Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melakar hala tuju RRG selepas 20 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Dua dekad yang lalu, sekumpulan asatizah tempatan tampil ke hadapan untuk menubuhkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Penubuhannya ekoran penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang telah merancang beberapa serangan pengganas atas nama Jihad dan Islam.


Usaha RRG untuk memulihkan fahaman songsang JI dan mendidik masyarakat tentang bahaya pengganasan dan ideologi radikal telah mendapat pengiktirafan pemerintah Singapura.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2022 pada bulan lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberikan penghargaan kepada RRG atas sumbangan mereka selama ini.

Beliau menghargai usaha RRG memulihkan mereka yang tersasar daripada landasan agama, selain membimbing masyarakat tentang tafsiran dan amalan agama Islam yang sebenar.

PM Lee turut merakamkan penghargaan pemerintah kepada mantan Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Ali Haji Mohamed yang telah bersara dari memimpin RRG baru-baru ini ekoran isu kesihatan beliau.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan penghargaannya kepada Ustaz Ali Mohamed di Simposium Sidang Puncak Asia Timur mengenai Pemulihan Keagamaan dan Integrasi Semula Sosial pada 2015. (Gambar: MCI)

Namun, Ustaz Ali masih kekal dalam RRG sebagai Presiden Emeritus RRG.

Sebagai Presiden Emeritus RRG, Ustaz Ali akan terus memberikan nasihat dan panduan kepada kepimpinan RRG dengan pengalaman dan ilmunya yang begitu luas. Ustaz Ali juga telah berkecimpung dalam masayarakat melalui sumbangan beliau di Masjid Khadijah, MUIS, PERGAS dan badan serta pertubuhan lain.

Perubahan Ancaman Pengganasan

Ketika ditubuhkan pada 2003, RRG hanya memberi fokus kepada usaha menangani ancaman ideologi yang timbul dari kumpulan JI.

Ketika itu, jumlah anggota RRG hanya seramai 13 orang sahaja berbanding 46 orang pada hari ini.

Dari membuat kajian tentang ideologi JI kepada memberi kaunseling kepada para tahanan, usaha RRG telah meningkat dan berubah dari tahun ke tahun.

Pada tahun 2007, RRG berdepan dengan fenomena individu menjadi radikal dengan sendiri (self-radicalisation) buat pertama kali.

Seorang warga Singapura yang tidak tergolong dari mana-mana kumpulan pengganas telah menjadi radikal dengan bahan bacaan yang diperolehinya dari Internet.

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Pada 2011 pula, terdapat beberapa anak muda yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terpengaruh dengan konflik di Syria dan ingin berangkat ke sana untuk menyertai perang saudara di sana yang mereka ertikan sebagai Jihad.

Untuk membetulkan kekeliruan dan salah faham konsep Jihad ini, RRG telah mengeluarkan risalah-risalah kecil yang menjelaskan bahawa peperangan yang berlaku di Syria pada 2011 adalah perang saudara dan bukan Jihad yang memerlukan Muslim di tempat lain untuk menyertainya.

Apabila kumpulan pengganas ISIS mengisytiharkan sistem khilafah yang ditubuhkan pada tahun 2014, RRG mula mengeluarkan buku kecil yang menjelaskan bahawa khilafah yang ditubuhkan ISIS itu tidak sah. Begitu juga usaha RRG menyangkal dakwaan ISIS yang mendakwa Abu Bakar Baghdadi sebagai khalifah Islam baru yang dilantik.

Hala Tuju RRG

Memandangkan ancaman pengganasan dan fahaman radikal ini tidak pernah pupus bahkan terus berubah, RRG perlu mempertingkatkan strategi dan melakarkan hala tuju yang strategik.

Era JI dan ISIS telah berlalu. Namun ancaman pengganasan belum berakhir.

Pengganasan hanyalah natijah dari orientasi dan fahaman yang boleh membawa kepada perbuatan ganas.

Fahaman dan orientasi ini adalah ideologi kebencian, tegar, eksklusif dan sama sekali tidak menghargai nilai kemanusiaan dan kedamaian.

Selagi mana ideologi ini berleluasa dalam masyarakat, selagi itulah kita akan berdepan dengan ancaman pengganasan yang berterusan.

RRG harus bergerak sesuai dengan perkembangan dunia dan keadaan. Tidak dinafikan bahawa perkembangan politik dunia terus bergejolak. Ini boleh mendatangkan akibat yang buruk.

Isu Islamofobia, penyebaran fahaman pelampau, fahaman eksklusif dan sentimen anti-agama dijangka akan terus meruncing.

Kesemua fahaman dan orientasi ini terbukti mampu membawa kepada perpecahan dan kemusnahan.

Timbalan Pengerusi RRG, Dr Mohamed Ali, bersama para belia yang menyertai program AYP. (Gambar fail)
Begitu juga RRG berperanan besar untuk terus mendampingi anak-anak muda hari ini. Dunia anak-anak kita terus tertumpu kepada media sosial yang mampu meresap ke dalam minda dan jiwa mereka secara nyata mahupun halus.

Bilangan anak muda yang menjadi radikal dalam talian (online radicalisation) juga semakin meningkat.

Penyebaran luas ideologi berhaluan kanan juga menjadi satu perkembangan baru yang membimbangkan RRG.

Penangkapan remaja berusia 16 tahun pada tahun 2020 yang terpengaruh dengan ideologi berhaluan kanan menunjukkan bahawa isu radikal dalam talian ini memerlukan perhatian kita yang lebih serius.

Kewaspadaan adalah jalan paling baik untuk kita terus menangani isu radikalisme ini.

RRG harus berwaspada terhadap trend-trend masa kini yang tidak dapat dijangkakan.

Sikap berpeluk tubuh, mudah berpuas hati dan juga menafikan betapa seriusnya ancaman radikal ini adalah sikap yang harus dielak sama sekali. Ini boleh membawa padah dan kemusnahan.

Kepimpinan dan Infrastruktur baru

Setelah dua dekad, RRG sekarang bergerak dengan kepimpinan yang baru.

Tugas saya sebagai Pengerusi Bersama RRG yang baru semakin mencabar.

Antara cabaran utama bagi saya dan rakan-rakan dalam RRG ialah memikirkan strategi yang lebih berkesan untuk meneruskan usaha membanteras fahaman pelampau dalam konteks dunia yang kian berubah-ubah.
(Gambar fail: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)/Facebook)

Untuk melakukan demikian, para asatizah dalam RRG perlu dipertingkatkan dengan ilmu dan kemahiran yang baru.

Kita tidak mampu untuk berasa puas dan terus berada di takuk yang lama.

Kemahiran yang diperlukan oleh para anggota RRG merangkumi kefahaman sains politik, hubungan antarabangsa, hubungan silang agama, psikologi dan sains kemasyarakatan sebagai contoh.

Mengharapkan ilmu agama sahaja untuk menghadapi cabaran hari ini tidak mencukupi.

Apa yang diperlukan oleh para asatizah kita hari ini ialah ilmu yang dapat membantu mereka memahami keadaan masyarakat dan dunia dengan lebih baik.

Sebagai contoh, tidak ramai dalam kalangan asatizah yang mahir dalam pemahaman silang agama.

Dalam konteks negara Singapura yang berbilang kaum, kefahaman berkaitan silang agama dan juga tentang agama-agama lain ini penting untuk asatizah.

Dalam mengatur hala tuju dan strategi jangka panjang, RRG akan cuba meneroka bidang silang agama dan meningkatkan kefahaman para anggotanya tentang isu ini.

Kefahaman tentang silang agama ini akan membantu RRG dalam usaha membidas ideologi kebencian dan sentimen anti-agama yang menjadi salah satu ancaman utama dalam masyarakat kita hari ini.

Tahun depan RRG akan berusia 20 tahun. Sedang kami memikirkan hala tuju dan strategi yang lebih berkesan, RRG juga sedang menjalankan projek peluasan Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) yang kini terletak di pekarangan Masjid Khadijah.

RCC ditubuhkan oleh RRG pada tahun 2014 dengan tujuan untuk berkongsi maklumat dan pengalamannya dengan masyarakat umum mengenai usaha menentang fahaman radikal.

Dengan adanya infrastruktur yang lebih luas dan canggih, kami berharap dapat menarik lebih ramai anak muda dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keamanan dan hidup harmoni dalam masyarakat majmuk.

Kesimpulan

Setelah 20 tahun, RRG kini telah memasuki era yang baru.

Kepimpinan asatizah mapan dalam RRG seperti Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohammad Hasbi telah menjadi contoh baik yang harus diikuti dan diteruskan oleh generasi RRG seterusnya.

Apa yang telah dimulakan oleh RRG dua dekad yang lalu telah kelihatan hasilnya.

Bahkan, usaha RRG juga telah mendapat pengiktirafan negara dan juga dunia.

Namun, perjalanan RRG belum lagi selesai.

Tahun-tahun mendatang akan menjadi ujian bagi generasi RRG kini untuk terus kekal relevan dan berdaya tahan.

Dengan pengalaman yang lama, kerjasama yang erat dengan pemerintah dan masyarakat, saya yakin RRG mampu untuk terus bergerak dan memainkan perananannya dengan lebih baik.

Peranan RRG membimbing masyarakat Singapura daripada terpengaruh dengan fahaman radikal harus dipikul dengan penuh amanah serta perlu disokong masyarakat umum.

Memandangkan isu radikalisme ini adalah sesuatu yang akan kekal berpanjangan, RRG perlu sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi landskap dan bentuk ancaman yang kian berubah-ubah.

Kewaspadaan ini amat penting kerana ia dapat mempersiapkan kita menghadapi segala cabaran yang mendatang.

Sikap sambil lewa dan merasakan bahawa ancaman fahaman radikal ini sudah reda dan tidak serius adalah satu tanggapan yang tidak tepat.

Justeru itu, marilah kita terus meningkatkan kewaspadaan kita ini bak peribahasa Melayu yang mengingatkan bahawa air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohamed Ali adalah Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Khadijah. Beliau juga adalah Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan