KOMENTAR: Masih ada bidang perlu dipertingkat meski pendidikan awal kanak-kanak kini lebih sistematik, tersusun

Murid di Prasekolah MOE @ North Vista. (Gambar: Facebook/MOE)
Tumpuan pada masa itu adalah untuk menubuhkan pusat-pusat asuhan di mana kanak-kanak diasuh dan dididik, diberi perlindungan, diberi makan dan dibenarkan bermain dalam persekitaran yang selamat dan membina.
Ia tidak begitu popular dan yurannya mahal bagi kebanyakan kanak-kanak. Hanya segelintir ibu bapa sahaja yang mampu dan mahu menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat penjagaan sedemikian yang dikenali sebagai “crèches”. Tugas sebagai tenaga pengajar kanak-kanak ini juga mudah dan dianggap sebagai pengasuh sahaja dan sukatan pelajaran tidak begitu diutamakan ketika itu.
Sejajar dengan peredaran zaman, pada tahun 1971, dua pengkhususan pendidikan awal kanak-kanak diperkenalkan oleh pemerintah, iaitu sistem tadika (kindergarten) dan tajaka (nursery).
Ia menyusuli program “crèches”. Pemerintah meminta parti-parti politik, gereja, sekolah privet dan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk membangunkan program tadika sebagai khidmat masyarakat.

Tiada guru yang ingin mengajar di tajaka kerana waktu kerjanya panjang dan tiada cuti sekolah.
Kebanyakan kanak-kanak itu datang daripada sekolah-sekolah Cina yang ditutup dan mereka dilibatkan dalam program khusus itu yang menyokong objektif pengajaran, alat-alat dan bahan-bahan mengajar baru serta guru-guru yang dilengkapi dengan kemahiran khusus.
Ujian rintis program tersebut tidak berjaya membuahkan hasil dan menyebabkan penyelidikan, sumber dan bahan yang menyeluruh tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Apakah yang berlaku pada pakej sumber itu? Adakah ia setakat disimpan di perpustakaan? Adakah ia sudah menjadi "gajah putih" sekarang? Apa yang berlaku pada guru-guru terlatih? Adakah mereka sekadar dipinjamkan ke sekolah rendah? Itulah soalan-soalan yang diajukan pada ketika itu.

Kedua-dua program tadika dan tajaka dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (MOE), pertubuhan-pertubuhan berkaitan dengan parti politik seperti Yayasan Masyarakat PAP (PCF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), pertubuhan-pertubuhan agama seperti masjid, gereja, Pertubuhan-Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO) dan sekolah-sekolah privet.
Program pendidikan awal kanak-kanak lebih sistematik, lebih diiktiraf dan kini diletakkan di bawah naungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta ECDA, dan dikuatkuasakan oleh Akta dan Peraturan Pusat Pembangunan Awal Kanak-Kanak. Dengan pelaksanaan Akta itu, lebih banyak peraturan perlu dipatuhi dan kadangkala ia mengalihkan tumpuan pihak pengendali dan guru-guru daripada objektif utama pendidikan awal kanak-kanak.
Apa yang menarik perhatian saya adalah meskipun persekitaran pendidikan awal kanak-kanak di Singapura sekarang lebih sistematik dan berpandangan jauh berbanding 40 tahun lalu, masih ada banyak lagi aspek yang boleh dipertingkatkan oleh pihak-pihak berkepentingan iaitu MSF, ECDA, MOE, pihak pengendali, ibu bapa dan guru-guru.
PENGGUBAL DASAR (MSF & ECDA)
Pemerintah sudah giat berusaha untuk menyelaraskan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak sejak zaman ‘crèches’ tetapi beberapa aspek penting seperti matlamat pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak memerlukan tindakan lebih serius.
Pendidikan awal kanak-kanak tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada strategi nasional semata-mata untuk mempersiapkan kanak-kanak sebelum melangkah ke sekolah rendah tetapi ia juga penting dalam sistem pendidikan awam Singapura bagi semua generasi muda dan generasi seterusnya.
Kedua-dua Skim Pengendali Utama (AOP) dan Program Pengendali Rakan Kongsi (POP) adalah antara program-program yang kelihatan memanfaatkan segelintir pusat pendidikan awal kanak-kanak saja.

Para penggubal dasar perlu bersungguh-sungguh dalam membantu kesemua pusat pendidikan awal kanak-kanak, baik yang dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan berkaitan parti politik, syarikat privet, Pertubuhan-Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO), masjid, gereja, mahupun pusat-pusat besar dan kecil, yang benar-benar berusaha untuk menyediakan penjagaan bermutu kepada kanak-kanak dan tidak memanfaatkan sesetengah pertubuhan saja.
Sumber-sumber, geran sewa dan geran ubah elok perlu diagihkan secara lebih meluas. Sewa pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak mesti diselaraskan jika ia terletak di premis HDB. Buat masa ini, peluang untuk mendapatkan premis pusat pendidikan awal kanak-kanak diperuntukkan bagi pertubuhan-pertubuhan tertentu saja, mengabaikan pengendali-pengendali yang benar-benar ingin memperluaskan khidmat masing-masing. Selain perbezaan harga, ia juga tidak mudah diakses.
Sedang MOE giat menubuhkan lebih banyak Tadika MOE menyusuli kegagalan program prarendah dan darjah bawah di sekolah rendah pada tahun 1979, program tadika dan tajaka yang dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan lain terjejas dengan jumlah rendah pendaftaran dan jumlah tinggi guru yang meninggalkan pusat masing-masing.
Kebanyakan pusat yang ditutup adalah pusat-pusat kecil milik privet. Tadika MOE yang dibuka di sekolah-sekolah rendah yang memudahkan pendaftaran kanak-kanak di sekolah yang sama mewujudkan persaingan sengit dengan pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak yang lain.
PENGENDALI TADIKA & TAJAKA
AOP berhasil dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah tetapi ia hanya memanfaatkan pusat-pusat tertentu.
Sewa yang rendah dan lokasi mudah diakses bagi AOP membawa faedah kepada ibu bapa dan pusat-pusat berkenaan. Saya berharap AOP juga dapat dibuka kepada pengendali-pengendali lain.
Pengendali-pengendali di merata Singapura sedang menghadapi kesukaran untuk mengekalkan tenaga pengajar yang baik bagi memenuhi syarat-syarat pelesenan guru terlatih di bawah Akta Pusat Pembangunan Awal Kanak-Kanak. Pengajaran Bahasa Ibunda kepada anak-anak kecil, pemantauan dan dokumentasi pembangunan kanak-kanak dan keletihan dalam kalangan guru menambahkan lagi belanja dan sasaran yang perlu dicapai oleh pusat-pusat berkenaan.

Sebagai pensyarah adjung yang mengajar program pendidikan awal kanak-kanak di institut-institut pendidikan awal kanak-kanak tempatan, hanya 15 guru terlatih yang akan lulus dalam kalangan 25 calon sedarjah. Seramai 10 guru mungkin akan kekal dalam kerjaya masing-masing selepas mengajar selama tiga hingga lima tahun.
Lantaran itu, pemerintah perlu memperluaskan pendekatannya secara objektif dan mentauliahkan bukan sahaja warga asing seperti Filipina dan China tetapi juga guru-guru warga Malaysia dan Australia untuk mengajar di pusat-pusat pendidikan awal.
Adalah penting untuk meningkatkan latihan bagi guru-guru, mengajar Bahasa Ibunda, dengan dilengkapi peralatan, sumber, bimbingan dan tunjuk ajar yang relevan sebelum ia diterapkan ke dalam pengajaran di pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak.
Kami berharap untuk menawarkan kursus-kursus Bahasa Ibunda Tamil dan Melayu seperti kursus Bahasa Cina yang disediakan sekarang.
GURU-GURU PENDIDIKAN AWAL
Langkah-langkah untuk memartabatkan guru-guru prasekolah dan mengiktiraf nilai pendidikan awal kanak-kanak sebagai isu-isu penting adalah langkah besar pertama ke arah usaha mengukuhkan persekitaran pendidikan awal kanak-kanak.
Guru-guru terlatih yang bertanggungjawab begitu dihargai oleh pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak.
Sungguhpun demikian, pengaruh meluas pemerintah dan pihak pengendali mungkin menghambat kebebasan bersuara dalam kalangan guru prasekolah dan pihak berkepentingan lain. Guru-guru pendidikan awal kanak-kanak perlu menarik perhatian pemerintah supaya dapat diberikan tumpuan.

Guru-guru pendidikan awal kanak-kanak sangat tertekan dengan lawatan-lawatan bagi Pelesenan ECDA, lawatan oleh juruaudit, lawatan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), lawatan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), syarat-syarat pemantauan dan dokumentasi pembangunan kanak-kanak dan melengkapkan portfolio murid-murid dua kali dalam setahun dan menganjurkan kembara ilmu bagi murid-murid serta menemani kanak-kanak selama lapan jam atau lebih.
Sungguhpun ECDA mengiktiraf guru-guru pendidikan awal kanak-kanak semasa Seminar dan Anugerah Tadika tahunan, ia dilakukan dengan mengorbankan kesejahteraan rohani dan jasmani guru-guru, moral, keluarga dan kewangan.
Marilah kita mengenal pasti tanda-tanda tekanan itu dan menyingkatkan waktu serta menambah cuti sekolah bagi kakitangan tadika dan tajaka sebelum masa depan anak-anak kita ketandusan kasih sayang guru-guru pendidikan awal kanak-kanak.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.