahawa setelah istilah ini memasuki ruang awam yang lebih besar, terjadi kekeliruan dan juga penyalahgunaan. Oleh itu, penting untuk kita memahami apa itu sebenarnya budaya pangkah, mengapa ia muncul dan apakah permasalahan yang terkait dengan praktik dan penggunaannya.

Apa itu budaya pangkah?

Pertama, perlu dijelaskan apa itu budaya pangkah.

Secara umum, ia merujuk kepada suatu situasi di mana seorang individu atau kelompok (1) dianggap sebagai sudah melanggar batas moral sehingga (2) mencetuskan kemarahan meluap-luap, sehingga (3) berlaku tindakan menghukum secara punitif.

Antara contoh menghukum ini adalah dengan secara beramai-ramai “membantai” (dengan kata-kata, bukan fizikal) terhadap mereka yang dianggap bersalah serta memulaukan mereka daripada ruang-ruang awam.

Ini dilakukan tanpa proses yang adil, yakni melalui undang-undang sedia ada. Yang tertuduh juga tidak diberikan ruang untuk menjelaskan atau mempertahankan diri mereka.

Jadi, budaya pangkah mempunyai ciri-ciri tambahan berikut: (4) menghukum dengan pantas tanpa ruang mencari kebenaran, (5) cepat mempengaruhi sentimen umum terutamanya oleh mereka yang berfikiran sama, dan (6) keghairahan melakukan hukuman secara beramai-ramai dengan alasan ia baik untuk masyarakat.

Kecenderungan yang ketara

Menurut Profesor Daniel Kovalik dari Sekolah Undang-Undang Columbia, budaya pangkah mempunyai kecenderungan memalukan dan memulaukan.

Sebagai suatu kebiasaan, budaya pangkah menunjukkan sikap tidak toleran terhadap pandangan yang berbeza. Sesuatu isu juga sering dilihat melalui lensa binari, yakni hitam dan putih sehingga mereka yang menunjukkan simpati atau tidak mempunyai pendirian jelas mengenai perkara yang dipertikaikan, akan turut dipangkah atau dipulaukan.

Pada masa yang sama, wujud keinginan kuat untuk menyenyapkan pihak lawan. Ini dilakukan dengan menapis pandangan berbeza dengan menggunakan kuasa, pengaruh ataupun menakut-nakutkan orang ramai sehingga mereka mengikuti pendirian yang diinginkan.

Sering juga terjadi penenggelaman suara-suara lawan dengan “membuat bising” (di media-media sosial) untuk tidak memberi ruang kepada kritikan atau pandangan alternatif yang didengari.

Satu lagi perkara ialah hukuman tidak setimpal terhadap pelaku yang dianggap bersalah. Sebagai contoh, seorang yang mengungkapkan kata-kata berbaur perkauman tanpa sedar, akan dimusnahkan kehidupannya dengan mendesak supaya pelaku dibuang kerja dan tidak dapat bekerja di mana-manapun. Dalam erti kata lain, tidak wujud dimensi mendidik dan memperbetulkan kesilapan dengan cara yang baik.

Apa yang menjadi tujuan dari budaya pangkah ini ialah menghukum secara punitif sehingga seseorang itu pupus dan lenyap di mata masyarakat buat selama-lamanya.

Inilah yang menggusarkan ramai pihak yang sering mengkritik kemunculan budaya pangkah yang semakin mempengaruhi tingkah laku masyarakat.

Ia menjadi keprihatinan kerana sentimen ke arah memangkah mudah terjadi di media-media sosial yang mempunyai pengaruh luas di dalam masyarakat kontemporari. Ia mempunyai kesan terhadap perpaduan masyarakat yang rencam dan berbeza pandangan.

Penyalahgunaan konsep

Oleh itu, kegusaran terhadap budaya pangkah memang wajar. Namun, kita juga harus sedar akan penyalahgunaannya. Ini terjadi ketika kita cuba mempertahankan dan melindungi pandangan kita dengan cara meraih simpati bahawa kononnya kita adalah mangsa budaya pangkah.

Saya berikan contoh. Sekiranya seseorang itu mengeluarkan kata-kata rasis terhadap seorang minoriti berkulit gelap, dan kemudiannya ditegur dan dimarahi oleh orang ramai, si pelaku tidak boleh mengatakan kebebasannya untuk mengeluarkan kata-kata rasis telah dipangkah dan itu sebagai bukti wujudnya budaya pangkah. Begitu juga dengan kata-kata yang menunjukkan unsur-unsur prejudis seperti sikap atau kata-kata seksis dan homofobik.

Jadi, kritikan terhadap pandangan kita tidak boleh dikatakan sebagai suatu unsur untuk memangkah kita seperti apa yang terjadi di dalam budaya pangkah.

Kita masih bebas berbicara dan mengusulkan pandangan kita. Namun, ia mempunyai kesan dan akibat di dalam masyarakat. Kita harus bersedia dan tidak merasakan diri kita dianiayai semata-mata kerana dikritik. Sayangnya, apa yang sering kita lihat sekarang ialah mereka yang sering kali meminggirkan dan memulaukan golongan lain yang tidak sependapat, akan lantang mengatakan mereka kononnya dipangkah semata-mata pandangan mereka dikritik dan kedudukan berpengaruh mereka dicabar oleh golongan yang tertindas selama ini.

Inilah aspek perampasan konsep yang kemudiannya disalah guna, terutama oleh golongan yang paling lantang dan berpengaruh di dalam masyarakat. Oleh kerana berasa tergugat, mereka menggunakan konsep budaya pangkah untuk mempertahankan kedudukan mereka serta melindungi pandangan mereka daripada kritikan.

Jalan keluar

Oleh kerana dua unsur ini, yakni aspek negatif budaya pangkah dan penyalahgunaannya, kita memerlukan cara-cara yang lebih baik sebagai jalan keluar.

Pertama, saya mensyorkan cara menegur yang berhemah untuk mendidik atau apa yang digelar sebagai “calling in” ke timbang “calling out” (menuduh dengan cara marah-marah). “Calling in” tidak mempunyai unsur menghukum secara punitif. Sebaliknya, sekiranya ada sesuatu tindakan atau kata-kata yang dianggap melanggar batas, harus diwujudkan proses yang adil di mana kita cuba memahami apa yang terjadi, mengapa ia terjadi dan bagaimana kita dapat mendidik pelaku untuk belajar daripada kesilapan.

Sudah tentu, ini tidak bermaksud melepaskan pesalah yang sudah terbukti kesalahannya. Namun, apa jua hukuman sosial harus setimpal sehingga kita tidak menjadi penganiaya terhadap mereka yang menganiaya.

Kita sepatutnya membantu mangsa mendapatkan keadilan tetapi pada masa yang sama, juga berlaku adil terhadap pelaku supaya mereka dapat menjadi insan yang lebih baik.

Kedua, sebagai individu, kita harus berhati-hati supaya tidak mudah terbawa-bawa dengan sentimen yang muncul di media sosial atau yang diapi-apikan oleh golongan berkepentingan. Budaya Pangkah wujud atas dasar adanya psikologi mengeroyok (mob psychology).

Oleh itu, penting kita bersikap mandiri dan bermuhasabah.

Apakah kita benar-benar faham apa yang membuat kita marah?

Apakah kita sudah tahu sesuatu isu secara mendalam?

Apakah kita lantang semata-mata kerana kita merasakan diri kita lebih baik dan harus mempamerkannya di mata awam?

Soalan-soalan ini dapat mencegah kita daripada sikap reaktif tanpa fikir. Ia juga menumpukan perhatian kita kepada persoalan sebenar dan bukannya sikap “moral grandstanding” (menunjukkan kita mempunyai moral lebih tinggi daripada orang lain).

Akhir sekali, kita harus sedar bahawa walaupun sikap marah itu mungkin wajar terhadap perkara yang kita anggap salah atau melanggar batas, namun bagaimana kita mengawal dan menyalurkan kemarahan tersebut harus diawasi sehingga tidak wujud marah yang meluap-luap atau 'outrage' semata-mata.

Budaya pangkah menggunakan kemarahan untuk menghukum secara punitif. Kita boleh melakukan sebaliknya, yakni membuat orang sedar mengapa sesuatu itu salah melalui cara-cara berhemah. Di sini, prinsip “Golden Rule” mungkin sesuai: perlakukan orang lain sebagaimana kita mahu diperlakukan.

Sekiranya kita melakukan kesalahan tanpa kita sedari, apakah cara menegur yang kita inginkan?

Kita hidup di zaman kebangkitan identiti politik dan penggunaan media sosial yang berleluasa. Ini bermakna sentimen-sentimen negatif mudah dimain-mainkan dari banyak pihak. Sudah tiba masanya kita mendidik diri untuk lebih beringat-ingat (mindful) ketika muncul sesuatu isu di dalam masyarakat, termasuk persoalan budaya pangkah yang sering didengari sekarang.

MENGENAI PENULIS:
Mohamed Imran Mohamed Taib adalah pengasas dan anggota lembaga Centre for Interfaith Understanding Singapore (CIFU), iaitu sebuah pertubuhan silang agama yang inklusif. Sebagai penulis dan pengkaji, beliau telah menyunting dan menerbitkan beberapa buku, termasuk kompilasi esei kritikal mengenai masyarakat Melayu yang berjudul Budi Kritik (2020). Tumpuan kajiannya adalah mengenai hubungan antara agama, multikulturalisme, orientasi keagamaan dan tradisi intelektual masyarakat Melayu.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa