Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Makna di sebalik kemenangan besar UMNO dalam pilihan raya kecil Slim

 Kemenangan besar UMNO di Slim, Perak, minggu lalu - isyarat jelas kebangkitan semula parti itu atau petanda bakal rumit lagi percaturan politik di M’sia?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kemenangan besar UMNO di Slim, Perak, minggu lalu - isyarat jelas kebangkitan semula parti itu atau petanda bakal rumit lagi percaturan politik di M’sia?

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim, Perak, baru-baru ini, parti UMNO menang besar dengan mencapai 84.5 peratus undi – walaupun dari mula lagi ia memang dijangka memenangi kawasan undi tersebut.

Perhatian sebenarnya lebih tertumpu kepada prestasi Parti Pejuang, yang ditubuhkan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas meninggalkan Bersatu.

Kalah atau menang Pejuang dalam PRK itu sebagai pembayang pencapaian yang boleh dijangkakan dan sejauh mana parti itu mendapat tempat di hati orang Melayu.

Walau bagaimanapun, calon Pejuang hanya berjaya meraih 2,115 undi. Penyertaan Pejuang bertujuan menjadi kayu ukur sambutan pengundi kaum Melayu terhadap parti itu, dan sama ada ia sepatutnya menyertai PH jika pilihan raya awal diadakan.

Pada hakikatnya, kalaupun UMNO tewas dalam pilihan raya tersebut, parti itu akan tetap memerintah DUN Perak menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

PN yang disertai Parti Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, PAS dan UMNO kini menguasai 34 daripada 59 kerusi DUN Perak.

PARTI DOMINAN

Namun, sejauh mana perikatan ini kukuh di peringkat nasional masih menjadi tanda tanya, kerana ia hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Bayangkan jika ada ahli parlimen PN yang melompat parti ke pihak pembangkang, atau kerusi kerajaan yang perlu dikosongkan, PN bakal jatuh.

Rakyat Malaysia belum kenal dengan logo PN.

Jelas, UMNO memilih untuk bertanding dalam PRK Slim di bawah sepanduk BN meskipun ia bergabung dengan Bersatu dan PAS.

UMNO seakan-akan mahu mengekalkan imejnya sebagai parti dominan dalam BN, yang menjadi tunjang kekuasaan Malaysia sejak merdeka (sebelumnya BN dikenali sebagai Perikatan atau Alliance), sehingga kekalahan 2018.

PRK Slim adalah ruang terbaik untuk memaparkan keunggulan UMNO dan BN, memandangkan Slim adalah kubu kuatnya.

Semasa Pilihan Raya DUN Perak pada 2018, para pengundi daerah Slim membuat pilihan antara calon-calon Bersatu, PAS dan UMNO.

Walaupun dicabar dari tiga penjuru, UMNO tetap menang pada tahun 2018. Lantaran itu, tidak menghairankan jika UMNO menang besar dengan meraih 13,060 undi dalam PRK baru-baru ini memandangkan ketiga-tiga parti yang bertanding pada 2018 kini bersekutu.

SEMAKIN KUKUH

Kecelaruan politik di peringkat persekutuan dengan akar umbi jelas ternyata semasa tempoh berkempen.

Semasa kempen PRK Slim, ternyata jentera parti UMNO dan PAS untuk meraih sokongan akar umbi sangat kukuh, dan ini menyumbang kepada kemenangan BN.

Ada beberapa insiden pertembungan antara barisan pemuda UMNO dan Bersatu yang menandakan tidak semuanya indah di dalam gabungan PN di akar umbi.

Natijahnya adalah UMNO kini lebih berkeyakinan, sehingga tidak perlu bergantung kepada sokongan Bersatu untuk memenangi pilihan raya umum seterusnya.

Lantaran itu, di peringkat pusat pun, UMNO belum mengambil keputusan untuk menyertai PN secara rasmi dan sebaliknya, memilih untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Ahli-ahli parlimen UMNO bagaimanapun menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara individu.

Perkembangan baru-baru ini menunjukkan keinginan UMNO untuk mencapai semula kedudukan sebagai parti nasionalis Melayu dengan menyatakan bahawa ia berhasrat untuk menawan kembali kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu pada 2018.

Lantaran itu, UMNO menginginkan supaya Bersatu menyertai MN sebagai parti adik, dan UMNO sebagai abang.

MELEMAHKAN BERSATU

Identiti Bersatu buat masa ini masih belum kukuh lagi, dan dengan langkah Dr Mahathir menubuhkan Pejuang, ini mengkaburkan lagi imej yang ingin ditampilkan.

Bagi Pejuang, keutamaannya adalah untuk melemahkan sokongan terhadap Bersatu dengan menerima masuk anggota-anggota yang keluar dari Bersatu.

Encik Muhyiddin dan Dr Mahathir pernah menjadi rakan seperjuangan dalam usaha sama menumbangkan kerajaan BN pada 2018 sebagai pemimpin-pemimpin Bersatu – sehinggalah Dr Mahathir disingkirkan oleh Encik Muhyiddin.

Pengaruh Mahathir dalam kalangan masyarakat Melayu masih kuat, atas sumbangan beliau memajukan Malaysia semasa menjadi perdana menteri pada kali pertama antara 1981 dan 2003.

Ada yang tentu kecewa dengan cara Mahathir disingkirkan daripada Bersatu, berserta pengasas-pengasas yang lain.

MEYAKINKAN PENGUNDI

(Gambar: Bernama)

Sejak penyingkiran beliau daripada Bersatu, Dr Mahathir mengkritik Encik Muhyiddin atas keputusannya untuk berganding bahu dengan UMNO yang disusuli oleh tindakan ramai anggota parti meninggalkan Bersatu untuk menyertai Pejuang.

Namun, ada pula sesetengah pengundi Melayu yang menolak hubungan Dr Mahathir dengan PH kerana mereka memandang DAP sebagai parti yang sebahagian besarnya dikuasai kaum Cina dan seolah-olah tidak menitikberatkan hak-hak agama dan budaya pengundi Melayu.

Persepsi ini masih membelenggu Dr Mahathir. Jelas, Pejuang perlu meyakinkan para pengundi sedemikian bahawa tanggapan mereka tidak benar, selain membidas tanggapan bahawa beliau memecahbelahkan para pengundi Melayu.

Keputusan di Slim juga harus dijadikan iktibar bagi Pejuang bahawa ia mungkin perlu berjalan sendiri demi mengikis persepsi bahawa ia tunduk kepada parti bukan Melayu.

Malangnya, ini bukanlah sesuatu yang ideal buat Pejuang dan juga Malaysia. Jika ia memilih untuk bergerak sendiri ia tidak mungkin boleh membentuk kerajaan.

Tambahan lagi, buat negara, falsafah masyarakat berbilang kaum akan dikebelakangkan kerana masih wujud dikotomi atau pemisahan antara parti Melayu dengan bukan Melayu.

KEADAAN TERSEPIT

Apakah keputusan di Slim menunjukkan era Dr Mahathir sudah berakhir? Yang jelas, UMNO berjaya meraih semula kepercayaan para pengundi, terutamanya kaum Melayu.

Kerjasamanya dengan PAS pula membuahkan hasil dengan kedua-dua parti memenangi beberapa pilihan raya kecil tahun lepas dan tahun ini.

Kini UMNO boleh menjadi lebih yakin untuk menawan kembali kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu semasa pilihan raya umum akan datang – dan menerusi pertukaran parti sebilangan bekas anggota UMNO – pada 2018.

Sebaliknya, Bersatu pula kini seakan-akan berada dalam keadaan tersepit. Dalam usaha mendesak untuk meluaskan keanggotaan parti, Bersatu pernah berura-ura membenarkan kemasukan anggota-anggota bukan Melayu.

Jika tidak berhati-hati, langkah itu boleh menjadi suatu kesilapan yang menyebabkan lebih ramai anggota sedia ada untuk berpaling tadah ke Pejuang.

ATASI CABARAN

Walaupun UMNO mempunyai kelebihan buat masa ini, ia masih ada beberapa cabaran. Kebangkitan semula UMNO boleh tersekat jika lebih ramai pemimpin UMNO disabit kesalahan rasuah – seperti mana berlaku kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak.

Ia juga perlu menyelesaikan masalah perpecahan dalam parti tersebut. Ada yang secara terang-terangan tidak bersetuju dengan Bersatu.

Mentelah, UMNO perlu menyelesaikan isu pembahagian kerusi Parlimen antara PAS dan Bersatu, memandangkan dalam pilihan raya 2018, ketiga-tiga parti ini berlawanan antara satu sama lain.

Di peringkat akar umbi, calon-calon yang meletakkan harapan untuk bertanding dalam pilihan raya mungkin harus memberi laluan kepada parti lain demi mengukuhkan PN. Apakah ini bakal memuaskan hati semua ahli politik?

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan