Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melabur untuk masa depan semakin rumit di tengah-tengah kerapuhan aturan global

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam dunia yang seolah-olah dipukul badai yang sangat hebat – antaranya termasuk pertempuran di Ukraine yang mencetuskan tanda tanya tentang aturan keselamatan sejagat, harga makanan dan sumber tenaga yang melambung tinggi serta kemunculan pandemik seterusnya – masyarakat dunia perlu bertindak untuk mengatasi kerapuhan yang melumpuhkan usaha-usaha sektor awam dan privet, di samping menangani isu-isu hari muka yang boleh menjejas penakatan, sekalipun kerjasama sedemikian dijalinkan demi kepentingan bersama.

Berikut adalah ucapan yang disampaikan oleh Encik Tharman Shanmugaratnam, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di Persidangan Pelaburan IMAS-Bloomberg pada 9 Mac 2022.

Melabur untuk masa depan kini semakin rumit. Malah ia lebih rumit daripada sebelum pandemik. Jangan terkejut jika ia lebih rumit berbanding dua minggu lalu!

Ia masih era dengan peluang yang terbentang luas untuk melabur dalam inovasi dan transformasi struktur ke arah yang lebih baik dan dunia yang lebih mampan. Tetapi kita berdepan dengan gabungan risiko dan kerapuhan yang tidak pernah ditempuhi sepanjang 75 tahun yang lalu.

DUNIA SEMAKIN RAPUH

Saya akan menggambarkannya sebagai 'ribut panjang yang sempurna', yang terbentuk disebabkan oleh pertemuan beberapa faktor.

Pertama, peperangan di Ukraine yang mencerminkan keretakan pada sistem peraturan yang mengawal kestabilan global dan khususnya kedaulatan dan keutuhan wilayah negara-negara merdeka dan berdaulat. Ia tidak pernah sempurna, tidak pernah diterima seadanya oleh kesemua pihak, tetapi ia menstabilkan keadaan.

Sekarang terdapat keretakan dan ia akan menjadi rapuh dengan banyak kesan yang memudaratkan. Kita kini berdepan dengan tempoh ketegangan geopolitik yang kian memuncak dan mungkin berpanjangan.

Kedua, risiko stagflasi (keadaan ekonomi yang tidak mengalami pertumbuhan dan disertai dengan kadar inflasi yang tinggi) adalah 'jelas dan nyata' di kebanyakan negara maju mahupun negara-negara membangun. Inflasi yang lebih tinggi bagi tempoh lebih lama sangat berkemungkinan berlaku dan begitu juga dengan pertumbuhan lebih perlahan.

Ketiga, krisis perubahan iklim semakin meningkatkan keprihatinan. Keadaan semakin mendesak, seperti yang diketengahkan dalam laporan PBB terkini. Sebahagian besar penduduk dunia sudahpun terdedah kepada perubahan cuaca yang ekstrem. Kita semua akan menjadi lebih terdedah. Itulah hakikatnya.

Keempat, ketidakpastian tentang pandemik. Omicron tidak akan menjadi varian terakhir dalam pandemik ini. Dan COVID-19 bukanlah pandemik terakhir yang akan kita harungi. Kita berada dalam zaman yang berulang.

Untuk mempersiapkan diri, kita perlu melazimkan kesediaan seperti mana kita melazimkan diri mereka untuk menangani perubahan iklim. Masyarakat dunia masih jauh ke belakang dari segi persiapan sedemikian.

Kelima, kita menghadapi kerapuhan yang berterusan tetapi juga lebih mendalam yang didatangkan oleh perbezaan pada pertumbuhan dan kesejahteraan, baik dalam sesebuah masyarakat mahupun antara negara-negara dunia.

Peperangan di Ukraine akan menyerlahkan risiko yang dihadapi, khususnya oleh negara-negara membangun – disebabkan inflasi lebih tinggi dan pertumbuhan lebih perlahan secara keseluruhannya, tetapi khususnya jangkaan bahawa harga makanan, baja dan komoditi lain akan meningkat. Krisis makanan global akan menjejas teruk negara-negara berpendapatan rendah.

PELUANG DI TENGAH-TENGAH KEMELUT

Setiap faktor tersebut mendatangkan risiko besar dan merupakan punca kerapuhan. Keseluruhan faktor itu mewujudkan "ribut berlarutan yang saya maksudkan". Saya menyifatkannya sebagai satu ribut yang berpanjangan kerana ia bukan saja ribut yang sempurna dalam erti kata terdapat gabungan faktor-faktor yang berlaku sekali saja.

Ia melibatkan transformasi struktur. Ia bukan kejutan berkitar atau rambang. Ia adalah peralihan struktur yang saling berhubung kait antara satu sama lain, yang akan perlu kita hadapi pada masa akan datang.

Ia mewujudkan era baru kerapuhan, tetapi pada masa yang sama kita juga dapat menyaksikan peluang – skop luas bagi inovasi pada masa akan datang dan peluang untuk melabur dalam pasaran global melalui kerjasama baru antara sektor awam dengan swasta.

Tetapi kita tidak boleh sekadar mengharapkan pemulihan kerapuhan struktur akan hilang begitu saja. Kita tidak boleh bertindak berdasarkan ramalan atau senario yang setakat mencerminkan harapan kita, yang berbeza daripada apa yang mampu dicapai.

Ukraine adalah satu peringatan kepada hakikat itu. Risiko-risikonya tidak diendahkan atau diperkecilkan, walaupun terdapat bukti yang mencukupi. Pandemik COVID-19 juga merupakan satu peringatan kepada hakikat tersebut. Risiko-risiko itu begitu ketara namun ia tidak diendahkan.

Lantaran itu, kita perlu bersedia untuk masa depan yang bukan berdasarkan apa yang kita berharap akan menjadi nyata, tetapi apa yang boleh dilakukan. Begitulah caranya untuk kita mempersiapkan diri untuk masa depan.

Saya akan menerangkan secara ringkas lima kelemahan sebelum saya mengulas tentang peluang dan betapa pentingnya kerjasama awam-swasta serta peranan pasaran kewangan.

KESAN SEJAGAT DARIPADA PERANG UKRAINE

Pertama, kesan perang Ukraine. Saya akan mengulas secara ringkas saja kerana sudah banyak yang dapat dilihat sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Kita masih mengambil iktibar dari sejarah untuk meramalkan hala tuju masa depan kita.

Jika kita meneliti pandangan para pakar mapan atau pengamat bijaksana, mereka tidak meramalkan hala tuju yang baik menyusuli peperangan ini dan tidak akan ada mana-mana negara yang akan berada dalam kedudukan yang lebih baik.

Persoalannya adalah betapa buruk kesan yang bakal menyusul. Besar kemungkinan keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum ia beransur pulih. Namun tiada satu pun hala tuju yang akan memperbaiki keadaan dunia.

Ukraine sudah tentunya adalah yang paling teruk terjejas. Kehilangan nyawa di medan perang semakin bertambah setiap hari dan begitu juga dengan kemusnahan ekonomi dan prasarana. Bergantung kepada kesan peperangan, Ukraine boleh menjangkakan bantuan luar yang besar untuk membina semula negaranya menerusi institusi-institusi antarabangsa.

Serangan udara Rusia ke atas bangunan kediaman di Kyiv. (Gambar: State Emergency Service of Ukraine / AFP)

Pendirian Rusia pula, dalam mana-mana senario, akan melemah. Ekonominya mungkin akan mengalami kemelesetan yang teruk. Kedudukannya dari segi ekonomi dan politik, juga akan menjadi lebih terpinggir.

Bukan saja akibat sekatan-sekatan yang dikenakan pada skala yang belum pernah disaksikan sebelum ini dan juga tindakan pantas antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah – kedua-dua pihak tidak semestinya sebulat suara dalam mengenakan sekatan sebelum ini – dan ramai lagi pihak seantero dunia termasuk Singapura turut menguatkuasakan sekatan.

Namun, ia tidak melibatkan sekatan semata-mata. Ia juga melibatkan cara syarikat-syarikat terutama dunia bertindak balas. Para pelabur menarik balik pelaburan mereka secara beramai-ramai dari Rusia, dan saya fikir ia akan mengambil masa yang lama untuk para pelabur Barat memasuki semula pasaran itu atau menjalin semula hubungan perdagangan dengan Rusia. Terdapat juga tanda-tanda keinginan sebahagian besar penduduk belia Rusia untuk berhijrah.

Gabungan pelaburan yang lebih lemah, akses yang lebih terhad kepada teknologi dan penghijrahan bakat mendatangkan kesan amat negatif kepada mana-mana ekonomi dan bagi ekonomi yang sudahpun melemah sebelum ini, ramalannya tidak memberangsangkan.

CABARAN EKONOMI GLOBAL

Namun menjangkaui Ukraine, kesan-kesannya terhadap umat dunia yang sepatutnya menjadi keprihatinan kita bersama terutama kita di Singapura. Risiko makroekonomi, iaitu kerapuhan kedua yang saya katakan tadi, kini semakin mencengkam. Inflasi lebih tinggi bagi tempoh yang lebih panjang kini semakin tidak menentu. Ia merumitkan apa yang sudahpun menjadi tugas yang amat sukar bagi bank-bank pusat, terutamanya di negara-negara maju – dalam mengimbangi pertumbuhan dengan inflasi.

Amerika Syarikat, di mana tekanan inflasi jauh lebih hebat berbanding negara-negara maju yang lain, tidak mempunyai pilihan selain mengutamakan usaha menangani inflasi. Ia tidak mungkin berubah secara dasarnya tetapi tugasnya kini lebih rumit. Ketetapan masa dan kadar normalisasi kadar faedah kini menjadi perkara yang lebih rumit.

Namun ia lebih luas daripada tindakan bank pusat dalam menguruskan kadar faedah. Kita perlu menangani siri kejutan lebih luas, yang melampaui apa yang dialami semasa berlaku kejutan pada harga minyak pada 1973. Kali ini bukan saja harga minyak, bahkan harga makanan, logam pengilangan, baja dan bahan komoditi lain turut terkesan. Peperangan dan sekatan juga menjejas rantaian bekalan yang beransur pulih sejak dua tahun kebelakangan ini.

Lantaran itu, ia merupakan satu situasi yang tidak pernah dialami. Model-model ekonomi tidak akan dapat membantu untuk menghasilkan unjuran kerana ia tidak dapat mengambil kira gangguan bekalan dengan baik. Mereka juga tidak dapat bergantung kepada peristiwa-peristiwa sebelum ini, perkembangan yang berlaku pada skala masa sekarang, sekatan begitu luas seperti yang dilaksanakan sekarang, atau kenaikan harga tenaga dan komoditi yang berlaku begitu pantas dan mendadak.

Kita perlu merancang untuk menangani pelbagai kemungkinan, tetapi cenderung ke arah kemerosotan: inflasi lebih tinggi dan berterusan serta pertumbuhan yang lebih perlahan.

Saya tidak fikir dalam tempoh 20 atau 30 tahun dari sekarang, kita akan menganggap risiko inflasi saja sebagai masalah begitu serius seperti sekarang, berbanding dengan kerapuhan aturan antarabangsa dan kesukaran dalam menangani masalah sejagat.

Namun inflasi bukanlah masalah yang boleh dipandang enteng. Sekali lagi, kita berada dalam keadaan yang berbeza daripada 1973. Para penduduk ketika itu lebih muda. Sebahagian besar penduduk negara-negara maju kini lebih tua. Gaji para pekerja pertengahan usia rata-rata tidak berubah dan sebahagian besar daripada golongan pesara bergantung kepada pendapatan nominal yang tetap.
Inflasi 5 peratus hingga 6 peratus adalah pengalaman yang boleh melemahkan semangat penduduk dan akan merumitkan tugas pemerintah untuk meraih sokongan untuk melaksanakan pelbagai jenis inisiatif, cukai dan penetapan harga karbon yang diperlukan untuk menangani cabaran lebih meluas yang dihadapi.

Lantaran itu, inflasi 5 peratus hingga 6 peratus bukanlah masalah terutama. Ia mendatangkan kesan sosial dan politik, iaitu kesan pada modal politik yang diperlukan bagi negara-negara untuk menangani cabaran lebih besar.

KRISIS PERUBAHAN IKLIM

Ini membawa saya kepada cabaran ketiga – krisis iklim. Penyesuaian tidak mungkin lagi dilakukan untuk menangani krisis iklim tanpa memastikan keselamatan sumber tenaga. Perang Ukraine menekankan lagi pemikiran itu.

Hakikat yang tidak menyenangkan adalah dalam jangka pendek, Eropah dan negara-negara sedunia akan lebih bergantung kepada bahan api fosil untuk menjamin sumber tenaga. Dalam jangka pendek, untuk mencegah terputusnya bekalan elektrik ke Eropah dan untuk mengekalkan kestabilan masyarakat, sumber-sumber baru minyak, gas dan arang batu diperlukan.

Malah sebelum perang Ukraine, pada 2021, pengeluaran arang batu tempatan meningkat untuk menampung permintaan tenaga yang bertambah di banyak pelosok dunia, termasuk di Eropah, serta untuk mengelak kenaikan harga tenaga secara mendadak.

Itulah realiti jangka pendek yang kurang menyenangkan. Kita tidak boleh bersikap tegar tentang perkara itu kerana jika harga tenaga naik mendadak atau berlaku sebarang gangguan yang mengancam kestabilan sosial dan politik, dunia tidak akan mampu menangani cabaran jangka lebih panjang, iaitu cabaran utama untuk menangani perubahan iklim.

Namun ia juga bermakna sedang kita mengalami keseimbangan jangka pendek antara jaminan bekalan tenaga dan kemampanan – sungguhpun penggunaan minyak, gas dan arang batu bertambah dalam jangka pendek – kita menggandakan usaha untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih bersih serta melakar masa depan yang mampan.

Laporan PBB baru-baru ini memberi amaran yang tepat pada waktunya. Kita sememangnya perlu menggandakan usaha kita dalam jangka sederhana hingga panjang – untuk berinovasi dan mengukuhkan bekalan tenaga boleh diperbaharui, melabur dalam penyimpanan bekalan tenaga dan menjana tenaga dari sumber bahan api fosil secara lebih bersih sepanjang tempoh peralihan itu.

Dalam jangka sederhana hingga panjang, kedua-dua objektif bergerak sehaluan – menangani krisis iklim dan mengekalkan jaminan bekalan tenaga. Tetapi kita memerlukan rangka kerja kewangan dan kawal selia yang jelas untuk mencapainya.

Kita memerlukan rangka kerja cukai karbon dan penetapan harga karbon yang jelas supaya kita tidak kehilangan jaminan bekalan tenaga atau modal politik secara tiba-tiba sambil menggalak dan memberi insentif yang lumayan kepada pelaburan dalam sumber tenaga mampan.

Singapura seperti yang anda sedia maklum sedang mempercepatkan rancangan perubahan iklim jangka panjangnya dan juga memperhebatkan matlamat-matlamatnya menjelang 2030.

Pembentangan Belanjawan pemerintah baru-baru ini membentangkan perkara tersebut dan bulan ini di Parlimen, kedua-dua Menteri Kanan Teo Chee Hean dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu mengulas tentang perkara itu dengan lebih khusus.

(Gambar: National Parks Board)

KESIHATAN GLOBAL

Cabaran keempat adalah untuk menjamin kesihatan global. Orang ramai mungkin semakin jemu dengan perkara itu, tetapi ia adalah cabaran nyata yang perlu ditangani. Patogen-patogen akan muncul. Ia sudahpun sebati dengan sistem sedia ada – malah, risikonya semakin meningkat dengan pemanasan bumi, kehilangan kepelbagaian hayat, penebangan hutan, dan pencerobohan manusia ke dalam dunia semula jadi yang semakin berleluasa.

Kadar limpahan penyakit haiwan yang berjangkit ke manusia, limpahan patogen dari haiwan ke manusia, kian meningkat dan ia wujud di luar sana. Tiada sesiapa yang boleh meramalkan kemunculan pandemik seterusnya, tetapi ia akan tetap melanda. Ia berlaku dengan lebih kerap, dan mungkin lebih memudaratkan atau lebih dahsyat daripada COVID-19.

Sehubungan itu, ia memerlukan usaha kolektif, baik dalam kalangan masyarakat mahupun pada peringkat global. Dan ia tahap kesedaran perlu dipertingkatkan tentang kepentingan diri di setiap negara, termasuk negara-negara lebih mewah, untuk menyedari bahawa ia adalah demi kepentingan masing-masing – sekalipun mereka tidak didorong oleh pertimbangan etika atau moral, yang seharusnya menjadi dorongan yang cukup kuat.
Sungguhpun ia mungkin tidak membentuk dorongan utama, kesedaran yang diperbaharui tentang kepentingan diri mewajibkan kita melabur dalam kepentingan global, dan membantu dunia untuk lebih bersedia menghadapi pandemik seterusnya.

Setiap perkara dari Penyelidikan dan Pengembangan (R&D) vaksin baru, ubat-ubatan dan diagnostik, pengukuhan sistem pengawasan, hingga ke membangunkan kapasiti pengilangan supaya pada masa akan datang, kita mampu menghasilkan vaksin dengan lebih pantas dan cukup berskala bagi memenuhi keperluan sejagat. Jadi itulah cabaran keempat.

Gambar fail.

KETIDAKSAMARATAAN DALAM & ANTARA NEGARA

Kelima, cabaran pertumbuhan yang kurang inklusif, baik di dalam sesebuah negara mahupun silang negara. Kini terdapat risiko pengunduran yang nyata dalam kalangan negara-negara membangun yang mencatat kemajuan dalam dua hingga tiga dekad yang lalu.
Kini kita berdepan dengan risiko pengunduran yang nyata akibat peralihan struktur – ketidakstabilan geopolitik, harga makanan dan bekalan tenaga yang lebih tinggi serta pertumbuhan yang lebih perlahan, dan hakikat bahawa kedua-dua perubahan iklim dan pandemik akan paling teruk menjejas negara-negara yang paling miskin dan mudah terdedah.

Setiap faktor itu kini menyukarkan negara-negara membangun untuk merapatkan jurang dengan negara-negara maju. Dan ia meningkatkan kemungkinan ketidaksamarataan yang diperbaharui, yang bukan saja akan menjadi suatu masalah atau cabaran bagi negara-negara membangun. Ia akan menjadi satu cabaran sejagat kerana ia akan mendatangkan banyak kesan, termasuk penghijrahan beramai-ramai secara paksa, dan kita akan kehilangan peluang besar bagi pertumbuhan global kerana peluang besar itu terletak pada negara-negara membangun. Pendek kata, kita semua perlu mengambil berat.

Perlu ingat, kali terakhir kita mengalami kenaikan harga makanan secara mendadak, iaitu pada tahun 2008, ia mencetuskan Kebangkitan Dunia Arab dan segala ketidakstabilan yang menyusul. Ini bukan senario yang setakat terbentuk dalam khayalan. Ia suatu kenyataan yang sudahpun berlaku. Kestabilan sosial terjejas dan perang saudara boleh meletus apabila berlaku kekurangan bekalan makanan atau harga makanan melonjak di luar jangkauan.

IKHTIAR SEJAGAT

Kita mesti menangani gabungan cabaran tersebut di peringkat global, menangani ribut berlarutan ini. Kita memerlukan peraturan antarabangsa yang baru atau norma yang lebih tegas dan sistem-sistem pencegahan yang lebih berkesan untuk mengekalkan kestabilan geopolitik.
Namun kita juga perlu beranjak ke era baru pelaburan – pelaburan bagi menjamin bekalan tenaga serta keselamatan iklim dan pandemik, dan pelaburan di negara-negara membangun. Ia mendatangkan peluang besar tetapi memerlukan kerjasama baru sektor awam-swasta di peringkat global dan juga di peringkat negara masing-masing.

Perbelanjaan pemerintah di negara-negara maju mendatangkan hasil selama beberapa dekad lalu, dan lebih-lebih lagi sejak berakhirnya Perang Dingin, daripada apa yang dinamakan sebagai dividen keamanan.

Negara-negara itu dapat mengurangkan perbelanjaan bagi pertahanan, dan mengalihkan sumber-sumber untuk memenuhi keperluan lain. Keperluan-keperluan lain itu akan terus wujud. Bahkan, perbelanjaan sosial dalam banyak bidang, terutamanya perbelanjaan bagi jagaan kesihatan, semakin meningkat.

Namun perbelanjaan bagi pertahanan kembali meningkat. Perang di Ukraine tentunya membangkitkan tanda tanya di Eropah. Perbelanjaan pertahanan kini bertambah di negara-negara maju dan akan kekal dalam jangka panjang, pada masa yang sama, semua keperluan kewangan mustahak yang lain akan terus wujud. Pemerintah perlu memikirkan kaedah untuk membiayai semua itu untuk mencegah pengurangan perbelanjaan lain yang akan menjejas kesejahteraan rakyat.

Namun kita tidak boleh membiarkan cabaran keselamatan geopolitik mengalihkan tumpuan kita daripada pelaburan untuk menangani perubahan iklim dan keselamatan pandemik. Kita perlu melabur dalam pasaran global dan padahnya akan bertambah teruk jika kita tidak melabur lebih awal. Selagi kita melengahkan pengukuhan pasaran global, semakin 'mahal harganya' yang perlu ditanggung kelak.

Pemerintah-pemerintah dunia, para pemimpin korporat dan pelabur kini perlu membiasakan diri dengan pelaburan dalam pasaran global – melabur dalam kemampanan, pertumbuhan inklusif dan jaringan kesihatan.

Terdapat peluang yang besar untuk berinovasi. Bagi perubahan iklim – dalam penyimpanan tenaga dan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui, dalam huraian berasaskan alam semula jadi dan dalam penjanaan tenaga daripada bahan api fosil yang lebih cekap sepanjang tempoh peralihan sehingga 2050. Terdapat peluang besar untuk menghasilkan inovasi baru dan bagi melaksanakan inovasi yang terbaik di pasaran.

Terdapat juga keperluan mendesak untuk membuat penyesuaian kepada perubahan iklim, bukan saja dengan mengurangkan pelepasan karbon. Membina benteng-benteng pertahanan di pantai, meningkatkan kecekapan penggunaan air, membangunkan kaedah-kaedah penyerapan dan penyimpanan karbon yang berdaya maju, malah kaedah kawalan serangga yang lebih baik – semua itu akan menjadi kaedah-kaedah yang sangat penting untuk pemerintah-pemerintah, sektor swasta dan masyarakat-masyarakat meningkatkan penyesuaian.

KERJASAMA AWAM-PRIVET

Pada dasarnya, ia memerlukan kerjasama yang dipertingkatkan antara sektor awam dan swasta. Pemerintah tidak akan mampu menanggung skala pelaburan yang diperlukan.

Jika anda mengambil kira perubahan iklim saja, kita sedia maklum bahawa ia akan memerlukan pelaburan infrastruktur dan inovasi bernilai sekitar AS$3.5 trilion setiap tahun sepanjang tempoh 30 tahun akan datang demi masa depan yang lebih mampan.

Namun ia tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada sektor swasta atau pemain-pemain dalam pasaran, kerana terdapat faktor-faktor luar yang tidak diambil kira dalam pertimbangan komersil dan pemain-pemain pasaran tidak akan melabur dengan cukup pantas untuk menepati sasaran-sasaran sejagat menjelang pertengahan abad ini.

Lantaran itu, terdapat dorongan kuat bagi sektor awam untuk memberi insentif kepada sektor swasta kerana pulangannya kepada masyarakat secara keseluruhannya jauh mengatasi keuntungan kepada sektor swasta. Sektor awam boleh berbuat demikian dengan memainkan peranan untuk mengurangkan risiko bagi pelabur swasta. Kedua, dengan mempunyai rancangan yang jelas dan diyakini dalam pencukaian dan penetapan harga karbon. Ketiga, dengan mengawal selia perusahaan untuk menangani pelepasan karbon yang memudaratkan pada masa akan datang.

Momentum yang dipertingkat untuk menjalankan inisiatif-inisiatif pasaran kewangan sepanjang tahun lalu merupakan satu pencapaian yang penting dan kita kini perlu menggandakan usaha tersebut. GFANZ, yang dilancarkan pada April tahun lalu, dan Inisiatif Kepimpinan Kewangan Iklim yang diterajui Michael Bloomberg, serta pelbagai inisiatif lain untuk membangunkan pasaran untuk memperdagangkan karbon secara rela, sistem data dan taksonomi ESG yang lebih diyakini, dan mengukuhkan piawai pernyataan, terutama sekali dengan Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa. Singapura, seperti ramai daripada anda sedia maklum, terlibat secara aktif dalam inisiatif-inisiatif kewangan iklim yang kritikal itu.

Pasaran-pasaran karbon berteraskan data yang diyakini dan bermutu tinggi akan membentuk bahagian penting dalam huraiannya. Ia bukan sekadar untuk membantu pemain-pemain korporat dan industri yang mendapatinya sukar untuk mengurangkan pelepasan karbon. Ia melibatkan penyaluran sumber untuk huraian-huraian berasaskan alam semula jadi dan inisiatif-inisiatif pengurusan yang lain.

Usah tunggu pemerintah untuk mengorak langkah. Pemain-pemain utama perlu mengorak langkah. Pemerintah-pemerintah dunia juga tidak boleh mengandaikan pemain-pemain pasaran akan mampu menyelesaikan segala masalah. Ia memerlukan pelibatan sektor awam lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan rangka kerja pencukaian dan kawal selia yang jelas.

KERJASAMA BERBILANG HALA

Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan mengalihkan tumpuan kembali kepada cabaran geopolitik lebih luas dalam era masa kini.

Kita mesti memperkukuhkan peraturan dan kerjasama berbilang hala untuk memastikan kestabilan sejagat terus terpelihara dan pertunjukan kuasa semata-mata tidak semestinya menunjukkan sesuatu pihak itu betul.

Kestabilan global ibarat oksigen bagi sistem ekonomi antarabangsa. Anda mungkin tidak menyedari betapa anda memerlukannya sehinggalah bekalannya terputus kelak.

Dan ketidakstabilan geopolitik kini membentuk sebahagian ribut berlarutan yang sedang melanda kita semua sekarang. Aturan global sedang mengalami kerapuhan besar dan kita belum lagi menemui huraiannya.

Kita memerlukan aturan bagi sistem berbilang kuasa yang mampu bertahan.

Kita sudah melepasi zaman di mana kehebatan Amerika Syarikat tidak dicabar. Ini adalah dunia berbilang kuasa. Namun aturan dunia berbilang kuasa tidak bermakna polarisasi. Ia tidak bermakna sistem-sistem alternatif bersaing antara satu sama lain. Itu yang kita perlu cegah.

Ia hanya boleh dicapai dengan persefahaman baru Amerika Syarikat-China. Peperangan di Ukraine, dan apa yang dipaparkannya, seharusnya mencetuskan pemikiran baru di Amerika Syarikat tentang sama ada China benar-benar merupakan satu ancaman keselamatan. Ia memang memerlukan satu persefahaman baru.

Ia juga memerlukan pengukuhan institusi-institusi antarabangsa – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kaedah-kaedah baru bagi kesihatan global sebagai persiapan menghadapi pandemik. Dan ia memerlukan kemahiran geostrategik bagi setiap negara kuasa besar.

Kita belum menemui jalan mati.

Pencerobohan Rusia di Ukraine mendorong pihak-pihak yang menyokong aturan global yang terbuka dan berlandaskan peraturan, menegakkan kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara.

Ia mendorong pihak-pihak yang meraih manfaat daripada sistem itu – bukan saja negara-negara, tetapi juga syarikat-syarikat – mendorong mereka untuk menyedari peranan masing-masing sebagai penerima manfaat, memainkan peranan untuk menegakkan prinsip aturan antarabangsa yang terbuka dan stabil, mempertahankannya, dan mengakui bahawa keselamatan yang dinikmati adalah berbaloi jika dibandingkan dengan belanja yang dikeluarkan.

*Komentar ini diterjemah daripada ucapan yang disampaikan oleh Encik Tharman Shanmugaratnam, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di Persidangan Pelaburan IMAS-Bloomberg pada 9 Mac 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan