Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Manfaatkan bantuan M³ & Pemerintah untuk terus pertingkat pencapaian masyarakat Melayu/Islam

Bagaimanakah Belanjawan Bangkit Lebih Kukuh boleh memanfaatkan masyarakat Melayu/Islam dan apakah yang boleh dilakukan oleh setiap individu untuk meraih manfaat sepenuhnya daripada pelbagai skim dan inisiatif Pemerintah dan MENDAKI? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Manfaatkan bantuan M³ & Pemerintah untuk terus pertingkat pencapaian masyarakat Melayu/Islam

Para pemimpin akar umbi dan penduduk Bedok mengadakan perbincangan dalam satu sesi dialog pasca NDR. (Gambar: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Bagaimanakah Belanjawan Bangkit Lebih Kukuh boleh memanfaatkan masyarakat Melayu/Islam dan apakah yang boleh dilakukan oleh setiap individu untuk meraih manfaat sepenuhnya daripada pelbagai skim dan inisiatif Pemerintah dan MENDAKI?

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia (MOM) Zaqy Mohamad. 

Dalam usaha berterusan untuk mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam ke arah Masyarakat Gemilang, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad menggesa golongan yang memerlukan supaya tampil meminta bantuan. Pada masa yang sama, Encik Zaqy juga mempelawa para anggota masyarakat yang berhasil mengecapi kejayaan supaya memberikan dorongan kepada mereka ingin memajukan kerjaya dan mempertingkatkan kehidupan mereka.

Parlimen telah meluluskan Belanjawan 2021 yang memberikan tumpuan khusus kepada usaha untuk terus membangunkan ekonomi dan mempersiapkan tenaga kerja yang bersedia menempuhi cabaran masa hadapan sambil memupuk masyarakat yang penyayang dan inklusif serta memastikan kita dapat membina Singapura yang sesuai untuk didiami dan berdaya mampan bagi generasi masa kini dan generasi seterusnya.

(Gambar fail: Hani Amin) 

Belanjawan Bangkit Lebih Kukuh Bersama adalah Belanjawan menyeluruh yang sekali lagi memanfaatkan Rizab Negara untuk membendung dan melawan pandemik COVID-19. Dengan pelaksanaan langkah-langkah bantuan yang diumumkan dalam Kenyataan Belanjawan tahun ini, kami menjangkakan penggunaan Rizab Negara sehingga S$53.7 bilion bagi Tahun Kewangan 2020 dan 2021.

Dalam jangka masa terdekat, matlamat Belanjawan 2021 adalah untuk memastikan keutamaan segera seperti sistem jagaan kesihatan kita dibekalkan dengan sumber-sumber yang secukupnya untuk menangani COVID-19 dan menyokong sektor-sektor dan segmen-segmen tertentu dalam masyarakat yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Pada masa yang sama, Belanjawan tahun ini juga melabur dalam keperluan jangka panjang untuk merubah ekonomi bagi dunia pasca COVID-19 serta membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dan mampan supaya kita mampu bangkit lebih kukuh daripada krisis ini.

Apakah manfaat Belanjawan 2021 yang boleh diraih oleh masyarakat Melayu/Islam dan apakah yang perlu kita lakukan untuk memanfaatkan peluang-peluang yang diwujudkan melalui Belanjawan tahun ini. Izinkan saya memberikan pandangan saya dalam Komentar ini.

MENYOKONG KELUARGA BERKEMBANG MAJU DAN SEJAHTERA

COVID-19 telah menjejas segmen masyarakat yang berbeza dengan pelbagai cara. Pemerintah memahami kesulitan yang dihadapi ramai keluarga yang masih terkesan oleh krisis COVID-19. Dalam jangka masa terdekat, Pemerintah akan membantu mereka menerusi Pakej Bantuan Keluarga Tambahan sedang ekonomi Singapura beransur pulih daripada pandemik.

Gambar fail. (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Pakej itu merangkumi Baucar GST - Bayaran Tunai Khas sekali sahaja, Baucar GST – Bayaran Khas U-Save, Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan selama setahun, tokokan S$200 kepada Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA), Akaun Edusave atau Akaun Pembangunan Anak (CDA) dan juga Baucar CDC bernilai S$100 untuk kegunaan keluarga sambil menyokong syarikat-syarikat perniagaan dan gerai-gerai penjaja tempatan.

Belanjawan tahun ini juga memperluaskan bantuan kepada rakyat Singapura yang kehilangan pekerjaan atau pengurangan hasil pendapatan akibat COVID-19 menerusi Geran Pemulihan COVID-19 (CRG) supaya keluarga-keluarga yang masih memerlukan bantuan mampu kembali berdiri di atas kaki sendiri.

Di samping langkah-langkah tersebut yang bertujuan untuk menangani COVID-19, Belanjawan 2021 akan terus membantu keluarga berkembang maju. Pemerintah akan terus melabur dalam pembangunan kanak-kanak – dari Skim Bonus Bayi hingga ke subsidi jagaan kanak-kanak prasekolah dan dari pendidikan sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi. Sistem pendidikan berbilang laluan membolehkan generasi muda untuk berkembang maju dan memenuhi potensi mengikut rentak dan kebolehan masing-masing.

Program 'mentoring' yang dilaksanakan di Skim Tuisyen MENDAKI. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Pendidikan adalah anak kunci kepada peningkatan mobiliti sosial dan kemajuan masyarakat kita. Meskipun masyarakat Melayu/Islam berhasil meningkatkan kemajuan pendidikannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sistem pendidikan hari ini menyediakan banyak peluang untuk para pelajar yang berlainan kelebihan dan minat. Ia menyediakan lebih banyak peluang dan laluan untuk para pelajar lebih mencapai potensi dan aspirasi mereka.

Itulah sebabnya mengapa M³ sangat menitikberatkan persiapan bagi generasi seterusnya menerusi program-program prasekolah seperti KelasMatematika@CC (KMM@CC) dan Kelas Siap Sekolah (KSS).

Hasil tinjauan menunjukkan peri pentingnya pendidikan prasekolah dan lantaran itu Pemerintah juga meningkatkan subsidi prasekolah. Kami berharap setiap kanak-kanak akan dapat menerima pendidikan prasekolah selama sekurang-kurangnya tiga tahun sebagai persiapan untuk melangkah ke Darjah Satu.

Dengan peningkatan Skim Tuisyen MENDAKI dan penubuhan Pejabat Pementoran Belia (YMO), kami ingin memperbaiki tahap pendidikan para pelajar kita. Selain kadar lulus, kita perlu membantu setiap pelajar secara tertumpu supaya mereka mampu mencapai kecemerlangan dalam laluan masing-masing.

Menerusi bimbingan, kami berharap lebih ramai belia akan dipadankan dengan peran contoh yang relevan yang berupaya memberikan mereka inspirasi untuk mengikuti kursus-kursus atau menimbangkan pekerjaan yang mungkin akan dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang pelajaran atau kerjaya masing-masing.

Itulah harapan dan usaha kami bagi masyarakat Melayu/Islam. Saya berharap masyarakat akan memberi sambutan yang memberangsangkan dan berganding bahu dengan kami dalam perjalanan ini.

(Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)

Ramai keluarga juga meraih manfaat daripada perbelanjaan sosial Pemerintah seperti ComCare bagi sokongan sosial, geran dan subsidi untuk para pemilik rumah kali pertama dan juga subsidi jagaan kesihatan.

Kita juga banyak melabur dalam hospital-hospital baru dan kemudahan-kemudahan jagaan masyarakat seperti rumah-rumah jagaan. Kemudahan-kemudahan sedemikian memberi jaminan kepada masyarakat bahawa mereka serta keluarga mereka akan dijaga dari sekarang hingga ke hari muka, dengan jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

MENGGALAK PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT, TENAGA KERJA BERKEMBANG MAJU

Salah satu mesej utama dalam Belanjawan 2021 adalah untuk mengubah cabaran menjadi peluang. Pemerintah memperuntukkan S$24 bilion dalam tempoh tiga tahun mendatang untuk meningkatkan kemahiran para pekerja dan memupuk perniagaan inovatif. Inisiatif ini berhasil memadankan lebih 100,000 individu dengan pekerjaan (termasuk dalam sektor-sektor pertumbuhan), latihan kemahiran dan program pelatih. Ini tambahan kepada S$3 bilion yang sudah diperuntukkan di bawah program tersebut pada 2020.

Dunia pasca COVID-19 akan mempunyai struktur yang berlainan – kita akan menyaksikan penggunaan teknologi yang lebih meluas dan dan penekanan yang lebih besar kepada kemahiran mendalam. Itulah sebabnya mengapa kami terus membuat pelaburan dalam tenaga manusia supaya rakyat dapat menimba kemahiran yang diperlukan untuk mendapat pekerjaan dan peluang-peluang yang baik.

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Sepanjang kerjaya politik saya, saya tidak pernah menyaksikan peluang yang lebih baik dan isyarat yang lebih jelas dari Pemerintah untuk masyarakat terus meningkatkan kemahiran.

Para majikan juga diberi insentif menerusi Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) untuk menggajikan pekerja rakyat Singapura, dengan insentif tambahan bagi mereka yang mengambil pekerja matang, mereka yang kurang upaya dan para bekas pesalah.

Ini bermakna, para lepasan institusi pengajian tinggi serta pekerja pertengahan kerjaya dan pekerja lanjut usia mempunyai peluang-peluang yang luas untuk menimbangkan kerjaya-kerjaya baru dalam syarikat-syarikat yang kian berkembang dan dalam sektor-sektor baru jika mereka bersedia mempelajari kemahiran baru dan mempertingkatkan diri masing-masing.

Kemunculan ekonomi ‘gig’ adalah sesuatu yang sedang diteliti Pemerintah. Ia memperlihatkan semangat berdikari, keusahawanan dan daya kreatif dalam kalangan rakyat. Namun bagi sesetengah individu, bekerja sendiri mungkin mendatangkan hasil pendapatan yang tidak menentu, peningkatan kemahiran terhad dan kekurangan perlindungan sosial. Lantaran itu, kami ingin memastikan para pekerja sedemikian dapat terus meningkatkan kemahiran agar mereka lebih berdaya bingkas pada masa hadapan.

Bagi para pekerja bergaji rendah, mereka akan terus menerima bantuan di bawah Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) untuk menambah pendapatan mereka dan Skim Sokongan Kemahiran Daya Kerja (WSS) untuk membantu mereka meningatkan kemahiran. Peluasan Model Gaji Progresif (PWM) tidak hanya menambah pendapatan tetapi ia juga akan memperkaya kemahiran, peluang-peluang kerjaya dan keadaan kerja.

Dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan baru-baru ini, saya mengumumkan rancangan Pemerintah untuk memperluaskan PWM kepada lebih banyak sektor termasuk perniagaan runcit dan khidmat makanan. Langkah itu menambah jumlah pekerja yang diliputi PWM dari sekitar 85,000 kepada 218,000 pekerja. Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat juga menegaskan komitmen Pemerintah untuk merangkumi semua sektor dengan PWM dalam masa terdekat.

Encik Zaqy Mohamad semasa pesta kerjaya anjuran Mendaki SENSE pada 11 Okt 2020 (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)

(Encik Zaqy Mohamad semasa pesta kerjaya anjuran Mendaki SENSE pada 11 Okt 2020 Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)

Untuk membantu para pekerja Melayu/Islam kekal relevan dalam pasaran pekerjaan dan membina portfolio kemahiran mereka, M³ melancarkan bidang tumpuan keempat tahun lalu.

Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan pengambilan pekerja dan pekerjaan tanpa mengira usia atau latar belakang pendidikan. Sejak Januari 2020, MENDAKI SENSE sudah membantu lebih 4,000 pemohon kerja Melayu/Islam dengan 800 daripada mereka berhasil mendapat pekerjaan. Selain itu, SENSE menawarkan sekitar 200 tempat latihan bagi kemahiran digital setiap bulan untuk melengkapi para pekerja kita, lebih-lebih lagi mereka yang lebih matang, dengan pengetahuan digital.

Kami ingin melihat setiap pekerja dan graduan Melayu/Islam mencapai kejayaan dan memanfaatkan pelaburan Pemerintah dalam peningkatan kemahiran, pendidikan dan pertumbuhan ekonomi. Pemerintah dan MENDAKI komited untuk membolehkan anda membangunkan keupayaan untuk mengecapi kejayaan. Saya menggalak masyarakat supaya merujuk kepada MENDAKI bagi mendapatkan nasihat dan mengorak langkah seterusnya untuk menjamin masa hadapan.

MEMPERKUKUH USAHA DAMPINGI KELUARGA

Masyarakat Melayu/Islam berjaya mencatat kemajuan yang membanggakan dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Kebanyakan petanda seperti pencapaian pendidikan, pertumbuhan hasil pendapatan keluarga dan hasil pekerjaan mencerminkan peningkatan masyarakat sejajar dengan kemajuan Singapura.

Namun usaha kita belum selesai. Banyak lagi yang masih perlu dilakukan untuk meningkatkan dan memastikan lebih ramai dalam kalangan masyarakat mengetahui tentang peluang-peluang sedia ada dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan pelbagai program dan inisiatif untuk meningkatkan mobiliti sosial.

Di sini, M³ sedang giat mendampingi anggota masyarakat yang berhasil mencapai kejayaan tersendiri, tanpa mengira usia, untuk bergotong-royong meningkatkan kehidupan anggota masyarakat kita yang lain dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk berkembang maju.

M³@Toa Payoh dilancar; mahu galak penduduk celik kewangan, bina daya tahan ekonomi. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

(Di sekitar acara pelancaran M³@Toa Payoh; mahu galak penduduk celik kewangan, bina daya tahan ekonomi. Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Untuk memperluaskan usaha mendampingi masyarakat Melayu/Islam, kami telah menubuhkan banyak lagi M³@Bandar untuk menyokong pelaksanaan pelbagai program M³, skim-skim Pemerintah dan meningkatkan bantuan bagi masyarakat Melayu/Islam.

Dengan penubuhan tiga lagi M³@Bandar pada 2021 - M³@Geylang Serai, M³@Jalan Besar dan M³@Toa Payoh – kita mempunyai sejumlah 11 M³@Bandar untuk memperluaskan pendampingan dan sokongan menyeluruh kepada masyarakat.

M³@Bandar akan mendampingi lebih ramai keluarga. Kami merancang untuk menambah sokongan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak-anak kecil, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di flat-flat sewa.

Sedang Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) memperluaskan ComLink ke seluruh negara, kami ingin membantu lebih ramai keluarga dan menyokong mereka melalui program-program M³.

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Saya berharap lebih ramai keluarga akan tampil untuk memanfaatkan ComLink yang menyediakan sokongan tertumpu menerusi pelbagai skim bantuan seperti Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT) dan KidSTART. Saya berharap keluarga-keluarga yang memerlukan akan mengunjungi Pejabat Khidmat Sosial atau pusat-pusat satelit MENDAKI yang berhampiran dengan anda untuk mendapatkan bantuan.

Penting untuk kita saling bekerjasama bagi menyediakan jagaan dan bantuan menyeluruh supaya keluarga-keluarga dan anak-anak kita dapat berkembang maju sejajar dengan kemajuan Singapura.

BANGKIT LEBIH KUKUH BERSAMA

Belanjawan 2021 menggariskan rancangan Pemerintah untuk menangani cabaran masa terdekat untuk bangkit lebih kukuh dalam norma baru.

COVID-19 adalah ujian paling genting yang dihadapi kita semua. Namun kita bersatu padu sebagai sebuah masyarakat dan negara.

Marilah kita menumpukan usaha untuk menangani cabaran masa terdekat sambil terus memberi perhatian kepada keperluan masa hadapan.

Saya berharap agar kita sebagai sebuah masyarakat dan negara akan berupaya bangkit lebih kukuh.

MENGENAI PENULIS:

Encik Zaqy membentangkan lebih lanjut agenda kementeriannya bagi penggal baru Pemerintah. 
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan