Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melangkah ke Darjah 1: Pupuk minat menuntut ilmu, pertimbangkan pilihan sekolah

Selain menimbangkan faktor-faktor seperti kesesuaian sekolah mengikut keperluan pembelajaran dan jarak antara rumah dengan sekolah, ibu bapa diajak supaya memperkayakan minat anak-anak untuk menuntut ilmu, bahkan sebelum di bangku sekolah lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Melangkah ke Darjah 1: Pupuk minat menuntut ilmu, pertimbangkan pilihan sekolah

Gambar fail murid-murid prasekolah MOE.

BERITAmediacorp: Pelbagai perkara mengundang kebimbangan ibu bapa ketika anak-anak mereka melangkah ke sekolah rendah. Selain menimbangkan faktor-faktor seperti kesesuaian sekolah mengikut keperluan pembelajaran dan jarak antara rumah dengan sekolah, ibu bapa diajak supaya memperkayakan minat anak-anak untuk menuntut ilmu, bahkan sebelum di bangku sekolah lagi.

Kita sering kali mendengar tentang kisah ikhtiar ibu bapa yang membanting tulang demi menjamin masa depan anak mereka.

Seorang ibu membaca kepada anaknya yang masih di dalam kandungannya. Seorang bapa melakukan kerja lembur untuk membiayai yuran kelas muzik anaknya. Ibu bapa berpindah ke rumah lebih dekat dengan sekolah yang mereka anggap sebagai yang terbaik bagi anak mereka.

Ketika saya berusia tujuh tahun, persiapan untuk seseorang anak melangkah ke sekolah rendah adalah sesuatu yang agak ringkas. Sering kali ibu bapa memilih sekolah yang paling berhampiran dengan rumah supaya anak mereka boleh berjalan kaki bersama dengan anak jiran tetangga, berhenti seketika untuk membeli cemil-cemilan di kedai dalam perjalanan pulang, sebelum pulang ke rumah menjelang waktu makan tengah hari. Sekolah berkenaan adalah satu-satunya yang dihadiri budak-budak sekampung.

Gambar ini dipetik pada 2018, sebelum pandemik COVID-19. (Gambar: MOE)

Gambar ini dipetik pada 2018, sebelum pandemik COVID-19. (Gambar: MOE)

Bahkan selepas kami berpindah ke flat HDB di Toa Payoh, saya masih ke sekolah rendah asal yang terletak di Bukit Timah. Bagi ibu bapa saya, nama sekolah tidak menjadi masalah - selagi kita diberi pendidikan.

Sungguhpun begitu, sesetengah ibu bapa mungkin memilih sekolah berdasarkan pertimbangan bahasa, budaya dan agama. Tetapi, lebih daripada itu, ehwal pembelajaran akademik diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru sebaik saja penggal sekolah bermula.

Apabila saya dan isteri saya bergelar ibu bapa lebih 20 tahun lalu, masa sudah berubah dan kami mempunyai pandangan tertentu tentang sekolah rendah mana yang lebih sesuai bagi anak-anak kami, dan bagaimana kami dapat mempersiapkan mereka untuk melangkah ke Darjah 1.

Jarak antara rumah dengan sekolah masih menjadi keutamaan. Sekolah yang kami pilih untuk anak sulung kami, Lidia, berhadapan dengan flat HDB kami. Ketika beliau berada dalam Darjah 2, kami berpindah ke rumah baru yang agak jauh dari sekolahnya dan lantaran itu kami membuat keputusan untuk memindahkannya ke sebuah sekolah yang lebih dekat dengan rumah baru kami.

Bagi anak lelaki kami Adli, kami juga memilih sekolah yang paling berhampiran dengan rumah. Jarak yang dekat itu lebih memudahkan dan menyingkatkan perjalanan, dan kami berharap Lidia dan Adli dapat menumpukan lebih banyak tenaga dan masa kepada minat mereka semasa dan selepas waktu darjah.

MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA

Dari segi persiapan anak-anak kami untuk melangkah ke alam persekolahan formal, kami ingin memastikan mereka memulakan perjalanan mereka dengan dilengkapi ilmu dan kemahiran asas.

Sejak mereka kecil lagi, kami sudahpun memupuk tabiat membaca dan kerap berbual dengan mereka dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Ini penting dalam menyediakan asas yang kukuh dalam kedua-dua bahasa.

Untuk menyeronokkan lagi pembelajaran secara bersahaja, isteri saya yang mempunyai kelayakan Pendidikan Awal Kanak-kanak di peringkat Sarjana, akan sentiasa mengalakkan kedua-dua anak kami untuk membaca tanda-tanda jalan raya dan mengecam nombor-nombor dan abjad dengan menyebut nombor pada plat kereta di depan kita.

Gambar: MOE

(Gambar: MOE)

Beliau akan menceritakan kisah-kisah tentang pokok-pokok, bangunan, haiwan yang mencetuskan sifat ingin tahu tentang persekitaran sekeliling. Beliau juga akan menggunakan lukisan serta musik untuk memupuk minat mereka menimba ilmu baru. Isteri saya akan kerap membawa mereka ke perpustakaan dan membaca kepada mereka.

Sebelum Adli memulakan Darjah 1, kami pada awalnya terpinga-pinga apabila pihak sekolah memberikan kami senarai 50 perkataan Inggeris yang Adli perlu kenal pasti sebelum memulakan Darjah 1, supaya dia tidak lagi perlu mengeja secara lisan untuk mengenal perkataan-perkataan itu.

Kami merasa agak hairan ketika itu kerana tiada amalan sedemikian ketika saya berada di bangku sekolah. Ia menyedarkan kami bahawa anak kami perlu mencapai tahap celik huruf tertentu sebelum dia memulakan persekolahan formal. Kami mula tertanya-tanya tentang nasib murid-murid yang tidak didedahkan kepada bahan bacaan.

Kemudian pihak sekolah akan menentukan tahap celik huruf murid-murid pada permulaan penggal sekolah. Saya mendapat tahu bahawa ia bukanlah syarat-syarat yang perlu dipatuhi tetapi tujuannya adalah untuk menyalurkan lebih banyak sumber dan tenaga kepada mereka yang lebih memerlukan sokongan literasi.

Sekolah-sekolah hari ini tidak lagi melaksanakan amalan-amalan sedemikian dan sebaliknya mengambil pendekatan yang lebih holistik. Namun saya berbesar hati kerana kesemua sekolah di merata Singapura terus mengekalkan komitmen untuk membantu setiap pelajar mencapai potensi sepenuhnya tanpa mengira tahap kebolehan mereka pada permulaannya.

Para pelajar sebuah sekolah rendah di Singapura. (Gambar: Chan Chun Sing/Facebook)

Gambar fail murid-murid sekolah rendah. (Chan Chun Sing/Facebook)

Pada bulan lalu, Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan perubahan kepada Rangka Kerja Pendaftaran Darjah 1, termasuk menggandakan tempat yang diperuntukkan dalam Fasa 2C dari 20 kepada 40 murid, untuk membantu anak-anak yang tidak mempunyai hubungan terdahulu dengan sekolah berkenaan supaya berpeluang ke sekolah berhampiran rumah mereka.

Dengan perubahan tersebut, lebih ramai kanak-kanak akan dapat mengurangkan masa perjalanan dan sebaliknya meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga dan untuk mengejar minat masing-masing. Dari sudut lebih luas, langkah itu juga memastikan sekolah-sekolah kita dapat diakses oleh pelajar dari semua latar belakang dan menggalakkan kepelbagaian di sekolah-sekolah.

MOE terus komited untuk mengekalkan mutu setiap sekolah dengan menyediakan sumber-sumber yang mencukupi supaya mampu menawarkan program-program bagi memenuhi minat para pelajar yang berpelbagai. Saya mengalakkan ibu bapa meluaskan pilihan sekolah apabila mereka membuat pertimbangan – tidak semestinya hanya satu saja yang terbaik bagi anak mereka.

Bahkan, mungkin terdapat lebih banyak bilangan sekolah yang mampu memenuhi keperluan dan kepentingan pembelajaran serta memupuk minat dan bakat tertentu anak mereka yang sekali gus terletak dekat dengan rumah mereka.

MEMUPUK MINAT ANAK KITA TERHADAP PEMBELAJARAN

Menjelang tahun baru persekolahan, ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bakal melangkah ke Darjah 1 tentulah prihatin tentang apa yang dijangkakan oleh pihak sekolah daripada anak-anak mereka. Secara semula jadi, setiap peralihannya mungkin kelihatan sukar, namun saya menggesa ibu bapa supaya tidak terlalu bimbang.

Gambar ini dipetik pada 2018, sebelum pandemik COVID-19. (Gambar: MOE)

Gambar ini dipetik pada 2018, sebelum pandemik COVID-19. (Gambar: MOE)

Secara umumnya, kanak-kanak yang memulakan Darjah 1 perlu mampu menggunakan bahasa Inggeris untuk menyuarakan keperluan, kemahuan dan pengalaman mereka, dan mampu bertanya dan menjawab soalan-soalan mudah. Lama-kelamaan mereka akan mampu meluahkan perkara-perkara sedemikian menggunakan ayat-ayat yang mudah dan lengkap, baik secara lisan mahupun secara bertulis.

Pemahaman asas tentang nombor-nombor juga digalakkan, di mana kanak-kanak sepatutnya sudah mampu mengira hingga 10 dan membandingkan antara kelompok untuk menentukan sama ada bilangannya lebih, kurang atau sama.

Selain itu, yang lebih penting ialah bagi kanak-kanak untuk dilengkapi kemahiran sosio-emosi yang diperlukan untuk menyesuaikan diri kepada alam persekolahan, ghairah berkenalan dengan teman dan berasa teruja untuk menimba ilmu.

Izinkan saya berkongsi idea-idea untuk meningkatkan persiapan anak-anak kita untuk Darjah 1 dan memupuk minat dengan sekolah dan pembelajaran:

1. MENYEMAI SIFAT INGIN TAHU

Saya dan isteri saya gemar berkongsi dengan anak-anak kami tentang minat kami terhadap perkembangan dunia, dan apabila mereka lebih dewasa, kami akan membincangkan ehwal semasa dan masyarakat, ketika waktu makan atau bersembang bersama.

Kita mengeratkan silaturahim dengan anak-anak ketika membacakan buku cerita sebelum dan ketika menonton rancangan televisyen, mengunjungi perpustakaan dan membaca bersama-sama, yang menjadikan pembelajaran bahasa lebih seronok dan bersahaja. Kami memberi perhatian kepada minat anak-anak kami.

2. BERKONGSI TENTANG KESERONOKAN SEKOLAH

Saya pernah menceritakan dengan anak-anak saya tentang bagaimana saya perlu bangun awal pagi untuk mengejar bas pertama ke sekolah dan bagaimana saya tidur sambil berdiri kerana bas terlalu sesak. Dan bagaimana arwah ibu saya selalu menggoreng nasi lebihan hari sebelumnya dengan sambal belacan pada waktu pagi untuk dibawa bekal kerana kita tidak begitu berkemampuan untuk membeli makanan waktu rehat sekolah.

Yang menariknya, rakan-rakan saya gemar menjamah makanan saya sehinggakan saya menjadi mesra dengan rakan-rakan saya kerana membawa bekal makanan sedap ke sekolah setiap hari.

Gambar ini dipetik pada 2018, sebelum pandemik COVID-19. (Gambar: MOE)

Gambar ini dipetik pada 2018, sebelum pandemik COVID-19. (Gambar: MOE)

Apabila ibu bapa berkongsi tentang kenangan manis mereka ketika di bangku sekolah, ia mengisyaratkan peri pentingnya pembelajaran dan keseronokan di sekolah dan pengalaman yang dapat mereka nanti-nantikan.

Ini memandangkan pendidikan seseorang anak adalah tanggungjawab bersama yang digalas antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Ibu bapa perlu mencuba sedaya upaya untuk melibatkan diri dalam perjalanan pendidikan anak mereka - menghadiri program suai kenal sekolah, melungsuri laman web sekolah bersama-sama, memilih Kegiatan Ko-korikular (CCA) bersama-sama, dan menyertai persidangan antara ibu bapa dengan guru serta acara-acara khas di sekolah.

Kehadiran ibubapa di sekolah merupakan isyarat jelas bahawa pendidikan anak-anak kita diutamakan dalam fikiran kita dan anak-anak kita akan mendapatinya lebih bermakna ketika bersekolah.

MENGUTAMAKAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Pendidikan prasekolah mendedahkan anak-anak kita lebih awal kepada kemahiran membaca, mengira dan bergaul yang diperlukan untuk membina teras kukuh dalam pembelajaran dan menyesuaikan diri kepada pendidikan sekolah rendah.

Masyarakat Melayu/Islam kita mesti memanfaatkan sumber-sumber yang disediakan dalam pendidikan prasekolah supaya anak-anak kita bersedia melangkah ke sekolah rendah dengan asas yang teguh dan semangat yang yakin. Bagi anda yang khuatir tentang kos yang terlalu tinggi, anda tidak usah bimbang - bantuan akan disediakan.

Kita perlu terus memupuk minat ingin tahu dalam pendidikan komprihensif anak-anak kita. Pokoknya, perjalanan pendidikan seseorang anak tidak sepatutnya ditentukan oleh pencapaian akademik semata-mata. Kita tegaskan juga pembetukan perwatakan dan kewarganegaraan dengan menyemai nilai-nilai penting kepada mereka.

Ayuh, cetuskan keghairahan anak-anak kita untuk menuntut ilmu, galakkan pembangunan sosial dan emosi mereka dan sokong mereka untuk mencipta kenangan manis di bangku sekolah yang dapat diimbau kembali apabila mereka dewasa kelak dan dorong mereka membesar dengan kemahiran dan perwatakan yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Kanak-Kanak kepada anak-anak kita!

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohamad Maliki Osman adalah Menteri, Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar.  

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan