Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melangkah ke hadapan dengan mendakap norma baru

Untuk keluar dari masalah penularan COVID-19 kita perlu bekerjasama antara satu sama lain, bersabar dan memandang kepada matlamat jangka panjang. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Melangkah ke hadapan dengan mendakap norma baru

(Gambar: Gaya Chandramohan)

BERITAmediacorp: Untuk keluar dari masalah penularan COVID-19 kita perlu bekerjasama antara satu sama lain, bersabar dan memandang kepada matlamat jangka panjang.

Sejak pemutus rantaian jangkitan dilaksanakan, kita perlu menyesuaikan diri bekerja dan belajar dari rumah, terkurung buat masa yang panjang, menukar cara kita berbelanja dan berniaga.

(Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Kita juga perlu mengawal perjalanan dan menjaga pergaulan dengan memastikan jarak selamat dan kebersihan peribadi.

Bagi masyarakat Melayu yang sudah sebati dengan hidup berkampung, norma baharu ini tentunya memerlukan penyesuaian dan pengorbanan.

Kita yang terbiasa dengan solat berjemaah di masjid, menziarahi sanak saudara pada waktu-waktu lapang, berkenduri-kendara, meramai-ramaikan majlis, berkelah bersama keluarga, menjenguk yang sakit, melayat yang meninggal, bersalaman dan berdakapan – ini semua sudah terkesan dengan kehadiran COVID-19.

HIKMAH PEMUTUS RANTAIAN

Walau usia sudah menjangkaui 70 tahun, Katijah Marhani tidak kekok manfaatkan platform digital untuk 'bertemu' keluarga Hari Raya tahun ini.

Ada yang mungkin menyoal: Cukupkah dengan hanya ber-ZOOM untuk bertanya khabar?

Sampaikah hati kita setakat mengirim salam takziah kepada yang berdukacita?

Bolehkah kita tumpang gembira dengan hanya menyaksikan pernikahan anak-anak saudara dan teman-teman menerusi siaran langsung melalui video?

Soalan-soalan ini tidak mudah dijawab kerana ia berkaitan dengan emosi, adat dan budaya kita sebagai masyarakat yang dikenali dengan adab dan kelembutan hati.

Tetapi, di sebalik kesulitan ini, kita sendiri telah melihat hikmah menghabiskan masa pemutus rantaian jangkitan bersama ahli keluarga, lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan yang lalu.

Ramai kaum bapa mungkin tidak menyangka mempunyai kebolehan menjadi imam bagi solat tarawih, yang selalunya dilakukan di masjid.

Mungkin juga inilah satu-satunya tahun di mana setiap ahli keluarga dapat berbuka puasa dan bersolat tarawih berjemaah bersama setiap hari selama sebulan.

Tentunya, masa-masa ini disertakan juga dengan perbualan yang mengukuh ikatan keluarga.

MEMBERI SUMBANGAN

Lebih 15,000 bungkus makanan diagihkan sejak inisiatif #SGUnited Buka Puasa dilancarkan. (Gambar-Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Kita sebagai satu masyarakat yang berihsan juga tidak terhenti memberi sumbangan kepada badan-badan bantuan dan masjid di sebalik penularan COVID-19 ini.

Kini, kaedah bersedekah dalam talian menjadi sumber alternatif bagi kita untuk terus membantu masyarakat yang memerlukan.

Ia lebih mudah, cepat dan langsung terus ke akaun penerima; menjimatkan masa dan tenaga pekerja.

Kita juga masih terus terdorong untuk memastikan mereka yang kurang bernasib baik tidak dilupakan dalam jangka waktu sekatan.

(Gambar ihsan: Muhammad Wafiq Hadee Anuwar)

Bantuan makanan, barangan dapur serta pemantauan kesihatan fizikal dan mental masih diteruskan oleh badan-badan sosial, kumpulan akar umbi dan sukarelawan walaupun berpandukan langkah-langkah keselamatan.

Ada dalam kalangan kita yang diuji dengan pemberhentian kerja, pengurangan pendapatan atau perniagaan yang malap.

Mujurlah ada bantuan pemerintah yang boleh dimohon untuk meneruskan kehidupan sementara menanti hari yang lebih baik.

Peluang pekerjaan mungkin lebih cerah di sektor yang berbeza. Mungkin peralihan rezeki ini membuka jalan yang lebih baik bagi mereka yang bersedia untuk meneroka.

MENYAMBUNG PERHUBUNGAN

Kita telah melihat bagaimana teknologi dapat digunakan untuk menyambung perhubungan.

Berkunjung raya dengan ZOOM mungkin tidak semeriah ‘menyerang’ rumah sanak-saudara sebagai satu rombongan. Namun ukhwah tetap terjalin dengan kita doa-mendoakan antara satu sama lain.

Yang menariknya, warga senja kita juga semakin selesa menggunakan teknologi ini sehingga dapat langsung menjalin ikatan dengan sanak-saudara yang berada di luar negeri.

Dalam kita mengasingkan diri secara fizikal tersemat rasa hormat dan prihatin untuk menjaga kebajikan orang-orang tersayang dari terdedah kepada penularan virus.

Malahan, aplikasi persidangan video dan media sosial ini juga digunakan sebagai wadah bagi masjid-masjid menyempurnakan tugas membimbing kerohanian masyarakat dengan mengadakan kuliah secara ‘live’.

MENERUSKAN PEMBELAJARAN

Sekali lagi, warga senja dan orang awam yang merindukan kuliah-kuliah di masjid dapat meneruskan pembelajaran mereka.

Seronoknya, mereka kini dapat ‘menjelajah’ dan ‘menghadiri’ majlis ilmu serata Singapura tanpa berpenat lelah kerana kebanyakan masjid di sini telah memanfaatkan teknologi digital untuk menyantuni para jemaah.

Kelebihan kaedah ini adalah ia dapat dirakam dan sekali gus menjadi sumber rujukan jemaah pada bila-bila masa.

Pengorbanan dari segi sosial seperti menjengah orang tua dan adik-beradik, melawat orang sakit atau mengiring jenazah ke permakaman mungkin berterusan buat masa singkat.

Kunjung-mengunjung masih belum boleh dilakukan secara bebas; tetapi, kita masih boleh menunjukkan keprihatinan kita dengan meningkatkan komunikasi walaupun berjauhan.

TIDAK BOLEH MELATAH

Mungkin ini semua agak janggal bagi sesetengah kita yang inginkan interaksi yang lebih intim, seperti waktu sebelum pandemik ini timbul.

Mungkin sesetengah kita ingin nekad melanggar peraturan dan undang-undang kerana menganggap menjaga norma hidup bermasyarakat melangkaui apa yang telah ditetapkan pemerintah.

Buat masa ini, kita tidak boleh melatah dan bertindak mengikut resa. Kesulitan sementara ini tidak seharusnya mematahkan semangat juang yang menjadikan kita satu masyarakat yang bingkas dan berdaya tahan.

MAINKAN PERANAN

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Kini kita sedang dalam fasa pertama pelonggaran pemutus rantaian jangkitan. Setiap kita boleh memainkan peranan agar fasa ini dapat dijayakan dengan baik.

Langkah-langkah yang diatur adalah untuk mengelakkan gelombang kedua (second wave) jangkitan dari berlaku.

Untuk keluar dari masalah penularan ini, kita perlu bekerjasama antara satu sama lain, saling ingat-mengingatkan untuk bersabar dan memandang kepada matlamat jangka panjang, yakni menghentikan penularan virus dari berleluasa.

Perjuangan kita perlu konsisten dan berterusan. Walaupun perjalanannya masih jauh, marilah kita melangkah ke hadapan dengan tabah dan yakin.

Kita mendakap norma baharu ini dengan semangat waja dan bersatu padu.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan