Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Masih banyak boleh diusahakan supaya kadar banduan Melayu bentan terus merosot

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Masih banyak boleh diusahakan supaya kadar banduan Melayu bentan terus merosot

“Rahim” (bukan nama sebenar) adalah antara 87 banduan dari Sekolah Penjara yang akan menduduki peperiksaan peringkat GCE O tahun ini. (Gambar: BERITAmediacorp/Izzah Imran)

BERITAmediacorp: Perkhidmatan Penjara Singapura atau lebih dikenali sebagai Singapore Prison Services (SPS) adalah satu cabang Home Team di bawah naungan Kementarian Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang amat progresif. 

Ia memikul amanah menjalankan tugas penting sebagai penguat kuasa dalam mentadbir hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah ke atas pesalah. 

SPS juga memainkan peranan penting dalam proses pemulihan banduan supaya masa mereka dalam tahanan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan usaha-usaha yang akan membantu mereka disepadukan semula dengan masyarakat setelah dibebaskan dari penjara kelak.

(Gambar: SPS)

Antara fakta yang telah dan masih menjadi satu perkara yang dicemburui negara-negara lain, hanya lebih kurang 20 peratus bekas pesalah yang telah dibebaskan dari penjara di sini mengulangi kesalahan dalam masa dua tahun pertama mereka dibebaskan. 

Ini jelas sekali adalah satu pencapaian yang mengagumkan kerana berbanding dengan kebanyakan negara yang bergelut dengan 40 hingga 50 peratus pesalah yang dimasukkan semula ke penjara dalam jangka masa dua tahun selepas mereka dibebaskan.

Soalan yang sering ditanya: “Apakah rahsia kejayaan Singapura yang begitu berkesan sekali dalam menangani pesalah bentan?” 

KONSEP 'CAPTAINS OF LIVES'

(Gambar: SPS)

Ia bermula dengan rombakan SPS pada tahun 1999 di mana konsep “Captains of Lives” iaitu nakhoda kehidupan dilancarkan. 

Ini adalah satu langkah berani yang diambil; dengan secara langsung mengikrarkan bahawa Perkhidmatan Penjara kita menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha pembetulan dan pemulihan pesalah. Ternyata usaha-usaha tersebut tidak berakhir di belakang tembok penjara tetapi dilanjutkan seterusnya menemani bekas pesalah selepas mereka dibebaskan.

Sekali imbas, mungkin sukar untuk difahami dengan pendirian kita yang amat tegas terhadap kesalahan-kesalahan jenayah dan hukuman-hukuman berat yang akan dijatuhkan ke atas mereka yang didapati bersalah; tetapi diiringi dengan kesungguhan kita untuk membantu bekas pesalah memperbaiki diri melalui peluang kedua. 

Ketegasan kita dalam membanteras jenayah adalah kerana prinsip kita yang menuntut agar kita berpegang teguh kepada kepercayaan “pencegahan asas” bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat. 

Tidak hairanlah disebabkan oleh pegangan ini, jenayah berat seperti mencabul kehormatan, pembunuhan, pengedaran dadah dan sebagainya, hukuman sebat dengan rotan dan juga hukuman mati masih lagi diamalkan dalam sistem keadilan kita. 

Namun begitu, untuk menjatuhkan hukuman sebat atau hukuman mati, ia bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan. 

ANTARA FAKTOR KEJAYAAN S'PURA

Hakim dan mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya mengenakan hukuman tanpa merujuk kepada duluan dan pertimbangan yang begitu jitu sehingga membawa kepada keyakinan yang melampaui keraguan munasabah atau 'beyond reasonable doubt'.

Antara faktor kejayaan utama atau KSF (Key Success Factor) kita dalam mengekang dan mengawal ketat kadar kesalahan semula adalah gabungan SPS dengan sukarelawan peringkat individu, badan-badan bantu-diri dan juga sukarelawan korporat. 

Tidak hairanlah jika negara-negara kecil seperti Singapura menjadi kajian kes di merata dunia kerana mampu meyakinkan lebih 6,000 sukarelawan korporat untuk berganding bahu dengan SPS dan agensi-agensi lain memberi bekas pesalah peluang kedua dan seterusnya setelah mereka dibebaskan dari penjara kelak untuk memulakan lembaran kehidupan yang baru tanpa jenayah. 

Malah, ketika pesalah sedang menjalani hukuman penjara, SPS dan sukarelawan-sukarelawan secara proaktif tampil untuk membantu keluarga pesalah menerusi pelbagai program intervensi untuk memastikan mereka tidak ketinggalan. 

Dengan langkah dan usaha sebegini, ahli keluarga pesalah akan mendapat sokongan kritikal untuk terus maju ke hadapan dan fokus kepada usaha untuk membina perubahan positif. 

Perubahan asas itu amat penting sekali kerana ia akan membolehkan keluarga pesalah untuk membuat persiapan mental dan emosi untuk menerima pesalah yang akan pulang ke pangkuan keluarga setelah keluar penjara nanti.

CEGAH PESALAH BENTAN

(Gambar hiasan: iStock)

Satu soalan yang tidak dapat dielakkan –  jika program pemulihan kita begitu berkesan sekali, mengapa anggaran 20 peratus daripada mereka yang dibebaskan dari penjara dalam masa dua tahun pertama mengulangi kesalahan dan meringkuk sekali lagi di penjara? 

Itu adalah satu soalan yang munasabah dan amat penting sekali untuk kita memahami sedalam-dalamnya sebab musabab masalah ini supaya kita boleh menumpukan perhatian yang diperlukan untuk mengatasi semua ini buat jangka  panjang.

Sedang SPS dan para sukarelawan bertungkus lumus membantu bekas banduan memulakan kehidupan baru tanpa jenayah, malangnya rakan-rakan lama mereka menyebabkan mereka kembali terjerumus ke dalam kegiatan haram, menunggu peluang untuk memerangkap mereka ketika mereka lalai atau semasa mereka menghadapi cabaran yang hebat. 

Rakan-rakan lama ini tidak akan melepaskan cengkaman mereka dan sebaliknya akan mengheret bekas pesalah untuk melakukan kesalahan sekali lagi.

Seperti pepatah bahasa Inggeris: “It takes a village to raise a child”, begitu juga yang perlu kita usahakan untuk membolehkan bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat. Dan di tengah-tengah rangkaian kerja yang penting sekali adalah untuk memastikan bekas pesalah cekal mengharungi segala rintangan ketika mereka berusaha untuk kembali ke pangkuan keluarga tercinta. 

Apabila saya mengimbas kembali, sebenarnya masyarakat Islam kita begitu bertuah sekali kerana kita mempunyai Bulan Ramadan; bulan suci yang kita sambut dengan penuh keinsafan dan semangat baru. 

Ramai di antara kita yang secara tidak sedar mengambil kesempatan daripada bulan yang mulia itu untuk beramal dan mensucikan rohani untuk memperbaiki diri. 

Inilah peluang keemasan yang kita boleh gunakan untuk menyokong bekas pesalah pulang ke pangkal jalan. 

Bagi keluarga bekas banduan, bulan Ramadan dijadikan masa untuk membina semula perhubungan yang retak dengan ahli-ahli keluarga. 

Misalnya, melalui majlis Iftar sekeluarga dan mendirikan solat Tarawih bersama di rumah dan diakhiri dengan bersembang mesra. 

Bagi bekas pesalah yang tidak berkeluarga dan hidup sebatang kara, badan-badan sukarela boleh memainkan peranan sebagai “keluarga angkat” untuk memberi mereka tempat bermesra dan mendapat sokongan emosi. 

SOKONGAN PADU MASYARAKAT

Berikan mereka dorongan dengan tangan terbuka dan sertakan mereka dalam aktiviti bergotong-royong menyiapkan santapan untuk berbuka puasa dan kemudian beriftar bersama dan seterusnya mendirikan solat Tarawih beramai-ramai. 

Kegiatan-kegiatan sebegini akan menyentuh mereka dan akan menggalak mereka terus untuk terus memperbaiki diri. 

Satu faktor yang perlu kita ingat adalah bekas pesalah memerlukan penerimaan dan belas ihsan, bukan cemuhan atau penghinaan daripada kita semua. 

Tak orang tak kita, cemuhan dan penghinaan akan membuat mereka berasa rimas dan ia akan menyebabkan mereka berasa terpinggir dan dihakimi. 

Percayalah, keyakinan diri dan nilai diri mereka sudah banyak terjejas semasa mereka menjalani hukuman dan mereka begitu rapuh dan terdedah dalam kalangan masyarakat.

Tidak boleh dinafikan bahawa peranan yang amat penting sekali oleh ahli keluarga dan sahabat karib adalah sebagai tempat untuk mereka meluahkan perasaan dan menjadi penyokong emosi yang sering menyorakkan setiap langkah membangun yang diambil oleh bekas pesalah. 

Inilah yang mereka buntukan dan amat dikesali jika mereka termakan pujuk rayu orang-orang yang mempunyai agenda untuk mengambil kesempatan daripada kelemahan mereka.

Untuk menentang anasir-anasir jahat yang boleh menyebabkan bekas pesalah melakukan kesilapan, kita perlu menyediakan struktur sokongan yang berdasarkan pemahaman serta berunsur kepercayaan, hormat, persefahaman, kasih sayang dan belas kasihan. 

Ini mesti wujud dalam masyarakat kita secara umum dan bukan hanya di tahap keluarga untuk mencipta suatu suasana positif dan kondusif.

Minda yang harus kita hayati terhadap bekas pesalah adalah mereka kurang bernasib baik dan tidak mendapat bimbingan yang betul sehingga mereka membuat pilihan yang menyebabkan mereka tersalah langkah; ini boleh berlaku kepada sesiapa pun. 

Dengan sokongan, galakan dan keyakinan diri, mereka boleh berubah jika diberikan peluang kedua dan pengaruh buruk yang cuba menggoda mereka dapat ditewaskan.

Sebenarnya, setiap mereka yang telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan mereka. 

Amat menyedihkan jika mereka terjerumus sekali lagi disebabkan oleh sikap masyarakat yang kurang prihatin dan hanya memandang rendah terhadap mereka. 

Jangan jadikan segala usaha kita ibarat membubul jala buruk.

MENGENAI PENULIS:
Khalid Awang adalah anggota Rangkaian Advokasi Penyalahgunaan Anti-Dadah (A3).

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan