Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Masyarakat, sekolah & pemerintah berperanan mempersiapkan belia kita untuk cabaran hari muka

Masyarakat, sekolah dan pemerintah perlu saling bekerjasama dan sehaluan untuk membina generasi belia yang berani dan berdaya tahan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Masyarakat, sekolah & pemerintah berperanan mempersiapkan belia kita untuk cabaran hari muka

(Gambar fail: TODAY)

BERITAmediacorp: Mengapa masyarakat, sekolah dan pemerintah harus memainkan peranan yang lebih aktif untuk membina sebuah masyarakat yang teguh dan berdaya tahan?

(Gambar: MENDAKI)

Gambar fail kegiatan belia di luar pada 2019. (Gambar ihsan: MENDAKI)

Setiap kali kita bertutur dengan seorang belia, kita akan dapat merasakan semangat yang berkobar-kobar dalam diri mereka.

Dari pandangan asas atau terhadap sesuatu perkara yang mereka percaya kepada harapan mereka mengenai masa depan generasi mereka, belia bergerak pantas dan sering dengan tenaga yang tidak terhad.

Sungguhpun demikian, disebabkan oleh kekurangan pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai liku hidup, daya tahan mereka juga belum lagi teruji.

Belia yang memiliki daya tahan yang kukuh mampu mengatasi pasang surut gelombang hidup. Ia adalah kemahiran hidup yang boleh dibentuk dan dilatih menerusi berbagai-bagai aktiviti dan usaha ini akan mengakibatkan kestabilan kesejahteraan mental.

Mereka lebih berupaya memahami keadaan sekeliling mereka dan dengan keyakinan diri yang mantap, mereka tidak akan berasa segan untuk meminta pertolongan jika mereka mengalami sebarang kerumitan.

Ciri-ciri itu juga akan membolehkan mereka untuk menyelesaikan masalah dengan lebih efektif dan mampu menjalin hubungan yang lebih kukuh.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nursha Ismail)

Forum CETUSAN: 'Milenial - Lasak atau Rabak' pada Februari 2021 (Gambar fail: BERITAmediacorp/Nursha Ismail)

Dalam buku “Growing Up Resilient” yang dihasilkan bersama oleh Tatyana Barankin dan Nazilla Khanlou, mereka telah menerangkan bahawa 3 kategori luas yang menjejas daya tahan seseorang adalah faktor berkenaan dengan individu, keluarga dan persekitaran mereka.

Pengetahuan ini memberi satu panduan kepada ibu bapa, guru, pekerja, masyarakat dan sebagainya untuk memahami dengan lebih jelas lagi tentang ketahanan yang sangat-sangat diperlukan dalam belia-belia kita.

Tenaga dan semangat belia adalah kekuatan yang sering dikagumi, tetapi kekuatan itu jugalah yang boleh menjadi senjata makan diri jika ia tidak dapat disesuaikan dengan keadaan yang sering tidak menentu.

Ibarat kain layar kapal yang tidak putus-putus bergelut dengan angin kencang, tidak mungkin akan dapat bertahan jika kain layar itu terlalu mampat dan tegang.

Ia perlu kelenturan untuk menahan kuasa angin dan dengan kelenturan itulah yang akhirnya akan memajukan pelayaran kapal layar itu ke arah yang ditujuinya.

Daya tahan tidak bergantung kepada ketegapan fizikal atau prestasi akademik saja. Sebaliknya, sebahagian besar daripada daya tahan itu melibatkan pengurusan emosi yang baik.

DAYA TAHAN YANG KUKUH

Bayangkan cabaran dan kekecewaan yang dialami oleh Nick Vujicic semasa membesar dan akan ditempuhinya seumur hidup disebabkan oleh kekurangan fizikal yang begitu ketara sekali.

Beliau telah memperlihatkan pengurusan emosi yang sangat luar biasa dan dengan secara langsung telah membentuk daya tahan beliau yang begitu teguh sekali sehinggakan beliau telah menjadi ikon motivasi sedunia.

Ini juga tidak bermakna belia-belia kita terpaksa kehilangan tangan dan kaki untuk membina daya tahan seperti Nick Vujicic.

Sebaliknya, belia yang mempunyai kesempurnaan fizikal boleh menggunakan pemberian itu untuk meningkatkan lagi daya tahan masing-masing dengan mencontohi perjalanan Nick Vujicic.

Sudah pasti tidak mudah untuk mencontohinya kerana keadaan Nick begitu kurang bernasib baik, tetapi ia juga tidak mustahil kerana ramai tidak berkeadaan seperti Nick.

PENGURUSAN EMOSI

Seperti yang telah dikemukakan, pengurusan emosi adalah kunci utama untuk membina daya tahan yang kukuh dan teguh.

Pengurusan emosi yang baik pula hanya boleh tercapai dengan corak pemikiran yang positif dan ini termasuk penggunaan kata-kata yang positif semasa perbualan dengan diri sendiri (iaitu “self-talk”).

Di samping itu, belia digalakkan supaya menghadapi kesulitan dan menerima cabaran-cabaran dengan hati terbuka kerana setiap cubaan dan cabaran yang dihadapi itu akan menjadi satu “latihan” dan pengajaran yang akan mengukuhkan lagi daya tahan seseorang.

Seperti kata pendidik dan pakar latihan Gever Tulley: “Kegigihan dan daya tahan hanya akan tercapai setelah seseorang itu diberi peluang untuk berusaha menangani masalah yang rumit.” (“Persistence and resilience only come from having been given the chance to work through difficult problems.”)

Tentu sekali belia-belia kita boleh mengambil langkah-langkah proaktif untuk meneruskan perjalanan menuju ke arah daya tahan dan perjalanan ini tidak semestinya dilalui sendiri.

SEAWAL MUNGKIN

Pihak ibu bapa, sekolah, dan juga pemerintah harus memainkan peranan yang lebih aktif kerana untuk membina sebuah masyarakat yang teguh dan berdaya tahan, ia memerlukan kerjasama setiap pihak yang berkepentingan.

Bangunan Kementerian Pendidikan di Singapura. (Gambar: Alvin Chong)

Di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi misalnya, mereka boleh menerajui program-program yang memberikan tumpuan kepada pembentukan sifat dan keteguhan akhlak.

Program-program tersebut boleh dianjurkan dengan kerjasama antara pihak sekolah dan persatuan-persatuan atau peniaga-peniaga yang menyertai inisiatif ini.

Ibarat pepatah Melayu: “Jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya” dan pendekatan sebegini amat digalakkan supaya usaha pembentukan ini dapat dimulakan seawal mungkin.

Di pusat jagaan kanak-kanak dan tadika, usaha ini boleh diterapkan ke dalam kurikulum seharian. Cerita-cerita tentang individu-individu yang telah berjaya menempuhi cabaran boleh dijadikan sebagai satu tumpuan dalam mata pelajaran sivik dan akan memberi perangsang kepada kanak-kanak.

Matlamatnya, apabila kanak-kanak itu didedahkan kepada isu-isu yang sulit dan mencabar, motivasi dari peringkat awal ini akan membiasakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah.

PERKARA WAJIB

Keteguhan belia kita bukan hanya satu perkara yang baik, malah ia juga adalah satu perkara yang wajib jika kita menginginkan sebuah negara yang maju dan berkembang pesat.

Itulah sebabnya mengapa amat penting untuk semua pihak saling bekerjasama dan sehaluan untuk membina generasi belia yang kukuh dan berdaya tahan.

Seperti apa yang pernah dikatakan oleh Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt: “Kita tidak boleh membina masa depan untuk generasi muda kita, tetapi kita boleh mempersiapkan generasi muda kita untuk masa depan.” (“We cannot always build the future for our youth, but we can build our youth for the future.”)

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan