Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mampukah VTL, MICE cergaskan ekonomi pandemik sedang S'pura dibayangi risiko inflasi?

Permintaan global yang semakin bertambah kukuh serta pelonggaran sekatan-sekatan pergerakan membawa berita baik kepada ekonomi dan pekerjaan di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mampukah VTL, MICE cergaskan ekonomi pandemik sedang S'pura dibayangi risiko inflasi?

(Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

BERITAmediacorp: Permintaan global yang semakin bertambah kukuh serta pelonggaran sekatan-sekatan pergerakan membawa berita baik kepada ekonomi dan pekerjaan di Singapura.

Namun kemunculan risiko-risiko lain, termasuk harga sumber tenaga global yang melambung tinggi dan kekangan tenaga kerja di negara ini serta risiko kemunculan varian baru COVID-19 yang lebih mengganas membuat para pengamat lebih berhati-hati.

Pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga berada di bawah jangkaan ramai, sebahagian besarnya disebabkan oleh pemulihan lemah dalam sektor perkhidmatan. Sektor pengilangan tetap berdaya tahan disebabkan oleh permintaan yang kukuh bagi cip dan peralatan berkaitan.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura tumbuh 6.5 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding setahun lalu, kurang rancak daripada pertumbuhan 15.2 peratus pada suku kedua, namun tetap melebihi kadar sebelum berlaku pandemik iaitu pada suku ketiga 2019.

(Gambar: AFP)

Sektor pengilangan, yang tumbuh 7.5 peratus pada suku ketiga berbanding 18 peratus pada suku sebelumnya, iaitu 19.3 peratus lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik. Kelompok kejuruteraan elektronik dan kejuruteraan jitu memacu pertumbuhan itu dan hanya kelompok kimia yang mencatat penguncupan.

Anggaran kilat bagi suku ketiga menunjukkan bahawa pengeluaran industri pada bulan September menguncup sebanyak 2.9 peratus berbanding peningkatan 11.2 peratus pada Ogos. Namun ini sebahagian besarnya disebabkan oleh asas perbandingan yang tinggi pada tahun lalu.

SEKTOR PERKHIDMATAN & BINAAN MASIH DI BAWAH PARAS SEBELUM PANDEMIK

Sektor perkhidmatan tumbuh pada rentak lebih perlahan iaitu 5.5 peratus berbanding 10.8 peratus pada suku kedua dengan penurunan ketara dalam kelompok penginapan dan makanan, hartanah, khidmat pentadbiran dan sokongan serta perkhidmatan lain, yang tumbuh 3.1 peratus berbanding 14.5 peratus pada suku kedua.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menegaskan bahawa pertumbuhan kelompok itu kekal 11.3 peratus di bawah paras sebelum pandemik. Sekatan perjalanan yang berpanjangan dan langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketatkan turut menyulitkan pemulihan sektor perkhidmatan & khidmat makanan dan pentadbir & sokongan (termasuk agensi pelancongan, pengendali pelancongan dan penganjur MICE).

Perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan juga berkembang pada kadar yang lebih perlahan, iaitu 5 peratus berbanding 8.5 peratus pada suku kedua.

Gambar fail: AFP

Kelompok infokom, kewangan dan insurans serta khidmat profesional terus meningkat 7.7 peratus berbanding 10.1 peratus pada suku kedua, sejajar dengan ramalan yang diunjurkan. Secara keseluruhannya, sektor perkhidmatan pada suku ketiga tumbuh sekitar 3.3 peratus di bawah paras sebelum pandemik.

Kelompok binaan yang tumbuh 57.9 peratus berbanding 117.5 peratus pada suku kedua semakin beransur pulih daripada asas yang rendah pada tahun lalu tetapi kekal 25.1 peratus di bawah tahap sebelum pandemik. Kelemahan itu disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja akibat sekatan sempadan yang ketat.

KESAN TERHAD VTL TERHADAP PELANCONGAN, MICE

Permintaan domestik akan terus meningkat pada suku keempat, dengan pembukaan semula ekonomi dan pelonggaran kawalan sempadan. Pemerintah juga sudah memudahkan protokol jagaan kesihatan pada 11 Oktober dengan melonggarkan syarat kuarantin dan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Sektor pelancongan dan pengangkutan udara besar kemungkinan akan menyaksikan sedikit peningkatan pada suku keempat, sejajar dengan pembukaan semula sempadan menerusi skim Laluan Perjalanan bagi Penumpang Divaksin (VTL) yang diperluaskan untuk merangkumi sembilan lagi negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan Britain mulai 19 Oktober dan Korea Selatan mulai 15 November ini.

Seorang penumpang dari penerbangan SQ325 Singapore Airlines di dewan bagasi Lapangan Terbang Changi pada 8 Sep 2021. (Gambar: AFP)

Ini tambahan kepada aturan VTL sedia ada dengan Jerman dan Brunei. Pelonggaran itu menyumbang kepada 16.2 peratus jumlah pengunjung dan 10.9 peratus kedatangan pelancong berbanding sebelum pandemik.

Namun jumlah pelawat yang dibenarkan masuk ke Singapura dihadkan kepada 3,000 sahaja dalam sehari. Selain itu, pemerintah mengumumkan pelonggaran sekatan-sekatan sempadan untuk membenarkan pekerja khidmat penting dan pelajar memasuki Singapura jika mereka sudah divaksin sepenuhnya. Lebih ramai penumpang juga boleh melakukan persinggahan di Singapura mulai 26 Oktober.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah kesan VTL dan pelonggaran sekatan sempadan terhadap industri pelancongan. Kesan yang didatangkan VTL setakat ini adalah terhad. Pertama, jumlah pelawat di bawah VTL masih kecil. VTL perlu diperluaskan untuk meliputi lebih banyak negara untuk membawa kesan bermakna, lebih-lebih lagi memandangkan jumlah penumpangnya terhad kepada 3,000 orang sehari.

Pasaran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) tempatan yang mungkin menerima tempias VTL, sebahagian besarnya menyasarkan syarikat-syarikat Asia. Lantaran itu syarat-syarat kuarantin yang lebih ketat bagi negara-negara Asia akan membataskan pertumbuhan industri itu.

Pameran perdangangan Gamescom pada 15 Okt 2021 di Suntec City (Gambar: Facebook/Alvin Tan)

Buat masa ini, Brunei adalah satu-satunya negara ASEAN yang disenaraikan di bawah VTL yang kebanyakannya meliputi negara-negara Amerika Utara dan Eropah. Kesemua 11 negara itu menyumbang 16.2 peratus jumlah pelawat ke Singapura dan sekitar 11 peratus hasil pendapatan pelancongan pada 2019, sebelum pandemik COVID-19 menjejas perjalanan rentas sempadan.

Sebelum ini, lebih ramai pelawat tiba dari negara-negara Asia termasuk China dan ASEAN. Para pelawat dari China sahaja membentuk sekitar 22 peratus daripada jumlah pelawat ke ASEAN. Pelonggaran sekatan-sekatan sempadan dan pembukaan laluan-laluan VTL dengan negara-negara ASEAN lain akan memacu pasaran MICE dan industri pelancongan.

Kedua, jumlah pelancong seantero dunia tidak mungkin akan kembali ke paras sebelum berlaku pandemik sebelum 2019 kerana orang ramai masih bimbang dijangkiti COVID-19 atau dibelenggu langkah-langkah kawalan sempadan yang ketat jika melakukan perjalanan ke luar negara.

Pertanyaan seterusnya yang terlintas di fikiran adalah sejauh mana VTL mampu mencergaskan atau merancakkan ekonomi, terutamanya sektor pelancongan. Dengan pelaksanaan had-had sedia ada, ia mungkin mendatangkan kesan kecil terhadap ekonomi, terutamanya sektor pelancongan namun secara keseluruhannya, ia adalah langkah yang penting untuk mengekalkan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab udara dan menjamin kemungkinan untuk membuka laluan-laluan perjalanan baru dengan negara-negara lain.

Laluan-laluan VTL penting bukan saja bagi industri penerbangan Singapura serta sektor-sektor kejuruteraan aeroangkasa, penyenggaraan pesawat dan khidmat-khidmat sokongan lain tetapi ia juga bagi membangkitkan semula industri MICE dan perhotelan dengan menempa semula nama Singapura sebagai destinasi MICE pilihan dan hab udara di persada antarabangsa.

Lantaran itu, apakah yang perlu dilakukan oleh syarikat-syarikat sebagai persiapan untuk menyambut jumlah pelawat yang mungkin meningkat? Syarikat-syarikat dan pemain-pemain industri perlu membuat penyesuaian kepada acara-acara hibrid sebagai wadah pilihan pada masa akan datang.

(Gambar: TODAY)

Pandemik sekarang memaksa pelbagai industri untuk mengubah cara menjalin hubungan dengan para pelanggan dan masyarakat dan syarikat-syarikat perlu memanfaatkan kaedah-kaedah baru seperti penstriman dan acara yang diadakan secara maya. Ini akan mewujudkan peluang-peluang baru di samping mengurangkan permintaan bagi khidmat-khidmat lain.

Sebagai contoh, para pemain industri MICE mesti terus berinovasi dan memanfaatkan keupayaan digital yang akan menjadi semakin penting untuk memperluaskan audiens menjangkaui ruang fizikal sambil mengekalkan keberkesanan kos. Perniagaan runcit mungkin akan terus berdepan dengan perniagaan yang merudum dan menyelesaikan masalah-masalah bekalan dan logistik tepat pada masanya atau berdasarkan permintaan yang berkurangan sedang syarikat-syarikat merancang untuk memenuhi permintaan yang dijangka bertambah selepas 2022.

Lantaran itu syarikat-syarikat mungkin perlu menambah kapasiti lebih awal.

PEMULIHAN EKONOMI MEMBUKA PELUANG BARU

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan mengeluarkan ramalan pertumbuhan ekonomi pada bulan November ini. Kami menjangkakan julat ramalan GDP antara 2 peratus hingga 4 peratus. Ramalan kami sebanyak 3.5 peratus adalah pada julat MTI yang lebih tinggi.

Gambar fail: TODAY

Industri mana yang besar kemungkinan akan menyaksikan lebih banyak peluang pekerjaan dan sektor mana yang mempunyai jaringan keselamatan pekerjaan yang lebih baik?

Industri elektronik dan kejuruteraan jitu akan meraih faedah terbesar daripada permintaan global yang bertambah baik, sementara sektor binaan tetap terperosok oleh krisis tenaga kerja asing akibat sekatan sempadan dan nilai tambah mutlak masih kekal 25 peratus di bawah paras sebelum COVID-19. Bagi sektor perkhidmatan, momentum pertumbuhan dalam khidmat kewangan dan infokom juga kekal berdaya tahan. Ini berdasarkan perangkaan suku ketiga dan sejak 2020.

Namun, ekonomi Singapura dijangka akan terus mencatat pertumbuhan dalam suku-suku mendatang. Sungguhpun demikian, masih ada risiko sekiranya berlaku penularan besar di merata dunia atau kelengahan pada pembukaan semula sempadan.

RISIKO INFLASI

Kita boleh menjangkakan tekanan inflasi akan bertambah sengit pada 2022 disebabkan oleh beberapa faktor.

Inflasi teras sedang meningkat pada rentak paling pantas sejak pertengahan 2019 disebabkan oleh harga makanan dan tenaga lebih mahal. Namun kenaikan harga dibataskan oleh pemulihan pasaran buruh yang naik turun serta langkah-langkah COVID-19 yang dipertingkatkan.

(Gambar: CNA)

Gangguan berterusan pada rantaian bekalan akan menyumbang kepada harga bekalan tenaga, makanan dan penghantaran yang lebih tinggi pada 2022. Kos penginapan dijangka akan terus meningkat sejajar dengan pengambilan lebih ramai pekerja asing serta projek-projek HDB yang tertunda.

Inflasi kos gaji dan perkhidmatan akan meningkat pada rentak lebih pantas pada 2022 akibat dasar pekerja hijrahan yang diperketatkan dan peluasan Model Gaji Progresif (PWM) untuk meliputi sekitar 13,000 pekerja sektor runcit serta penguatkuasaan Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) sebanyak S$1,400 yang dijangka meliputi 79,000 pekerja mulai September 2022.

PWM akan diperluaskan untuk meliputi sektor khidmat makanan dan pengurusan sisa menjelang 2023. Ini membawa jumlah pekerja yang meraih manfaat daripada PWM masing-masing kepada 234,000 dan 28,000 pekerja.

Harga komoditi kekal lebih tinggi disebabkan oleh pemulihan permintaan global dan gangguan pada rantaian bekalan global. Indeks harga makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meningkat 33 peratus berbanding setahun lalu, meskipun paras harganya mula turun daripada paras kemuncak pada Mei.

Suasana di Pusat Penjaja Geylang Serai (kiri) dan Haig Road pada 15 Ogos 2021 (Gambar: BERITAmediacorp/Nurhakim Helmy) 

Inflasi makanan di Singapura naik ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan kepada 1.5 peratus pada Ogos, dengan harga buah-buahan melonjak ke paras rekod, iaitu 5 peratus. Gangguan pada bekalan berlaku sejajar dengan kos pengangkutan yang terus meningkat pada suku ketiga.

Krisis sumber tenaga yang memacu harga gas semula jadi di pasaran global akan menyumbang kepada kos perbekalan yang tinggi pada 2022. Bencana alam dan pembukaan semula ekonomi global merancakkan lagi permintaan. Gas semula jadi membentuk 95 peratus daripada bahan bakar yang digunakan Singapura untuk menjana kuasa elektrik.

Lonjakan pada harga bekalan elektrik menyebabkan syarikat-syarikat peruncit Singapura mengenakan harga tetap lebih tinggi bagi pelanggan-pelanggan baru untuk akaun bagi kegunaan di rumah.

(Gambar fail: Don Wong/TODAY)

Tarif elektrik bagi kegunaan di rumah naik 24.11 sen kilowatt sejam pada suku keempat 2021 berbanding 23.38 sen pada suku ketiga, iaitu lonjakan 12.6 peratus berbanding setahun lalu dan kenaikan tertinggi sejak pandemik menular pada suku pertama 2020.

Kos penginapan, yang membentuk 22 peratus kandungan Indeks Harga Pengguna (CPI), terus meningkat sedang lebih ramai penduduk bekerja dari rumah dan lebih ramai rakyat dan Penduduk Tetap Singapura pulang ke tanah air. Rakyat Singapura yang bermastautin merosot buat tahun kedua berturut-turut, iaitu berkurangan 23,900 kepada 179,500 orang pada pertengahan 2021, lantas melanjutkan penurunan 13,800 yang dicatatkan pada 2020.

Projek-projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang tertunda akibat kekurangan tenaga pekerja hijrahan juga menyumbang kepada kenaikan kos penginapan. Menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), terdapat hanya sekitar 19,000 pekerja yang bertugas di tapak-tapak binaannya - masih ada kekurangan 6,000 pekerja daripada jumlah 25,000 pekerja yang diperlukan setakat Julai 2021.

Gambar hiasan seorang pengguna keluarkan wang dolar Singapura dari mesin ATM (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Selain itu, para penganalisis meramalkan kadar antara bank Singapura (SIBOR) akan kekal pada paras 0.45 peratus pada 2021 tetapi akan naik kepada 0.62 peratus pada hujung 2022 sejajar dengan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada lewat 2022.

Kami menjangkakan Rizab Persekutuan akan memulakan lingkaran kenaikan kadar faedah pada lewat 2022 dengan kenaikan 25 mata asas, diikuti dengan kenaikan 75 mata asas setiap tahun antara 2023 hingga 2025. Ini akan menyumbang kepada kenaikan kadar faedah mulai 2022 dan mungkin menjejas bayaran faedah gadai janji dan pinjaman.

Kadar Inflasi Teras yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet, meningkat kepada 1.1% berbanding setahun lalu antara Julai hingga Ogos, naik daripada 0.7% pada suku kedua tahun ini.

Ini terutama sekali mencerminkan kenaikan harga komoditi global sejak beberapa bulan kebelakangan ini, yang turut menyumbang kepada kenaikan tarif elektrik dan gas serta inflasi makanan yang tidak dimasak. Pada masa yang sama, kos gaji yang lebih tinggi mendorong inflasi bagi beberapa barangan pengguna domestik seperti khidmat makanan dan minuman.

Inflasi CPI-Semua Barangan mencatat peningkatan lebih sederhana, dari 2.3 peratus kepada 2.5 peratus dalam tempoh yang sama, dengan kenaikan inflasi teras sebahagiannya diimbangi oleh inflasi pengangkutan privet yang lebih rendah.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Pada suku seterusnya, kenaikan kos import dan tenaga kerja, bersama dengan pemulihan domestik, akan menyokong peningkatan inflasi secara meluas. Tekanan inflasi yang diimport dijangka berterusan sejajar dengan permintaan global yang bertambah dan dasar kewangan yang diperketatkan. Di peringkat domestik, pertumbuhan gaji dijangka berterusan akibat kekurangan tenaga kerja sehingga tahun depan.

Kos perniagaan yang terkumpul akan mendatangkan inflasi harga pengguna sejajar dengan pembukaan semula ekonomi dan penggunaan dalam sektor privet yang beransur pulih. Kenaikan pelbagai kos perkhidmatan yang ditangguhkan sejak permulaan pandemik, seperti untuk pengangkutan, jagaan kesihatan dan pendidikan, mungkin akan disemak semula apabila ekonomi bertambah baik kelak.

PEMULIHAN DIBAYANGI RISIKO

Kesimpulannya, sedang Singapura beralih ke norma baru dalam keadaan hidup endemik, dan sedang negara ini membuka semula ekonomi sejajar dengan permintaan global yang bertambah kukuh, pertumbuhan mungkin akan semakin rancak bagi sesetengah sektor dengan kemunculan tekanan inflasi. Lantaran itu, rakyat dan perniagaan di Singapura perlu membuat penyesuaian.

Bagaimanapun, kemunculan lebih banyak risiko sejak kebelakangan ini menyokong sikap lebih berhati-hati. Pertama, pembukaan semula ekonomi diiringi risiko-risikonya tersendiri dan akan ada pasang surutnya sungguhpun kadar vaksinasi penduduk sudah melepasi 80%.

Kemunculan varian-varian baru yang memudaratkan kekal sebagai satu risiko.

Kedua, langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk mengetatkan dasar kewangan lebih awal daripada yang diramalkan mungkin akan memperlahankan pemulihan ekonomi.

Kadar antara bank Singapura bagi tempoh tiga bulan mungkin meningkat 0.62 peratus menjelang akhir 2022, naik daripada 0.43 peratus buat masa ini atas ramalan kadar faedah Rizab Persekutuan yang akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada suku keempat 2022.

Ketiga, pertumbuhan ekonomi China yang lebih sederhana boleh menjejas ekonomi Singapura yang sangat bergantung kepada perdagangan.

Keempat, bantuan kewangan dan subsidi gaji yang dikurangkan secara beransur-ansur mungkin mendatangkan kesan negatif, lebih-lebih lagi terhadap segmen-segmen yang beroperasi di bawah paras sebelum pandemik - F&B, layanan tetamu, riadah, pengangkutan udara dan binaan - dalam kehidupan endemik. Permohonan untuk diisytiharkan muflis juga kian meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITAmediacorp/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa