Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Masyarakat Muslim perlu terus bersikap progresif tanpa mengabaikan tradisi & sejarah Islam

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pelayaran ilmiah ini tidak mudah. Ujian dan kesusahan adalah sebahagian daripada pelayaran ini.

Maka itu, kita pasti akan merentasi badai dan lautan kencang. Bahkan, ujian-ujian ini adalah pendidikan dan sebahagian daripada proses meraikan ilmu, kefahaman dan kebijaksanaan.


Pandemik COVID-19 merupakan satu ujian penting. Ia bukan hanya menguji daya tahan kita sebagai satu masyarakat, tetapi menguji kefahaman dan pengamalan keagamaan kita.

Namun, pada ujian dan kesusahan ini tersirat banyak peluang. Izinkan saya menyentuh dua noktah penting.

Pertama, berakar kepada prinsip dan tradisi luhur kita.

Kedua, adab dan kerendahan diri dalam membangun diri dan masyarakat.

Berakar Pada Prinsip & Tradisi

Pertama, pentingnya kefahaman dan kehidupan beragama kita berakar pada prinsip dan tradisi luhur Islam. Dunia sedang melalui pelbagai ujian dan cabaran yang mencabar kewujudan kita (existential challenges).

COVID-19 hanyalah satu daripada pelbagai cabaran ini.

Isu dan cabaran-cabaran ini bertambah rumit dan sememangnya memerlukan kepimpinan, cendiakawan dan ilmuan agama yang yakin dan berani memberikan penyelesaian kepada cabaran-cabaran ini.

Agar umat Islam dan tradisi Islam terus kekal relevan, ia harus memberi sumbangan kepada permasalahan manusia dan kehidupan secara seluruhnya dan bukan hanya melihat kepada keperluan masyarakat agama yang khusus.

Di Singapura, kita telah, sebagai kepimpinan, asatizah dan masyarakat Islam, secara kolektif dan bersama seluruh masyarakat, memberi sumbangan kepada usaha menangani cabaran COVID-19. Wabak ini bukan hanya merupakan satu cabaran kesihatan tetapi juga kepada kehidupan sosio-agama masyarakat.

Dalam memberi penyelesaian kepada pelbagai cabaran dan permasalahan baru, kita tidak mengabaikan tradisi (turath).

Bahkan, kita mendapatkan inspirasi daripada tradisi Islam kita. Kita berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai abadi Islam yang mendasari tradisi kita, dahulu, sekarang dan akan datang.

Tetapi, kembali kepada tradisi kita tidak bermakna setakat menyalin dan mencetak semula tradisi ilmiah ini. Kita perlu memahami prinsip dan nilai ini, mengaplikasikan prinsip dan nilai ini dalam konteks dan realiti baru, dan dengannya, kita turut mencipta tradisi untuk generasi seterusnya.

Kita tidak dibelenggu ikatan sejarah dan tradisi. Tradisi sebaliknya mendorong kita untuk maju ke hadapan, tetapi tetap berpaksi kepada akar dan prinsip abadi ini. Dengan melakukan demikian, tradisi ini kekal relevan pada setiap masa dan tempat.

Adalah penting untuk kita membangunkan kepimpinan dan masyarakat Islam yang yakin dan berani melangkah ke depan tanpa mengabaikan tradisi kita. Sebagai pewaris tradisi luhur ini, para asatizah dan agamawan secara khususnya, dan masyarakat Islam secara umumnya di bawah kepimpinan asatizah, perlu terus bersikap progresif tanpa mengabaikan tradisi dan sejarah.

Inilah yang saya maksudkan dalam beberapa penulisan saya untuk membangunkan asatizah dan masyarakat yang berakar tetapi tetap progresif visinya (rooted, yet progressive).

Sebagai contoh, sewaktu COVID-19 menular, fatwa-fatwa dan irsyad baru dikeluarkan. Ini seperti fatwa penutupan masjid, penangguhan ibadah solat Jumaat dan ibadah haji, keharusan menunaikan solat Jumaat sebelum zawal, merenggangkan saf dalam solat, pemakaian tudung bagi pegawai dalam pekerjaan berseragam, dan beberapa perkara yang lain.

(Gambar fail: MUIS)

Permasalahan-permasalahan ini telah mengundang perbincangan hangat antara kepimpinan agama dan masyarakat setempat. Permasalahan-permasalahan ini telah mendorong agamawan untuk merujuk kepada tradisi ilmiah kita, menilai semula dalam konteks cabaran dan masalah baru yang tidak wujud sebelum ini dalam tradisi kita.

Keputusan Sukar Tetapi Perlu

Jawatankuasa Fatwa, asatizah dan agamawan mendapat inspirasi daripada semangat tradisi kita, memahami prinsip-prinsip dan tujuan-tujuan Syariah, merujuk kepada pakar-pakar yang relevan dan kemudian membuat keputusan sukar tetapi perlu.

Semua ini sesuai dengan prinsip dan tujuan Syariah dan tradisi kita dan tidak hanya menyalin dan mencetak semula butiran tradisi tanpa memahami tujuan dan semangatnya.

Semua ini memberi peluang untuk meneguhkan kerelevanan tradisi Islam yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Kita tidak mahu penumpuan kepada cabang mengaburkan pandangan kepada perkara pokok dan akar.

Kita hilang tumpuan dari pandangan yang besar (big picture). Ini bak pepatah Inggeris – “Losing the forest for the trees.”

Sebagai pelajar ilmu agama, kita harus sentiasa memupuk dalam diri roh ilmiah yang berterusan, kepekaan dan keprihatinan akan isu-isu kontemporari dan perkembangan semasa, serta melibatkan diri dengan wacana ilmiah dalam bidang-bidang di luar skop keagamaan seperti perubatan, teknologi dan lainnya.

Gambar: Pexels

Kedua, membangunkan adab dan kerendahan diri. Ibarat resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk. Jadilah ilmu seperti ilmu padi, semakin berisi semakin merunduk. Jangan pula kita menjadi seperti pagar yang memakan padi: harapkan pagar, pagar makan padi.

Keilmuan bukan hanya pada longgokan butiran maklumat atau ilmu yang kita kumpulkan tetapi pada adab dan keihsanan. Tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan masanya. Yang kita ketahui adalah sedikit atau sebutir kecil daripada khazanah ilmiah. Belum terkumpul lagi pada kita butiran-butiran lain.

Malah, bukan hanya mengumpul butiran tetapi memahami kebijaksanaan butiran-butiran ini. Sifat seorang yang pandai dan berilmu bukanlah hanya yang mengumpul longgokan teori, maklumat dan dalil-dalil.

Sikap Rendah Diri, Ihsan & Bersimpati

Tetapi, sifat penting seorang yang pandai ialah kerendahan diri, keihsanan dan empati.

Dalam dunia media sosial hari ini, semua orang ingin berbicara dan ingin cepat menyuarakan pandangan. Ada pula yang cepat menuding jari dan melemparkan tuduhan-tuduhan. Bukanlah ini dari tradisi ilmu dan ulamak kita.

Pencarian dan pelayaran ilmiah ini masih terlalu jauh. Ingatlah, ribuan tahun sebelum ini telah belayar jutaan pencari sebelum anda; dan jutaan lagi yang akan datang.

Pencarian ini belum dan tidak akan tamat.

Gambar: Pexels

Teruskan tradisi mencari ini, dan resmi padi. Kepada pendidik, kita tanamkan pada anak-anak didik kita sikap dahagakan ilmu dan keberanian mencari dan menilai.

Dan lebih penting mendidik resmi padi pada anak-anak didik kita. Semoga kita benar-benar menjadi “Al-‘Ulamā’ Warathat Al-Anbiyā”, penerus tradisi ilmiah kita.

*Komentar ini merupakan ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Dr Mohammad Hannan Hassan di Majlis Konvokesyen Al-Zuhri ke-10 & Penyampaian Sijil pada 26 Mac 2022

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan